Rabu, 29 Februari 2012

CITER PENYELEWENGAN2...KIAN TERBONGKAR SATU PERSATU...KEZALIMAN DAN PENINDASAN KIAN TERANG..PENIPUAN KIAN MENINGKAT...RASUAH MENJADI2...SALAH GUNA KUASA MENJADI2...PERJUANGAN KEPENTINGAN DIRI MENJADI2...NI SEMUA AKIBAT LUPA AKAN HARI KEMATIAN MASING2....

Peserta kesal Felcra halang masuki tanah

Muhammad Faeez, 28 Feb 2012
IPOH, 28 Feb: Peserta Felcra hari ini, berasa kesal dengan tindakan agensi kerajaan itu kerana mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang peserta Felcra memasuki tanah mereka.
Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria berkata, tindakan Felcra itu sangat tidak bertanggungjawab dan dilihat sebagai sebuah agensi yang menekan dan mengugut.

Katanya, secara keseluruhannya tanah rakyat yang diusahakan oleh Felcra memberi pulangan yang tidak setimpal dengan keluasan tanah jika dengan hasil yang diperolehi apabila diusahakan secara sendiri atau agensi tanah yang lain.

“Peneroka berasa tertipu dan menjadi tanda tanya sehingga sekarang berapa lama perjanjian tanah mereka dengan Felcra.

“Oleh yang demikian, peneroka  masih terikat dengan perjanjian Felcra dan tidak tahu sampai bila perkara ini akan berterusan,” katanya ketika ditemui Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, peneroka menerima hasil yang tidak berpatutan dengan harga kelapa sawit sekarang dan masalah paling berat bagi mereka ialah terpaksa menanggung hutang berganda apabila jumlah hutang tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci.

“Pada permulaan sistem (45/55), peserta diberi 55% dan Felcra 45% walaubagaimanapun perkara ini terjadi sekarang ialah 55% Felcra dan 45% peserta,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun sudah mempunyai geran masing-masing, peneroka masih tertanya-tanya dimanakah lokasi tanah mereka yang sebenar dan ini menjadi masalah yang besar kepada peserta kerana mereka tidak tidak tahu di manakah lot tanah mereka.

Sementara itu, seorang peserta Felcra, Md Yusof Mohamad berkata, peserta telah cuba beberapa kali membuat perundingan dengan pihak Felcra namun tidak mendapat jawapan yang positif.

“Kami telah menghantar memorandum kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felcra, Datuk Hassan Malik pada 29 Mei 20011 dan beliau berjanji akan menyelesaikan masalah ini namun janjinya hanya ‘omong kosong’ menyebabkan peserta Felcra bertindak mengambil dan mengeluarkan buah sawit secara sendiri dari ladang mereka,” jelasnya.

Menurutnya, disebabkan tindakan tersebut, Felcra telah mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang tindakan peserta mengusaha secara sendiri.

“Ini merupakan sejarah di mana syarikat kerajaan (GLC) mengambil tindakan undang-undang ke atas rakyat dan ini menunjukkan Felcra bukannya mahu membantu rakyat sebaliknya hanya hanya mengaut keuntungan,” katanya.

Kira-kira 20 peneroka Felcra Nasarudin, Bota telah mendapat perintah mahkamah untuk pendengaran injunksi interim bagi menghalang tuan punya tanah iaitu peserta Felcra untuk memasuki tanah mereka.

Peguam, Mohammed Zambri Ibrahim mewakili peserta Felcra dalam sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Ipoh, pagi tadi.

Peguam defendan, Wan Rohimi menangguhkan kes bagi membolehkan pihak defendan memfailkan afidavit untuk memberikan jawapan terhadap permohonan Felcra itu.

PKR dakwa NFC beli pasaraya mewah di S'pura

Muhammad Faizal, 28 Feb 2012
PETALING JAYA, 28 Feb: PKR hari ini mendedahkan pengurusan National Feedlot Corporation (NFC) juga terlibat dalam perniagaan pasaraya mewah di negara di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika mendedahkan perkara itu berkata perniagaan pasar raya itu dikendalikan melalui sebuah syarikat bernama Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki bersama oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"PKR berjaya menjejaki syarikat ini melalui carian penglibatan perniagaan anak kepada Shahrizat iaitu Wan Izzana Fatimah Zabedah yang menyenaraikan kesemua syarikat yang dimiliki beliau.

"Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan united Overseas Bank Limited, melalui kaedah yang sama digunapakai untuk pembiayai pembelian dua kondominium," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini beliau pernah mendedahkan NFC turut memiliki tiga buah restoran mewah di Singapura dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam tiga kondominium mewah di negara itu.

Menurut Rafizi lagi, syarikat perniagaan itu aktif dalam mengambil pekerja melalui pengiklanan dan dipercayai sebagai persediaan pasaraya itu yang akan dibuka tahun ini.

Katanya lagi, siasatan PKR juga mendapati Farmhouse Supermarkets itu telah pun menjadi 'anchor tenant' kepada sebuah pasaraya mewah yang bernama 'Star Vista'.

"Kita juga mendapati syarikat tersebut juga telah menandatangani perjanjian dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di tingkat dua kompleks tersebut.

"Semakan harga pasaran bagi ruang kedai komersial di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi," sambungnya.

Atas andaian tersebut, Rafizi berpendapat jika keluasan 28 unit itu dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi tanggunggan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar oleh syarikat tersebut adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan.

"Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.

"PKR mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai," tegasnya.

Pemuda PAS serah memo bantah konsert Erykah

Aziz Muda, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagi mendesak dibatalkan konsert penyanyi Erykah Badu di negara ini.

Mengikut perancangan, penyanyi wanita yang berasal dari Amerika Syarikat itu akan mengadakan konsertnya pada malam esok, 29 Februari, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Desakan itu dibuat bagi mengelakkan kesan lebih buruk ke atas rakyat negara ini, memandangkan penampilan penyanyi itu yang penuh dengan kontroversi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil di pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, sekitar jam 11.15 pagi tadi dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan menteri terbabit, Abdul Rauf Puteh.

Turut menemani Khairul Faizi, Penolong Setiausaha III Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob; Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Dalam memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, kehadiran penyanyi itu pada asalnya tidaklah begitu disedari sehinggalah tersiarnya satu rencana mengenainya di dalam akhbar cetak The Star dan laman onlinenya semalam.

Menurut Khairul Faizi, kontroversi timbul apabila akhbar The Star telah menggunakan gambar penyanyi itu yang memaparkan kalimah Allah pada kedua-dua bahagian bahunya tanpa mengira sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Katanya, penyanyi itu jelas telah menghina Islam apabila beliau meletakkan tatoo di bahagian hadapan badannya dengan kalimah Allah.

"Rata-rata umat Islam yang menyedari iklan dan promosi itu di media terkejut dan marah dengan kehadiran penyanyi itu dengan persoalan, bagaimana dia yang jelas menghina Islam boleh dibenarkan mengadakan konsert di negara ini.

"Harakahdaily semalam telah mengeluarkan satu posting daripada salah seorang pembacanya yang mempertikaikan bagaimana penyanyi itu dibenarkan untuk beraksi di Malaysia," katanya pada sidang akhbarnya di Pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di sini, selepas  penyerahan memorandum itu.

Gambar tersebut, menurutnya, telah tersebar di dalam pelbagai laman sesawang lain dan kini menjadi pertikaian massa kerana ia sudah tentu akan melahirkan rasa tidak puas hati dan marah di dalam hati rakyat Malaysia.

"Malah gambar itu juga menjadi gambar rasmi kepada laman sesawang penyanyi itu bagi menunjukkan gambaran bahawa beliau tidak menghormati kalimah Allah yang mulai," tegasnya.

DPPM turut kesal terhadap akhbar The Star kerana tidak sensitif menerbitkan gambar tersebut kepada pembaca walaupun tentunya sedar ia adalah satu penghinaan kepada Islam.

"Walaupun The Star telah menerbitkan satu jawapan permohonan maaf di atas kesilapan tersebut dan telah disiarkan di dalam laman sesawangnya, namun ia telah berlaku dan perlu ada tindakan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Khairul Faizi menegaskan, lebih dikesali, dengan latar belakang penyanyi itu sebagai penganut Islam, beliau tetap cuba menonjolkan identitinya dengan penampilan seperti itu.

Penampilan yang ditampilkan itu, tambahnya, secara jelas telah melanggar syariat Islam, bahkan dianggap sebagai menghina Islam.

"Apa yang dibimbangkan, imej beliau akan menjadi ikutan anak-anak muda beragama Islam di negara ini. Lebih dari itu, penampilan seperti itu diiktiraf pula di negara ini dengan kebenaran beliau mengadakan konsert di negara ini dan dipromosikan oleh media-media tempatan," ujarnya.

Sehubungan itu, DPPM turut mendesak Rais memantau dan mengawal semua media agar mengikut ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah kementerian tersebut sepatutnya lebih sensitif dalam memastikan tidak ada penyanyi luar atau artis yang dijemput mengundang kontroversi dan kemarahan rakyat khususnya mereka yang beragama Islam di negara in

Semakan kehakiman TOL Lynas ditangguh 20 Mac

Hazayani Zakaria, 28 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini menangguhkan sebutan kes semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas di Gebeng, Kuantan kepada 20 Mac depan.

Hakim mengarahkan plaintif merujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terlebih dahulu kerana terdapat bantahan yang dikemukan Jabatan Peguam Negara.

Bantahan Jabatan Peguam Negara itu hanya dikemukakan pagi ini dan kes hanya didengar di dalam kamar.

Bercakap kepada pemberita di lobi mahkamah, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Omar berkata, pihaknya akan menghantar semula permohonan pada tarikh yang ditetapkan tanpa merujuk MOSTI seperti yang dicadangkan.

"Kita akan datang semula tapi tak akan rujuk MOSTI kerana sebelum ini kita sudah buat pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk MOSTI. Ini usaha yang terakhir," kata beliau.

Pengerusi  Stop Lynas Coalition, Andamsura Rabu pula melahirkan kekecewaan kerana lebih 100 penduduk yang hadir tidak dapat mendengar perbicaraan.

"Kita akan bincang dengan peguam, akan terus menjawab bantahan pihak peguam negara dan akan beri sebarang maklumat yang ada.

"Kita anya dapat bantahan pagi ini, sebab itu tidak ada perbicaraan hanya dengar dalam kamar sahaja di kalangan peguam dan semua yang hadir kecewa kerana tidak dapat mendengar perbicaraan seperti diharapkan," katanya.

Lebih 100 orang penduduk Kuantan hadir menaiki dua buah bas termasuk penduduk sekitar Kuala Lumpur hadir menyokong.

Manakala tujuh daripada plaintif hadir.

Pada Jumaat lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material, Dr Lee Chee Hong.

Tiada komplot jatuhkan MB Kedah - Phahrolrazi

Muslim Abdul Razak, Warta Kedah, 28 Feb 2012
ALOR SETAR, 28 Feb: Laporan kononnya ada gerakan yang diketuai oleh Phahrolrazi Zawawi untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak hanyalah tuduhan semata-mata dan merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai khabar angin menyatakan beliau mengetuai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Tandop baru-baru ini.

“Saya bukanlah individu yang mengetuai gerakan tersebut seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Saya tidak ada sebarang gerakan ke arah itu, kerana saya hanyalah pimpinan di peringkat tertinggi PAS Kedah dan juga menyertai gerakan dalam Parti PAS kawasan saya.

“Selain itu, komplot yang berkaitan dengan diri saya adalah tidak berasas dan saya tidak tahu pula ada dalang seperti yang dikatakan, sedang bergerak aktif menjatuhkan Ustaz Azizan," jelas beliau sebagaimana dilaporkan Warta Kedah, lidah rasmi kerajaan negeri Kedah.

Katanya lagi, sama ada ada dalang atau tidak di sebalik spekulasi ini, beliau tidak mengetahuinya dan saya juga tidak mengenali dalang yang dimaksudkan.

Beliau juga menafikan bahawa kononya beliau kecewa dengan pentadbiran dan pimpinan Ustaz Azizan.

Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail tidak mengangkat sumpah exco hari ini apabila majlis mengangkat sumpah berjalan.
Phahrolrazi akui ada 'krisis' dengan MB Azizan

28 Februari 2012
Phahrolrazi Mohd Zawawi.
ALOR SETAR - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata beliau enggan dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri Kedah kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, jika pimpinan Pas Pusat mahu beliau kembali menjadi Exco, beliau bersedia mempertimbangkannya tetapi dengan syarat-syarat tertentu dan pendapatnya diambil kira.

Beliau yang menyifatkan masalah beliau dengan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, sebagai masalah peribadi berkata beliau berhak untuk tidak terus menjadi Exco kerana sebagai Exco beliau perlu taat kepada ketua dan jika tidak beliau perlu "keluar".

"Dalam organisasi kita hendaklah setuju dengan pemimpin kita. Kalau ada banyak perkara yang tak setuju kita tak boleh duduk dalam organisasi itu. Sebagai kerajaan kita ada tanggungjawab bersama, kalau tak setuju kena ada cara untuk kita tak susahkan mereka (ketua). Menteri Besar ada pendapat dia sendiri. Pendapat itu perlu dihormati.

"Perbezaan pendapat itu memang biasa. Kalau dalam 10 perkara, perbezaan pendapat hanya satu, dua tak apa tapi kalau dah enam, tujuh, ia tak wajar. Tindakan seperti ini perlu (tidak sambung untuk jadi Exco) adalah supaya organisasi lebih tenang," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Phahrolrazi adalah seorang daripada dua Exco yang menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu. Seorang lagi adalah Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri.

Hari ini, hanya lapan anggota exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini. Kelazimannya kerajaan negeri Kedah mempunyai 10 exco.

Phahrolrazi berkata keputusan beliau untuk tidak dilantik semula menjadi exco dan sebabnya ada dimaklumkan kepada Exco yang lain dan empat lagi Exco mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

"Tapi bila hantar surat kepada Menteri Besar (untuk tidak sambung menjadi Exco), hanya saya dan Dr Ismail yang berbuat demikian. Secara peribadi saya merasakan ia tidak serius. Saya ada alasan saya, begitu juga Dr Ismail. Saya telah menjelaskan perkara itu kepada Dewan Ulama Pas Kedah dan mereka bersetuju untuk saya tak sambung. Saya juga sudah memberi penjelasan kepada pimpinan Pas Pusat daripada Presiden sampai ke bawah," katanya.

Mengenai andaian beliau mahu menjatuhkan Menteri Besar, katanya, jika beliau mahu berbuat demikian beliau tidak sepatutnya berhenti menjadi Exco kerana ia lebih mudah.Ditanya sama ada dia masih ada masa untuk menerima pelantikan semula kerana tempoh pelantikannya masih ada sehingga 7 Mac depan, beliau berkata pimpinan Pas Pusat yang melihat perkara itu sebagai serius perlu campur tangan.

Bagaimanapun, Phahrolrazi yang masih bercuti sehingga 1 Mac ini berkata beliau dimaklumkan Menteri Besar telah mempersembahkan senarai nama 10 Exco yang tidak termasuk namanya dan Dr Ismail kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Yang di-Pertuan Agong.

" Di Kedah ni lain, Exco dilantik setiap tahun. Menteri Besar angkat sumpah sekali je (sahaja) lepas pilihan raya," katanya.

Ditanya sama ada masalah beliau dengan Azizan itu boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan Menteri Besar itu, beliau berkata perbincangan telah diadakan tetapi masalah perbezaan pendapat itu masih berlaku dan kerana itu memerlukan campur tangan pusat.

Pada sidang media itu, Phahrolrazi turut menafikan masalah itu ada kaitan dengan kumpulan "Erdogan" atau "Anwarinas", serta pertembungan antara kumpulan profesional dan ulama dalam Pas.

"(Dalam hal ini) saya merujuk kepada Dewan Ulama. Tak berlaku pertembungan. Di Kedah sebenarnya tak berlaku perkara itu. Di peringkat nasional mungkin," katanya.

Ditanya adakah tindakan beliau dan Dr Ismail ini akan memberi kesan kepada Pas dan kerajaan negeri memandangkan keputusan itu dibuat ketika pilihan raya umum semakin hampir, katanya, beliau tidak meletakkan jawatan sebelum ini kerana kerajaan negeri belum stabil dan beliau yakin itu tidak menjejaskan Pas.

"Menteri Besar dah cakap kerajaan Kedah teguh dan mendapat sokongan yang baik. Dia boleh lantik orang lain sebagai Exco," kataya.

Mengenai jawatan dalam parti, Phahrolrazi berkata beliau akan memikirkan semula mengenai jawatannya sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah. - Bernama

SPRM: Najib tidak perlu tunggu BN 2/3 majoriti

Harakahdaily, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: PAS akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam pada sesi parlimen terdekat supaya Umno BN tidak perlu menanti mendapat 2/3 majoriti parlimen untuk melaksanakannya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah (SPRM), seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.


Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Dalam reaksi balas, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan Najib bersama beberapa perkara lain.

Menurut beliau, PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

“Perdana Menteri tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS,” tambah beliau dalam kenyataannya hari ini.

Sepatutnya, kata Tuan Ibrahim, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan SPRM, bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

“Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Mengenai komitmen Umno-BN untuk membanteras rasuah, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat mengenai wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan pendakwaan terhadap Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia, di mana kedua-duanya akhirnya didapati tidak bersalah.

“Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” tegas beliau.

Wanita kes Badrolamin: 'Fitnah, saya tidak khalwat'

Harakahdaily, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Wanita dalam kes khalwat Dr Badrolamin Bahron menafikan mereka berkhalwat sebagaimana yang didakwa.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!"

Pengakuan wanita itu dibuat kepada wartawan Sinar Harian sebagaimana yang dilaporkan hari ini.

Akhbar berkenaan berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu.

Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya.

Wanita berkenaan didakwa berkhalwat dengan Badrolamin di sebuah hotel di Kuantan baru-baru ini. Laporan berkhalwat berkenaan dibuat oleh suami beliau kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ekoran itu, Badrolamin dinasihatkan bercuti sebulan dari jawatan Ketua Penerangan Pejabat Menteri Besar kerajaan negeri Selangor.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.

“Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.

“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.

“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.

Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.

“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti.

Tiada ulasan: