Selasa, 21 Februari 2012

DEBAT YANG CANTIK BUAT CARA LIVE...TERUS KESALURAN TV...AGAR RAKYAT DENGAR...DAN MENILAINYA...

Mahfuz pula cabar Hishammuddin berdebat

Aziz Muda, 20 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berdebat dengannya atas pelbagai topik yang boleh dipilih oleh Hishammuddin sendiri.

Cabaran tersebut dibuat sebagai mengulangi perancangan mereka untuk berdebat 12 tahun lalu, tetapi dibatalkan kemudiannya akibat dihalang oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mahfuz, kini keadaan telah berubah dan rakyat negara ini sudah mempunyai tahap kematangan yang tinggi sehingga pelbagai pihak sudah boleh menerima program debat dengan baik.

Katanya, jadi sekaranglah masa terbaik untuk meneruskan kembali debat antara beliau dan Hishammuddin itu setelah ia gagal dilangsungkan dulu walaupun telah dipersetujui pada peringkat awalnya.

"Dulu debat yang akan diadakan antara saya dan Datuk Hishammuddin itu atas kedudukan saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala Hishamuddin selaku Ketua Pemuda Umno Malaysia.

"Sekarang saya bukan Ketua Dewan Pemuda PAS lagi dan Datuk Hishammuddin juga bukan Ketua Pemuda Umno lagi, tetapi sama-sama menjadi Naib Presiden parti, jadi debat itu mestilah antara saya dan Hishammuddin juga sebagai mengulangi rancangan debat yang tak jadi dulu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Pada perancangan dulu, menurutnya, debat antara beliau dan Hishammuddin itu dicadangkan atas tajuk "Kedudukan Melayu, Siapa Pengkhianat: Umno atau PAS?".

Katanya, perancangan untuk mengadakan debat itu dulu adalah atas cabaran Datuk Hishamuddin sendiri dan beliau telah menyambutnya dengan menghantar sendiri surat persetujuan untuk berdebat dengan Hishamuddin ke Ibu Pejabat Umno di PWTC.

Selain itu, pemilihan mederatornya juga telah dibuat sehingga Prof Diraja Ungku Aziz juga telah pun bersetuju untuk menjadi mederatornya. 

"Sekarang sekiranya Hishammuddin mahu berdebat dengan saya, debat itu bolehlah diteruskan atas tajuk itu juga atau sebarang topik lain yang diingini oleh Hishamuddin sendiri.

"Terpulanglah kepada Datuk Hishamuddin untuk menentukan tajuknya. Saya hanya bersedia sahaja atas pelbagi topik, bila dan di mana-mana sekalipun," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dalam konteks sekarang, debat merupakan sesuatu yang penting kerana ia akan memberikan pelbagai maklumat kepada rakyat bagi membolehkan rakyat membuat penilaian yang betul mengenainya.

Selain itu, ia juga akan membolehkan rakyat menilai dengan lebih jauh mengenai pemimpin dan parti yang patut dipilih oleh mereka pada PRU Ke-13 akan datang.

Beliau turut memuji langkah pihak terbabit yang yang menganjurkan debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Kehormat DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selama dua jam yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani kelmarin.

"Keberanian Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng menanggung risiko dari debat itu memang wajar dihargai. Pada dasarnya, debat mereka itu juga agak baik dan ilmiah," katanya.

Namun beliau turut kesal apabila Soi Lek juga turut memperlihatkan sikap hipokrit menerusi debat itu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina agar tidak menyokong DAP kerana dikatakan akan memberikan kuasa kepada PAS.

Lebih dikesali lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya selepas itu turut menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab dan hipokrit perkauman dengan mengatakan orang Melayu memberi undi kepada PAS akan memberikan kuasa kepada DAP pula.

"Semua ini adalah sikap hipokrit yang nyata dan amat melampau untuk menakut-nakutkan rakyat yang tidak sepatutnya timbul dalam masyarakat kita," tegasnya.

Beliau turut mencadangkan agar turut diadakan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku ketua kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang kerana jika debat antara mereka itu diadakan pasti akan memberikan manfaat besar kepada rakyat.

Kapal Israel dedah wajah sebenar Umno

Harakahdaily, 20 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kerajaan Umno BN sebagai ‘mengata dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ dengan dakwaan kononnya Malaysia benar-benar memperjuangkan Palestin dan menolak bersahabat dengan Israel.
Namun demikian, Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, dengan kehadiran dua buah kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel menunjukkan wajah sebenar kerajaan Umno BN dalam isu Israel.

Beliau merujuk kepada laporan yang dikemukakan oleh sebuah NGO Jingga 13, Kapal-kapal tersebut adalah Zim USA dan Zim Atlantic milik sepenuhnya syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd dan ia turut tersenarai dalam Bursa Tel Aviv.

“Soalnya, mengapa dua buah kapal milik syarikat dari Israel boleh dibenarkan berlabuh di perairan negara?

“Bukankah ini menunjukkan bahawa wujud secara tidak langsung hubungan dagang antara negara ini dengan Israel?

“Adakah kerajaan tidak sedar atau pura-pura tidak sedar kehadiran dua buah kapal ini dari Israel?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Dalam isu itu, katanya DPPM merasa kesal kerana kerajaan tidak konsisten dalam isu Israel.

Menurutnya, dari satu sudut kerajaan seolah bertegas bersama rakyat Palestin dan menolak kejahatan Israel, tetapi dalam masa yang sama entiti yang ada kepentingan dengan Israel dibenarkan masuk ke dalam negara ini dengan mudah.

“Lupakah kerajaan bagaimana rakyat Palestin bermandi darah dan air mata mempertahankan tanah mereka yang dijajah dengan zalim dan kejam?” tanya beliau.

Katanya, Datuk Seri Najib barangkali lupa bagaimana umat Islam di seluruh dunia dengan tegas dan lantang mempertahankan bumi Palestin dari dijarah oleh rejim zionis Israel.

DPPM, ujarnya mengingatkan kerajaan bagaimana tegasnya negara-negara umat Islam yang lain sehingga sanggup memutuskan sebarang hubungan dengan Israel sama ada hubugan politik, ekonomi dan lain-lain lagi.

Sebaliknya, tambah beliau yang dikesali apabila kehadiran dua buah kapal dagang Israel dibiarkan dengan mudah berlabuh di perairan negara.

Sepatutnya, kata beliau kerajaan bertegas tidak membenarkan walau seinci pun tanah di negara ini, malah di perairan negara ini dilalui oleh apa juga entiti dari rejim Zionis sebagai tanda protes kemarahan terhadap rejim Zionis serta kebersamaan terhadap rakyat Palestin.

“Sudah tentu umat Islam yang melihat isu ini secara dekat merasa kecewa kerana kerajaan bersikap hipokrit dalam isu Israel,” katanya lagi.

Katanya beliau, ketegasan kerajaan dalam isu ini hanya pada sesetengah pihak sahaja terutama pembangkang supaya mereka dilihat bersama umat Islam seluruh dunia, tetapi apabila ianya mengena tepat ke batang hidung mereka, sepatah perkataan pun tidak terpacul dari mulut pemimpin mereka bagi membantah kehadiran kapal Israel ke Malaysia.

Akhirnya, ujar beliau DPPM meminta umat Islam menilai kembali sikap kerajaan Umno BN dalam isu Palestin dan Israel.

“Jelaslah bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang boleh diharap bagi membela umat Islam di negara ini malah di peringkat antarabangsa, mereka hanya layak ‘ditunjuk jalan keluar’ dalam PRU ke 13 nanti,” katanya.

Bantuan RM100: JHEAINS diminta tarik balik arahan

Harakahdaily, 20 Feb 2012
BEAUFORT, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menarik balik arahan pembayaran balik Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM100 yang telah diberikan kepada semua pelajar di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini berkuatkuasa serta merta.
Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, arahan penarikbalikan bantuan tersebut mencerminkan ketidakbertanggungjawab sebuah institusi agama yang menjadi nadi utama dan teras pembangunan akhlak dan kemasyarakatan di negeri ini.

“Ini satu bentuk ketidakadilan dan kezaliman yang seolah-olah mencerminkan tingkah laku pengurusan JHEAINS kepada pihak sekolah.

Selain itu, pihak JHEAINS katanya perlu meneliti setiap tindakan agar tidak membebankan pihak sekolah dengan kos tanggungan yang terpaksa ditanggung sekolah tersebut.

“Sebelum mengarahkan sesuatu, pihak JHEAINS perlu minta pandangan dan respon daripada pihak sekolah.

“Macam mana pihak sekolah mahu bayar balik, sedangkan duit dah diserahkan kepada pelajar. Jadi, nak salahkan pihak sekolah,” ujar Lahirul.

Pihak JHEAINS menerusi pekeliling kepada semua SAN dan SAR negeri pada 1 Februari lalu meminta agar mengembalikan semula peruntukan bantuan tersebut ke Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selewat-lewatnya pada 8 Mac ini.

Menurut surat itu juga, pelajar yang telah menerima bantuan berkenaan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan tidak boleh menerima bantuan itu sekali lagi.

Bagaimanapun, pihak sekolah yang terlibat memberi reaksi tidak berpuas hati dengan arahan tersebut yang jelas mendiskriminasi pelajar sekolah agama.

“Pihak sekolah berasa kesal dengan arahan ini. Ini sekaligus menunjukkan juga berlakunya satu bentuk yang dinamakan diskriminasi kepada sekolah agama,” jelas Lahirul.

Sehubungan dengan itu, kira-kira 10 buah sekolah SAN dan SAR seluruh Beaufort membantah dan meminta agar JHAEINS menarik balik arahan ini berkuat kuasa serta merta.

Pemuda PAS buat laporan polis terhadap Ahmad Said

Harakahdaily, 20 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


Ini ekoran kenyataan Ahmad yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian pada hari Khamis, 9 Februari dalam ruangan Nasional pada halaman 10 yang menyatakan PAS "Parti Ajaran Sesat".

"Kenyataan tersebut jelas berbaur fitnah dan tidak benar," kata Nik Abduh ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad itu.

Selain ianya disifatkan berniat jahat, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga turut merasakan kenyataan tersebut mampu mengundang provokasi, hasutan, perpecahan di kalangan masyarakat, rusuhan rakyat serta kehilangan kepercayaan di kalangan ahli dan bukan ahli PAS kepada PAS kerana kenyataan tersebut menjurus kepada kerosakan aqidah dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

"PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dengan sah di bawah undang-undang negara sejak lebih 50 tahun dan menjadi Kerajaan di beberapa buah negeri, kenyataan Datuk Seri Ahmad Said ini sangat tidak berasas dan langsung tidak bertanggungjawab," luah Ustaz Nasrudin Hassan selaku Ketua Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa agar siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap Datuk Seri Ahmad Said, Berita Harian serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam mengeluar, mencetak, menerbit dan mengedarkan kenyataan fitnah tersebut.

"Saya percaya kenyataan fitnah jahat seperti in merupakan satu kesalahan yang jelas dan nyata di sisi undang-undang negara  dan tindakan perlu diambil dengan segera oleh pihak Polis," tambah beliau lagi.

Tiada ulasan: