Jumaat, 21 Jun 2013

ALLAH BOLEH BUAT LEBIH DAHSYAT DARI JEREBU YANG ADA...JANGAN KITA ENGKAR@LAWAN PEMILIK DUNIA DAN PENCIPTA MANUSIA SERTA SEGALANYA IAITU ALLAH SWT...LAH NI MANUSIA LUPA AKAN KEMATIAN...LUPA AKHIRAT...LUPA NERAKA ALLAH SWT...MAKA BERTAUBATLAH

Jerebu: S'pura tutup lapangan terbang Seletar

Singapura menutup Lapangan Terbang Seletar pada pagi Khamis berikutan tahap jarak penglihatan buruk yang berterusan disebabkan jerebu.

Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG), penutupan terkini itu adalah bagi tempoh 12 jam sehingga 11 malam dan mungkin dilanjutkan, bergantung kepada tahap penglihatan.

Tahap jarak penglihatan hari ini tidak menentu antara 700 meter dan 1,200 meter, iaitu di bawah syarat minimum operasi Lapangan Terbang Seletar iaitu 1,500 meter.

Lapangan terbang itu, yang beroperasi berdasarkan keadaan cuaca pandang, tidak boleh menerima ketibaan dan pelepasan pesawat kerana juruterbang tidak boleh nampak landasan dengan jelas.

Semasa penutupan itu, dua pesawat yang tiba dialih ke lapangana terbang lain manakala lapan pelepasan penerbangan dibatalkan.

CAAS dan CAG kini memantau dengan teliti keadaan cuaca pandang sebelum membuka semula Lapangan Terbang Seletar untuk operasi penerbangan.

- Bernama

Jadi mangsa tolak Negara Berkebajikan

Harakah, 21 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kos bahan api iaitu petrol dan diesel tidak mustahil akan mengalami kenaikan selepas sebanyak 47 peratus rakyat dalam undi popular memilih untuk bersama BN pada PRU13, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Akibat menolak usaha Negara Berkebajikan oleh Pakatan Rakyat semua akhirnya akan menjadi mangsa Umno BN yang sedang bergelut untuk mengutip semula dana selepas berbelanja besar dalam pilihan raya lalu.


“Pada masa sama juga, kerajaan tidak komited merungkaikan kronisme dan memecahkan monopoli bagi menangani isu kos saraan hidup yang banyak dipengaruh oleh kadar harga bahan api,” katanya.


Berbeza dengan Pakatan Rakyat, ujar beliau, iltizam untuk mengamalkan tatakelola yang baik termasuk membasmi rasuah dan ketirisan serta jaminan menurunkan harga minyak dinyatakan secara jelas dalam manifesto.


Dzulkefly turut tidak menolak pengumuman kerajaan UmnoBN untuk menaikkan gaji penjawat awam mulai 1 Julai akan datang sebagai tidak mustahil satu isyarat untuk berlakunya kenaikan harga barangan tidak terkecuali petrol.


“Selain manifesto BN sebanyak 17 perkara itu yang tidak berjanji untuk menurunkan harga minyak, rakyat juga harus sedar Najib sedang berusaha Dr Dzulkefly Ahmad mengurangkan defisit fiskal kepada empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini,” jelasnya.
Lebih banyak sekolah diarah tutup akibat jerebu
10:58AM Jun 21 2013
Keadaan jerebu yang semakin teruk di Johor menyebabkan lebih banyak sekolah terpaksa diarah bercuti mulai hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Nor A Ghani berkata selepas kesemua sekolah rendah dan menengah di Muar diarah bercuti semalam, sekolah di daerah Batu Pahat dan Pasir Gudang turut diarah berbuat demikian.

"Di Batu Pahat, sebanyak 175 sekolah rendah dan menengah melibatkan 80,000 pelajar serta 105 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang melibatkan 116,493 pelajar diarahkan bercuti berikutan masalah jerebu," katanya di Johor Bahru semalam.

Indeks pencemaran udara (IPU) di kedua-dua daerah meningkat petang tadi iaitu 333 bagi Pasir Gudang manakala bacaan bagi Batu Pahat belum diperoleh.

Bagaimanapun, bacaan IPU di daerah itu, yang merangkumi kawasan Muar, pada sebelah pagi ialah 383.

Sehubungan itu, pelajar di 211 sekolah rendah dan menengah di Muar diarah bercuti mulai hari ini.

Sementara itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn Bhd Adny Ahmad berkata penerbangan beberapa pesawat terpaksa dijadual semula.

"Kami tidak menerima amaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) namun jerebu menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dijadual semula," katanya.

Beliau juga berkata keutamaan kini adalah untuk meminimumkan kesulitan  rakan kongsi syarikat penerbangan itu dan pelanggan mereka.

- Bernama
SPR: S'gor tak perlu tubuh s'jaya siasatan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada keperluan bagi Selangor menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.
Beliau berkata parti atau ahli politik yang tidak berpuas hati dengan perjalanan PRU13 seharusnya mengikut saluran yang betul dengan memfailkan petisyen di mahkamah.

"Rasa tidak puas hati mengatakan SPR itu dan ini elok dibawa ke mahkamah tetapi berhubung suruhanjaya penyiasatan berkenaan saya tidak pasti apa bendanya, adakah suruhanjaya ini boleh menyiasat SPR yang ditubuhkan di bawah perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada petugas PRU13 di Melaka, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mahu menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan PRU13.

Beliau berkata SPR tidak melakukan sebarang penipuan ketika menjalankan tugas sepanjang PRU13 sebaliknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki SPR namun ia tidak menyebabkan proses pilihan raya lepas terbatal.

Katanya PRU13 berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi merupakan yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 85 peratus.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata parti atau ahli politik juga seharusnya menerima keputusan PRU13 lepas dengan hati terbuka kerana ia adalah keputusan pengundi dan bukannya SPR.

Beliau berkata perhimpunan haram bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati juga tidak seharusnya diadakan kerana ia tidak mengikut saluran yang ditetapkan.

Katanya situasi itu hanya membuang masa, tenaga dan menyebabkan kemusnahan harta benda awam sekiranya berada dalam keadaan tidak terkawal.

- Bernama
'Lebih banyak bilik gerakan jerebu di daerah terlibat'

Kementerian Kesihatan akan menambah lebih banyak bilik gerakan jerebu di semua daerah yang terlibat, terutama di Johor, dengan kelengkapan perubatan mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tindakan itu diambil berikutan tahap jerebu di beberapa daerah di Johor kini berada pada paras bahaya malah pemantauan yang lebih rapi akan dilaksanakan segera.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di luar rumah kecuali terpaksa bagi mengelak penyakit berkaitan jerebu meningkat.

"Klinik-Klinik juga diminta agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan orang ramai, terutama kanak-kanak, orang tua dan pesakit asma dinasihat agar tidak berada di luar rumah tanpa sebab.

"Paling penting, jangan buat pembakaran terbuka kerana ia hanya akan memburukkan keadaan semasa," katanya kepada pemberita di ibu negara semalam.

Beliau turut menyarankan jika ada mana-mana individu berasa pedih mata, sakit tekak, batuk atau susah bernafas, segera ke klinik berhampiran untuk rawatan awal bagi mengelak berlaku komplikasi yang lebih teruk.

Subramaniam berkata kementeriannya sudah bersedia berhadapan situasi sedemikian berikutan tahap bacaan jerebu di Muar dan Kota Tinggi semakin meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat malam tadi, pihaknya belum menerima laporan penyakit berkaitan jerebu.

Subramaniam juga tidak menolak kemungkinan kes sedemikian akan diterima di daerah terbabit dalam jangka masa terdekat kerana tahap jerebu dilihat semakin buruk.

Indeks pencemaran udara sehingga pukul 5 petang menunjukkan Pasir Gudang mencapai tahap bahaya diikuti Kota Tinggi malam tadi.

Pada sebelah pagi, tahap pencemaran udara di Muar mencapai tahap bahaya.

-Bernama
Malaysia sedia bantu Indonesia
 James Dawos Mamit
James Dawos Mamit
SERI ISKANDAR - Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani masalah pembakaran hutan di negara itu yang turut membawa masalah jerebu kepada negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr James Dawos Mamit bagaimanapun memaklumkan sehingga kini tiada permohonan diterima daripada Indonesia berhubung bantuan menangani masalah itu.

"Kita bersedia memberikan bantuan kepada Indonesia, Namun tanpa sebarang permohonan daripada mereka kita tidak boleh ambil apa-apa tindakan," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Rimba dan Alam Sekitar  Tanggungjawab Anda (Rasta 2013) di UiTM Perak, semalam.

Hadir sama, Rektor UiTM Perak Prof Ir Dr Zainab Mohamed.

Beliau turut mengakui tidak mustahil masalah jerebu akan menjadi lebih buruk seperti yang berlaku pada 1997 jika kawasan pembakaran hutan bertambah luas.

Katanya, buat masa ini Malaysia hanya boleh memantau keadaan jerebu di negara ini dan menggesa rakyat amalkan langkah-langkah keselamatan yang disarankan seperti memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sebagainya.

"Sehingga kini, tahap indeks pencemaran udara (IPU) masih di tahap sederhana dan kita harap masalah jerebu akan berkurangan melalui langkah-langkah yang diamalkan di negara ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain James memaklumkan program Rasta 2013, acara tahunan kendalian Fakulti Seni Bina dan Landskap UiTM Perak diadakan untuk memberi kesedaran serta maklumat kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Mohamed Khaled: Jangan panik
Khaled Nordin
Khaled Nordin
NUSAJAYA - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan orang awam supaya tidak panik dengan keadaan jerebu yang melanda beberapa negeri, termasuk Johor.
Jelasnya, Jawatankuasa Tindakan Jerebu Kebangsaan akan membuat keputusan sewajarnya dalam mengeluarkan arahan berkaitan masalah tersebut seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Orang ramai dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut dan tidak melakukan aktiviti luar. Kita harap jerebu akan berakhir sedikit masa lagi,” katanya.

Menurutnya, terdapat empat stesen pengawasan kualiti udara di negeri ini, iaitu di Muar, Pasir Gudang, Larkin dan Muar. Bilik gerakan Jabatan Kesihatan juga akan dibuka bagi memantau keadaan jerebu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Johor, Azuri Azizah Saedon berkata, pemantauan 24 jam dilakukan bagi melihat keadaan semasa jerebu di negeri ini.

“Jabatan Kaji Cuaca akan menyarankan pembenihan awan sekiranya IPU melebihi 300 dalam tempoh 24 jam.

"Tindakan ini akan dibuat jika perlu yang telah digariskan dalam pelan tindakan kebangsaan,” katanya.
Polis masih klasifikasi himpunan Black 505 sebagai haram

Polis masih mengekalkan klasifikasi perhimpunan 'Black 505' yang dijangka diadakan di ibu negara Sabtu ini sebagai haram kerana tidak mendapat kelulusan pemilik kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata perhimpunan yang akan diadakan Sabtu ini ternyata sama sekali salah sekiranya penganjur berkeras ingin meneruskannya kerana melanggar Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 di mana persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan perlu diperoleh.

"Perhimpunan tersebut haram. Mereka tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau turut menegaskan polis akan menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya penganjur tetap berdegil ingin meneruskan niat mereka untuk berhimpun.

Perhimpunan yang ditunjangi pembangkang itu dijangka diadakan di Padang Merbok di Kuala Lumpur walaupun tidak mendapat kebenaran DBKL.

-Bernama

Tiada ulasan: