Sabtu, 22 Jun 2013

KITA TAHU SAPE PALING BANYAK BUAT HELAH....KADANG2 MANUSIA LUPA KUASA PALING BESAR...IAITU KUASA ALLAH...ALLAH BOLEH BUAT APA YANG ALLAH SUKA

'PR ada helah besar'
Shamsuddin Lias
Shamsuddin Lias
SHAH ALAM - Hasrat Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat penipuan dan pelanggaran peraturan dalam PRU13 dilihat sebagai satu helah besar untuk menggunakan dana awam bagi mengemukakan bantahan keputusan pilihan raya secara keseluruhan.

Ketua Pembangkangnya, Datuk Shamsuddin Lias berkata, keputusan itu tidak wajar dilaksanakan di negeri ini walhal PR telah memenangi dua pertiga kerusi di Selangor pada pilihan raya lalu.

"Perkara itu sepatutnya selesai, pilihan raya sudah berjalan, keputusan pun mereka menang, apa lagi mereka nak?

"Tapi saya nampak ini agenda besar, ketidakpuasan hati di peringkat Parlimen, kerana mereka kalah, kalau dia menang, tak kata pilihan raya ini banyak masalah, tak adalah nak tubuh suruhanjaya seperti ini," katanya kepada Sinar Harian Online selepas menghadiri majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan kerajaan negeri yang mahu menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri ini pada PRU13 lalu.

Dalam pada itu, Adun Sungai Burong itu menegaskan langkah itu hanya membazirkan wang rakyat, masa dan tenaga yang sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

"Ya, ia tidak wajar ditubuhkan, mereka dah menang banyak di Selangor, dua pertiga majoriti, kita jadi minoriti dan semakin kecil, apa lagi dia nak buat lagi suruhanjaya.

"Kita memang tak setuju membazir masa tenaga wang ringgit, baik tumpu kepada perkara lain," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengulangi pendirian kerajaan negeri yang mahu menubuhkan suruhanjaya itu susulan banyak kepincangan berlaku dalam PRU13.

"Kita tengok tentang dakwat kekal, pengundi hantu, daftar pemilih dan sebagainya, itu perlu diatasi dengan sebaik mungkin.

"Sebab itu kita mahu adakah siasatan untuk memulihkan kewibawaan sistem pilihan raya dalam negara kita," dakwa beliau.

Sementara menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Kim, penubuhan suruhanjaya siasatan itu wajar dilakukan atas dasar prinsip, bukannya soal kalah atau menang.

"Di Selangor kita menang, tidak bererti menang itu tiada penyelewangannya, niat kerajaan negeri Selangor adalah mengharapkan pilihan raya dijalankan yang adil dan bersih.

"Walaupun kita menang tapi tidak bererti kita terima keputusan itu, walhal ada kekotoran di kawasan tertentu," tegasnya.
Kemuka 8 syor lindungi mangsa pemerdagangan
Suhakam
Suhakam
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengemukakan lapan syor dalam usaha memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan manusia.
 
Dalam satu kenyataan semalam, Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata. lapan syor itu ialah:

*Kerajaan diminta mengukuhkan mekasnisme berhubung dengan pendakwaan ke atas pesalah, perlindungan ke atas mangsa dan pencegahan insiden baharu penyeludupan menerusi kerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil dan misi diplomatik serta pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa.

*Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu disediakan satu saluran untuk menawarkan kepakaran mereka kepada Majlis bagi Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) kerana ramai mangsa lebih cenderung mendapatkan khidmat mereka untuk bantuan.

*Semua mangsa perlu disediakan dengan pemeriksaan kesihatan serta-merta setibanya di pusat perlindungan serta lawatan berkala oleh kakitangan perubatan.

*Mangsa perlu dimaklumkan status kes mereka dan sebuah mahkamah khas diwujudkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes berkaitan anti-pemerdagangan orang.
 
*Kerajaan diminta menyediakan latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara, terutamanya di barisan hadapan mengenai cara untuk mengenalpasti mangsa yang disyaki dalam penyeludupan manusia.

*Kerajaan perlu meminda Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dengan membenarkan mangsa menerima pampasan dan bekerja sementara menunggu penyelesaian kes mereka; mewartakan rumah perlindungan yang dikendalikan NGO, memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kes penyeludupan manusia dan penyeludupan migran iaitu Seksyen 12 dan 13 di bawah Akta ATIP; serta penjelasan mengenai peranan suruhanjaya dan keanggotaannya dalam MAPO.

*Kerajaan diminta mengkaji semula Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955 yang membenarkan 'kontraktor bagi buruh' yang mungkin boleh mengakibatkan eksploitasi pekerja oleh pihak agensi pengambilan pekerja dan majikan.

*Kerajaan perlu menyertai Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka serta konvensyen berkaitan dengan status pelarian. 
 
Dalam pada itu, Hasmy berkata, suruhanjaya itu turut melahirkan kebimbangan apabila sekali lagi bagi tahun keempat berturut-turut Malaysia diletakkan di kedudukan kedua Senarai Pemerhatian (Tier 2, Watch List) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporan Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2013 kerana kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk membanteras aktiviti pemerdagangan di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA).
 
"Pihak Jabatan Negara AS mengaitkan kedudukan Malaysia ini dengan kekurangan kemajuan signifikan yang dibuat oleh kerajaan dalam menangani pemerdagangan orang di Malaysia berbanding tahun sebelumnya," katanya.
 
Katanya, dalam hasil laporan ATIP 2013 itu Jabatan Negara AS memberikan penilaian terhadap rekod pemerdagangan manusia di Malaysia termasuk usaha yang diambil kerajaan dalam tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan yang sebahagian daripada isu berkenaan pernah diutarakan Suhakam.
 
Sehubungan itu, Hasmy berkata memandangkan Malaysia merupakan negara destinasi dan transit bagi kebanyakan pekerja migran, suruhanjaya itu menyeru kerajaan supaya mempertingkatkan usaha dalam memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan di semua peringkat.
 
"Selari dengan standard antarabangsa yang ditentukan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan orang terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak," katanya. - Bernama
Susilo perintah BNPB ketuai operasi atasi asap
susilo
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono
JAKARTA - Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah memerintahkan Badan Nasional Pengurusan  Bencara (BNPB) Indonesia segera mengetuai operasi menangani bencana asap akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di kawasan seluas 850 hektar di Riau, Sumatera yang telah berlaku hampir seminggu.
 
Bencana asap itu telah menjejaskan kualiti udara dan jarak penglihatan di negara jiran Singapura dan bahagian selatan Malaysia setelah kawasan yang terjejas itu mengalami cuaca berjerebu.
 
Ketua BNPB, Syamsul Maarif telah memberi taklimat kepada Susilo tentang tiga strategi yang diambil bagi menangani  bencana itu termasuk pemadaman kebakaran tanah gambut dan hutan di daratan dan pemadaman dari udara dengan cara bom air menggunakan helikopter serta hujan buatan dengan menggunakan pesawat.
 
Satu lagi strategi ialah ialah penerangan kepada masyarakat dan tindakan undang-undang, kata BNPB dalam satu kenyataan pada Jumaat.
 
Ketua BNPB itu telah menyelaraskan operasi itu dengan Menteri Penyelaras Bidang Kesejahteraan Rakyat Agung Laksono,  Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono dan Ketua Polis Indonesia Jen Timur Pradopo.
 
"Hari ini Jumaat, dua pesawat Casa 212 akan diterbangkan ke Pekanbaru, iaitu pesawat TNI Angkatan Udara (TNI AU) dari  Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma dan pesawat Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) yang pada masa ini berada  di Banjarmasin (Kalimantan Selatan).
 
"Pesawat Hercules C-130 TNI AU juga dipersiapkan untuk membantu operasi hujan buatan itu," katanya.

Pesawat tentera udara Indonesia itu dijadual diterbangkan petang ini dari Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung  ke Pekanbaru, Riau, jika pemasangan peralatan selesai dilakukan.
 
BNPB berkata bahan semaian hujan buatan telahpun dihantar ke Pekanbaru malam tadi bersama petugas dan peralatan untuk  menyokong operasi hujan buatan itu manakala untuk operasi bom air, dua buah helikopter digunakan.
 
Agung Laksono pada Khamis berkata operasi hujan buatan dilaksanakan dengan kerjasama BNPB, Badan Meteorologi, Klimatologi  dan Geofizik (BMKG) serta BPPT.
 
Sehingga kini operasi yang dijalankan hanya dapat memadamkan kebakaran di kawasan hutan dan tanah gambut seluas 650 hektar daripada 850 hektar kawasan hutan yang mengalami kebakaran. - Bernama
2 lokasi jerebu keluar zon bahaya
KUALA LUMPUR - Kualiti udara di seluruh negara petang ini mencatat penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kota Tinggi dan Pasir Gudang, kini keluar daripada paras berbahaya.

Kota Tinggi yang sebelum ini mencatat IPU pada tahap berbahaya iaitu 323,  kini merekodkan bacaan 226 iaitu pada paras sangat tidak sihat.

Sementara Pasir Gudang yang sebelum ini merekod paras berbahaya dengan bacaan IPU 310, kini turun pada bacaan 189, iaitu paras tidak sihat.

Walau bagaimanapun menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga 5 petang tadi Bukit Rambai, Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan mencatat peningkatan IPU ke tahap sangat tidak sihat berbanding sebelum ini.

Bukit Rambai kini mencatat IPU 257, Port Dickson 205 dan Muar yang sebelum ini merekodkan penurunan IPU, kini mencatat peningkatan kepada 271 IPU berbanding 193, pada tengahari.

Semalam Muar mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu di paras berbahaya dengan bacaan 383.

Kawasan-kawasan lain masih mencatatkan IPU antara baik dan sederhana.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Setakat hari ini, 600 sekolah di beberapa kawasan di Johor terpaksa ditutup, membabitkan 319,341 murid.

Antaranya 40 sekolah menengah (SM) dan 171 sekolah rendah (SR) di daerah Muar; di Batu Pahat (31 SM, 144 SR); Pasir Gudang (35 SM, 70 SR); Pontian (15 SM, 82 SR) dan Kota Tinggi (12 SM, 10 SR) telah diarah tutup sehingga makluman lanjut.

Sementara sekolah di Melaka juga dimaklumkan akan ditutup sekiranya bacaan IPU negeri itu melebihi paras berbahaya.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut memaklumkan jumlah pesakit akibat jerebu di negeri itu terutama masalah 'Upper Respiratory Tract' (URTI) meningkat sebanyak 21 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.

Jadual penerbangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) turut dimaklumkan tidak terjejas sehingga kini, namun pelan kontigensi tetap disediakan sekiranya keadaan jerebu bertambah teruk. - Bernama
Polis larang orang awam sertai Black 505
Datuk Mohmad Salleh
Datuk Mohmad Salleh
KUALA LUMPUR - Pihak polis melarang orang awam untuk menyertai perhimpunan 'Blackout 505' yang bakal diadakan di Padang Merbok, esok.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, keputusan ini terpaksa dibuat kerana polis mendapat maklumat perhimpunan akan menjadi kacau-bilau.

"Kami mendapat maklumat bahawa pihak penganjur sudah mengarahkan para peserta perhimpunan itu untuk mewujudkan provokasi di Padang Merbok dan tujuh lokasi perjumpaan mereka," katanya.

Beliau berkata, tujuan provokasi itu dicetuskan untuk menimbulkan huru-hara di sekitar Kuala Lumpur.

"Apabila huru-hara berlaku, mereka akan menyebarkan gambar atau video provokasi ini melalui media massa termasuk internet untuk menunjukkan pihak berkuasa menggunakan kekerasan bagi menangani perhimpunan ini," katanya.

Sehubungan dengan itu Mohmad berkata, orang ramai tidak perlu menyertai perhimpunan itu kerana ianya jelas menunjukkan penganjur mahu mencetuskan provokasi antara peserta perhimpunan dan polis.

Katanya, perhimpunan esok salah dari segi undang-undang kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang melakukan kekecohan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihak polis tidak menutup mana-mana jalan yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Antara jalan yang akan menjadi tempat berkumpul peserta perhimpunan sebelum ke Padang Merbok ialah Brickfields, Masjid Negara, Jalan Pudu, Jalan Raja Laut, Universiti Malaya, Sogo dan Pekeliling.
Jerebu: Singapura arah sekolah batal aktiviti
Singapura Jerebu
SINGAPURA – Kementerian Pelajaran hari ini, mengarahkan supaya semua sekolah di republik itu membatalkan semua aktiviti sepanjang cuti persekolahan bulan ini, akibat jerebu yang mencapai tahap berbahaya.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman sesawang kementerian berkenaan hari ini.

“Indeks pencemaran udara pada tempoh 24 jam ini berada dalam keadaan yang sangat berbahaya.

“Kementerian akan mengambil panduan daripada Pasukan Petugas Jerebu untuk tindakan selanjutnya,” memetik kenyataan menerusi laman web tersebut.

Selain itu, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan, bacaan Indeks Pencemaran  Udara pada 12 tengah hari ini mencatatkan rekod tertinggi iaitu 401.

Bacaan IPU pula telah mencecah paras 321 pada pukul 10 malam pada Rabu lalu sebelum meningkat kepada 371 semalam.

Sementara itu, taman tema air Wild Wild di Pasir Ris telah ditutup sejak dua hari lalu.

"Sebagai menjaga tahap kesihatan dan keselamatan kakitangan dan pengungjung , Taman Tema air Wild Wild akan ditutup buat sementara pada 20 dan 21 Jun 2013 kerana jerebu," kata NTUC Club dalam satu kenyataan.

"Pengunjung boleh menyemak halaman Taman Tema air Wild Wild untuk mendapat  maklumat terkini mengenai operasi taman," katanya.
Abdul Kadir terima pencalonan Speaker Dewan Rakyat
Datuk Abdul Kadir Sulaiman
Datuk Abdul Kadir Sulaiman
KUALA LUMPUR - Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman hari ini menerima pencalonan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada pakatan pembangkang asalkan pencalonan itu tidak mempunyai maksud yang tersirat.

Abdul Kadir, 74, berkata beliau menerima pencalonan itu sekiranya pakatan pembangkang ikhlas memilihnya berdasarkan pendirian dirinya yang bebas dan tidak terlibat dengan politik, bukannya kerana kepentingan tertentu pakatan itu.

"Kalau hasrat (pembangkang) itu betul, itu saya terima (pencalonan). Ini satu amanah yang saya fikir perlu dipikul untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.

"Saya menerima pencalonan ini bukan atas dasar nak bangga, takbur dan sebagainya, tidak terlintas bagi saya semua itu. Ini amanah rakyat pada saya, saya akan kena jawab semula jika saya tidak betul pegang amanah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan itu sebulat suara menamakan Abdul Kadir sebagai calon bagi Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen penggal ke-13.

Anwar menyatakan kewibawaan dan rekod kerjaya Abdul Kadir selama ini akan menjadikan Parlimen lebih bebas dan pencalonan itu telah dihantar kepada pihak Parlimen pada 10 Jun lepas.

Ditanya apakah yang mampu disumbang sekiranya dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Abdul Kadir berkata dengan pengalaman serta pengetahuannya beliau akan memastikan Dewan Rakyat berfungsi dengan berkesan sebagai medan untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan medan pergaduhan wakil rakyat.

"Hasrat saya (wakil rakyat) mesti faham maksud kita berbincang dan sebagainya (di Dewan Rakyat) adalah memikul amanah rakyat. Kalau tak faham takkan kita nak panggil berjuta rakyat ke Dewan Rakyat nyatakan masalah mereka.

"Kita kena pergi (Dewan Rakyat) dengan tujuan itu, kalau ada maksud lain tersirat begitu begini semuanya, kita tak jalankan amanah rakyat pada kita," katanya.

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijadualkan Isnin depan sebelum 222 anggota Parlimen mengangkat sumpah, di Parlimen di sini. - Bernama

Tiada ulasan: