Sabtu, 25 Februari 2012

MUSUH BIASALAH MELAGA2KAN SETERUNYA...ORANG POLITIK KENA TAHU TEKNIK TENDANG TERANJANG..SEPAK BUANG...KUTUK MENGUTUK..FITNAH MENFITNAH...INI POLITIK...TAPI JANGAN SAMPAI GADAI AKIDAH...MENGADU DOMBA..DAN BUAT KERJA2 MAKSIAT SERTA SYIRIK..

FGVH: Anak pastikan rancangan Isa gagal

Hazayani Zakaria, 25 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 25 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaaan (Anak) kesal dengan kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa Felda akan meneruskan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) tanpa penglibatan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata, Isa masih tidak menyedari signal peneroka yang menolak penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia malah ramai di kalangan pegawai tinggi Felda tidak bersama Isa.

"Anak berjaya halang mesyuarat agung KPF bincang penyenaraian tapi Tan Sri Isa Samad mempunyai pendirian yang kontra dengan warga peneroka. Beliau tidak ambil kira langsung reaksi peneroka," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu, Anak katanya sedang mengkaji tindakan lanjut untuk menghalang 360,000 hektar tanah Felda dipajak kepada FGVH bagi tujuan penyenaraian FGVH.

"Anak sudah berbincang dengan panel peguam dan peguam sedang mengkaji sama ada peneroka Felda mempunyai locus standi terhadap tanah mereka.

"Kalau mereka mempunyai lokus standi, Anak boleh fail saman menghalang tanah dipajak kepada FGVH," jelasnya Pegerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu.

Isa dilaporkan berkata, Felda bercadang menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk menjaga kepentingan peneroka Felda yang berjumlah 112,635 orang.

Mazlan turut menyanggah hujah kerajaan bahawa penyenaraian itu bertujuan menambah nilai Felda.

Beliau sebaliknya berkata, kerajaan seharusnya menambah baik pentadbiran Felda terlebih dahulu.

"Usaha penambahbaikan mesti bermula di peringkat pentadbiran Felda.

"Usaha menambah nilai Felda mesti melibatkan golongan muda dalam Felda sendiri, dan pakar-pakar ekonomi, tak perlu kepada penyenaraian," katanya.

Kedah: PAS minta ahli dapat berita dari sumber sah

Harakahdaily, 25 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 25 Feb: Semua ahli dan penyokong PAS diminta bertenang ekoran laporan media tentang apa yang sedang berlaku di Kedah sekarang ini kerana pimpinan PAS memantau sepenuhnya isu ini.

Sebarang berita dan spekulasi itu akan dijawab melalui saluran parti.

Sehubungan itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub meminta semua ahli mendapatkan maklumat dari sumber parti yang sah tentang apa yang sedang berlaku di negeri itu.

Media, khasnya yang pro-BN melaporkan pelbagai berita tentang apa yang berlaku di Kedah sekarang termasuk melagakan pimpinan PAS.

Misalnya NST melaporkan seolah-olah berlaku pertembungan antara kumpulan Erdogan dan ulamak di Kedah sekarang.

Media melaporkan, dua Exco Kedah tidak bersedia untuk dilantik semula menjadi Exco kerajaan negeri apabila majlis perlantikan dibuat pada 28 Februari ini.

Kumpulan NST pula diarahkan agar menjadikan berita Kedah ini sebagai berita utama termasuk berita muka depan.

Kedah melaksanakan dasar Exco kerajaan negeri akan dilantik setahun sekali di mana mereka akan mengangkat sumpah di depan Sultan Kedah.

Sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan rasmi yang dibuat berhubung ketidaksediaan kedua-dua exco berkenaan.

Exco berkenaan pula tidak mengesahkannya bahkan berkata mereka tidak tahu menahu mengenainya.

Debat: PAS Perak sifatkan Zambry tiada wawasan

Muhammad Faeez, 25 Feb 2012
IPOH, 25 Feb: Kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berhubung debat telah menggambarkan dirinya tidak ada wawasan.
Demikian tegas Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Ahmad Nuri Al-Amin tentang kenyataan Dr Zambry yang menyarankan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berdebat dengan Adun Behrang yang melompat parti, Jamaluddin Radzi dan bukannya dengan beliau atas alasan Adun bebas itu sudah lama menyatakan kesudian untuk berdebat.

Katanya, kenyataan tersebut memperlihatkan dirinya tidak mempunyai wawasan dan kurang matang dalam memberi respons tentang cadangan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

“Cadangan Pemuda PAS untuk menyatukan kedua-dua pemimpin tersebut bermatlamat untuk memberi ruang kepada mereka melontarkan idea dalam mempimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Perak ke tahap yang lebih baik,” katanya kepada Harakahdaily.

Melihat kenyataan Zambry, beliau berkata, pemimpin utama BN Perak tersebut tangkas mengalih isu dengan mencadangkan Nizar berdebat dengan Adun Bebas yang telah melompat parti.

“Adakah Adun Bebas tersebut sebagai mewakili BN Negeri Perak?

"Adakah juga Adun Bebas tersebut adalah ketua parti komponen BN Perak?” ujarnya.

Menurutnya, debat atau forum adalah pentas bagi kedua-dua tokoh yang mengetuai BN Perak dan Pakatan Rakyat Negeri Perak.

“Adakah rasional Datuk Seri Zambry menyerahkan wawasan mentadbir kerajaan negeri kepada Adun yang telah melompat partinya?” soal beliau.

Jelasnya, PAS Perak menasihatkan agar Zambry berani dalam perkara itu dan hendaklah matang dan profesional dalam memberi alasan untuk mengelak berdebat dengan Nizar.

“Mengalihkan isu dengan memberi cadangan yang tidak masuk akal adalah sangat memalukan kerana isu ‘pokok’ yang dicadangan oleh Pemuda PAS Perak adalah ingin memperlihatkan kedua-dua tokoh ini membicarakan wawasan untuk mentadbir semula kerajaan negeri jika mendapat mandat daripada rakyat pada PRU13 nanti,” jelasnya.

Katanya, itulah yang ingin dilihat oleh rakyat, parti manakah yang mempunyai wawasan atau usaha untuk membangunkan rakyat di Perak.

PAS Perak, katanya sekali lagi melihat dolak-dalik Zambry sebenarnya kerana sedar BN Perak yang telah tumbang pada PRU12 tahun 2008 dahulu masih mengamalkan penyelewangan dan kronisme.

Tambahnya, Zambry idak perlu bimbang jika BN Perak telah benar-benar bersih dan rajin bekerja dalam membantu rakyat tanpa ada usaha menindas rakyat.

“Zambry perlu menyahut peluang dan ruang ini bagi membuktikan usaha yang telah dilakukan oleh BN benar-benar berkesan.

“Dan mungkin sebenarnya rakyat masih ingin meneruskan usaha dan kerja Pakatan Rakyat yang terhenti selama 11 bulan sahaja oleh kerana sikap ketidakperikemanusiaan BN yang merampas kuasa kerajaan yang dipilih oleh rakat,” jelasnya.

Himpunan Hijau 2.0 setelah perbincangan buntu

Hazayani Zakaria, 25 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok tercetus setelah beberapa perbincangan dengan pihak bertanggungjawab menemui jalan buntu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, PAS sangat kecewa dengan maklum balas daripada beberapa pihak seperti Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pejabat Menteri Besar sendiri berhubung kerisauan mereka mengenai risiko projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan.

"Bantahan kita dan himpunan esok berdasarkan beberapa perbincangan, bukan terus kepada perhimpunan.

"Pada mulanya kita mengadakan perbincangan dan dialog dengan pihak berkuasa dan saya sendiri pernah mengeatuai perbincangan dengan agensi kerajaan termasuk dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Malah katanya, sesi dialog juga sepatutnya diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, namun beliau enggan bertemu dengan pihaknya mahupun menerima memorandum bantahan.

"Sebelum bertemu pihak yang lebih tinggi, Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) terlebih dahulu menyerahkan memeorandum ke pejabat Menteri Besar Pahang tapi beliau enggan bertemu dengan kita," katanya yang merupakan penasihat Badar.

Justeru katanya, perhimpunan esok merupakan kemuncak kepada usaha sebelum ini dan sebagai tanda solidariti lebih 80 badan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk Kuantan yang sedang berhadapan bahaya.

"Himpunan ini tidak ada perarakan hanya menghimpunkan rakyat seluruh negara dan khususnya rakyat Kuantan untuk menyatakan hasrat dan menyatakan pandangan dan isi  hati mereka di atas pelaksanaan operasi kilang Lynas di Kuantan.

"Kita akan berhimpun secara aman ada pembacaan sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan ada sedikit ucapan oleh NGO-NGO dan pemimpin politik.

"Selepas itu NGO-NGO akan menyatakan deklarasi mereka berkaitan pembangunan kilang lynas yang berisiko tinggi ini, mereka akan tandatangan bantahan mereka dan mereka akan buat penyataan secara beramai-ramai," katanya.

Sementara itu, perhimpunan esok berpindah ke Padang Kemunting, kira-kira setengah kilometer dari tapak asal himpunan iaitu Padang MPK.

Sultan Muhammad V sertai Walk With Me 2012

Muhammad Yusri Amin, 25 Feb 2012
KOTA BHARU, 25 Feb: Walkaton D’Raja Kelantan – Walk With Me hasil cetusan minda Sultan Muhammad V mendapat perhatian semua lapisan masyarakat dan NGO di negeri ini khususnya Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi.
Program amal tahunan dianjurkan pada 2011 yang lalu itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan seramai 21,111 orang.

Bahkan ia merupakan pemegang rekod penyertaan terbesar dalam Walkaton D’Raja di Malaysia yang dicatat dalam The Malaysia Book Of Records (4 Jun 2011).

Justeru Yang Dipertua Pertubuhan Kerabat D’raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim berkata, Pertubuhan Kerabat akan meneruskan  ‘program amal tahunan’ itu dan akan diadakan pada 3 Mei nanti.

“Walkaton D’Raja Kelantan – Walk With Me 2012 merupakan program amal tahunan pertubuhan, bertujuan mengeratkan hubungan rakyat negeri ini dengan baginda sultan.

“Program ini juga diharap dapat memupuk serta menyatukan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, memupuk budaya warga negara sihat yang bukan saja bagus untuk minda dan tubuh badan tetapi adalah sangat dituntut oleh agama.

Dalam satu kenyataan akhbar di Istana Balai Besar di sini, Tengku Laksamana Kelantan berkata pada penganjuran Walkaton D’Raja siri kedua itu akan dihadiri Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

“Bahkan diserikan lagi dengan penyertaan baginda berdua berjalan bersama rakyat sejauh 7 kilometer dalam walkaton ini yang bermula dan berakhir di Stadium Sultan Muhammad IV,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, apa juga perbezaan pendapat, kepercayaan dan fahaman politik diketepikan untuk melihat program walkaton itu sebagai ‘hari paling gembira’ bagi seluruh rakyat negeri ini, dan itulah harapan Sultan Muhammad V sendiri.

Sempena program Walkaton D’Raja itu diadakan ceramah perdana, pertunjukan ‘autoshow’ dan persembahan kebudayaan Kelantan.

Turut diadakan pertandingan bintang kecil, memakan buah-buahan, telematch antara agensi kerajaan dan ahli pertubuhan.

Pelbagai gerai jualan dan pameran serta persembahan ‘tatu’ oleh Angkatan Tentera Malaysia turut diadakan.

“Adalah diharapkan Walkaton D’Raja Kelantan – Walk With Me 2012 nanti dapat membantu usaha kerajaan menjadikan tahun ini sebagai ‘Tahun Melawat Kelantan’ dengan menarik lebih ramai penyertaan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Semua lapisan rakyat, khasnya rakyat Kelantan termasuk yang berada di luar Kelantan adalah diseru memeriahkan program amal khas baginda Sultan ini,” katanya.

Menurutnya, segala perolehan hasil dari aktiviti program itu akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Tiada ulasan: