Selasa, 3 Julai 2012

SB(MALAIKAT) ALLAH BEKERJA DENGAN SMART....SATU TAK PUN LEPAS...DENGAN BUKTI YANG JELAS...TIADA DOUBLE STANDARD....TAK KIRA YANG ADA KUASA ATAU GOLONGAN CIKAI...SAMA SAJA HUKUMNYA...TAK MAIN KRONI2 PUNYA....ORANG YANG BEKERJA BUKAN KERANA ALLAH...MAKA SIA2 DAN TAK DE PAHALA DISISI ALLAH SWT.....

FGV - Untungnya secupak, ruginya segantang

Aspan Alias, 03 Jul 2012
Saham FGV (Felda Global Ventures) ditutup dengan harga RM5.39 semalam. Ini bermakna FGV telah mendapat kenaikan harga sebanyak 84 sen.  Tahniah kepada sesiapa yang mendapat tawaran dengan jumlah yang besar yang telah dibahagi-bahagikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa baru-baru ini.
Jika Isa Samad misalnya mendapat 5 juta saham semasa penyenaraiannya maka Isa telah mendapat keuntungan sebanyak RM4 juta jika beliau menjualnya kepada pasaran hari semalam.

Tetapi yang  saya hendak bertanya agaknya berapalah peneroka-penoroka dapat hasil dari penjualan 810 unit saham yang diheboh-hebohkan oleh pihak kerajaan itu? Jika mereka menjual saham-saham yang mereka beli melalui pinjaman bank itu, boleh ke tidak peneroka dapat membeli setidak-tidaknya sebuah kereta kancil ‘second hand’?

Seperti mana yang kita semua ketahui peneroka telah diperuntukkan sebanyak 810 unit saham sahaja bagi satu keluarga. Kalau dipatah-patahkan jari untuk membuat perkiraan ia bermakna  peneroka hanya mendapat RM680 sahaja. Pendeknya peneroka tidaklah mendapat sebanyak mana. Kalau kita dengar publisitinya dahulu seolah peneroka akan menjadi kaya raya setidak-tidaknya dapatlah setengah juta seorang, kerana peneroka telah memerah keringat mereka selama lima dekad lamanya.

Setelah ditolak kos ‘processing’ sebanyak RM200 maka  sekeluarga peneroka akan hanya mendapat sebanyak RM480 sahaja. Itu untuk satu keluarga. Kalaulah keluarga peneroka ada seramai 6 orang maka, seorang ahli keluarga mendapat RM48 seorang.  RM48 itu jika dibelikan rokok Lucky Strike yang saya hisap itu maka setiap ahli keluarga peneroka dapatlah sebanyak 4 kotak  sahaja.

Jika harganya naik sampai RM10 sekali pun sebuah keluarga peneroka hanya mendapat RM8,100 sahaja dan itu belum ditolak kos ‘pemprosesan’ yang dikenakan oleh CIMB misalnya. Dalam isu ini kita nampak peneroka hanya mendapat air tangan sahaja. Yang mendapat keuntungan besar ialah orang-orang kaya dan besar-besar yang tidak pernah menjejak kaki ke tanah rancangan Felda itu.

Setelah bertungkus lumus selama 50 tahun peneroka hanya boleh diibaratkan seperti kerbau yang membajak sawah pagi ke petang, tetapi tikus yang gemuk-gemuk memakan dengan enaknya di kepuk padi. Bagi saya peneroka-peneroka telah dipergunakan oleh pihak yang melakukan penyenaraian itu.

Tetapi apakan daya peneroka begitu terloncat-loncat kegembiraan kerana percaya kepada tindakan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO Baru itu. Dalam isu ini peneroka-peneroka tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana segala usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk membatalkan penyenaraian itu tidak mendapat kerjasama dari peneroka.

Sekarang ada peneroka yang sudah mula merasakan mereka telah dipergunakan oleh pimpinan kita untuk kepentingan saku mereka (pimpinan) sahaja. Bagi kami yang tidak boleh berbuat apa-apa kami hanya boleh berkata di dalam hati kami “padan muka!” sahaja.

Tidak tahu lah berapa lama peneroka sekeluarga boleh bertahan dengan seribu dua hasil dari penyenaraian itu. Mereka sahajalah yang akan merasakannya. Tetapi apa yang mereka akan dapat tahu tidak lama lagi ialah mereka sebenarnya tidak lagi ada kena mengena dengan FGV. KPF tidak mempunya apa-apa saham dalam FGV. KPF hanya mempunya saham dalam ‘special purpose vehicle’ (SPV), Felda Asset Holdings yang mempunyai saham besar di dalam FGV. Dividen dan sebagainya akan diterima oleh Felda Asset Holding sahaja. Lain-lain perkataan peneroka memang sudah terpisah dengan FGV bermula dari sekarang.

In the first place, apa perlunya Felda disenaraikan kalau tidak kerana kepentingan setengah pihak yang berwajib? Selalunya syarikat akan disenaraikan di pasaran saham hanya kerana satu dua sebab sahaja dan Felda tidak mempunyai alasan untuk disenaraikan.

Pertamanya jika seseorang itu telah berjaya membina syarikat peribadi mereka dengan jayanya dan ingin untuk berehat kerana elemen umur dan sebagainya mereka akan senaraikan di pasaran jika telah melepaskan syarat-syarat yang ditetapkan. Empunya syarikat akan menjual setengah dari saham mereka kepada ‘public’ dan mereka akan memberikan pemegang saham yang baru untuk menguruskan syarikat yang telah disenaraikan itu.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang baru disenaraikan itu dengan persetujuan mesyuarat agung syarikat untuk melantik ahli-ahli lembaga pengarah serta pengurus-pengurus yang berkelayakan untuk meneruskan perniagaan syarikat tersebut.

Sebab keduanya ialah jika syarikat yang ingin mengembangkan perniagaannya, mengapungkan sahamnya dipasaran merupakan cara yang paling lazim kerana dengan cara itu syarikat akan memperolehi dana awam untuk kegunaan memperkembangkan perniagaan syarikat.

Tetapi dalam kes Felda ini apa perlunya ia disenaraikan kerana Felda yang dikatakan sangat berjaya itu memperolehi perolehan sebanyak RM4 sehingga RM5 billion setahun? Felda tidak perlu mendapatkan dana dari terbitan awam tetapi kenapa ia disenaraikan juga?

Pendeknya penyenaraian Felda ini sebenarnya hanyalah untuk kepentingan pihak lain, bukannya untuk kepentingan peneroka kita…...kadang-kadang sedih juga melihat bagaimana peneroka yang telah berhempas pulas untuk meneroka tanah itu selama lima puluh tahun akhirnya setelah begitu berjaya datanglah pihak lain untuk meraih keuntungan dari penat dan jerih peneroka-peneroka selama lima dekad itu.

Peneroka hanya disogok sebanyak RM15 ribu untuk memudahkan peneroka bersetuju untuk melakukan kerja yang amat menyayat hati kepada siapa yang nampak tujuan tidak molek setengah pihak untuk menyenaraikan saham-saham Felda kepada awam.

Tapi nak kata apa? Pemimpin utama kita lupa pada dasar asal Felda itu ditubuhkan. Nampaknya peneroka sekarang ini dapat untung secupak ruginya segantang.

Mangsa mogok kena Hepatitis B, diugut pecat

Harakahdaily, 03 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang tahanan ISA terpaksa menghentikan mogok lapar mereka apabila masuk hari ke 13 hari ini apabila diserang Hepatitis B.

Mata Razali Kassan membengkak dan kekuningan  kerana terkena jangkitan itu, kata Syed Ibrahim Syed Noh Pengerusi, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Syukri Razab, Penyelaras Suaram, Sekretariat GMI dalam kenyataan bersama mereka.

Razali Kassan juga merupakan tahanan yang dilaporkan telah dipukul dan diludah oleh pegawai KemTa semasa menyertai mogok lapar.
Hepatitis B merupakan penyakit berjangkit yang boleh merebak melalui darah dan cecair badan yang tercemar.

Sekiranya tidak dirawat, hepatitis B boleh menyebabkan penyakit kronik seperti radang hati.

GMI juga mendapat maklumat Fadzullah Razak yang telah memulakan mogok lapar masih nekad dan akan terus mogok sehingga semua tahanan dibebaskan.

"Berdasakan maklumat yang diperolehi, walaupun telah diasingkan daripada tahanan lain dan dipaksa untuk berhenti, Fadzullah tetap meneruskan mogok lapar," kata kenyataan itu.



Berpuasa setiap hari

Begitu juga seorang tahanan daripada Sabah yang bernama Bakar bin Baba yang dilaporkan sebagai berpuasa setiap hari.

Bakar yang merupakan seorang guru juga dilaporkan telah menerima surat buang kerja daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas alasan melanggar tatatertib ekoran penahanannya di bawah ISA.

Walau bagaimanapun, surat itu sampai ke rumah Bakar yang berada di Tawau dan surat itu telah dipanjangkan oleh keluarganya kepada pihak KemTa.

Namun sehingga ke hari ini belum ada sebarang maklum balas mengenai surat itu daripada Bakar.

Ini kerana, jika surat itu tidak dijawab dalam masa 14 hari, Bakar akan dibuang kerja.

GMI juga mendapat maklum Bakar didenda untuk tidak boleh menggunakan telefon dan berhubung dengan surat ekoran beliau menyertai mogok lapar.

Sekiranya Bakar dibuang kerja, keadaan ini sudah pasti lebih menyukarkan keluarganya yang bergantung penuh pada pendapatannya sebagai guru, kata kenyataan itu.

Sementara itu, GMI membuat tiga tuntutan iaitu:



1. Pihak KemTa perlu membenarkan peguam yang akan melawat KemTa untuk hadir bersama doktor bagi membolehkan keadaan pesakit diperiksa oleh doktor selain daripada pegawai perubatan yang disediakan oleh pihak KemTa.


2. GMI juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa semua tahanan akan dibenarkan menggunakan akses telefon dan surat menyurat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar seperti mana yang sedang dihadapi oleh Bakar bin Baba


3. GMI mendesak Menteri Dalam Negeri untuk memastikan tidak ada hukuman atau denda yang dikenakan ke atas tahanan yang bermogok lapar termasuk tidak menghadkan tempoh pertemuan keluarga seperti mana yang telah berlaku terhadap tahanan Mustawan, Razali dan Fadzullah.


GMI juga berpendirian:



GMI tetap dengan pendirian bahawa semua isu yang berlaku akan selesai sekiranya Menteri Dalam Negeri bersedia untuk membebaskan kesemua tahanan ISA. Keegoan Menteri mempertahankan tindakan hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih keruh.

GMI juga berpendirian tindakan pihak KemTa yang mendenda tahanan yang menyalurkan maklumat keluar daripada KemTa juga merupakam tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Apakah tindakan untuk memaklumkan kepada keluarga mengenai salah laku pegawai KemTa dan penderaan yang dialami tahanan merupakan satu kesalahan?

"Sifat pihak KemTa ini dilihat amat tidak professional dan lebih dilihat sebagai cuba melindungi sesuatu daripada diketahui umum," kata kenyataan itu lagi.

Polis khasnya SB perlu fokus banteras jenayah

Muhammad Faizal, 03 Jul 2012

(Wan Azizah dalam sidang medianya pagi ini)

PETALING JAYA: PKR hari ini mencadangkan agar kerajaan memberi kebebasan kepada pihak polis untuk memerangi jenayah bukannya memerangi rakyat yang berbeza fahaman politik.

Berkata kepada media di Ibu Pejabat PKR, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ali memberitahu mencegah jenayah adalah menjadi satu agenda nasional dan perlu diatasi segera.

Namun, katanya, dari menangani isu jenayah, kerajaan memilih untuk membebankan polis dengan kerja yang tidak masuk akal.

Dalam masa yang sama, kata beliau, kerajaan masih berkeras mengatakan kadar jenayah telah menurun walaupun hakikatnya adalah bertentangan.

"PKR percaya langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini adalah mengakui peningkatan jenayah adalah benar.

"Langkah kedua adalah memastikan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membaik pulih sistem dan prosedur umum dalam tugasan mereka," jelasnya.

Dr Wan Azizah juga mencadangkan agar menghentikan menggunakan polis sebagai instrumen 'Police State'.

"Kami meminta kerajaan untuk menghentikan kerja polis Cawangan Khas (SB) mengintip rakyat.

"Kerajaan sepatutnya mengarah SB untuk memfokus pada kerja mengintip jenayah," katanya.

Menurut beliau, pada tahun 2010 SB telah menghasilkan 382 ribu laporan mengenai kegiatan politik rakyat.

Malah menurutnya lagi, SB juga telah menjalankan 351 ribu pemeriksaan keselamatan ke atas rakyatnya, pada keseluruhan SB telah menghasilkan 733 ribu laporan dan berjaya mengintip kira-kiran 4.3 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia.

"Sebagai bandingan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) cuma membuka 212 ribu fail jenayah iaitu kurang daripada 30 peratus daripada jumlah aktiviti mengintip SB.

"Oleh itu, kami mencabar kerajaan untuk mengarahkan 90 peratus aktiviti SB ke arah membanteras jenayah," tambahnya lagi.

Jelas Dr Wan Azizah lagi, jika kerajaan tidak boleh melakukan ini, maka rakyat mesti bangkit demi negara Malaysia yang lebih selamat dan mengakhirkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum itu, beliau turut mengulas tentang penjenayah yang kini lebih terdesak dan berani bertindak pada siang hari dengan menggunakan senapang dan senjata.

Kejadian jenayah yang semakin berleluasa ini menyebabkan rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan.

‘Road Gang’ inovasi jimatkan penyelenggaraan jalan

Harakahdaily, 03 Jul 2012
SUBANG JAYA: Konsep pembaikan kerosakan jalan oleh pasukan khas pihak berkuasa tempatan yang dinamakan 'Road Gang' telah berjaya menjimatkan kira-kira tiga kali ganda wang kerajaan berbanding jika ianya diserahkan kepada kontraktor.

Misalnya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ (penurapan kerosakan jalan) melalui Road Gang hanya menelan belanja RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka jalan yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan, lapor media kerajaan Selangor, Selangorku.com.

Road Gang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hail kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Perkara ini diceritakan oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam satu taklimat beliau kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Abdul Khalid, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan,

Shukri membentangkan perkara ini dalam Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara in house’.

Penubuhan Road Gang itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bagi menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ia diwujudkan kerana penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini banyak memakan wang kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Nik Aziz lancar buku 'Bertemu Janji Allah'

Harakahdaily, 03 Jul 2012
SHAH ALAM: Sempena Pesta Buku Selangor 2012, Kemilau Publika akan melancarkan buku karya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjudul 'Bertemu Janji Allah'.

Majlis akan diadakan pada 8 Julai 2012 (Ahad), jam 11.00 pagi bertempat di Pusat Konvensyen SACC Shah Alam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga akan menyertai majlis itu bagi memeriahkan majlis tersebut. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dijangka akan turut serta di majlis ini.

Buku ini adalah kompilasi daripada kuliah Tok Guru Nik Aziz yang boleh dianggap segar sepanjang zaman.

Buku Bertemu Janji Allah ini mengajak pembaca menyelusuri jalan-jalan di mahsyar yang menyayat hati.

"Dengan mengikuti huraian tentang hari kiamat dan alam akhirat, Tok Guru cuba mendorong kita menjadi mukmin yang cintakan akhirat kerana di sanalah kesenangan abadi," kata penerbitnya, Masri Abu Soed.

Buku 'Bertemu Janji Allah' boleh didapati dengan harga RM39.00 dan diskaun hebat disediakan.

Buku ini adalah edisi kulit keras (hard cover) dan sudah berada di semua kedai-kedai buku utama seluruh negara termasuk MPH & Popular Bookstores.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai dan masuk adalah percuma.

Tiada ulasan: