Isnin, 9 Julai 2012

BILA NAMPAK SANGAT KITA TAK MENYOKONG KEJAYAAN ISLAM...HINGGA SANGGUP SETUJU APA YANG DILAKUKAN OLEH MUSUH2 ISLAM.....

Ceria tingkat kualiti masyarakat perumahan

Harakahdaily, 09 Jul 2012
SHAH ALAM: Secara amnya, skim baik pulih pangsapuri melalui program Ceria (Caring Government for Residents’ Improvement Aid) telah meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat perumahan bertingkat di Negeri Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, antara kesan utama hasil daripada program itu ialah mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pihak Pengurusan Bangunan terutama Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body – JMB) dan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC) dalam membaikpulih harta bersama yang melibatkan kos yang tinggi seperti lif, bumbung, mengecat dan sebagainya.

Selain itu, katanya ia dapat mengeratkan hubungan kerjasama penghuni dengan pihak pengurusan (JMB dan MC),  memulihkan keyakinan penduduk untuk membayar caj penyenggaraan kepada JMB atau MC; dan meningkatkan tahap keselamatan serta kesihatan penduduk di kawasan yang menerima bantuan baik pulih.

Jelasnya, setakat 22 Jun, sebanyak 69 pangsapuri telah dipilih menyertai skim Ceria.

“Sebanyak 26 kawasan telah siap dibaik pulih manakala 25 kawasan masih dalam proses kerja baik pulih,” ujarnya.

Syarikat Scorpene laksana LRT Ampang - PKR

Harakahdaily, 09 Jul 2012
AMPANG: Selepas mendakwa syarikat George Kent mendapat projek LRT Ampang melalui jalan yang tidak betul, PKR mendakwa, syarikat dari Perancis yang berkaitan Scorpene pula yang akan membina projek itu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ceramahnya di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana di sini (gambar) berkata syarikat George Kent hanya berminat mendapatkan keuntungan ‘atas angin’ sahaja dan bakal menyerahkan pelaksaan projek itu kepada syarikat dari Perancis terbabit.

“Maknanya Datuk Seri Najib Razak tidak cukup dia dapat RM600 juta daripada syarikat Perancis yang menjual kapal selam ‘second hand’ tetapi 10 tahun kemudian syarikat yang sama itu Datuk Seri Najib rancang dan berikan kontrak RM1 bilion,” dakwa Rafizi sebagaimana dilaporkan media rasmi Selangor, Selangorku.

Tambah Rafizi, syarikat George Kent ini dimiliki oleh seorang peniaga yang bernama Tan Sri Tan Kay Hock seorang ‘taukey’ yang merupakan rakan akrab Datuk Seri Najib Razak daripada sekolah menengah sehingga kini.

“George Kent yang merupakan syarikat membuat meter paip ini adalah merupakan ‘Ali Baba’ yang tidak berminat dan hanya akan mengambil keuntungan di atas angin sahaja,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi, beliau tidak gentar dengan ugutan dan ancaman daripada terus mendedahkan skandal RM1 bilion ini demi rakyat.

Negara ini berhadapan dengan skandal yang cukup bahaya kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat yang bakal menggunakan sistem pengangkutan LRT jika syarikat yang tidak mempunyai kepakaran melaksanakan projek penting ini.

“Kami Pakatan Rakyat akan membawa isu ini kepada penduduk di Ampang, Pandan, Cheras dan Bandar Tun Razak minggu depan kita akan turun untuk mengedarkan risalah agar lebih ramai orang yang akan faham skandal LRT Ampang ini bukan soal hanya politik, tetapi ia melibatkan nyawa rakyat.

“Tiap-tiap minggu kita akan dedahkan dokumen baru untuk membuktikan bahawa inilah rancangan dan angkara Datuk Seri Najib Razak,dia tidak fikir tentang keselamatan rakyat,” katanya.

Tambah Rafizi, pendedahan skandal RM1 bilion akan terus ‘membenamkan’ karier politik Najib.

“Projek LRT Ampang ini memang cukup dibimbangi oleh Najib jika ia diketahui rakyat kerana ada surat dan dokumen yang ditandatangani sendiri oleh Najib sendiri,” tegasnya.

Polis boleh mengundi di mana-mana - SPR

Salmah Mat Husein, 09 Jul 2012
TUMPAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonan membatalkan pendaftaran pengundi secara pos bagi anggota polis yang tidak bertugas di lokaliti Balai Polis Wakaf Bharu.

Dengan alasan anggota polis bertugas tidak tentu lokasi, SPR menyifatkan mereka boleh mengundi di mana-mana.

Perkara itu dinyatakan dua orang pembantah, Alias Awang, 45 dari Kampung Belukar, Wakaf Bharu dan Azoha Awang, 49, yang ditugaskan membantah 37 orang anggota polis yang bertugas di luar lokaliti Wakaf Bharu, dibawa mengundi ke Dun berkenaan.

Alias yang bertugas pada sebelah pagi, memberitahu beberapa penama dari anggota berkenaan yang tinggal di Bachok, Galas di Gua Musang, tiba-tiba menjadi pengundi Dun tersebut.

“Sedangkan nama-nama berkenaan jangankan tinggal di Dun berkenaan, bertugas di situpun tidak,”ujarnya.

Sambungnya, dalam bantahan itu beliau turut mengajukan soalan, kenapa nama-nama berkenaan berada di Dun tersebut.

Azoha yang juga Penghulu Mukim Padang Roma, berkata sebelah petang pula beliau mendapat senarai nama-nama anggota yang tinggal di Pengkalan Chepa khususnya di Dun Panchor, berada dalam Dun berkenaan.

Katanya, alasan Pegawai Perbicaraan SPR mengatakan mereka kadang kala diarah bertugas di Dun Wakaf Bharu satu alasan tidak munasabah.

“Terlalu banyak bukti yang diperolehi pada suku pertama tahun ini pengundi luar tersenarai sebagai pengundi di Dun ini,”ujarnya.

Sementara itu, Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Md Nawi, ketika memberitahu  Harakahdaily di pejabatnya petang semalam, berkata alasan SPR cukup membuktikan mereka menjadi alat Umno dan BN.

Tambahnya, jika itu juga alasannya bererti Ketua Polis Negara boleh mengundi di negeri mana yang dia ingin mengundi dan Ketua Polis Negeri juga boleh mengundi di kawasan mana yang mereka suka.

“Bukan anggota polis sahaja, sebelum ini 10 pengundi yang membabitkan orang awam juga telah didapati menjadi pengundi dalam Dun Wakaf Bharu, bila kita membuat bantahan mereka kata akan siasat.  Siasatpun macam tu juga, kekal sebagai pengundi,”ujarnya lagi.

Beliau yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya memberitahu SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas, terbukti menjadi ‘kuda tunggangan Umno’.

Hari ini seramai 20 orang lagi senarai pengundi pos di Dun berkenaan akan dibantah.

Awas klip video lucah siap untuk diedar?

Mohd Sayuti Omar, 09 Jul 2012
Maklumat awal untuk sekalian orang politik! Beberapa klip video yang akan mendedahkan keburukan para pemimpin Pakatan Rakyat sudah pun siap untuk diedarkan kepada umum. Pembikinan klip video berkenaan dilakukan sejak beberapa bulan lalu. Ia adalah lanjutan kepada klip video yang didedahkan manusia digelarkan Datuk T tidak lama dahulu.

Klip video ini semuanya untuk mencemar dan memburukkan imej pemimpin tertinggi PR. Ia akan diedar sebaik sahaja parlimen dibubarkan. Klip video ini juga akan disiarkan menerusi televisyen dan media massa PB. Pendedahan klip video ini seperti biasa akan dibuat menerusi blog-blog terpilih yang tidak berhati perut peliharaan UBN.

Rahsia ini terdedah apabila salah seorang produksi di bahagian editing (penyunting) yang terlibat dengan penerbitan itu menceritakan secara tidak langsung kepada salah seorang anggota keluarganya dua minggu lalu. Kebetulan pula anggota keluarga penyunting itu adalah kawan lama saya, dan cerita ini terdedah dalam perjalanan saya bersamanya ke Pasir Putih malam kelmarin.

Menurut sumber ini di antara pemimpin tertinggi yang terlibat dalam klip video terbaru ini ialah Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Mohamad Sabu, Husam Musa. Katanya nama Nurul Izzah Anwar juga turut sama disebut.

Mencerita lanjut menurut rakan raya itu, sub editor itu mengakui klip video membabitkan Anwar Ibrahim yang kononnya melayan pelacur di sebuah bilik yang telah didedah kepada umum beberapa bulan lalu adalah bikinan dan palsu seribu peratus, pembikinan melibatkan team produksinya. "Dia mengakui dia dan teamnya terlibat dalam membikin video mengenai Anwar itu kerana diarah," jelas kawan itu.

Katanya penyunting itu yang juga anak saudaranya, menceritakan dia (penyunting) diarah oleh orang atasannya dan termasuk seorang menteri. "Dia kata dia dipanggil dan diarah menyiapkan video berkenaan... salah seorang yang berbincang dan membuat arahan ialah menteri, dia dipanggil ke bilik menteri berkenaan," tutur kawan saya lagi.

Jelas kawan itu, sub-editor (penyunting) itu juga sepatutnya satu lagi klip video memburukkan Anwar dengan pelacur didedahkan sebaik saja video pertama itu dilancarkan tetapi kerana silap teknik ia ditarik balik. Kesilapan dimaksudkan ialah dari segi tarikh dan masa yang tunjukkan dalam video itu tidak sama dengan kronologi atau jadual perjalanan harian Anwar. Perkara paling ketara sekali ialah masa yang kononnya Anwar bermaksiat seperti mana dipaparkan di dalam klip video itu tidak benar sama sekali kerana hakikat pada masa dan tarikh itu Anwar bersama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

"Kerana kesilapan itu video berkenaan ditangguhkan," jelasnya.

Sebagai rekod team produksi yang terlibat dengan pembikinan video celaka itu adalah milik sebuah penerbit tv yang akan didedahkan kemudian. [wm.kl.8:48 am 09/07/12] - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Amanah sedia anjur debat PAS-Umno Terengganu

Buletin Online, 09 Jul 2012
KUALA TERENGGANU - Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) menyatakan kesediaan menjadi orang tengah bagi menganjurkan satu debat atau dialog terbuka di antara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.


Koordinator negeri Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Ahmad Shah berkata banyak isu-isu mengenai negeri Terengganu tidak dijawab oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) antaranya isu royalti petroleum dan isu bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh dua tahun lalu.

(Gambar: Raja Kamarul Bahrin pada sidang media, semalam).

Menurutnya, debat di antara kedua pihak pembangkang dan kerajaan adalah medan yang terbaik bagi rakyat mengetahui penjelasan dari kedua-dua belah pihak tentang isu terbabit.

Katanya debat atau dialog merupakan ciri-ciri demokrasi yang sihat di mana Malaysia sebagai negara yang semakin matang patut mendokong perbahasan dan kebebasan bersuara.

“Tuan Haji Wahid telah meminta Datuk Seri Ahmad Said (untuk) berdebat atau dialog terbuka sepaya isu semasa dapat dibincangkan dan diberi penjelasan di khalayak supaya orang ramai lebih memahami isu yang menjad kemusykilan.

“Ini adalah salah satu ciri demokrasi yang sihat, Malaysia negara yang bertambah matang patut mendukunginya (dengan) kebebasan untuk bercakap (dan) kebebasan melapor oleh pihak media apa jua yang berlaku,” ujarnya.

Menurut beliau, antaranya isu penting yang boleh dibincangkan dalam debat tersebut adalah royalti dan hasil petroleum kepada negeri Terengganu dan isu bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh dua tahun lalu.

Katanya, baru-baru ini tuntutan mahkamah ke atas lima peratus hasil royalti minyak yang buat oleh kerajaan Terengganu telah ditarik balik dan menimbulkan persoalan dari orang ramai.

“Tuntutan mahkamah yang dibuat untuk menuntut balik 5% royalti minyak telah ditarik balik, ini kembali kepada persoalan wang ehsan, jadi apakah bahagian (share) pendapatan Terengganu kalau kita bergantung dengan ehsan,

“Ini merupakan pertanyaan rakyat Terengganu, apakah sumbangan (hasil) kepada rakyat Terengganu kalau kita tidak menetapkan peratus (bahagian hasil) Terenganu dalam perjanjian,” soalnya.

Beliau berkata dalam belanjawan 2012, kerajaan negeri telah meletakkan pendapatan negeri sebanyak 95% adalah dari sumber minyak dan gas.

Oleh itu, katanya, sekiranya kerajaan hanya mengharapkan kepada ‘wang ehsan’ bagaimanakah belanjawan tersebut akan dikendalikan.

Selain dari isu royalti, Raja Datuk Kamarul Bahrin berkata, rakyat bertanya tentang isu bumbung stadium yang runtuh yang hanya dibersihkan tetapi belum diperbaiki.

“Rakyat bertanya-tanya apakah masa depan, apakah nasib stadium ini? Kalau dah begitu lama bumbungnya runtuh, telah dibersihkan tetapi bilakah stadium itu dapat digunakan semula.

“Ini juga merupakan isu yang berlarutan (dan) tidak ada pendekatan yang lebih positif untuk memberi kefahaman yang sebaik mungkin kepada rakyat,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Ahad 8 Julai.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM300 juta namun masih bergantung kepada stadium lama yang hanya mempunyai kapasiti sebanyak 20,000 orang.

Peningkatan sukan bolasepak negeri Terengganu adalah baik, namun kata beliau, adalah sayang kerana stadium baru tidak dapat digunakan.

Katanya, hasil kajian juruperunding bebas yang menyiasat kejadian stadium runtuh telah menyatakan semua pihak bersalah, tetapi tidak ada satu pihak pun yang benar-benar bersalah.

Selain, isu-isu terbabit menurutnya, pihak  pembangkang dan kerajaan juga boleh menggunakan medan debat tersebut sebagai wadah untuk membentangkan manifesto masing-masing untuk dinilai oleh rakyat pada saat hampir kepada piliharaya umum.

Justeru, beliau berkata Amanah akan menghantar surat jemputan kepada  Datuk Seri Ahmad Said dan Mohd Abdul Wahid Endut dan berharap kedua-dua pihak terbuka menerima pelawaan itu.

Nizar fail saman Utusan dan TV3 esok

Harakahdaily, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Berikutan fitnah Utusan dan TV3 terhadapnya, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin akan memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Jalan Duta esok.
(Nizar tunjuukan surat peguam kepada Utusan dan TV3 sebelum ini)

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau dijangka akan memfailkan kes jam 11 pagi esok.

"Sidang media akan diberikan selepas menfailkan saman yang akan diketuai oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan PAS Perak itu.

Sebelum ini, Nizar beberapa kali mendakwa Utusan dan TV3 memfitnah beliau berikutan kenyataannya mengenai plat kereta WWW 1.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan Sultan Johor telah mendapat plat nombor itu apabila menang bidaan dengan harga tertinggi iaitu RM520,000.

Ekoran itu pelbagai pihak mempertikaikannya termasuk Nizar.

Nizar telah membuat laporan polis (gambar) terhadap TV3 yang menuduh beliau mendakwa Sultan Johor, Sultan Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membida nombor pendaftaran WWW 1 bernilai RM520 ribu.

"Ia adalah tidak benar kerana saya tidak pernah sama sekali membuat komen di Twitter saya bahawa 'Sultan Johor, Sultan Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membida nombor pendaftaran WWW 1," kata Nizar, bekas MB Perak itu dalam laporan polisnya.

Pakatan Pahang boleh jana hasil RM1 bilion

Khairil Abdul Rahim, 09 Jul 2012
TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) boleh menjana hasil negeri Pahang sehingga RM1 bilion setahun jika semua sumber daripada hasil tanah ditingkatkan lebih produktif melalui pengurusan yang lebih cekap.

Penganalisis ekonomi dan politik Syed Ali Badaruddin berkata, dengan kemewahan tanah yang luas di negeri ini saja sudah mampu meningkatkan hasil kutipan negeri sebagai sumber ekonomi utama.

“Pada masa ini pengurusan dan pemprosesan tanah melibatkan pindah milik, gadaian dan pembangunan tanah di negeri ini sangat teruk sehingga baru-baru ini Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terpaksa mengeluarkan kompilasi Arahan Pentadbiran Tanah Negeri.

“Sedangkan setiap proses pindah milik, gadaian, tukar status dan pembangunan tanah mendatangkan wang kepada kantung kerajaan negeri.

“Jadi sebab itu saya kata PR mampu menjana sehingga RM1 bilion asalkan mempunyai komitmen untuk mengurangkan karenah birokrasi dalam kelulusan tanah dan penurunan kuasa iaitu mengikut Seksyen 12 (State Authority) bagi mewujudkan kecekapan dalam pengurusan,” katanya dalam forum ‘Isu-isu tanah’.

Program tersebut diadakan di Darul Hikmah Kerdau. Turut menjadi panel peguam Harris Abdullah, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pahang Jusoh Darus dan Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail.

Syed Ali berkata, pada masa ini pendapatan kerajaan negeri Pahang hanya sekitar RM400 juta termasuk hasil balak sedangkan kos pengurusan sahaja menjangkau RM500 juta.

Tambahnya, itu bermakna kerajaan negeri sentiasa terpaksa berhutang dengan kerajaan pusat bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negeri.

“Jika berjaya ke Wisma Sri Pahang, PR juga mesti melihat kepada sumber-sumber baru yang perlu diteroka dan dipergunakan semaksimum mungkin di samping mengembalikan objektif asal kepada semua agensi kerajaan (GLC).

“Dua agensi negeri yang utama iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mesti distruktur semula kerana fungsinya sudah berubah,” ujarnya.

Menurut Syed Ali, akibatnya kerugian demi kerugian terpaksa ditanggung sehingga hutang kerajaan negeri Pahang pada ketika ini sudah menjangkau RM2.1 bilion.

Kartun hina Morsi: Harian Metro didesak mohon maaf

Muhammad Faizal, 09 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PAS Selangor mendesak agar akhbar Harian Metro menarik balik dan memohon maaf di atas penyiaran karikatur yang disifatkan telah menghina Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi.
Karikatur yang disiarkan pada 7 Julai yang lepas telah menggambarkan Dr Mohamed Morsi sebagai 'The Sphinx of Morsi' dengan menukarkan wajah Firaun kepada rupa presiden tersebut serta meletakkan simbol bulan sabit pada puncak piramid.

Persuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman ketika dihubungi menegaskan tindakan yang dilakukan oleh akhbar tersebut adalah satu penghinaan kepada seorang presiden yang telah dipilih oleh rakyat serta menghina Islam.

"Tindakan akhbar tersebut menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka malah tidak memandang serius sensitiviti masyarakat Islam seluruh dunia.

"Bagaimana seorang presiden Islam dihina sedemikian dan saya mendesak agar pihak yang bertanggungjawab serta Harian Metro menarik balik karikatur tersebut dan memohon maaf secara terbuka," jelasnya.

Menurutnya lagi, Dr Mohamed Morsi adalah seorang yang menghafal Al Quran namun tindakan menyiarkan karikatur tersebut seolah-olah menyamakan Presiden Mesir itu dengan Firaun.

"Penghinaan ini adalah satu yang amat serius dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas atas penyiaran tersebut.

"Kita tidak mahu disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak menyebabkan Malaysia dipandang serong oleh Mesir dan mungkin akan menyebabkan timbul ketidakpuasan hati rakyat yang telah memilih Dr Mohamed Morsi sebagai presiden mereka," sambung Adun Meru itu lagi.

Sebelum itu, rakyat Mesir menyambut kemenangan Dr Mohammed Morsi dari Parti Muslimin untuk menjadi Presiden Mesir yang baru.

Perjuangan demokrasi di Mesir bermula dengan perhimpunan jutaan rakyat di Dataran Tahrir sehingga bekas Presiden Hosni Mubarak yang berkuasa lebih 30 tahun digulingkan.

Tiada ulasan: