SAYA JAHIL..HUKUM ASALNYA HARUS MUNGKIN....JIKA TIMBUL FITNAH....CONTOH TIMBUL URAT MENGURAT,TUMPANG MENUMPANG KERETA..KENA FIKIR BALIK...
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 26 Jun: Muslimat PAS menyambut baik serta gembira dengan saranan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar wanita turut menunaikan solat Jumaat seperti yang dilakukan kaum lelaki. Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh (gambar) berkata, walaupun ada segelintir pihak menganggap saranan itu sebagai sesuatu yang janggal, namun ianya amat relevan pada masa kini dan apa yang lebih penting, Islam sendiri tidak menegah wanita daripada berbuat demikian. Apatah lagi ujarnya, dengan menunaikan solat Jumaat, wanita boleh bersama-sama mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. "Ini satu saranan yang baik kerana dengan menunaikan solat Jumaat, wanita boleh mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Mungkin bagi kita ini sesuatu yang baru tapi sebenarnya Islam membenarkan pun wanita itu solat Jumaat. "Dan sebenarnya khutbah itu sepatutnya memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita untuk pemerintah Islam menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam. Namun ujarnya, bagi memastikan saranan itu mendatangkan keselesaan kepada semua pihak, masjid-masjid yang ada di negara ini haruslah mempunyai ciri-ciri yang mesra wanita terutamanya dari sudut penjagaan aurat. "Cuma dari sudut masjid sendiri, kita harap dapat mesra wanitalah maksudnya dari sudut penjagaan aurat wanita itu sendiri dan sebagainya, sebab kita takut bila sudah ramai-ramai sangat hal ini terlepas pandang. “Soal masjid mesra wanita ini perlu diambil kira supaya baik wanita atau lelaki, tidak berasa keberatan untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan. Ujar Nuridah juga, meskipun saranan itu daripada Menteri Besar Kelantan, namun beliau berharap perkara itu turut diikuti oleh negeri-negeri lain khususnya negeri-negeri Pakatan Rakyat. "Kita ucapkan syabas dengan saranan dari Menteri Besar Kelantan ini dan mungkin di negeri-negeri Pakatan terutamanya, perkara ini boleh dilaksanakan. "Tidak ada masalah jika perkara ini dilaksanakan sebab apa yang kita nak didik masyarakat, dapat didengar oleh wanita secara langsung melalui khutbah yang disampaikan. Ini satu pembaharuan dari sudut membudayakan perkara ini dalam masyarakat," katanya. Sementara itu, menurut satu laporan, Selangor mengalu-alukan kehadiran jemaah wanita bagi menunaikan solat Jumaat di negeri itu sekiranya mempunyai kelapangan dan tidak mengganggu ruang jemaah lelaki. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin. Menurutnya, Selangor memang sudah mengamalkan solat Jumaat wanita sebelum jawatan mufti diwujudkan iaitu bermula tahun 1935 hingga 1952. "Solat Jumaat wanita di Selangor sudah lama berjalan sebelum negeri ini mewujudkan jawatan mufti dan sepanjang tahun itu, wanita sudah menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Sultan Sulaiman, Klang. "Namun, selepas 1952, tiada lagi jemaah wanita menunaikan solat Jumaat dan Selangor mengalu-alukan jemaah wanita yang ingin berbuat demikian boleh datang ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz dekat sini," katanya. Mohd Tamyes berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa masjid itu mempunyai ruang mencukupi untuk menampung jemaah wanita tanpa mengganggu jemaah lelaki. "Di Masjid Negeri, ruang di tingkat atas iaitu tingkat dua tidak digunakan semasa solat Jumaat. Jemaah wanita yang mempunyai kelapangan pada waktu itu dialu-alukan untuk bersolat Jumaat. "Menjelang tahun depan, Selangor mempunyai dua masjid yang menerima jemaah wanita iaitu masjid di Bukit Jelutong yang mana masjid ini diwakafkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah," katanya. Saranan mengenai perkara itu diutarakan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sewaktu berucap di majlis penyerahan dan penerimaan derma mengisi tabung Kompleks Masjid Daruttarbiyah di Kampung Wakaf Zain, Kota Bharu, baru-baru ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan