Isnin, 13 Februari 2012

MELAYU TERPINGGIR LAIN BAB...RASULLULLAH SAW TAK BERJUANG ATAS PERKAUMAN...BAGAIMANA ISLAM TERPINGGIR...HUKUMLAH DINAFI..ISLAM DITADBIR BUKAN MENTADBIR

Israel: Anwar tarik balik kenyataan atau saman WSJ

Harakahdaily, 13 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 13 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti dilaporkan di Wall Street Journal (WSJ) atau menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa,  serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

Pakatan desak SPR batal daftar 42,000 pemilih ragu

Muhammad Faizal, 13 Feb 2012
PETALING JAYA, 13 Feb: Pakatan Rakyat mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membatalkan pendaftaran 42 ribu nama pemilih yang baharu kerana tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, di sini petang ini berkata, nama-nama tersebut telah menimbulkan keraguan apabila ia tiada maklumat di dalam JPN. Hadir sama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Kita hari ini telah mengambil pendekatan berhubung status 42 ribu nama pendaftar baru yang telah dikenal pasti meragukan agar SPR menghapuskan segera nama-nama tersebut sebelum pilihan raya akan datang.

"Kebimbangan ini ditimbulkan kerana setelah pemeriksaan dilakukan di JPN kita dapati tiada maklumat diperolehi berhubung dengan nama-nama pemilih yang telah didaftarkan itu," jelasnya.

Tambahnya lagi, penambahan daftar pemilih secara mendadak berlaku di Selangor, malah di Wilayah Persekutuan juga terdapat enam ratus pemilih yang telah didaftarkan di alamat yang sama.

"Kita menggesa agar semua pihak diberi tanggungjawab meneliti senarai daftar pemilih baru kerana kita tidak mahu wujud penipuan dalam daftar pemilih demi untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.

"SPR perlu telus dalam melakukan sesuatu tugas dan mereka tidak perlu tunduk kepada pihak lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar turut memberitahu, Pakatan Rakyat juga bersetuju agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi meneliti kembali status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada pendatang asing.

"Kita mahu suruhanjaya diwujudkan segera bagi meneliti kembali hak kewarganegaraan yang diberikan kepada pendatang asing bagi menilai sama ada ia layak ataupun tidak.

"Penubuhan ini perlu kerana kita dapati terlalu banyak nama-nama yang meragui dan dalam masa yang sama kita tidak mahu sebagai agenda politik kerajaan Barisan Nasional maka negara ini mudah tergadai melalui pemberian status warganegara," kata beliau lagi.

Ketua Umum PKR itu turut menekankan wakil Pakatan Rakyat di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan terus mendesak PSC agar SPR lebih bersikap telus serta membatalkan senarai nama tersebut sebelum tibanya pilihan raya umum akan datang.

Haram sambut Hari Kekasih terhad kepada orang Islam

Harakahdaily, 13 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa seluruh umat Islam supaya mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke-71 pada 22-24 November 2005 yang telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.


Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.


Katanya, berpandukan kepada keputusan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut yang boleh diakses melalui laman web e-fatwa Jakim di alamat www.e-fatwa.gov.my, sewajibnya seluruh umat Islam akur serta memahami bahawa sambutan perayaan hari valentine adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.

“Aqidah adalah menjadi perkara teras dalam ajaran agama Islam yang mesti dipelihara oleh setiap umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Katanya lagi, adalah menjadi keperluan mendesak kepada seluruh umat Islam untuk memahami isu itu bahawa sambutan perayaan hari valentine adalah sesuatu aktiviti yang dilarang dalam Islam kerana mempunyai susur galur sejarah yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Elemen itu, jelasnya adalah elemen utama yang menjadi alasan keharaman sambutan perayaan valentine bagi seluruh umat Islam.

Dasar itu, katanya adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kaafirun, ayat 1-6 yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".


“PUM juga menyokong inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah melancarkan kempen Awas! Jerat Valentine’s bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pihak NGO, Raudhah Sakinah,” ujarnya lagi.

Pada hemat PUM, kata beliau pendekatan seumpama itu mesti dikembangkan ke seluruh pelosok tanah air supaya dapat membantu membina kefahaman umat Islam khususnya di kalangan orang muda dalam menangani isu tersebut secara objektif.


Dalam pada masa yang sama, kata beliau PUM juga mengesyorkan kepada pihak berwajib seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak-pihak berkepentingan lain melakukan pemantauan berterusan kepada siaran media cetak dan elektronik supaya tidak menyiarkan apa jua kempen, iklan, drama, filem dan artikel yang boleh menggalakkan umat Islam menyertai sambutan hari valentine tersebut.


PUM juga, tambahnya ingin menasihatkan masyarakat bukan Islam supaya memahami isu itu secara objektif serta menghormati prinsip agama Islam yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam.

“Dasar hukum ini adalah hanya mengikat dan terhad kepada seluruh umat Islam sahaja,” jelasnya.

Melayu terus terpinggir di bawah Umno

Harakahdaily, 13 Feb 2012
IPOH, 13 Feb: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain (gambar) berkata rakyat khususnya orang Melayu akan terus dibelengu kemiskinan selagi Umno BN dibiarkan memerintah negara.

Menurutnya, sudah lebih 50 tahun Umno BN diberi mandat memerintah, namum keadaan ekonomi rakyat kebanyakan, khasnya orang Melayu tetap tidak berubah.

Umno yang mendakawa membela Melayu katanya hanya membela pemimpin Melayu Umno untuk terus mengumpul kekayaan mereka.

“Sebenarnya pemimpin Umno yang kononnya berjuang mempertahankan 30% pemilikan orang Melayu, sebenarnya mengeksploitasikan hak-hak tersebut untuk diri sendiri.

“Pemimpin elit Umno itulah yang sebenarnya yang menjadi perasuah dan pengampu yang berselindung disebalik ketuanan Melayu," katanya.

Beliau turut mengambil contoh kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sendiri bahawa Umno sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal mereka dan menegur sikap Umno yang mengunakan rasuah politik untuk membeli undi.

Umno juga dakwa Abdul Kader sebelum ini, telah gagal menjaga sosio ekonomi Bumiputera termasuk telah memansuhkan kemudahan pinjaman 30% kepada syarikat kecil bumiputera.

“Cuba kita lihat baru-baru ini, bekas Menteri Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa beliau sendiri pernah memberi RM200 hingga RM1,000 kepada rakyat dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi”

"Di sini jelas menunjukkan bahawa Umno sebenarnya tidak ikhlas dalam mempertahankan hak orang Melayu, semua tindakan mereka hanyalah semata-mata untuk mempertahankan kepentingan peribadi pemimpin Umno yang terus ingin membolot harta rakyat," kata Ustaz Abu Bakar lagi.

Abdul Kader yang juga Timbalan Presiden NGO Amanah sebelum ini turut menasihatkan pemimpin Umno agar tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kegagalan perlaksanaan agenda bumiputera.

"Jangan persalahkan orang Cina atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pimpinan kita (Umno) sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi Bumiputera ditempat yang adil dan sepatutnya," kata bekas menteri Penerangan dan Komunikasi itu

Tiada ulasan: