Samad Said merajuk mahu bawa karya seni ke New Zealand
Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
2010/06/27
MELAKA: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berhasrat menempatkan khazanah sastera yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan diberikan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam menyediakan penempatan untuk khazanah seni itu.Katanya, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di Negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni, termasuk sasterawan.
Katanya, melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan.
Mereka (kementerian) ada menghubungi saya sejak setahun lalu dan sudah melihat hasil kerja saya, tetapi sehingga kini tiada lagi hubungan (susulan) dilakukan. Saya menganggap bahawa mereka tidak mahu. Oleh itu, saya berpendapat pihak berkenaan berasakan khazanah ini tidak penting dan selepas ini jangan salahkan saya pula, katanya selepas majlis perasmian Pameran Kata Luhur anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Pelita House of Art di Muzium Sejarah dan
Etnografi di Bandar Hilir dekat sini, semalam.
Majlis dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Wira Hamdin Abdollah dan Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas.
Mengulas lanjut, A Samad berkata, beliau juga berasakan New Zealand sememangnya mempunyai kawasan penempatan untuk dibangunkan sebagai khazanah Melayu.
Jika rundingan bersama teman saya berjalan lancar, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Jadi, selepas ini mereka berminat untuk mendekati atau mahu tahu mengenai hasil cipta, sumbangan, diari, manuskrip dan lukisan saya selepas ini, mungkin terpaksa ke sana, katanya.
Sementara itu, A Samad berkata, pameran lukisan secara solonya bertajuk Kata Luhur yang menempatkan 64 hasil karya ciptaannya itu mula dipamerkan sejak 19 Jun hingga 31 Julai ini.
Beliau berkata, semua karya yang dipamerkan itu dihasilkan dengan bahan berasaskan dakwat atas kertas melalui penggunaan elemen indian ink iaitu warna merah dan hitam yang turut disertakan puisi ciptaannya.
Kata Luhur dalam pameran ini membawa maksud bercakap jujur dan ia penting dalam seni termasuk setiap tindakan dan sikap seseorang, katanya.
Apa lagi yang Pak Samad mahu - Rais
PUTRAJAYA 28 Jun - Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyuarakan rasa hairan tentang apa lagi yang dimahukan oleh Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said setelah terlalu banyak dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperoleh bahan atau artifak seni budaya.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu yang menjawab kekecewaan A.Samad terhadap layanan kementerian beliau dalam menyediakan penempatan untuk khazanah sastera yang dimilikinya berkata, malahan buku-buku hasil karya sasterawan itu sendiri telah banyak dibeli oleh KPKK.
"Melalui Perpaduan Negara Malaysia, hampir RM485,000 buku-buku Samad tidak termasuk hasil tulisan sajaknya yang telah dibeli.
"Semasa pentadbiran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) dulu, kami juga telah membuat pembelian buku-buku beliau. Komen beliau menampakkan sangat pendirian yang sudah berubah.
"Saya hairan apa lagi yang dia mahu. Walau apa pun kami bersedia melihat apa lagi yang wajar dipertimbangkan," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais mengulas hasrat A.Samad dalam laporan akhbar Ahad lalu yang mahu menempatkan khazanah sastera yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan yang diberikan kementerian dalam menyediakan penempatan untuk khazanah seni itu.
Menurut A. Samad, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di Negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni termasuk sasterawan.
Kata sasterawan itu lagi, melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan 'seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan'.
Berhubung cadangan A. Samad hendak membawa karyanya ke luar negara seperti New Zealand, Rais berkata, itu adalah haknya untuk berbuat demikian.
Kata Rais: "Saya masih ingat beberapa tahun lalu Pak Samad (A.Samad) 'balun' Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas isu royalti buku beliau."
"Dengan kementerian saya, beliau tidak ada isu royalti. Tapi atas nama perjuangan seorang seniman, rasanya kementerian sudah agak genap juga menjaga kepentingan seniman seperti Pak Samad. Senang-senang jemputlah minum teh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan