Jumaat, 24 Februari 2012

TARBIAH PENTING...USRAH JENTERA GERAKAN..TIADA USRAH..MAKNANYA TIADA JENTERA...USRAH MENYATU HATI DAN CARA GERAK...UKHWAH..ILMU SERTA MEMPELAJARI USLUB..AMAL SERTA MENYELARAS AMAL SERTA TARBIAH..AGAR TAK TERJADI BEKAS KEPIMPINAN PUN LAWAN TAUKEH...DAN TIKAM BALIK...JANGAN2 IA PUN TAK ERTI APA ITU USRAH...KALAU TAU PUN SIKIT2 SAJA...

Tarbiah mengatasi keciciran dalam PAS

Idris Ahmad, 23 Feb 2012
Gejala keguguran adalah satu fenomena yang biasa dan berulang-ulang berlaku di dalam Jamaah Islam. Kita boleh lihat di dalam gerakan Islam di mana-mana sahaja akan berlaku fenomena ini, dan tidak terkecuali kepada Pas. Nama-nama yang hebat tetapi hilang kemudiannya, pada hal mereka adalah orang yang cergas, bekerja dan bertanggungjawab pada permulaannya.

Ada di kalangan mereka yang meninggalkan jamaah, ada yang tawaquf, ada yang keluar dan mengasaskan jamaah baru dan ada pula yang menggabung dengan jamaah lain dan ada yang bergabung dengan parti musuh.

Walaupun ada orang yang menganggap bahawa gejala keciciran ini sebagai satu penapisan  dan tidak memberi apa-apa kesan kepada jamaah dan ahli. Namun di sana ada juga berlakunya gejala keciciran ini mendatangkan kesan yang negatif kepada jamaah. Sungguh pun begitu ia melambatkan perjuangan dan mengganggu perancangan jamaah.

Selalunya gejala keguguran berlaku ialah orang yang berada di barisan hadapan (pemimpin) dan ada sedikit yang berlaku di peringkat ahli biasa.

Menurut al-Marhum Ustaz Fathi Yakan gejala keciciran banyak memberi akibat buruk kepada perjuangan Islam antaranya:

a. Menyebabkan tersebarnya fitnah serta meracuni gerakan yang boleh meruntuh dan merugikan Islam dan dakwah.

b. Terbuka rahsia-rahsia jamaah.

c. Melemahkan gerakan dan menarik musuh untuk menghancurkannya.

d. Menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap gerakan.
Jika ini berlaku segala rancangan dan perjalanan gerakan akan terhenti.

Di sana terdapat beberapa faktor berlakunya gejala keciciran antaranya kerana sebab jamaah dan sebab sikap anggota jamaah. Walaupun di sana banyak faktor-faktor penyumbang kepada gejala keciciran namun kelemahan sudut perlaksanaan tarbiah adalah merupakan faktor yang besar. Timbul persoalan, gejala keciciran ini berlaku di kalangan orang yang mengendalikan tarbiah.  Dekat mana yang tidak betul? Tarbiah lemahkah? Tarbiah tidak berkesankah? Jika orang biasa boleh dimaafkan. Masalahnya terjadi kepada mereka yang berada di hiraki parti yang tinggi.

Untuk menjawab kemusykilan ini, kita melihat bagaimana Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada seorang Badwi yang mengaku dirinya beriman: “Orang-orang Arab Badwi berkata ”kami telah beriman”. Katakanlah (kepada mereka), kamu belum beriman, tetapi katakanlah, “Kami telah tunduk (Islam), kerana iman belum masuk ke dalam hati mu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya. Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang)” (al-Hujurat; 49:12)

Mungkin tarbiah yang mereka bercakap hanya di lidah dan di halkum sahaja, ia tidak meresap ke dalam hati. Sebab itulah tarbiah tidak boleh hanya sedap di lidah tidak meresap di hati. Yang penting kesan tarbiah meresap di dalam jiwa dan sanubari sehingga merasakan Allah memerhatikan apa tindakan mereka dan takut kepada dosa dan neraka.

Nabi SAW mengingatkan kepada kita: “Jadilah diri kamu memelihara (beramal) dan jangan jadikan diri kamu hanya pandai meriwayat (bercakap) sahaja”.

Apabila jamaah meletakkan tarbiah di dalam ruang yang kecil dan tidak bermaya berbanding dengan pentadbiran dan politik maka ini satu perkara yang merbahaya. Akibatnya tindakan dan cara muamalat (perhubungan)  mereka jauh dari akhlak Islam. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan tegang. Ia amat berlainann dengan suasana kerohanian yang dibentuk sehingga membentuk jiwa dan riqabatullah (pengawasan Allah).

Jika penumpuan tarbiah tidak diberikan maka mereka yang bergelar pimpinan hanya memfokuskan mengenai politik berdasarkan kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Ia merasa puas hati dengan kedudukannya tanpa merasakan apa apa kekurangan diri, rohani dan tarbiah. Tanpa perlu kepada makanan iman di dalam hidupnya. Jika ia tidak mengambil langkah segera maka ia akan jatuh ke kancah keciciran dalam perjuangan.

Oleh itu, mahu tidak mahu anggota harakah samaada terdiri daripada saf pimpinan (qiadah) atau barisan pejuang (jundi) mestilah mengikuti tarbiah walaupun betapa  sibuk dalam apa jua keadaan sekalipun. Terutama ketika perjuangan kita menghadapi saat yang getir, tarbiah lebih perlu diberi perhatian, bukan sebaliknya. Sebab keperluan manusia kepada pemeliharaan Allah dan mengingati Allah lebih diperlukan dalam  suasana seperti itu.

Lojiknya mengatakan bahawa tarbiah tidak perlu untuk mereka yang berada di saf hadapan adalah tidak betul. Tarbiah bukan sahaja untuk ahli biasa. Kerana pimpinanlah orang yang paling banyak diuji, kadang-kadang yang membawa kebinasaan dan keciciran. Ia bertentangan dengan Islam dan falsafah pendidikannya. Falsafah yang menghendaki tarbiah berterusan sehingga mati. Dan fitrah perjuangan Islam pula sentiasa diujui oleh Allah terutama kepada mereka yang berada di saf hadapan. Kita mewajibkan pengawasan diri, sentiasa mengigati Allah untuk menyuburkan iman. Mohonlah kepada Allah supaya hati sentiasa berjaga-jaga dari su’ul munqalib  dan sentiasa memohon dari Allah supaya dimatikan di dalam kesudahan yang baik. Sebagaimana doa yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. “Ya Allah yang membalikkan hati, engkau tetapkan hati aku di atas agamamu”.

Kita sebagai anggota PAS tanpa kecuali, mestilah mengikuti tarbiah dari semasa ke semasa. Hubungan anggota  (individu) dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan Allah dan dengan Islam. Inilah sebagai penyelamatnya untuk mengatasi gejala keciciran dalam perjuangan

Menanti debat Anwar-Najib

Ahmad Lutfi Othman, 23 Feb 2012
Saya langsung tidak berminat dengan polemik siapa pemenang dalam debat di antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, jam 5 petang, 18 Februari, di Hotel Berjaya, Kuala Lumpur, yang disiarkan secara langsung oleh Astro.

Akhbar harian, termasuk The Star  (pedulikan paparan Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikontrol Umno), tidak dapat menyembunyikan keghairahannya untuk mempolitikkan event yang bersejarah itu bagi kepentingan pemiliknya, MCA. The Star turut mengada-adakan kenyataan yang tidak dilafazkan Lim.

Lim ternyata tidak mendapat liputan adil, termasuk oleh akhbar Cina terlaris, Sin Chew Daily, apabila Chua disifatkan lebih terserlah, walaupun hakikatnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu terperangkap dengan permainan Presiden MCA yang gemar melakukan serangan peribadi.

Bagi Lim, debat seharusnya merupakan satu pertandingan yang berlandaskan idea, cita-cita dan prinsip. Bagaimanapun, kepada saya, sikap penonton yang agak emosional, terutama ketika mengemukakan soalan kepada Lim dan Chua, adalah lumrah dan dipercayai akan menjadi lebih matang jika amalan perbahasan seumpama ini dapat dilazimkan dalam budaya politik Malaysia.

Sebenarnya perdebatan sejam, yang berjalan dalam bahasa Cina, tetapi dialih bahasa secara langsung ke bahasa Melayu oleh Astro Awani, bertajuk "Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua-parti menjadi sistem dua-bangsa?" itu sendiri sudah merupakan satu kejayaan dan perlu diteruskan.

Di kala kebebasan bersuara di televisyen dikuasai mutlak Umno-BN, tradisi debat wajar diperluaskan khususnya menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, bagi membuka ruang awam yang lebih kondusif agar rakyat dapat membuat penilaian dan pilihan dengan lebih tepat.

Apatah dalam situasi Pakatan Rakyat sentiasa dinafikan hak untuk akses kepada media; mereka hanya berpeluang menemui rakyat melalui saluran yang sememangnya sukar disekat oleh elit penguasa, iaitu media baru. (Saya teringat  tuntutan asas Bersih, iaitu akses media yang bebas dan adil, juga masa kempen minimum 21 hari).

Malang sekali apabila medium tradisi yang dimanfaatkan Pakatan, khususnya program ceramah, turut disekat, bukan sahaja oleh kesukaran mendapat permit polis dan kepayahan mencari lokasi sesuai, malah Umno kembali mempromosi budaya samseng, dengan tindakan ganas untuk menakutkan masyarakat Melayu.

Insiden terkini melibatkan majlis ceramah Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen Sembrong, Johor, yang diwakili Menteri Dalam Negeri, pada 19 Februari lalu. Kereta yang dinaiki Ketua Pembangkang itu diserang  kira-kira 200 "samseng berbayar" mengakibatkan remuk cermin depan dan kemek pintu belakang di sebelah kanan.

Penulis Sayuti Omar yang menyaksikan adegan itu melaporkan, selain aktiviti  ganas, "samseng upahan" Umno itu juga melemparkan maki-hamun dan kata-kata lucah terhadap Anwar dan penyokong Pakatan. Cukup memalukan. Di kawasan menteri yang menjaga polis, hal keselamatan diperjudikan.

Berbicara soal debat awam ini -- tanpa mempedulikan siapa yang dilihat kalah atau menang -- saya lebih tertarik dengan ungkapan awal  Lim dalam ucapannya, selepas menegaskan bahawa debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi di Malaysia: "Saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri.  Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri!"

Tentunya masih segar dalam ingatan kita debat terbuka mengenai kenaikan harga minyak pada 15 Julai 2008, di antara Anwar dan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek, yang juga disiarkan secara langsung.

Shabery wajar dipuji di atas keberaniannya,  meskipun ramai beranggapan beliau kalah dalam perdebatan itu. Namun, keterbukaan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi lebih patut disanjung, lebih-lebih memandangkan prestasi BN begitu buruk dalam PRU12, beberapa bulan sahaja sebelum itu. (Saya lebih mengingati Abdullah kerana membenarkan Harakah kembali diterbitkan dua kali seminggu selepas dipancung kekerapannya pada Mac tahun 2000).

Satu ketika dahulu, forum di universiti kerap menjadi medan perdebatan di antara tokoh-tokoh besar negara, menemukan pemimpin-pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, membincangkan isu-isu kritikal negara, misalnya Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Masyarakat luar kampus juga dibenarkan hadir dan Dewan Tun Canselor sesak dengan penonton.

Kini, menara gading mati. Kebebasan akademik sudah lama ditalkinkan. Ramai tokoh yang tidak disenangi pencacai Umno (yang menjadi pentadbir kampus) dilarang menghadiri program anjuran mahasiswa. Di pihak Umno, tidak ramai pemimpinnya yang bersedia bersemuka dengan pemimpin pembangkang. Kalaupun tidak menolak undangan, mereka lebih banyak menghantar wakil.

Dalam situasi sebegini, inisiatif Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan siri wacana, yang menemukan tokoh BN dan Pakatan, merupakan langkah proaktif melebarkan partisipasi rakyat dalam sistem demokrasi.

Wacana siri ke-9 baru-baru ini mengupas isu ketelusan proses pilihan raya, membariskan penalis Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan mantan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman.

Bagi saya, Nazri juga perlu diberikan penghormatan kerana jarang menghampakan jemputan penganjur dan bersedia berdebat dengan pemimpin Pakatan, walaupun hujahnya seringkali tersasar. Pedulikan itu, yang penting kesediaan untuk saling mengemukakan hujah secara berdepan.

Bagaimanapun, perhatian kini lebih tertumpu sama ada Najib bersedia untuk menyambut cabaran  debat yang paling ditunggu-tunggu itu. Sesungguhnya, lambat atau cepat, proses pendemokrasian yang lebih matang bakal mencorakkan landskap politik tanahair, dan di antara elemen pentingnya ialah  perbincangan terbuka isu-isu dan dasar-dasar negara.

Mengulas gesaan Lim agar PM berdebat dengan Ketua Pembangkang, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dilaporkan berkata: "Najib perlu bersedia untuk berdebat secara terbuka, bukannya berceramah ke seluruh negara tanpa berhadapan dengan Anwar. Jangan hantar wakil. Rakyat mahukan debat antara Najib dan Anwar, bukannya wakil mereka seperti sebelum ini apabila Ahmad Shabery Cheek dihantar untuk berdebat dengan Anwar.”

Ketua Penerangan KeADILan, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran. "Ia mempamerkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno-BN wajib menjelaskannya," tambahnya.

Sekiranya Najib masih merujuk restu mentornya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tentulah debat yang diimpikan itu tidak menjadi. Dr Mahathirlah yang meminda Auku pada 1975 sehingga mahasiswa dibonsaikan menjadi pelajar sekolah menengah. Dia juga yang mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, selain Akta Polis, pada 1988, yang membataskan kebebasan bersuara dengan teruk sekali.

Semasa mengulas cadangan debat Najib-Anwar, Dr Mahathir berkata, "Tidak ada apa untuk berdebat dengan Anwar." Tambahnya, "debat boleh, seronok orang tengok tapi kesan tak ada."

Sementara itu, saya cukup tertarik dengan tanggapan Chua terhadap PAS dan DAP dalam debat Sabtu lalu. Beliau menyifatkan PAS sebagai parti paling beruntung sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, bukannya DAP mahupun KeADILan.

Sebelum ini, banyak kali juga Presiden MCA itu memuji PAS dari segi keadilan dan organisasinya yang lebih mantap. Motifnya tidak sukar ditelah. Chua hanya mahu menakutkan masyarakat Tionghua, menggertak pengundi Cina agar menjauhi Parti Islam. Agaknya Chua masih dalam mimpi apabila beranggapan orang Cina mudah diperdaya sedangkan mereka kian dekat dan rapat dengan PAS.

Ya... MCA mendakwa DAP menjadi perkakas PAS, sebaliknya pemimpin Umno pula menohmahkan PAS adalah kuda tunggangan DAP. Nampak sangat Umno dan MCA masih bermain dengan politik kuno yang sudah usang dan lapuk ditelan zaman.

Lebih menarik apabila pemimpin Umno "mengeluh" bahawa PAS sudah lari daripada perjuangan Islam, sambil mengatakan Parti Islam itu sudah tidak seperti dahulu lagi.

Tahu apa yang dikatakan Chua kepada DAP semasa debat terbuka itu? Chua mendakwa, DAP sekarang sudah tidak sama dengan DAP yang lalu!


Walhal, daripada "dahulu, kini dan selamanya", Umno dan MCA konsisten melemparkan tohmahan tidak berasas dan fitnah kepada PAS dan DAP

Israel: Anwar, PAS setuju tak bersetuju

Subky Latif, 23 Feb 2012
KEDUA-dua PAS dan Anwar Ibrahim saling perlu memerlukan antara satu sama lain terutama dalam rangka melakukan perubahan politik dan mewujudkan sebuah negara dan masyarakat adil  di Malaysia. Kedua-duanya sedang berada sedang berada di peringkat yang begitu hampir bagi menyelamatkan Malaysia dari hancur dan muflis.
Tiba-tiba mereka berdepan dengan satu cabaran iaitu kewujudan Israel.
PAS  memperaku lagi sikap menolak kewujudan entiti haram Israel dalam apa keadaan sekali pun ditakdirkan seluruh umat Palestin menerima kewujudan Israel itu.
Manakala Anwar pula dalam interbiu dengan Wall Street Journal mengambil sikap terbuka untuk mengakui kewujudan negara Yahudi itu dengan syarat regim itu memenuhi dulu semua tuntutan masyarakat antarabangsa.
Iaitu menerima kewujudan negara Palestin, menjamin kemerdekaan dan kedaulatannya serta mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.
PAS tidak menyatakan persetujuannya atas kenyataan Anwar itu dan Anwar pula yang menghormati sikap tegas PAS, tidak bercadang untuk menarik balik kenyataannya itu dan dia juga tidak bercadang untuk minta PAS mengubah sikapnya.
Walau pun PAS tegas tidak setuju dengan kenyataan Anwar itu dan Anwar pula tidak setuju mengubah kenyataannya, tetapi kedua-duanya masih bersetuju untuk terus maju bersama dalam Pakatan Rakyat.
PAS tidak bercadang untuk membuang Anwar dari kedudukannya dalam Pakaatan Rakyat dan PAS tidak bercadang untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sekali pun Anwar masih menjadi orang terpenting dalam Pakatan Rakyat.
Dengan sikap PAS itu Anwar juga tidak bercadang menyingkirkan PAS dari kumpulan yang  dipimpinnya dan dia tidak bercadang untuk meninggalkan muafakat itu semata-mata kerana PAS tidak tertarik dengan kenyataannya.
Itulah yang dinamakan kedua-duanya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan isu yang berbangkit itu.
Dan DAP jangan bimbang perbedaan antara PAS dan Awar itu. Ia tidak menyebabkan Pakatan Rakyat boleh berpecah dan ia tidak pula mengubah cita-cita bersama untuk mara ke Putrajaya.
Dan UMNO dan Barisan Nasional seronok sangat dengan percanggahan pandangan antara PAS dan Anwar atas perkara itu. Pakatan tidak akan pecah kerana perbezaan itu.
Betul isu itu besar tetapi PAS dan Anwar ada banyak perkara yang lebih besar yang mereka sepakat. Apabila yang disepakati lebih banyak dan lebih besar, maka yang mereka tidak setujui jadi kecil.
Bagi rakyat Malaysia pada masa ini  menumbangkan Barisan Nasional dan mengganti Najib sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting dan utama dari isu Israel. Apa yang berlaku di Palestin dalam jangka waktu yang dekat ini tidak banyak membawa perubahan.
Israel tidak mungkin dapat melenyapkan Gaza dan Tebing Barat dari tangan Palestin dalam masa sepuluh tahun  akan datang dan Israel pun tidak mungkin boleh ditiadakan dalam masa itu.
Tetapi Malaysia boleh jadi menerima nasib seperti Greece dalam masa yang dekat kiranya Malaysia terus dipimpin Najib dan UMNO. Idris Jala mmberi  amaran Malaysia akan muflis tahun 2019 jika sabsidi tidak dihapuskan. Kerajaan tidak pula mengurangkan pembaziran dan tidak juga menghentikan sikap boros setelah adanya amaran Idris Jala itu.
Tiada yang dapat menyekat  Malaysia dari hancur dan muflis melainkan Najib dan UMNO dibuang dari Putrajaya. Selepas Putrajaya ditawan, maka baru kita bincang semula isu Israel.
Anwar tahu PAS tidak suka dan  tidak setuju dengan kenyataannya. Tetapi dipercayai perlu berdiplomasi kepada dunia yang kebanyakan tidak menolak Israel.
Malaysia tidak memerlukan Israil sekarang. Tetapi yang memerlukan Malaysia ialah Israel. Sebabnya Malaysia antara negara Islam yang berperanan di peringkat antarabangsa. Peranan itu lebih ketara jika Pakatan yang berkuasa dan Anwar pula berperanan. Maka Israel yang mahukan Malaysia.
Kalau Israel merasakan Malaysia penting, kalau ia mahukan sesuatu dari Malaysia, maka ia kena buat apa yang Malaysia mahu. Israel mesti buat apa yang Anwar anjurkan. Terima Palestin yang bebas dan berdaulat. Akui hak Palestin dan Islam atas Baitul Maqdis.
Jika ia dipenuhi baru Malaysia  dan Anwar akan  timbangkan kehendak Israel itu. Tetapi Anwar juga tahu, yang  dikatakan Israel itu mustahil ia mendengar syarat Anwar. Bila syarat Anwar itu ditolak, tidak berbangkit jaminan Malaysia atas keselamatan Israel.
Saya nampak Anwar menjanjikan suatu yang Israel tidak akan setuju.

Majoriti pengundi sudah buat keputusan?

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 23 Feb 2012
Adakah majoriti pengundi sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka sokong dalam PRU Ke-13 nanti?

Atau masih ramai lagi pengundi belum membuat sebarang pilihan, malah akan menentukan pada saat akhir. Iaitu bergantung kepada siapa calon yang akan bertanding di sesuatu kawasan, sementara demografi pengundi di kawasan itu pula turut mempengaruhi pengundian.

Di kawasan bandar dan semi bandar, di mana pengundinya bercampur-camppur berbeza dengan kedudukan di luar bandar di mana pengundi majoritinya hanya satu kaum.

Dengan itu sudah dapat dikesan trend pengundian dalam PRU Ke-13 baik di kawasan bandar, semi bandar, mahpun di luar bandar. Bagi kawasan luar bandar, menurut pemerhati politik, majoriti pengundinya dikatakan siang-siang lagi sudah membuat ketentuan parti mana yang akan mereka pilih.

Namun wujud sebanyak sedikit perubahan minda di kalangan pengundi ini, iaitu faktor calon. Siapa calon yang akan mewakili parti yang bertanding. Walaupun mereka, umpamanya selama ini menyokong Umno/BN berdasarkan mereka dari kawasan luar bandar, tetapi sudah ramai pengundi di sesuatu kawasan itu ingin tahu lebih dulu siapa calon parti itu.

Kiranya calon itu dianggap tidak sesuai dan mempunyai banyak kelemahan atau orang luar yang tidak dikenali dan seumpamanya, maka tidak mustahil pengundi itu – walaupun di kawasan tradisi Umno/BN – akan memilih calon yang berwibawa, atau calon ‘ada mutu’ tidak kira dari parti lain.

Oleh itu sudah tidak relevan lagi untuk membuat perhitungan bahawa kawasan luar bandar akan lebih banyak pengundinya menyokong Umno/BN walau dalam apa keadaanpun. Ini, terutamanya faktor calon yang akan dikemukakan dan ini sebanyak sedikit akan merobah scenario politik di luar bandar.

Dengan demikian tidak mustahil calon terbaik dari Pakatan Rakyat, umpamanya dari PAS, akan memenangi undi di kawasan luar bandar. Analogi bahawa ‘ini kawasan kubu kuat Umno/BN’, umpananya sudah tidak relevan lagi. Di mana-mana kawasanpun pertarungan sengit akan berlaku dalam PRU Ke-13 nanti.

Adapun pemberian RM500 oleh kerajaan dan pemberian RM200 untuk pelajar membeli buku, sebenarnya tidaklah mempunyai kesan besar kepada pengundi, terutama di luar bandar, walaupun diakui sebanyak sedikit mempunyai kesan. Oleh itu bagi pendukung Pakatan Rakyat janganlah khuatir sangat mengenai pemberian kerajaan menjelang pilihan raya ini.

Ini adalah tinjauan singkat yang dilakukan oleh pemerhati politik, malah oleh pakar strategis dari parti politik itu sendiri dan kini ramai orang bercakap bahawa peluang menang dalam PRU Ke-13 banyak bergantung banyak kepada faktor Winnable Candidate, atau calon boleh menang.

Sebab itu faktor Winnable Candidate menjadi perhitungan yang amat penting diambil kira oleh parti politik yang bertanding.

Berdasarkan faktor ‘calon boleh menang’ ini menyebabkan ramai juga pengundi belum lagi membuat ketentuan, sehinggalah disaat akhir mereka melihat siapa calon di tempat mereka, yang akan menentukan sama ada mereka menolak atau menerimanya.

Sebab itu, saya yakin Pakatan Rakyat akan mampu memilih calon-calon terbaik untuk diketengahkan dalam PRU Ke-13 nanti. Kes-kes calon melompat selepas menang, tentunya menjadi sejarah hitam bagi parti dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu diharapkan tidak akan berulang lagi kes seperti itu selepas menang dalam PRU Ke-13 nanti.

Bagi pengundi bandar dan semi bandar, mereka lebih banyak memerhatikan isu-isu yang berbangkit, umpamanya isu rasuah, penyelewengan dana rakyat, salah guna kuasa, ketidakadilan, pelanggaran hak-hak asasi rakyat, harga barang naik, gambaran hidup bermewah-mewah pemimpin negara.

Sebab itu ada yang menangguhkan buat sementara dalam membuat keputusan untuk mengundi parti mana dalam pilihan raya akan datang dan tentunya ingin melihat dulu siapa calon yang ditawarkan di kawasannya – sama ada untuk Dun atau Parlimen.

Kini parti-parti politik baik Pakatan Rakyat mahupun Umno/BN sedang giat mengatur pembahagian kerusi di antara komponan mereka. Dan mereka juga sedang menyiapkan senarai calon parti mereka. Ini bukan kerja yang mudah, kerana ia sungguh rumit dan penuh sensitif, kerana itu akan memakan masa yang lama untuk membuat keputusan.

Sementara itu bagaimana dengan calon-calon bebas yang dijangka akan bermunculan dalam PRU Ke-13 yang diduga akan ramai untuk ‘mencuba nasib dan pengaruh’. Ini juga menarik diperhatikan, justru ia turut memeriahkan pesta demokrasi di Malaysia itu.

Akhir-akhir ini ada pula keghairana kumpulan tertentu atau NGO tertentu yang mendakwa akan menjadi ‘the third force’ atau ‘kuasa ke-3’ yang akan memberikan kesan ke mana arah keputusan pengundian PRU Ke-13 nanti.

Sementara kita menunggu perkembangan selanjutnya, wajar kita memerhatikan sungguh-sungguh isyarat dan bayangan trend pengundian akan datang. Iaitu bagaimana sikap pengundi terhadap masalah perkauman yang sedang membara, isu-isu rasuah, penyelewengan, kebebasan, demokrasi, pemborosan, kehidupan bermewah-mewah pemimpin negara, pembaziran yang berleluasan dan pelbagai lagi.

Sikap pengundi mengenai isu-isu ini sangat wajar diperhatikan, justru merekalah yang akan menerima kesannya selepas pilihan raya nanti.

Nasihat PAS untuk Mufti Perak


23 Feb 2012
PAS menegur cara Sohibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengutip dan mengulas sesuatu berita. Sebagai seorang mufti, beliau tidak sepatutnya mengambil berita di tepi jalan yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.

Sebagai seorang mufti beliau sepatutnya berpegang dengan Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan".

Banyak peristiwa dan kenyataan yang beliau ulas tidak mempunyai sandaran yang kukuh, dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja. Ini termasuklah dakwaan beliau bahawa lebih 200,000 umat Islam telah murtad, dakwaan bahawa Pulau Pinang tidak benarkan perarakan Maulid Nabi dan sebagainya.

Terbaru beliau cuba mengulas isu bai'ah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar.

Ulasan beliau yang berbolak-balik adalah perkara biasa bagi yang mengikuti secara dekat kenyataan beliau.

Sebagai contoh, isu kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves - pada awalnya beliau menyerang PM dengan tuduhan syirik, rosak aqidah dan tidak mahu mendengar nasihat tiba-tiba bertukar kepada harus, dibolehkan dan tidak bercanggah.

Inilah yang menyebabkan ramai umat Islam berpendapat mufti seperti beliau, bukannya dirujuk oleh pemerintah sebelum sesuatu tindakan dibuat, sebaliknya dipergunakan untuk mencari dalil dan nas untuk menyokong sesuatu tindakan yang telah dibuat walaupun ia bercanggah dengan nilai Islam.

Demikian juga isu perjuangan bangsa dan raja-raja yang diulas bukan dari perspektif Islam. Kecintaan bangsa dan ketaatan kepada makhluk mempunyai batas sempadan yang sangat jelas. Tindakan beliau, dan disebabkan beliau adalah mufti negeri telah mengundang pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat umum. Keadaan ini jika berterusan akan menghilangkan thiqah masyarakat terhadap beliau dan dengan kedudukan beliau sebagai mufti, dan hal ini adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dan malang bagi beliau.

Demikian juga isu bai'ah dalam PAS. Bai'ah mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam. Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal ba’iah. Samada sewaktu Perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

Mereka yang telah memenangi kerusi samada DUN atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat. Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak? Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?

Kerana itu PAS membuat bai'ah kepada semua calon, sekiranya mereka menang atas tiket parti mereka dilarang lompat parti, keluar parti bahkan sekiranya dipecat dari parti mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kerana dalam bai'ah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak.

Sepatutnya Harussani membaca meneliti dan melihat secara dekat matan bai'ah yang dibuat di dalam PAS, bukan dengan mendengar cakap-cakap mereka yang di luar atau dikeluarkan PAS.

Beliau harus ingat bai'ah dalam PAS disediakan oleh Majlis Syura yang terdiri dari para alim ulamak, bukan oleh DHPP atau dikutip di tepi jalan.

Soal akhirat memang ketentuan Allah, tetapi apa yang dijelaskan dalam bai'ah iakah sekiranya seseorang calon yang menang berba’iah dengan nama Allah lalu melanggari bai'ah tersebut, apakah salah kalau diingatkan mereka tentang azab Allah di akhirat?

Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS.

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
23 Februari 2012

Syria di persimpangan jalan


23 Feb 2012
Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat,  kerana pemerintahan bersifat  diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh  kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.


Syria mempunyai kedudukkan yang agak berbeza dengan negara arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan. Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. Diambil kira juga parti  Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis  fanatik yang keras terhadap Israel. Menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh  yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar  khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Kumpulan  Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka juga  diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi  ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan. Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel. Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel.

Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran,  walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya. Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata  diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang  rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya  kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat. Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel  dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka  dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel  melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya. Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain. Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel. Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang  berada  di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing  sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya  Arab dibantu untuk menentang  Turki Otmaniyyah.  Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing  mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut. Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing  yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam  dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang  ramai penganutnya di Iran, Iraq dan  Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman. Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah.  Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan  Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan  perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan  semula. Dihidupkan semula  galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan. Masalah khilafiyyah  di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah  di kalangan Ahli Sunnah. Masalah cabang  ajaran agama yang berbeza dikalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam  yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi  di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq. Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini  di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan  menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar. Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan. Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang.

Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam. Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat  siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya  sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya  selama beberapa abad.  Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan. Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak.

Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam. Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. malah para ulama besarnya memaklumkan  bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan: