Ahad, 19 Februari 2012

ALLAH PUNYAI KUASA MUTLAK@VETO..SAPE2 TAK BOLEH GUGAT...SESUAI DENGAN SIFAT2 YANG MAHA AGONG..ALLAH BERI TAUFIK HIDAYAH KEPADA SAPE IA SUKA...DAN BERKUASA UNTUK MEMUSNAHKAN...DLL

Geran Selangorku RM300 juta mula dibelanja Mac

Harakahdaily, 19 Feb 2012
SHAH ALAM, 19 Feb: Geran Selangorku yang berjumlah RM300juta akan dilaksanakan dengan penekanan nilai kepada wang (value for money) pendekatan rakyat terbanyak dan kecekapan.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, geran tersebut yang diselenggarakan oleh Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) akan mula dibelanjakan pada bulan Mac dengan proses yang telus dan bertanggungjawab.

"Geran ini akan dirasai oleh rakyat sepenuhnya dalam tempoh tujuh bulan dan kerajaan negeri komited untuk memberi penambaikan kepada rakyat kerana geran ini adalah tambahan kepada bajet negeri sebanyak RM1.6 billion," katanya yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan retreat Exco selama tiga hari di Melaka yang berakhir hari ini bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan dan pemantauan Geran Selangorku.

Ketika retreat tersebut, Menteri Besar diberi taklimat oleh Bendahari Negeri yang memaklumkan bahawa simpanan Kerajaan Negeri Selangor telah meningkat sebanyak 25 peratus.

"Dari segi angka dan data menunjukkan prestasi kewangan adalah melebihi tahap biasa. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri dan bukan sahaja mengawal perbelanjaan dengan baik tetapi juga menjaga sumber negeri," katanya.

Sesat: PAS gesa siasat Ahmad di bawah takzir

Khairul Azlam Mohamad, 19 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 19 Feb: PAS Terengganu membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengenai dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menuduh PAS sebuah ‘parti ajaran sesat’.
Laporan tersebut diserah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik kepada Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh di pejabatnya di Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Mengikut laporan yang diserahkan kepada JHEAT itu, Ahmad boleh disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) dan Seksyen 51.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) tersebut menjelaskan, mana-mana orang yang mengatakan atau menomohkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan isyarat atau gambaran tampak atau dengan apa-apa perbuatan aktiviti atau perlakuan atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang menganut agama Islam.

“Pertama, adalah kafir. Kedua, tidak lagi menganut agama Islam. Ketiga, tidak sepatutnya diterima atau tidak boleh diterima sebagai menganut agama Islam atau Keempatnya, tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam.

“Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” jelas Abu Bakar pada sidang medianya selepas menyerahkan laporan tersebut .

Katanya lagi, menurut Seksyen 51 Enakmen yang sama pula mana-mana orang yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebarkan kata-kata yang bertentangan dengan Hukum Syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat mendakwa Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan dengan niat jahat dan sengaja.

Justeru, katanya kenyataan tersebut telah menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, kenyataan tersebut boleh difahami secara tersurat dan tersirat bahawa pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah golongan yang terlibat dengan ajaran sesat.
Justeru, beliau memohon supaya JHEAT menyiasat kenyataan itu di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Isu hudud sudah tidak laku bagi kaum Cina

Aziz Muda, 19 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 19 Feb: Isu hukum hudud diakui sebagai isu yang sudah tidak laku lagi bagi masyarakat Cina jika digunakan oleh Umno, MCA dan BN dalam kempen mereka bagi menghadapi sebarang pilihan raya di negara ini.

Sebaliknya, semakin meluas isu itu dimainkan, semakin meningkat pula sokongan masyarakat Cina kepada PAS dan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan BN akan mengalami kekalahan teruk.

Pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi tanah air, Ong Kian Ming berkata, realiti itu terbukti pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun 2008 lalu, apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memainkan isu tersebut dalam kempennya di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Dun Pasir Panjang, Perak yang ditandingi Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagi pihak PAS.

Menurutnya, disebabkan isu tersebut, pengundi-pengundi Cina di kawasan itu bukannya memberikan undi kepada BN, tetapi semakin menyokong PAS sehingga menyebabkan Nizar mencapai kemenangan besar.

Katanya, perkara itu perlu dijadikan pengajaran oleh MCA dan BN agar tidak terperangkap dengan kesilapan mereka sendiri dalam memilih isu dalam kempen mereka dalam pilihanraya termasuk untuk menghadapi PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Isu hudud sudah tak patut ditimbulkan lagi oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Isu hudud sebenarnya dah tak laku bagi orang Cina sekarang," katanya ketika menjadi ahli panel bagi mengulas debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disiarkan secara langsung di Astro Awani semalam.

Pada program debat selama dua jam yang bermula jam 4.30 petang itu, seorang peserta turut membangkitlkan mengenai isu hukum hudud untuk dijawab oleh Lim, dengan mengkritik keras DAP kerana menjalinkan kerjasama dengan PAS yang ingin melaksanakan hukum itu jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia pada PRU Ke-13 akan datang.

Bagaimanapun, persoalan itu tidak dijawab dengan panjang lebar oleh Lim disebabkan kesuntukan masa, sehingga Soi Lek juga turut menyuarakan kekesalannya terhadap Lim kerana tidak memberikan respon yang baik terhadap soalan itu ketika tiba giliran beliau berhujah sejurus selepas itu.

Ketika program ulasan mengenai debat itu berlangsung yang diadakan sejurus selepas tamatnya debat yang julung-julung kali diadakan itu, Kian Ming berkata, sikap Soi Lek yang turut membangkitkan isu hudud pada program tersebut ternyata usaha yang sia-sia.

"Apabila Soi Lek bangkitkan isu hudud, ia tak menguntungkan MCA atau BN lagi. Malah tak guna. Rakyat perlukan isu-isu penting, bukannnya isu yang sudah tak laku lagi seperti itu," katanya.

Beliau dan dua orang lagi panel bagi mengulas debat tersebut, Markus Lim dan Wan Firdaus, yang juga disiarkan secara langsung menerusi saluran tersebut turut menyarankan agar program debat seperti itu diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia memberikan kesan cukup baik kepada rakyat.

Menurut Markus Lim, pemimpin-pemimpin kerajaan tidak seharusnya takut untuk berdepan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang menerusi debat jika masing-masing jujur untuk berbakti kepada rakyat.

Manakala Wan Firdaus pula menyarankan agar program debat seperti itu diadakan dengan melibatkan audien dari kaum yang berbeza dengan pemimpin terbabit jika mahu program tersebut menjadi lebih menarik dan memberikan kesan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kalau pemimpin yang terbabit itu sama ada dari pembangkang dan kerajaan adalah dari kaum Cina, audiennya mestilah dari kaum Melayu. Kalau pemimpin Melayu, audiennya dari kaum Cina. Jika pemimpin itu dari kaum Indian,
audiennya mestilah dari kaum Melayu," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat bagi kaum Cina, Vincent Lee dalam satu temubual dengan Harakahdaily baru-baru ini turut mengakui isu hukum hudud sudah semakin difahami oleh masyarakat Cina di negara ini.

Malah, katanya, sokongan kaum Cina terhadap PAS atas kesedaran mereka sendiri dengan posisi PAS dalam politik tanah air selaku satu-satunya parti yang berasaskan agama di negara ini.

"Semua agama menekankan kepada sikap bertanggungjawab, keadilan dan ketelusan. Selaku parti yang berasaskan agama, PAS juga pasti menekankan kepada ketelusan dan keadilan kepada semua kaum.

"Kaum Cina di negara ini yakin PAS pasti akan memberikan ketelusan dan keadilan kepada semua kaum termasuk kepada kaum Cina jika diberikan peluang memerintah negara ini bersama Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 ini, malah diyakini jauh lebih baik berbanding Umno atau BN," ujar beliau.

Penyokong Umno yang sertai PPP, bukan PAS

Aslani M, 19 Feb 2012

PASIR PUTEH, 19 Feb: PAS kawasan ini menyangkal dakwaan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff kononnya 76 ahli dan penyokong PAS menyertai parti itu.

Sebaliknya Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Shakur Sharrie (gambar) berkata, hanya seorang bekas penghulu dan seorang wanita yang dikenal pasti menyertai PPP di majlis berkenaan.

“Yang lain-lain hanya ahli-ahli dan penyokong Umno dikatakan menyerah borang menyertai PPP pada satu program Maulidur Rasul yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Panggung, baru-baru ini.

“Bekas penghulu terbabit sudah lama tidak aktif dalam PAS. Manakala seorang lagi iaitu wanita dilantik sebagai guru al Quran yang mendapat elaun daripada kerajaan negeri,” katanya di sini.

Jumaat lalu media mendakwa 76 ahli dan penyokong tegar PAS Kampung Wakaf menyerah borang keahlian PPP pada majlis Maulidur Rasul anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Manakala semalam Nik Sapiea pula mendakwa seorang guru Halaqat diberi amaran dilucutkan jawatan dan elaun selepas menyertai PPP.

Shakur berkata, dakwaan pemimpin terbabit tidak berasas sama sekali dan kenyataan tersebut adalah fitnah bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri dan PAS.

Oleh itu katanya, PAS kawasan akan membuat laporan polis terhadap Nik Sapeia dan media yang menyiarkan dakwaan berunsur fitnah tersebut petang ini.

Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, Umno dan PPP memperalatkan PIBG bagi menghimpun penduduk kampung hadir ke program politik anjuran mereka.

“Tidak munasabah program anjuran PIBG diadakan pula program penyerahan borang menyertai PPP. Salah guna PIBG bagi kepentingan politik murahan.

“Lagi pun setakat ini tidak ada ahli PAS yang terpengaruh dengan agenda mereka kecuali seorang dua yang sudah lama bermasalah.

“Sebelum ini disiarkan kononnya lebih 3,000 bekas ahli dan penyokong PAS menyertai Umno. Kalau benar dakwaan itu sudah tidak ada orang PAS di bandar Pasir Puteh sekarang,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, pemimpin Umno Pasir Puteh benar-benar terdesak sehingga memperalatkan guru-guru hadir pada pelancaran gelombang merah tahun lepas.

Penyertaan bekas pegawai k'jaan perkuat PAS Melaka

Ahmad Danial, 19 Feb 2012

MELAKA, 19 Feb: Bekas Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Sahak Sudin (kiri) dan bekas Timbalan Pengarah Hospital Besar Melaka, Dr Khalid Kassim menyertai PAS.


Mereka menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada program ceramah perdana sempena Konvoi Jelajah Lajnah Penerangan PAS Pusat ke Melaka di Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Telok Mas, malam tadi.

Khalid telah berkhidmat di Hospital Besar sejak puluhan tahun lalu dan menamatkan perkhidmatan sepenuh masa dengan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

Sementara Sahak  pernah berkhidmat di beberapa buah negeri dan jawatan tertinggi beliau ialah Pengarah Kastam Pulau Pinang.

Mereka berasal dari Melaka dan telah menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan sepenuh tenaga kepada perjuangan menegakkan Islam dan keadilan di Melaka.

Kemasukan mereka yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam memberikan suntikan baru kepada PAS Melaka dalam mengharungi perjuangan membebaskan rakyat Melaka dari cengkaman pemerintahan Kerajaan BN negeri selama lebih dari 54 tahun.

Beberapa ahli PAS yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana perjuangan PAS khususnya di Melaka semakin diterima rakyat tidak kira dari golongan mana sekalipun.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Sheikh Abdul Aziz berharap lebih ramai bekas-bekas pegawai kerajaan untuk tampil ke hadapan menyertai PAS kerana pengalaman mereka sudah tentu dapat menyumbangkan sesuatu kepada perjuangan menegakkan keadilan di Melaka.

"Kita tahu ramai bekas pegawai kerajaan yang menyokong dan simpati kepada perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, mereka mesti menzahirkan kefahaman dan pendirian politik mereka supaya rakyat terbanyak turut sama menyertai PAS dan Pakatan bagi menubuhkan sebuah kerajaan baru yang lebih adil dan telus di Melaka," ujar Asri yang juga merupakan Penyelia Dun Lendu.

Sabah lebih maju bersama Pakatan Rakyat

Mohd Firdaus, 19 Feb 2012
KOTA KINABALU, 19 Feb: Rakyat Sabah akan menikmati peluang kemudahan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, ini kerana negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan aliran gerakan ekonomi dan pembangunan yang jauh lebih baik berbanding prestasi Barisan Nasional (BN) pada sebelumnya.

“Ini bukan dongengan, bukan juga rekaan cerita semata. Rakyat diberi pilihan untuk menilai mana yang baik dan mana yang tidak baik.

“Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita boleh memimpin dengan baik di sebuah negeri maju seperti Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kekayaan hasil bumi Sabah seharusnya dinikmati semua pihak termasuk rakyat, pengurusan perlu dijalankan secara adil dan berhemah.

“Sabah yang kaya ini, perlu selaras dengan kekayaan yang dimiliki rakyat. Tidak ada gunanya, jika sebuah negeri hanya kaya tapi rakyatnya hidup susah... nak makan susah, nak minum, cari air pun susah... apatah lagi untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Ini bukan isunya kerajaan terlepas pandang, tapi ke mana hasil kekayaan bumi Sabah ini?” soal Lahirul.

Tambahnya, beliau turut mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman agar tidak terus menyembunyikan fakta dan kedudukan sebenar tahap kemiskinan rakyat di negeri ini.

Hal ini bagi menjamin, satu kualiti kehidupan yang jauh lebih baik dari setahun ke setahun.

“Kita (PAS) desak, Musa Aman agar tidak terus menyembunyikan masalah sebenar kepada rakyat. Tidak usah untuk membohongi rakyat lagi... cukuplah dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri sendiri yang nyata telah mengguris hati rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan: