Rabu, 11 Julai 2012

CARA MATI ITU DAH JADI KETENTUAN ALLAH...KITA SERAH PADA ALLAH...ADA PEMBANGKANG ELOK ADA TEGUR MENEGUR...JANGAN KITA LIHAT KOTOR ORANG SAJA...KITA MUNGKIN BERGELUMANG DENGAN KEKOTORAN JUGA...MUNGKIN LAGI BANYAK...BUKA KAIN ORANG...ORANG JUGA BUKA KAIN KITA...SEDANGKAN KUDIS KITA LAGI BANYAK...SESUAI DENGAN LAMA MEMERINTAH....NILAI ALLAH LEBIH TEPAT DAN TAK PERNAH SALAH DAN TAK KAN SALAH...

Jiran terkejut tindakan Khalil Afandi
Wartawan Sinar Harian
11 Julai 2012
Hashim
Hashim
Sahak
Sahak
Rumah keluarga yang pernah didiami arwah Khalil Afandi Hamid di Taman Lindungan Jaya.
Rumah keluarga yang pernah didiami arwah Khalil Afandi Hamid di Taman Lindungan Jaya.
PETALING JAYA – “Sebulan yang lalu arwah Khalil  ada datang ke rumah bersama isteri  dan anaknya bertanya khabar kami sekeluarga, dia salam banyak kali dengan saya, percakapannya agak laju dan sukar difahami,” kata jiran arwah Khalil, Sahak Mat Dan, 60.
Menurutnya, Khalil tidak bercakap apa-apa mengenai aktivitinya.

“Dia lahir dan membesar di Kampung Lindungan sebelum berpindah ke sini (Taman Lindungan Jaya) sejak berkahwin dia tinggal di Puchong dan sejak itu kami jarang bertemu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita dia ditembak mati polis kerana mengamuk di Putrajaya sedangkan di sini dia terkenal dengan sifat lemah lembut dan menghormati orang tua,”katanya ketika ditemui  di Taman Lindungan Jaya, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi jirannya Hashim Abdullah, 64, berkata, sejak ibunya  meninggal dunia pada tahun 2008 rumah itu dihuni oleh salah seorang adik lelakinya.

Menurut Hashim, arwah Khalil juga sempat bertemunya ketika datang ke situ sebulan yang lalu.

“Dia tidak cakap apa-apa cuma tanya sihat ke tidak, itu sahaja dan dia kelihatan ceria,” katanya.

Difahamkan arwah Khalil merupakan anak ketiga dari enam beradik seorang  berperwatakan periang dan mudah digauli.

Adik lelaki arwah ketika ditemui di rumahnya pula enggan mengulas lanjut apa yang berlaku.

Dalam kejadian 2.30 petang kelmarin, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan polis di tangan dan bahagian ari-ari manakala rakannya Muhdalina Adam, 28, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa

Malaysia, terkena tembakan di paha kanan  selepas mengamuk di kompleks Pejabat Perdana Menteri.


Entri blog: 'Perjuangan' Khalil Affandi kabur
NORHASPIDA YATIM
11 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
SHAH ALAM - Memperkenalkan dirinya sebagai Jaya Negara, blog lelaki yang maut setelah mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) kelmarin, Khalil Affandi Abdul Hamid, mengisahkan pelbagai isu yang sukar difahami.

Sekiranya diamati, Khalil Affandi banyak mengetengahkan dan mempersoalkan serta lebih kepada mengajak pembaca blognya mendalami dan memikirkan mengikut batasan luar pemikiran biasa mengenai isu ketuhanan.

Selain mengetengahkan isu mengenai ketuhanan, Khalil Affandi juga ada menulis entri pada 4 Jun lalu, yang menyeru semua rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama agar tidak bertelagah sesama sendiri dan menjaga keharmonian hubungan antara agama.

Penelitian Sinar Harian di blognya semalam mendapati terdapat sejumlah 17 artikel yang ditulisnya. Dia mula menulis di blognya itu sejak 4 Jun lalu.

Entri terbaru blognya yang ditulis di jayanegara1234.blogspot.com pada 30 Jun lalu yang bertajuk HIDUP DAN MATI..apa dipertaruhkan yang turut memaparkan kejadian tsunami yang melanda beberapa negara pada 2004.

Dalam entri blognya yang bertajuk UJIAN UNTUK JIWA....... eh! dah bermula ke. Bila? Yang ditulis pada 21 Jun lalu dia turut mengaku meminati penyanyi lagenda rock tanah air, Awie.

“Aku ni kira-kiranya peminat Awie. Manakan tidak.... itu aja pun makanan aku masa dulu. Kini Awie dah kira ‘living legend’. Mantop!

“Kita tinggalkan Awie.... apa-apa pun terima kasih Awie kerana memberi hiburan pada aku tatkala perjuangan rasa macam hambar. Layan la.... lagu Awie la pulak. Zaman ini dah ku lalui... Awie kekal Awie,” katanya.

Di laman Facebook miliknya yang juga diberikan nama Jaya Negara dia menulis sedikit profil peribadi iaitu pernah belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan dan bekerja sendiri sebagai pembuat landskap di Seri Kembangan.

Dengan hanya memiliki 16 orang rakan yang kebanyakannya bukan dalam kalangan kaum Melayu, Khalil Affendi dilihat lebih gemar mengetengahkan isu dalam negara di laman sosialnya itu.

Khalil Affandi mula menulis di Facebooknya pada 23 Mei 2012, berkaitan berita daripada portal Malaysiakini mengenai tapak niaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.

Entri terakhir yang ditulis di Facebooknya ialah pada 5 Julai lalu mengenai artikel yang juga ditulis portal berita Malaysiakini berkaitan Uncle Seekers ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Keluarga Khalil jauhi wartawan
Wartawan Sinar Harian
11 Julai 2012
Keadaan rumah Muhdalina yang tidak berpenghuni ketika tinjauan Sinar Harian semalam.
Keadaan rumah Muhdalina yang tidak berpenghuni ketika tinjauan Sinar Harian semalam.
KUALA LUMPUR - Ahli keluarga lelaki yang mengamuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) kelmarin, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, enggan ditemubual dan meminta polis untuk menjauhkan wartawan daripada mereka.

Perkara itu dimaklumkan pegawai Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada wartawan  kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Difahamkan, mayat Khalil tiba di HKL kira-kira jam 10 pagi untuk proses bedah siasat.

“Ahli keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengulas berkaitan insiden yang berlaku di Jabatan Perdana Menteri, kelmarin. Mereka juga minta pihak polis untuk mengawal keadaan dan menjauhkan wartawan daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, jenazah akan diuruskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan  (Jawi) sebelum diserahkan kepada keluarga.

Tinjauan Sinar Harian di Unit Perubatan Forensik Negara, HKL semalam mendapati, beberapa anggota polis mengawal pintu masuk unit itu daripada dimasuki wartawan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah keluarga suspek wanita amuk, Muhdalina Ahmad, 28, di Kota Damansara mendapati kediaman itu tidak berpenghuni.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak begitu mengenali Muhdalina kerana wanita itu tidak tinggal di situ.

Katanya, dia difahamkan, Muhdalina tinggal dan bekerja di Klang serta hanya sekali-sekala pulang ke rumah keluarganya.

“Saya sangat terkejut mendengar berita yang melibatkan Muhdalina dengan kejadian itu. Saya harap keluarganya bersabar,” katanya.


Lelaki amuk di JPM dakwa dia 'Imam Mahadi'
TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
9 Julai 2012
Lelaki amuk di JPM dakwa 'Imam Mahadi'
Kereta Perodua Kancil mengalami kerosakan selepas diserang oleh lelaki yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahadi’.
Dua mengamuk di JPM, seorang mati
Dua suspek yang mengamuk mengalami kecederaan selepas ditembak polis. – Foto Ihsan News Media Network
PUTRAJAYA - Menggelar dirinya 'Imam Mahadi', seorang lelaki bersama seorang wanita bersenjatakan pedang samurai mengamuk di pekarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum menyerang polis bantuan untuk memasuki kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang tadi, kedua-dua suspek menuju ke pos pengawal keselamatan sebelum dihalang oleh polis bantuan.

Bagaimanapun suspek lelaki meletakkan pedang samurai di leher polis tersebut.

[BERITA BERKAITAN: Dua mengamuk di JPM, seorang mati]

Menurutnya, polis bantuan yang bertugas terpaksa membenarkan kedua-dua suspek dan ketika berada di Kompleks B, suspek telah melibas pedang dan merosakkan dua cermin kereta jenis Hyundai Accent dan Perodua Kancil milik kakitangan JPM.
"Setelah menerima maklumat dari Pusat Kawalan,anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) sampai di tempat kejadian dan memperkenalkan diri sebagai polis, namun turut diserang oleh kedua-dua suspek guna pedang samurai.
"Anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) sampai untuk bagi bantuan turut diserang dari jarak dekat sebelum salah seorang anggota melepaskan tiga das tembakan mengenai kedua-dua suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini lewat petang ini.
Abdul Razak berkata, suspek lelaki yang juga penganggur berasal dari Petaling Jaya berumur 47 tahun cedera terkena dua das tembakan di bahagian bawah perut (ari-ari) dan tangan kanan manakala suspek wanita juga seorang penganggur, berumur 28 tahun, cedera terkena tembakan di paha kanan.
"Suspek lelaki meninggal di hospital manakala suspek wanita menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan dilaporkan stabil.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berkenaan mengaku dirinya 'Imam Mahadi'," katanya.
Menurut Abdul Razak, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada suami suspek, isterinya yang juga bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru seminggu mengenali suspek lelaki berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh polis," katanya.
Amuk di JPM: Ayah dakwa anaknya 'gila Internet'
TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
10 Julai 2012
Dua mengamuk di JPM, seorang mati
Dua suspek yang mengamuk mengalami kecederaan selepas ditembak polis. – Foto Ihsan News Media Network
Amuk di JPM: Ayah dakwa anaknya 'gila Internet'
Ahmad Adam
[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA - "Saya kecewa dia belajar tinggi tapi jadi begini."
Demikian kata Ahmad Adam, 55, ayah Muhdalina, 28, yang ditembak polis ekoran kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.
Menurutnya, suspek merupakan anak kedua dari empat beradik seorang yang peramah dan baik, malah sebelum ini bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat di Pelabuhan Utara, Klang sebelum berhenti hujung bulan lalu.
“Saya tidak sangka perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi telah menyebabkan anaknya itu terjebak dengan perkara yang tidak masuk akal seumpama itu.
“Saya percaya ini ekoran sikapnya yang ‘Gila Internet’ malah kami sendiri tidak pernah mengenali Khalil Afandi dan hanya kenal dia dari surat akhbar hari ini malah percaya Muhdalina hanya mengenali lelaki tersebut melalui internet sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Putrajaya, semalam.
Ahmad berkata, tiada sikap mencurigakan mengenai Ina melainkan dua hari sebelum kejadian dia menghantar dua anaknya ke rumah dan memaklumkan ada urusan untuk dua ke tiga hari malah, "kami tidak mengesyaki apa-apa."
“Dia tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu di syarikat yang sama di Rantau Panjang, Klang banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet dan bukan dikategorikan sebagai seorang yang memiliki pengetahuan agama tinggi,” katanya.
Ahmad yang datang bersama isteri, Siti Marliah Marjunit, 55, dua anak Muhdalina, Mohd Farish Khorizmi Yusof , 2, dan Mia Ratisya Yusof, 1, dengan ditemani anak sulungnya Ariffin.
Bagaimanapun tidak dapat melawat Muhdalina.
Ahmad yang juga seorang peniaga nasi lemak berkata, anggota polis yang mengawal Muhdalina memberikan alasan anaknya masih belum diambil keterangan dan tidak dibenarkan menerima pelawat.
“Kami sekeluarga amat terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana dia seorang anak yang baik, peramah dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, malah dia juga berkelulusan  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut Ahmad,  dia hanya mengetahui kejadian menimpa Muhdalina setelah dimaklumkan oleh anak sulung yang terbaca mengenai perkara itu di Internet kira-kira jam 5 petang (semalam) dan menyangka hanya rusuhan biasa
“Saya  terus menghubungi telefon bimbit Muhdalina sebelum dijawab seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.
“Setelah dimaklumkan situasi Muhdalina oleh pegawai polis berkenaan, saya terus bergegas datang ke Hospital Putrajaya, namun gagal menemuinya, selepas itu saya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya untuk mengetahui hal sebenar," katanya lagi.
Ahmad memaklumkan dia akan ke IPD Putrajaya untuk memohon kebenaran bagi melawat anaknya.
Difahamkan, Muhdalina sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di kakinya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, suami Muhdalina yang hanya dikenali sebagai Yusof berkata, dia yakin isterinya itu terlalu taksub dengan Khalil Afandi walaupun hanya mengenali lelaki itu melalui laman blog seminggu lalu.
Dia yang datang ke Hospital Putrajaya dengan ditemani seorang rakan hanya datang menyerahkan pakaian dan barang-barang keperluan isterinya kepada anggota polis yang berkawal.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin, Muhdalina  ditembak oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Putrajaya selepas mengamuk bersama Khalil Afandi yang bersenjatakan pedang samurai, pisau lipat dan keris.



Menatap perbezaan Mahathir dan Marina
RAHMAN SHAARI
10 Julai 2012
Saya bersetuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa anak mempunyai pendapat tersendiri dalam hal tertentu. Dalam keluarga orang cerdik, sering terdapat anak yang bercanggah pendapat dengan bapanya tetapi mereka masih saling berkasih sayang.

Berkaitan hal ini, kita tahu dan amat berharap Marina mengasihi bapanya, sebagaimana Mahathir mengasihi anaknya.

Kasih sayang ibu bapa kepada anak, dan anak kepada ibu bapa, hendaklah diperlihatkan golongan atasan, terutama yang terlibat dalam politik. Mereka ialah golongan contoh anak muda keseluruhannya. Jika ada pertentangan, hendaklah dikawal sebaik-baiknya.

Kita tahu bahawa Marina hadir ketika demonstrasi yang dilaksanakan Bersih. Ini membangkitkan kebimbangan bapanya, Mahathir.  Namun kita belum tahu apakah alasan sebenar Marina bertindak demikian. Kesepian ialah satu agakan.

Mahathir menduga, “Maybe it’s because she has no ambition in politics, so she speaks her mind.” (New Straits Times, 1 Julai lalu). Ertinya, Marina berhasrat untuk sekadar aktif dalam NGO, jadi soal untung rugi kerajaan, tidak diambil berat. Melalui pemerhatian setiap pengkaji masyarakat, adalah hal biasa anak kurang peka susah payah ayah bonda.

Adalah biasa juga apabila seseorang bapa amat mengambil berat terhadap anaknya, lelaki dan perempuan. Cuma, apabila hal ini dikaitkan dengan politik, kesannya jauh. Perhatikan, teguran Mahathir agar Marina jangan pergi terlalu jauh bersama-sama Bersih, kerana itu akan memberi kesan negatif terhadap kepentingan politik adiknya, Datuk Mukhriz. Teguran itu kedengaran terlalu kekeluargaan. Hal seperti itu betul, tetapi jarang dicakapkan, dan ternyata  Mahathir terlalu lurus.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan, teguran Mahathir telah mengheret kepentingan keluarga. (Sinar Harian, 1 Julai 2012). Bagi Nik Aziz, seorang negarawan tidak akan mengheret kepentingan keluarga dalam membincangkan soal negara. Nik Aziz juga amat baik, kerana mengiktiraf Mahathir sebagai negarawan, padahal sesetengah ahli pembangkang mencemuh Mahathir dengan aneka gelaran. 

Di samping itu, hal yang berkaitan, pembaca tentu tahu bahawa ahli politik atasan sentiasa mengheret kepentingan keluarga, iaitu menjaga kepentingan politik anak, isteri, sep upu dan teman akrab. Sila selidiki orang besar daripada satu keluarga dalam setiap parti politik yang dominan dalam negara kita: parti kerajaan dan parti pembangkang.

Melalui kotak psikologi, keakraban Marina dengan Datuk Ambiga dapat dilihat sebagai kesan kesepian. Bukanlah sedikit jumlah manusia di dunia ini yang mencari kegiatan untuk mengubat derita sepi. Itu biasa. Itu bukanlah hal politik. Dalam kehidupan, baik dalam kalangan si miskin, mahupun golongan elit, kesepian sentiasa berupaya mendatangkan seksaan.

Saya sebenarnya terlalu berjimat untuk tidak mengeluarkan idea psikologi dalam membicarakan kegiatan berkumpulan, termasuk perhimpunan Bersih. Berkaitan dengan kegiatan Marina, memandangkan bapanya orang penting dalam negara, eloklah sudut ini dikemukakan, agar orang ramai tidak tersasul mengatakan Mahathir bernasib malang kerana Marina berlainan haluan, atau  Marina bersua dengan kebenaran.

Kesepian ialah pendorong kegiatan. Namun, melalui kotak lain pula, saya sekata dengan Mahathir apabila beliau menyebutkan anak tidak boleh dididik melalui arahan ‘please stop this, please stop that’. Anak terlepas pandang untuk mengambil tahu perjuangan bapanya, dan ini berlaku dalam semua bidang.

Mahathir ialah negarawan, bukan tahap sasterawan. Namun sebagai perbandingan boleh juga saya ambil misalan daripada dunia sastera. Saya pernah menemu duga seorang anak sasterawan terkemuka mengenai buku karya bapanya. Karya yang menyebabkan bapanya disanjung sebagai sasterawan utama dalam negara, tidak diketahuinya. Malah –  mungkin lantaran malu –  dia mengeluarkan kata-kata bahawa kegiatan bapanya tidak ada makna baginya.

Tentulah Marina tahu pencapaian luar biasa bapanya. Bagi pihak yang marah-marah, mungkin Ambiga atau orang lain lebih penting daripada Mahathir, tetapi itu hanya betul dalam penonjolan emosi. Perkara yang berlaku dalam diri penggiat sosial adalah rumit untuk difahami, penuh kerahsiaan. Mereka berasa puas apabila berjaya dalam melaksanakan kegiatan seumpama perhimpunan Bersih. Orang seperti Datuk A Samad Said misalnya, akan ditikam kesepian jika beliau hanya bersajak dan bernovel. Lalu, seperti Marina, A Samad juga memilih Ambiga.
Mahdzir Khalid: Keadaan di Kuin kritikal

10 Julai 2012
KUALA NERANG - Kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sehingga warga kerjanya membuat laporan polis menunjukkan masalah itu semakin kritikal dan bukan perkara kecil.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata apa yang berlaku di Kuin menunjukkan kolej universiti itu berada dalam keadaan kritikal walaupun Pengerusinya Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar mengatakan ia perkara kecil dan tidak perlu campur tangan pihak luar iaitu Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kalau dah pensyarah dan kakitangan buat demonstrasi, ini bukan perkara main-main...ia adalah perkara serius yang perlu diambil tindakan segera.

"Ini menunjukkan mereka ada masalah dari segi pengurusan universiti. Itu bukan perkara yang kecil dan ia perlu dipandang serius," katanya kepada pemberita di sini.

Mahdzir berkata beliau bimbang jika masalah itu berterusan ia akan memberi persepsi negatif kepada orang luar dan tidak mustahil suatu hari nanti tidak ramai pelajar yang akan melanjutkan pengajian di kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah itu.

"Bila dan jadi masalah ini, ia akan menjejaskan perjalanan universiti. Kalau pelajar makin kurang, macam mana pihak pengurusan hendak membayar pinjaman daripada bank yang dibuat untuk membina kampus tetap universiti itu," katanya.

Mahdzir berkata sepatutnya pihak pengurusan Kuin perlu 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum memutuskan untuk menambah bilangan fakulti.

"Macam mana mereka boleh nak buka banyak fakulti sedangkan 'badannya' kecil sahaja. Kalau kita balik kepada asal penubuhan Kuin (fokus kepada pengajian agama), ia tak akan jadi macam ini. Ni semua mereka nak buat. Jadi kerajaan negeri perlu tanggung la.

"Banyak syarikat dah saman... report polis pun dah banyak dibuat... duit pada pensyarah tak bayar... tuntutan hutang tak bayar.. saya tak desak apa-apa sebab ia dah 'loghat dah' (sangat teruk)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata tindakan kerajaan negeri membuat ladang rakyat dengan menebang hutan balak adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan.

"Di sini, di Kampung Charuk Batang Padi yang terletak bersebelahan Tasik Pedu pun mereka nak buat ladang rakyat," katanya.

Beliau berkata kawasan itu adalah kawasan tadahan air dan jika kerajaan negeri meneruskan juga projek itu, ia akan memberi implikasi kepada alam sekitar dan penduduk di kawasan itu.- Bernama
Adun BN persoal kemerosotan pendapatan Unisel

10 Julai 2012
Kontroversi Unisel
Kontroversi Unisel
SHAH ALAM - Seorang anggota pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mempersoal kemerosotan perolehan pendapatan Universiti Selangor (Unisel) sejak pakatan PKR-PAS-DAP mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu.
 
Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata pendapatan Unisel menurun sejak tiga tahun kebelakangan ini.
 
"Berdasarkan rekod pendapatan Unisel pada 2008 berjumlah RM94.4 juta dan jumlah itu merosot kepada RM93.51 juta pada 2009 dan menurun lagi kepada RM75.48 juta pada 2010," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 pada sidang DUN Selangor hari ini.
 
Sulaiman turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mempolitikkan Unisel yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada hala tuju universiti itu pada masa depan, termasuk kepada para pelajarnya.
 
"Sepatutnya Unisel berusaha menambah baik kokurikulum mereka yang ada termasuklah pengurusannya," kata beliau.

Bercakap kepada pemberita ketika waktu rehat, Sulaiman berkata sekiranya BN dapat menawan kembali Selangor pada pilihan raya umum akan datang, beliau akan mencadangkan agar status Unisel dinaik taraf menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
 
Cadangan itu, katanya, adalah ekoran perkembangan Unisel ketika ini yang dilihat mengalami masalah dari segi prestasinya, khususnya dari segi pengurusan di mana pendapatan dan perbelanjaan yang tidak seimbang.
 
"Kita (BN) tidak mahu Unisel terus dalam keadaan yang mana prestasinya bermasalah. Jika BN menang, saya sendiri akan cadangkan supaya universiti ini dinaik taraf kepada IPTA.
 
"Kita mahu Unisel terus sejajar dengan IPTA lain dari segi pembangunan serta kualiti pendidikan tinggi di negara ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: