Khamis, 16 Februari 2012

KENYATAAN2...DESAKAN2...CUBA BERSIH2KAN...NAFI2...SURUH PULANGKAN WANG ...SURUH BERUNDUR...MEMANG TANDA2 DAKWAAN ITU BENAR....

NFC: Kenyataan Nazri bukti dakwaan Pakatan benar

Hazayani Zakaria, 15 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 15 Feb: Kenyataan terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp) melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan membuktikan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini benar.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata, Nazri selaku menteri yang memegang portfolio undang-undang harus menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan proses siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat.

"Kita tidak faham kenapa Datuk Seri Nazri Aziz yang bertangungjawab ke atas SPRM sudah membuat pengumuman terbuka tapi SPRM masih belum mengambil apa-apa tindakan.

"PAS desak Nazri mengarahkan SPRM untuk segera ambil tindakan kerana ini melibatkan wang rakyat," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Nazri semalam mengakui telah berlaku kes pecah amanah apabila duit yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain oleh NFCorp.

PAS sebelum ini meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Sehubungan itu, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat NFC selain siasatan oleh SPRM.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengenai dakwaan perjanjian melibatkan pinjaman RM250 juta antara Kementerian Kewangan dan NFCorp tidak disediakan oleh pejabat Peguam Negara.

Beliau meminta Najib menyatakan pihak mana yang menyediakan perjanjian itu jika benar ia tidak disediakan oleh Peguam Negara.

Pengembala profesyen terhebat masa kini

http://syamkaze.blogspot.com/, 15 Feb 2012
"Jangan terkejut jika ada remaja masakini menyimpan cita-cita tinggi untuk menjadi pengembala lembu apabila dewasa. Masakan tidak masuk akal kalau diberitahu, gaji seorang pengembala lembu masa kini adalah sekitar RM35,000 – RM45,000 sebulan. Belum lagi sekiranya menjadi ketua gembala atau kepala mandur, boleh cecah RM100,000 sebulan. Waduh enak sekali! Yang pasti tidak perlu ribut-ribut pasal belanja petrol dan tempat tiduran.


Kalau gembala lembu di lembah Praire atau lembah Canterbury diberi kuda baka terbaik untuk mengawasi lembu-lembu di padang ragut, kini di Malaysia, profesyen gembala lembu akan diberi kereta Mercedes seorang sebijik untuk memudahkannya menjalankan tugas mengawasi keluar masuk lembu dari kandang.

Pengembala lembu di Malaysia juga akan diberi kad kredit sehingga limit RM182,000 sebulan bagi tujuan-tujuan entertainment profesyennya terutama sekali dalam soal untuk membelanja minum-minum tukang sembelih lembu dan tukang kumpul taik lembu untuk dibuat baja. Pengembala lembu di Malaysia kini juga layak diberi sebuah kondominium mewah sebagai tempat tiduran dan bukannya seperti di zaman P. Ramlee yang tidurnya di dalam kandang.

Bagi tujuan menenangkan fikiran, pengembala lembu di Malaysia juga diberi kemudahan kondo percutian di luar negara. Hingga setakat ini, pilihan destinasi percutian dengan kondo sophisticated terkini adalah di Marina Bay, Singapura dan bakal menyusul di lain-lain negara di masa hadapan.

Dengan tawaran gaji lumayan beserta kemudahan tempat tinggal kondo eksklusif, benz, kad kredit dan peluang percutian ke luar negara, sekaligus menjadikan kerjaya sebagai pengembala lembu adalah profesyen paling hot dan paling diminati oleh remaja dan lepasan kolej masakini. Hebat-hebat, jika ada sesiapa daripada parti keris bersilang yang keras kepala tidak setuju dengan faedah-faedah sebagai pengembala lembu seperti yang dinyatakan di atas, bersedialah dengan alasan yang benar kerana jika tidak, akan dibaling dengan tahi lembu oleh pengembala-pengembala lembu nanti.

Dan tentunya informasi yang paling hot, ialah bagi setiap kandang lembu yang berjaya dibina oleh mana-mana pengembala lembu di Malaysia masakini, layak menerima bantuan pinjaman mudah disebut soft loan sehingga RM250 juta sekandang daripada kerajaan parti cap dacing. Hingga kini dikatakan, tempoh pinjaman dan amaun bayaran pinjaman sebulan yang perlu dibayar juga masih belum jelas untuk dimuktamadkan. Yang pasti setiap kandang lembu yang siap, layak mendapat soft loan tadi dalam tempuh yang singkat.

Wah! Betapa beruntungnya profesyen sebagai pengembala lembu masakini. Dan berada di dalam kerugianlah manusia-manusia yang ada ijazah atau sarjana dan mempunyai pengalaman bekerja dengan lembu-lembu di Malaysia jika tidak bertukar kerjaya segera menjadi pengembala lembu di Malaysia.

Apa yang boleh anda sumbangkan untuk PRU13


16 Feb 2012
Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.
Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:

Apakah sumbangan yang anda dan ahli PAS boleh lakukan untuk kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13?

Abang Mat:

Saya nasihatkan setiap ahli PAS hendaklah berjumpa untuk besembang, berdialog dengan bukan ahli PAS dan mengajak mereka membuat perubahan. Dengan memberikan contoh-contoh penyelewengan dan korupsi kerajaan BN, kita sama-sam memberitahu mereka untuk selamatkan negara dari muflis dan gantikan dengan negara berkebajikan. Saya juga sarankan agar ahli PAS menggunakan Buku Jingga dan Negara Kebajikan terbitan PAS untuk mendekati mereka.

Sementara itu, saya akan memokuskan usaha bersama parti PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengeratkan perpaduan antara parti dan ahli untuk berusaha membentuk kerajaan persekutuan dengan mengalahkan kerajaan BN di PRU-13 dan menzahirkan good governance dalam  pemerintahan negeri dan juga persekutuan.

Ustaz Tuan:

PRU ke 13 adalah pilihanraya paling penting dalam perkembangan politik  negara kerana  umum akan melihat sejauh mana Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kemenangan di negeri yang telah dimenangi, serta perkembangan politik di negeri yang belum dimenangi.

Perubahan mood rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama serta pola politik dijangka mengalami perubahan menjelang PRU akan datang.

Senario ini menuntut peranan semua pihak bagi memastikan BN tumbang dalam PRU ini. Antara peranan yang boleh dimainkan ialah meningkatkan daftar pemilih pengundi baru dan membantu dalam memastikan pengundi luar khususnya di Lembah Klang kembali untuk mengundi pada hari pengundian nanti.

Di samping itu, rakyat perlu didedahkan dengan isu semasa yang berlaku yang mempunyai implikasi langsung ke atas rakyat, samada penyelewengan dana negara dalam isu NFC, teguran audit negara dalam pengurusan kewangan, isu Lynas, SPBA, penyenaraian Felda, penyalahgunaan dana zakat, dan lain-lain. Insya Allah semua ini dapat dilakukan saya bersama dengan jamaah PAS.

Ustaz Nasrudin:

Kejayaan dan kemenangan adalah suatu yang sangat didambakan, justeru itulah kita berjuang saban waktu tanpa henti.  Kejayaan dan kemenangan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha gigih dan kerja kuat dari pimpinan dan anggota parti.

Memburu kemenangan di dalam pilihanraya sebagaimana langkah ijtihad yang diambil oleh PAS di Malaysia sangat berbeza cara dan kaedahnya dengan memburu kemenangan di dalam medan perang sebagaimana langkah yang terpaksa diambil oleh Hamas di Palestin. Oleh kerana mereka dihadapkan oleh musuh [Yahudi] dengan senjata, maka pilihan yang ada pada rakyat Palestin untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanahair ialah juga dengan senjata.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam telah mengambil manafaat melalui ruang demokrasi lalu menyertai pilihanraya sejak tahun 1955 untuk menggerakkan kebangkitan rakyat melakukan perubahan secara aman di dalam negara tercinta ini.

Langkah berkesan ke arah memenangi pilihanraya terbahagi kepada 2 kategori utama.

Pertama: Kekuatan dalaman.

a] Bermula dengan hubungan erat antara kita dengan Allah swt. Tuhan yang akan menganugerahkan kemenangan kepada siapa jua yang Ia kehendaki. [ertinya memiliki aqidah perjuangan yang kental ]

b] Memperkukuhkan ikatan ukhuwwah fillah [ persaudaraan kerana Allah ] di kalangan anggota parti di semua peringkat termasuk pimpinannya.

c] Memiliki asas kekuatan strategi yang berkesan dan praktikal, dana kewangan dan keperluan material yang kukuh, serta  penyusunan organisasi dan pengarahan gerak kerja yang terancang.

Kedua : Kekuatan Luaran

a]  Bermula dengan akhlak dan syakhsiah [keperibadian] yang soleh dan terpuji yang akan menghubungkan kita dengan masyarakat [termasuk pengundi] . Termasuklah akhlak kita terhadap musuh politik agar terbentuk satu public relation yang baik, positif dan berkesan. Menawan hati dan mempengaruhi minda pengundi.

b] Keupayaan ilmu dalam pelbagai lapangan yang diperlukan oleh massa. Mengemukakan polisi dan gagasan yang menepati tuntutan semasa [kontemporary] serta kemampuan menguasai dan menjuarai isu rakyat. Skill ini tidak semestinya dimiliki pada individu tetapi apa yang lebih penting ialah kerja secara berpasukan [ Amal Jamaei ]

c] Membina jaringan dan hubungan luar dengan pelbagai pihak [engagement]  yang melibatkan individu, ngo, parti-parti politik dan juga jaringan di peringkat antarabangsa.

Antara apa yang paling penting juga ialah mengurus persepsi namun dalam masa yang sama teguh bersama prinsip perjuangan. Saya suka dengan penegasan yang selalu digunakan oleh al Marhum Tuan Guru Hj. Fadhil Mohd Nor iaitu bersifat futuristik dalam perancangan, kontemporary dalam pendekatan dan fundamental dalam prinsip perjuangan.

Ustaz Nik Zawawi:

Ahli PAS dan saya boleh menyumbangkan tenaga dengan membantu parti untuk mengumpul dana sebanyak mungkin menjelang PRU-13.

Di samping itu, saya dan ahli PAS juga harus membantu parti dengan memperbanyakkan kempen berstrategik dengan turun ke padang dan berdialog dengan sasaran pengundi atas pagar dan pengundi luar yang bekerja di ibukota.

Selain itu, ahli PAS dan saya juga perlu mengeratkan hubungan PAS dengan NGO dan kerajaan negeri agar perjalanan kempen parti dapat digerakkan dengan lebih lancar dan bantuan luar yang tidak diduga

Sesat: PAS gesa Ahmad Said mohon maaf

Khairil Abdul Rahim, 15 Feb 2012

TEMERLOH, 15 Feb: PAS menggesa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memohon maaf dan menarik balik kenyataannya pada 8 Februari lalu bahawa PAS adalah parti ajaran sesat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, PAS kesal dan terguris dengan kenyataan provokasi itu selain menampakkan kedangkalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu sendiri.

“Kita anggap keceluparan Ahmad yang berbaur emosi itu sangat melampau. Kalau PAS parti ajaran sesat mengapa tidak diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seperti kumpulan sesat lain.

“Mengapa PAS boleh diterima memerintah Kelantan, Kedah dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

“Parti manakah yang meluluskan lesen judi, premis arak dan pusat maksiat di negara ini? Apakah menghalalkan yang diharamkan Islam itu tidak sesat?” soal Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta ulasannya mengenai kenyataan Ahmad yang dilaporkan menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal, Kemaman.

Ahmad juga dilaporkan enggan tunduk kepada desakan PAS supaya menarik balik kenyataannya.

Tuan Ibrahim berkata, sebagai seorang Menteri Besar Ahmad tidak sepatutnya bersikap seperti AJK Umno cawangan.

“Dia tidak tahukah bahawa rujukan tertinggi PAS ialah Al-Qur-an, Hadis, ijmak dan kias. Jika menuduh PAS sesat itu bermakna menafikan sumber rujukan PAS itu sendiri.

“Pada hari ini orang-orang PAS dipanggil mendoakan daripada anak-anak yang baru lahir hinggalah mengkebumikan jenazah. Itukah sesat?

“Kita akui kebiadaban Menteri Besar Terengganu ini melukakan hati ahli-ahli dan penyokong PAS dan harap rakyat Terengganu yang pernah memilih PAS berkuasa pada pilihan raya 1999 menghukumnya,” tambahnya.

Kata Tuan Ibrahim lagi, PAS sudah banyak berdepan dengan karenah Umno umpamanya parti Hizbul Muslimin pernah diharamkan, kemudian simbol bulan bintang pada PAS juga diharamkan. Malah perkataan Islam pada PAS juga pernah beberapa kali mahu diharamkan oleh mereka.

Jelas beliau, Ahmad harus ingat pada ketika berlaku krisis dalam Umno apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar tetapi mendapat serangan daripada orang-orang Idris Jusoh, PAS yang banyak membantunya.

Mengenai tindakan mahkamah jika Ahmad tetap enggan mohon maaf, Tuan Ibrahim menegaskan, ia akan diputuskan kemudian.
Jangan terlalu sayangkan jawatan, kata Dr M
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disaran supaya lebih menyayangi Umno dengan meletakkan jawatan daripada menyayangi jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang disandang kerana masalah peribadinya boleh menjejaskan parti.

mahathir in perdana university event 150212"(Beliau) mesti fikirkan kesan kepada parti. Jangan terlalu sayangkan jawatan terlalu banyak,” kata bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang media selepas ucapan sulungnya sebagai Canselor Universiti Perdana di Serdang hari ini.

Seorang pemimpin, kata Mahathir, perlu tahu apabila sudah tiba waktunya untuk berundur, sambil memberi contoh, dirinya sendiri yang rela berundur secara sukarela selepas 22 tahun berkuasa.
"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.

"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," sindirnya.
Terpulang

Mahathir mengulas komennya sebelum ini yang mahu Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, supaya berundur.
"Kalau kita fikir ini baik bagi parti, kita patut ambil tindakan tetapi ini terpulang kepada dia untuk membuat apa-apa keputusan," katanya.

Shahrizat terpalit dengan skandal yang melibatkan keluarganya dengan dakwaan penyelewengan pinjaman mudah RM250 juta yang diberi kerajaan kepada syarikat penternakan lembu  Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) itu.

azlanJutaan ringgit wang NFC didakwa dibelanjakan oleh ahli keluarganya bagi pembelian kondominium mewah, tanah, kereta serta juga percutian.

Walau bagaimanapun, Shahrizat dan keluarganya menafikan sebarang salah laku.

Segala dakwaan itu kini dalam sisatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Suruhanjaya dan Unit Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Tiada ulasan: