Rabu, 26 Jun 2013

DIMAHKAMAH ALLAH TIADA YANG TERLEPAS DARI DIDAKWA DAN TERLEPAS DARI DIHUKUM

Harus kita ubah, saya sedia ubah - Pandikar

Salmiyah Harun, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berulang kali menegaskan 'kita ubah' apabila ada beberapa ahli parlimen yang tidak mengikut peraturan mesyuarat.

Beliau yang mengendalikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13 bermula hari ini berjanji untuk membuat perubahan pada kali ini dan tidak akan mengulangi sikap seperti sesi lepas.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan (BN) Datuk Bung Mokhtar Raden yang menyampuk ketika Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengajukan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sikap Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menerima teguran daripada Speaker.

"Minta Kinabatangan berhentilah ulang perangai dalam Parlimen Ke-12. Sudahlah kita ubahlah.

"Tinggi sekolah atau rendah sekolah ke, sudahlah kita ubahlah," tegas Pandikar Amin berulang kali.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut ditegur oleh Speaker kerana menyampuk ketika Perdana Menteri memberi jawapan dalam sesi soal jawab.

Tegasnya pada sesi kali ini, ahli parlimen harus menunjukkan perubahan sikap mereka ketika berada di dalam dewan.

"Harus kita ubah, saya sedia ubah," katanya.

Kerajaan perlu henti pendakwaan terpilih - Teras

Harakahdaily, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendesak kerajaan menghentikan pendakwaan terpilih terhadap aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat yang dilihat dibuat mengikut telunjuk politik pihak tertentu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata siri-siri penangkapan termasuk yang terbaru terhadap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang dikaitkan dengan Akta Hasutan hanya memperlihatkan sikap double standard pihak berkuasa Malaysia.

"Walaupun pihak polis mendakwa bahawa beliau (Husam) telah dikaitkan dengan kesalahan dibawah Akta Hasutan 1948 namun jelas ia adalah dakwaan terpilih kerana kenyataan menghasut yang jauh lebih merbahaya pernah dikeluarkan oleh Tun Mahathir, Ibrahim Ali dan oleh akhbar Utusan Malaysia sendiri," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Teras kesal Datuk Husam Musa dikambinghitamkan oleh pihak yang mencemburui kelantangan beliau untuk menyatakan kebenaran , tapi didakwa sebagai menghasut.

Tindakan menahan beliau seorang Wakil Rakyat yang dikenali ramai dan juga seorang pemimpin kanan kepada parti politik di Kuala Lumpur dan dibawa ke Kota Bharu pada 21 hb Jun yang lalu adalah aneh,  kerana ia tidak menunjukkan amalan professional dipihak polis sendiri.

Walaupun pihak polis mendakwa bahawa beliau telah dikaitkan dengan kesalahan dibawah Akta Hasutan 1948 namun jelas ia adalah dakwaan terpilih kerana kenyataan menghasut yang jauh lebih merbahaya pernah dikeluarkan oleh Tun Mahathir, Ibrahim Ali dan oleh akhbar Utusan Malaysia sendiri.

Pendakwaan pihak polis terhadap beliau , seperti pemimpin pembangkang yang lain , sangat bersifat terpileh kerana ia dipengaruhi oleh parti politik yang memerintah.

Bagi Teras ini adalah kes yang bukan pertama kali malah telah pun dilakukan beberapa kali bagi menyekat pemimping pembangkang menyatakan pandangan kepada rakyat.

Dari pemerhatian kami yang jelas hanya pemimpin pembangkang dan Ngo yang kritikal terhadap kerajaan sahaja yang sering diambil tindakan dengan pantas manakala mana-mana pemimpin Ngo pro kerajaan dan pemimpin kerajaan sendiri ramai yang tidak disentuh walaupun kenyataan dan tindakan bersifat hasutan  jauh lebih merbahaya.

Kami sangat kesal ujudnya gejala menindas pemimpin pembangkang melalui pendakwaan undang-undang secara terpileh dan dengan cara memperalatkan pihak polis.

Kami mendesak agar Husam dilepaskan dari pendakwaan jika pihak kerajaan benar-benar mahu menunjukkan keterbukaan dan sikap politik yang matang.

Pihak Polis tidak harus menjadi alat kepada parti politik dan perlu bertindak professional dengan melihat senario politik negara dengan matang. Pihak polis tahu bahawa hasutan membenci kaum selepas Pru 13 telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan ada pihak yang secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan perkauman yang sangat berbahaya.

Kemarahan rakyat tercetus kerana terlalu banyak kes penganiayaan , salahguna kuasa , penipuan dalam Pru , rasuah  , kematian dalam tahanan yang tidak diambil tindakkan dengan tegas oleh pihak berkuasa.

Senario  ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan dan agensi yang berkaitan adalah natijah dari banyak isu yang ditimbulkan oleh rakyat tidak dijawab dengan memuaskan.  Oleh itu penyuaraan terhadap kepincangan kerajaan dan agensi keselamatan adalah munasabah dan seharusnya dilihat secara objektif.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

13 soalan ahli parlimen PAS disenarai hari ini

Harakahdaily, 26 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 soalan lisan dikemukakan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat pada hari ini, 13 daripadanya adalah soalan wakil PAS.

Berikut ialah soalan mereka yang disenaraikan untuk dijawab lisan pada persidangan yang bermula jam 10.00 pagi tadi.

Puan Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan tentang kos yang ditanggung oleh Kerajaan setakat ini dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu. Berapakah orang yang terkorban dan kerugian harta benda yang terlibat.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan cabaran utama bagi mencapai sasaran Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) pada tahun 2012.

Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan mengapa kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan raya Umum ke 13 di bawah paras 1% sedangkan piawaian asal yang ditetapkan ialah 4%.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendekatan pihak Kementerian dalam menyediakan keselesaan kepada penjawat awam yang terpaksa mengambil cuti untuk menjaga ahli keluarga yang sakit. Adakah pihak Kementerian bercadang untuk mempertimbangkan skim cuti khas bagi tujuan tersebut.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan apakah pihak Kementerian tidak berhasrat untuk menurunkan harga minyak RON95 dan diesel.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapakah bilangan siswazah yang menganggur. Nyatakan bilangan penganggur mengikut bidang pengajian.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pembinaan Hospital Parit Buntar.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah kerakyatan baru yang diberikan dalam tempoh 3 tahun lepas berbanding dengan 3 tahun sebelumnya dan daripada mana negara asal mereka.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Komunikasi Dan Multimedia menyatakan statistik yang telah direkodkan bagi kesalahan Seksyen 211 (Larangan Terhadap Pemberian Kandungan Jelik) dari tahun 2008 hingga 2012.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Komunikasi Dan Multimedia menyatakan kos yang telah dibelanjakan untuk program netbook dan jumlah unit komputer berkenaan yang telah dikeluarkan sejak dimulakan sehingga Disember 2012.

Dr. Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan berapa ramaikah pegawai agama yang telah dilantik di hospital-hospital utama Kerajaan mengikut negeri di antara tahun 2008 hingga tahun 2013.

Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana kejayaan Kempen Tak Nak Merokok di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Nyatakan statistik terbaru 'Pesalah Merokok' mengikut negeri dan jantina seperti peringkat umur bagi tahun 2010 hingga kini.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan sejauh manakah pihak Kerajaan menggalakkan persembahan kebudayaan tradisi yang tertib berbanding dengan persembahan-persembahan hiburan barat yang tidak ada kaitan dengan tradisi dan budaya tempatan.

Petani jadi mangsa dendam politik Umno

Aslani M, 26 Jun 2013
TUMPAT: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Kelantan diberitahu petani lebih berkuasa berbanding pegawai kerajaan.

Seorang petani, Mohamad Yusof memberitahu pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Tumpat memberitahunya, mereka tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya JKKKP enggan menandatangani borang bantuan petani.

“JKKKP lebih berkuasa daripada mereka. Biar pun pegawai kerajaan gaji jauh lebih besar, namun JKKKP yang dibayar elaun RM800 sebulan lebih berkuasa.

“Kalau mereka tidak menandatangani borang bantuan petani, LPP tidak dapat memprosesnya bagi mendapat bantuan kerajaan pusat,” kata beliau ketika mendedahkan perkara itu di Kampung Kubang Sawa, kelmarin.

Beliau ditemui ketika lawatan anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusdi Wan Ibrahim.

Hadir sama pegawai Unit Perancangan Ekonomi Kerajaan Negeri dan Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd. Bagaimanapun pegawai LPP tidak hadir biar pun dijemput.

Isu petani dihalang mendapat baja subsidi dan insentif pertanian kerajaan pusat kembali hangat diperkatakan di Kelantan. Situasi serupa juga berlaku di Bachok dan Pasir Puteh.

Malah ia juga hangat diperkatakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Petani mendakwa borang permohonan bantuan pertanian mereka enggan  ditandatangani JKKKP kerana faktor politik.

Tanpa pengesahan itu mereka tidak dapat menikmati subsidi baja padi, skim racun, membajak dan jualan padi yang dianggar berjumlah lebih RM1,000 bagi setiap seekar padi.

Mohamad yang dikenali panggilan Pakcik Mat Ali berkata, biar pun borang permohonan miliknya sudah disahkan JKKKP, namun beliau tidak dapat menanam padi sekiranya petani lain enggan menanam padi kerana halangan tersebut.

“Kalau saya seorang yang menanam padi tetapi orang yang tidak mendapat subsidi tidak menanam, tentunya musuh tanaman lebih banyak.

“Tikus hanya akan makan padi saya sahaja kerana petani lain tidak dapat menanam padi ekoran diskriminasi politik pemimpin Umno,” katanya.

Tindakan JKKKP tersebut mengundang kemarahan petani, di mana pada 9 Jun lalu sekumpulan pesawah diketuai Mat Daud Mat Ail, 39 membuat laporan polis terhadap seorang Pengerusi JKKKP di Tumpat.

Petani yang menyokong PAS pernah menjadi mangsa selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) kecundang di Kelantan pada 1990. Mereka dinafikan hak mendapat baja subsidi padi. Kali ini isu sama berulang kembali.

[Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang]

Kes Kugan: Kerajaan, polis diarah bayar RM751,700

Harakahdaily, 26 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajan dan Polis DiRaja Malaysia membayar membayar ganti rugi RM751,700 kepada keluarga mendiang A Kugan yang mati dalam lokap polis Subang Jaya pada 2009.

Mahkamah juga turut mengarahkan responden membayar RM50,000 lagi untuk kos lain.

Pada tahun lalu, keluarga A Kugan memfailkan saman sivil untuk menuntut kerugian RM100 juta dari kerajaan dan polis yang didakwanya melakukan "pembunuhan kejam" terhadap mendiang.

Beliau menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (ketika itu ketua polis Selangor), pegawai polis Navindran Vivekanandan, Ketua polis Subang Jaya ketika itu, Zainal Rashid Abu Bakar (kini meninggal dunia), dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

 

 


 

 





سُوۡرَةُ الفَاتِحَة
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (١) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٢) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٣) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٤)  ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٥) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ (٦) غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)
Surah Al-Fatiha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7) 

 

 

Tiada ulasan: