Khamis, 2 Disember 2010

BERANGAN2 NI SERONOK GAK...TAPI JANGAN SAMPAI TAK BERUSAHA...EGO ATAU TERLALU YAKIN...IBADAH SERTA DOA DISAMPING KERJA YANG BERLIPAT GANDA

Henti diskusi ke Putrajaya, kuatkan parti dahulu
Harakahdaily

TEMERLOH, 1 Dis: Bersediakah kita untuk melangkah ke Putrajaya?

Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR), khususnya ahli-ahli PAS.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat untuk memfokuskan tugas untuk memperkasakan seluruh jentera parti terlebih dahulu sebelum membincangkan jalan ke Putrajaya.

Ini kerana berdasarkan pengamatan beliau, persiapan semua parti belum di tahap optimum, bahkan di sesetengah kawasan ianya masih tidak menampakkan persiapan ke arah menghadapi pilihan raya umum.

“Masalah daftar pemilih, kedudukan kewangan, persiapan jentera dan petugas masih berada pada tahap rehat,” kata Tuan Ibrahim, yang melahirkan rasa bimbang kepada persiapan Pakatan Rakyat ditambah dengan waktu yang semakin singkat.

“Jentera parti adalah mekanisme yang penting dalam menghadapi segala penyelewengan Barisan Nasional (BN) dari setiap sudut.

"Kepincangan dan kelemahan jentera akan membuka ruang kepada BN menembusi kubu-kubu yang dibina bagi menggagalkan cita-cita kita ke Putrajaya,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menekankan bahawa betapa pentingnya untuk semua parti untuk memperkemaskan jentera parti untuk digerakkan pada bila-bila masa kerana berdasarkan beberapa petunjuk terkini, kemungkinan besar pilihanraya umum akan diisytiharkan lebih awal daripada dijangkakan.

Tuan Ibrahim juga berkata media massa kini cuba melaga-laga PR dengan membawa isu yang tidak perlu dibincangkan seperti siapa yang akan menerajui kepimpinan negara, barisan kabinet PR dan juga soal kekuasaan parti yang akan menerajui negara.

“Semua persoalan ini hanyalah perangkap bagi menimbulkan suasana tidak senang antara parti-parti komponan PR.

"Sedangkan realiti sejauh mana kita boleh memenangi PRU akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya.

"Ibarat rakan kongsi untuk menternak kambing, sibuk bertengkar bagaimana untuk membahagikan keuntungan; sedangkan kambing seekorpun belum ada,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru supaya semua masalah dalam parti ketiga-tiga komponen parti PR mesti diselesaikan awal sekiranya mereka serius dalam menyatakan bahawa PRU 13 penting bagi membuat perubahan awal ke Putrajaya.

Beliau turut menambah bahawa kekuatan parti di semua peringkat mesti menjadi agenda utama dan menyeru seluruh ahli parti untuk bertindak secara pro aktif dalam merancang kerja bagi memenangi PRU dan bukannya sahaja menunggu arahan kerja.

“Setiap ahli parti mesti memikirkan apakah yang saya boleh sumbangkan bagi menjana kemenangan ini.

"Benar di sana ada ahli yang perlu diberi arahan kerja, namun kalau di peringkat kepimpinan masih sibuk membincangkan titik bengit dalaman sehingga menjejaskan gerak kerja parti; maka sebenarnya kita telah masuk perangkap musuh tanpa disedari,” Tuan Ibrahim memberikan amaran.

Dalam isu keyakinan pengundi, beliau mengingatkan para pekerja dan pimpinan parti bahawa pengundi hanya akan memberikan undi kepada sesuatu parti seandainya mereka yakin dengan kekuatan dan keutuhan parti yang menerajui negara.

“Lantaran itu, bukan sahaja segala fitnah jahat BN perlu disanggah, bahkan keyakinan rakyat perlu dibina,” ujarnya sambil menambah bahawa pencapaian yang dikecapi oleh semua negeri PR selama tiga tahun ini akan menjadi aset penting untuk membina keyakinan pengundi.

“Cuma isu utama sejauh manakah pencapaian itu diketahui dan dirasai oleh rakyat?

"Berhadapan dengan rakyat yang tidak bermaklumat yang ditemui dalam tinjauan menuntut satu mekanisme diwujudkan agar sasaran pengundi utama di kawasan luar bandar dan kawasan Felda khususnya dapat ditembusi,” katanya.

Seruan yang sama turut bergema di dalam sidang Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat baru-baru ini, di mana keempat-empat negeri Pakatan Rakyat dengan sebulat suara bersetuju untuk menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat untuk menangkis serangan media BN yang semakin mengecam kebelakangan ini.


Kenapa tak rogol saya?
Hilmi Halim

Kisah benar ini berlaku di US (Amerika Syarikat).

Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.



Bekas Adun Gual Ipoh meninggal dunia
Wartawan Kita

TANAH MERAH, 1 Dis: Bekas Adun Gual Ipoh, Muhamad Kamil Harun, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira jam 7 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia ketika berada di kebunnya di Kampung Sokor, terletak di pedalaman pekan Gual Ipoh.

Difahamkan sebelum ini bekas wakil rakyat terbabit pernah mendapat rawatan jantung.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa berkata, Allahyarham berada di kebunnya ketika diserang sakit jantung.

“Saya bagi pihak rakyat di Gual Ipoh merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya di atas kematian Paksu Kamil. Didoakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya di sini.

Muhamad Kamil yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Kamil dilahirkan di Kampung Bukit Durian, Tanah Merah.

Pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS Tanah Merah pada 1993. Beliau menang di kerusi Gual Ipoh pada pilihan raya umum 1999.

Mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup dengan Rohani Hussin.

Turut menziarahi jenazahnya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood.

Selain itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub dan pemimpin PAS Tanah Merah.

Jenazahnya dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Durian.



Daulah Islamiyah anugerah kepada umat Islam
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 1 Dis: Tokoh Pemikir Dunia Islam Antarabangsa, Prof Syeikh Dr Said Ramadhan Al-Bouti menegaskan, Daulah Islamiyah adalah anugerah kepada umat Islam setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT dalam semua hal kehidupan dan meninggalkan larangan-Nya.

Dr Said berkata, umat Islam wajar kembali melihat bagaimana manhaj dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kalangan Sahabat di zaman Nabi dahulu kerana mereka melakukan segala ketundukan hanya semata-mata untuk mentaati Allah SWT, bukan untuk yang lain daripada itu.

Menurutnya, hasil daripada melakukan segala kebaikan berpandukan arahan dan didikan Nabi Muhammad di sepanjang perjalanan kehidupan mereka, akhirnya Allah SWT. hadiahkan sebuah Negara Islam kepada mereka setelah berbelas tahun berjuang.

"Wujudnya Negara Islam di Madinah adalah hadiah daripada Allah SWT. kepada sekumpulan sahabat besar yang sentiasa melaksanakan arahan dan mengikut perintah-Nya.

"Pertama mereka melaksanakan wathifah yakni tugas yang wajib dilakukan serta meninggalkan segala larangan-Nya dan keduanya, baharulah mereka mendapat hadiah daripada Allah SWT.

"Persoalannya kepada kita sekarang, kenapa Daulah Islamiyah pupus? Jawapannya adalah kerana terdapat sebahagian besar daripada umat Islam meninggalkan segala arahan dan melakukan larangan-Nya," tegasnya dalam satu ceramah di Masjid Negeri, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Utama Diraja, Mohamad Tamyez Abdul Wahid, Imam Besar Masjid Negeri, Syeikh Ahmad Mustafa Sidin, Presiden Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohamed dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah Universiti Damascus, Dr Tawfik Ramadhan Al-Bouti, Dr Said Ramadhan Al-Bouti merupakan Ketua Jabatan Tauhid dan Agama, Fakulti Undang-undang Islam di Universiti Damascus, Syria berada di Malaysia atas undangan Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pengucap Utama dalam Konferen Antarabangsa Pendidikan Islam (ICIEd2010) anjuran bersama KUIS dan Ilmuan bermula 29 November hingga 1 Disember.

Menurutnya lagi, kini masalah yang sedang melanda umat Islam di mana mereka lebih mengutamakan tudung atau penutup daripada memikirkan bagaimana untuk mewujudkan sesuatu bekas itu terlebih dahulu.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar jangan berasa gembira apabila kedapatan buah yang hanya diikat dengan benang lalu disambungkan di pokok dan isytiharkan 'inilah buah yang dihasilkan oleh pokok' berkenaan.

Dalam pada itu dengan nada menasihatkan umat Islam agar semua pihak memberikan perhatian sepenuhnya kepada pendidikan dalam keluarga sendiri menuju kejayaan yang baginya, merupakan saliran-saliran sungai kecil akhirnya membentuk sebuah 'banjir besar' yang diibaratkan sebuah Daulah Islamiyah.


Kenapa Umno takut bukan Islam dekati al-Quran
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Sepatutnya pemimpin bukan Islam diberikan galakan supaya mereka bertambah minat untuk membaca dan merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab (gambar) berpandangan demikian sebagai mengulas sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin bukan Islam berminat untuk merujuk al-Quran dan menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka.

Namun begitu, katanya pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan al-Quran.

Tambahnya, bermacam alasan diberikan, takut salah tafsir, menghina al-Quran, mencemarkan kesucian al-Quran dan sebagainya.

Baginya, jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada al-Quran tetapi kesalahan itu diperbetulkan.

Malangnya, tambah beliau pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati al-Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin yang membaca terjemahan al-Quran.

“Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, lihat sahaja contoh MCA dan MIC walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih dari 50 tahun tetapi sehingga kini mereka tidak berminat kepada Islam kerana puncanya Umno sendiri pun meminggirkan Islam.

“Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka,” katanya.

Beliau berpendapat, mungkin Umno terasa tercabar kerana orang bukan Islam merujuk al-Quran tetapi Umno meminggirkan al-Quran atau Umno takut orang bukan Islam faham Islam dan seterusnya menyokong PAS dan PR.

“Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan al-Quran sebagai salah satu rujukan mereka.

“Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan,” ujarnya.

Katanya, ulama mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan al-Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.

Justeru, beliau mengharapkan selepas ini semua pemimpin dan penganut Islam terus memberikan sokongan padu kepada orang bukan Islam merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Isu itu tercetus semula apabila Adun Hutan Melintang, Perak, S.Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan al-Quran merujuk kepada ayat yang lain daripada apa yang sepatutnya.

Bagi Sofi, adalah bukan suatu perkara yang pelik jika Umno tidak suka pemimpin bukan Islam menggunakan ayat al-Quran kerana Umno sendiri selalu meminggirkan al-Quran dalam tindakan seharian mereka.

Dalam isu menghalalkan judi dan riba, judi bola, mendedahkan aurat, meminggirkan hukum hakam Islam dan sebagainya jelas Umno membelakangkan al-Quran, katanya



Subsidi IPP RM15.1b, rakyat cuma RM11 bilion
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan memberi subsidi Petronas kepada syarikat konsesi penjana kuasa bebas (IPP) sebagai membelakangkan rakyat.

Anwar ketika berbahas di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Dewan Rakyat berkata, subsidi sebanyak RM15.1 bilion berbanding subsidi minyak kepada rakyat yang hanya sebanyak RM11 bilion jelas tidak munasabah.

"Subsidi kepada IPP RM15.1 bilion, subsidi kepada rakyat hanya RM11 bilion. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan?" katanya yang juga ketua pembangkang di Parlimen, semalam.

Anwar turut mempertikai dasar penswastaan yang dilihat hanya memberi kepentingan kepada syarikat konsesi yang sedia kaya, sehingga kerajaan tidak berupaya untuk mengkaji dan membuat runding semula perjanjian yang termeterai.

"Kita tidak menentang penswastaan tapi perlu lihat kesan tarif dan kerugian kepada negara dan juga kepada Petronas ekoran keengganan kerajaan mengkaji dan runding semula dengan syarikat konsensi IPP. Sikap yang sama dilihat dalam isu air di Selangor," kata beliau.

Dakwa beliau juga, kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk mengkaji dan mengadakan runding semula semua perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar mengkaji semula perjanjian dengan IPP dan juga syarikat konsesi air agar rakyat tidak terbeban dengan dasar penswastaan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) yang tidak memihak kepada pengundi Hulu Selangor kerana menyokong tindakan Syabas yang berhasrat menaikkan taraf air sebanyak 31 peratus.

Sebelum itu, usul memotong gaji Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dikemukakan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS- Kuala Selangor), namun tidak dipersetujui wakil Barisan Nasional


Kempen derma Tabung Serambi Mekah, esok
Rizal dan Mohd Nor

KOTA BHARU, 1 Dis: Kerajaan Kelantan telah membelanjakan sejumlah RM2 juta kepada rakyat Kelantan yang ditimpa bencana dan musibah sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tabung Amanah Darulnaim (Tabung Serambi Mekah), Datuk Ahmad Yakob, berkata sumbangan berkenaan diberikan kepada semua mangsa bencana alam, termasuk banjir dan kebakaran.

“Ketika kerajaan negeri menghulurkan sumbangan kepada rakyat, kita juga ingin rakyat yang berkemampuan juga turut serta membantu golongan yang memerlukan ini.

“Kita ingin berkongsi masalah dengan mereka yang menerima bencana dari Allah, mudah-mudahan kita semua diberikati-Nya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Menurutnya, sumbangan yang diperolehi dari para dermawan termasuk individu, syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan negeri melalui tabung ini telah disalurkan pada mereka yang memerlukan.

Sumbangan dari semua pihak sangat diperlukan sebagai alternatif menambah dana ekoran kerajaan pusat masih membisu berhubung tuntutan wang royalti Kelantan.

Selain itu ianya juga sebagai satu saluran bagi memberi peluang kepada para dermawaan dan individu prihatin bersama kerajaan negeri membantu mangsa ditimpa musibah.

“Kita harapkan wang royalti, kerajaan Pusat sehingga kini juga masih membisu berhubung tuntutan kita, jadi sama-sama kita bantu membantu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz akan melancarkan kempen kutipan derma sempena ulang tahun ke-20 Tabung Serambi Mekah, jam 9.30 pagi esok di Dewan Kompleks Balai Islam Lundang.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru orang ramai termasuk dermawan hadir pada pelancaran tersebut.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan derma tersebut melalui akaun yang telah disediakan oleh kerajaan iaitu Akaun Bank Islam – 3018010028774 (sumber halal) dan 3018010045654 (sumber tidak halal).

Tabung tersebut juga dikenali dengan nama Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim telah ditubuhkan pada bulan Febuari 1991 di bawah Seksyen 9 (1) dan 9(3) akta acara kewangan (1957) disemak (1972).

Ia diwujudkan dengan bermatlamat untuk membangunkan individu atau orang ramai yang miskin lagi dhaif, mereka yang ditimpa mala petaka, penyakit kronik disamping itu ia juga untuk menampung projek sosioekonomi rakyat.

Tiada ulasan: