Hasrat kerajaan merobohkan bangunan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) bagi memberi laluan kepada projek keretapi MRT amat dikesali kerana ia akan menjejaskan orang Melayu yang menguasai 60 peratus perniagaan di tempat itu.

Menurut Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), perobohan BB Plaza juga tidak patut dibuat kerana aset UDA Holding - yang ditubuhkan bagi membantu usahawan Bumiputera - itu berada di tempat strategik dan menjadi tumpuan pelancong.

"DPPWP melihat dengan perobohan bangunan BB Plaza ini, bagaikan menabur pasir ke dalam periuk nasi para peniaga Melayu/Bumiputera di sini.

"Bagaimanakah nasib para peniaga ini nanti?" soal ketua penerangannya Kamaruzaman Mohamad.

Dalam kenyataannya hari ini, Kamaruzaman berkata, walaupun terdapat cadangan membangunkan semula bangunan 33 tahun itu, mungkin peniaga Melayu terlibat tidak mampu menampung kos sewa yang mahal.

Beliau juga mengaitkan perobohan BB Plaza itu dengan kehilangan dua aset yang dianggap paling bernilai iaitu Plaza Warisan dan UO Superstore yang memberikan keuntungan kepada usahawan Melayu dan Uda sendiri.

"DPPWP difahamkan bahawa laluan pembinaan stesen MRT yang asal tidak melibatkan bangunan BB Plaza. Hanya apabila tidak mampu membayar pampasan, maka aset orang Melayu ini dikambing hitamkan," katanya.

Justeru, kata Kamaruzaman, pihaknya mendesak kerajaan menarik balik cadangan merobohkan bangunan BB Plaza itu demi kelangsungan perniagaan pengusaha Melayu di Kuala Lumpur.

"Kita tidak menolak sebarang usaha untuk membangunkan dan memajukan bandar Kuala Lumpur ini tetapi janganlah sehingga menindas sesetengah pihak terutama peniaga-peniaga bumiputera yang masih memerlukan bantuan untuk terus bersaing dengan peniaga-peniaga lain," katanya.
K'jaan pertahan cuti peribadi Najib di Milan
7:27PM Jun 29 2012  
Selepas didesak oleh anggota parlimen pembangkang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengakui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercuti peribadi di Milan menggunakan pesawat rasmi.

Bagaimanapun, menurut jabatan itu, hanya jumlah minimum pegawai-pegawai mengiringinya dalam percutian itu bagi memastikan keselamatannya terjaga.

Keseluruhan lawatan peribadinya daripada 18 hingga 25 Mei - dua hari di Washington dan lima hari ke Milan dengan transit di Dubai - menelan belanja RM273,799.57 menggunakan wang pembayar cukai, jelas Timbalan Menteri di JPM Liew Vui Keong kepada parlimen malam tadi.

NONERombongan itu disertai polis pengiring, pegawai peribadi, doktor dan pegawai keselamatan. Kesemua perbelanjaan ditanggung kerajaan ekoran itu tugas rasmi mereka, kata Liew (kiri).

"Walaupun YAB perdana menteri sedang bercuti, ia tidak memutuskan tugas dan tanggungjawab jawatan beliau sebagai perdana Menteri Malaysia.

"Sehubungan dengan itu, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang berpandangan isu keselamatan YAB perdana menteri harus diketepikan semata-mata kerana beliau sedang bercuti.

"Atas dasar keselamtan dan kepentingan negara, maka persoalan kelulusan kerajaan bagi YAB perdana menteri menggunakan pesawat eksekutif kerajaan semasa mengadakan lawatan peribadi yang dibangkitkan oleh ahli yang berhormat tidak seharusnya timbul," katanya.

Liew menjawab soalan tambahan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang tidak berpuas hati dengan jawapan sebelumnya oleh menteri di JPM Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berhubung perbelanjaan lawatan ke luar negeri Najib.

Rakyat beri mandat kepada Abdullah, bukan Najib

Anis Nazri, 30 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Secara tidak rasminya, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.

Sebaliknya, selepas BN memenangi pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu, Najib dilantik oleh Tun Abdullah Badawi untuk menerajui BN, sekaligus membentuk kerajaan.

"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang berhasrat untuk menunggu tempoh lima tahun sebelum memanggil pilihan raya umum bagi membolehkan beliau meneruskan mandat yang diberikan rakyat.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pihaknya bersetuju dengan hasrat tersebut, dan meminta Najib menyatakannya secara 'akujanji' tentang tempoh lima tahun tersebut.

"Jika benar beliau berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum selepas tamat tempoh penggal yang diberikan, adalah lebih baik jika ia memberi jaminan secara akujanji," tegas beliau lagi.

Tambah ahli parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan hasrat Najib itu juga dilihat mampu menguruskan soal peruntukan negara membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara lebih berkesan.

Sebelum ini, dalam bajet tambahan yang dibentangkan di parlimen, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang kepada badan pengendali pilihan raya itu.

"Kalau ditetapkan tarikh pilihan raya seperti tepat pada tempoh mandatnya, banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih mudah, termasuk wang peruntukkan yang diberikan kepada pihak berkaitan," tegas Mahfuz.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik hasrat Najib itu, walaupun ia sebenarnya menunjukkan sikap serba salah beliau yang sehingga kini tidak boleh menetapkan tarikh pembubaran parlimen.

"Bagaimanapun, apapun alasan beliau, kita terima kerana ia lebih memudahkan semua pihak untuk persiapan menghadapi pilihan raya," kata beliau yang dihubungi, hari ini.

Najib, dalam kenyataannya malam tadi menegaskan kerajaan BN sekarang berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008.

Bersih 3.0: Siasatan awam Suhakam bermula 5 Julai

Harakahdaily, 30 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini Siasatan Awam yang dicadangkan dalam insiden semasa dan selepas perhimpunan awam pada 28 April lalu.

Setiausaha Suhakam, Rodziah Abdul berkata, pihaknya telah memutuskan bahawa siasatan awam tersebut diadakan bermula pada 5 Julai ini.

“Sehingga 21 Jun 2012, Suruhanjaya telah selesai menjalankan semakan ke atas penghujahan awam yang telah diterima daripada orang ramai dalam bentuk dokumen, kenyataan dan rakaman video dan telah mengenal pasti saksi-saksi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, Suhakam sedang menunggu maklumbalas dari pihak polis atas permohonannya, dan peringatan seterusnya telah dikemukakan berhubung tujuan untuk menemubual personel polis yang bertugas semasa perhimpunan awam 28 April.

“Keputusan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa semasa dan selepas perhimpunan awam 28 April 2012 setelah mengambil kira pemantauan Suruhanjaya dan beberapa faktor lain yang berkaitan, termasuk penyerahan aduan, laporan dan memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional serta kumpulan masyarakat sivil yang lain kepada Suruhanjaya berhubung perkara tersebut yang menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas kejadian tersebut,” ujarnya lagi.

Menurutnya, panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.


Jelasnya, terma rujukan untuk siasatan awam itu adalah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April itu.

“Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi; apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut,” katanya.

Katanya, ia untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Wahid cabar Ahmad Said debat isu Terengganu

Harakahdaily, 30 Jun 2012
MARANG: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mencadangkan pihak akhbar Sinar Harian menganjurkan debat antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Katanya, debat tersebut berkisar kepada isu yang berlaku di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyatakan demikian pada Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 orang hadir pada majlis yang dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di samping kepimpinan PAS negeri.

Media baru berjaya gagalkan propaganda RTM

Khairil Abdul Rahim, 30 Jun 2012
BANDAR JENGKA: Rakyat negara ini sekarang bernasib baik dengan kemunculan media alternatif internet kerana berjaya menggagalkan propaganda Umno BN melalui televisyen seperti mahu dilakukan kepada perhimpunan Bersih 3.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pada satu ketika propaganda peristiwa Memali yang membabitkan pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan 18 yang lain telah menyebabkan PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU).

(Gambar: Mohamad merasmikan Pejabat PAS Kuala Krau disaksikan Tuan Ibrahim.)

“Bila berlaku Bersih 3 dibuat modus operandi seperti mereka propagandakan tragedi Memali. Kita tahu masa itu Menteri Penerangan Rais Yatim, dia perguna RTM untuk beritahu Ibrahim Libya menganut ajaran sesat, kebal dan sebagainya.

“Propaganda dibuat termasuk menyiarkan drama cerita Guru Yahya yang sesat dan disamakan dengan ajaran Ibrahim Libya. Apabila Umno guna melalui RTM sangat hebat tiap-tiap malam hinggakan PRU selepas itu kita hanya menang satu kerusi parlimen di Pengkalan Chepa.

“Bersih 3 macam itulah juga Rais Yatim nak buat, ditunjukkan perusuh himpunan mengganas termasuk peserta himpunan menterbalikkan kereta polis tapi tak cerita kereta polis sebelum itu langgar empat orang. Bila anak-anak muda tengok Youtube tiada siapa lagi yang percayakan RTM,” katanya.

Tambah Mohamad, itulah nasib Rais yang masih main lagu lama pada tahun 2012 sehingga klip rakaman video polis yang dijanjikan terus tidak disiar setelah sedar peranan media baru.

Mohamad berkata demikian ketika berceramah di Rantau Perintis dekat sini, semalam. Turut berceramah Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim.

Sebelum itu beliau merasmikan pejabat baru PAS Kawasan Kuala Krau.

PRU: Bagus umpan politik tapi Najib tak yakin

Anis Nazri, 30 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun bersetuju dengan hasrat Perdana Menteri untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU), PAS tetap menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai keyakinan untuk membubarkan parlimen.

Tiada 'feel good factor' bagi parti Melayu terbesar itu dikatakan antara sebab mengapa Presiden Umno itu tidak mengadakan pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata biarpun kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk rakyat yang disifatkan sebagai umpan politik, ia tidak mampu menarik sokongan rakyat terhadap BN.

"Sebelum ini, pelbagai imbuhan diberikan kerajaan terhadap rakyat. Baguslah...cuma tidak mampu menarik sokongan rakyat terhadap parti dia," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Salahuddin juga berkata dengan kebangkitan rakyat yang menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin hari membuatkan Najib semakin terdesak dan bimbang untuk mengadakan pilihan raya.

Maka, tambah ahli parlimen Kubang Kerian itu, pelbagai alasan dijadikan jalan keluar seperti 'memenuhi mandat rakyat' untuk tidak memanggil pilihan raya umum ke-13.

Tarikh mengenai pilihan raya terus menjadi tanda-tanya ramai pihak apabila Najib dilihat tidak bersedia untuk membubarkan parlimen.

Malah, tindakan Najib itu juga menimbulkan keresahan di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya PAS berhubung kemungkinan Najib memanggil pilihan raya umum pada musim haji.

Labih-lebih lagi, Najib sendiri tidak menafikan kemungkinan tersebut (pilihan raya di musim haji), malah menyatakan ia pernah dilakukan sebelum ini.

Kemuncak dari pelbagai persoalan mengenai tarikh pilihan raya ini apabila Najib dikatakan akan membubarkan parlimen, petang semalam selepas pertemuan dengan anggota tertinggi BN.