Isnin, 28 Jun 2010

..BANTULAH HULURLAH...LEBIH2 YANG MEWAH SERTA BERKERETA MEWAH...LEBIH2 USTAZ2 BERKERETA MEWAH SEBAB ISI CERAMAH SURUH BUAT BAIK. DAN CARI PAHALA..

RM300 suap 12 mulut

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/06/28

KUALA LUMPUR: “Biar saya turun naik bas setiap hari dan menjual kerepek ini di pejabat swasta serta kerajaan, asalkan hasil jualannya mampu memberi makan 10 anak yang masih belajar,” kata Salmah Mat Hasan, 40.

Wanita gigih itu yang terpaksa menjadi ketua keluarga menggantikan suaminya, Ibrahim Mohamad, 51, yang menderita sakit belakang, berkata hanya mampu menjual makanan ringan itu secara kecil-kecilan demi menyara kehidupan mereka sekeluarga.


Katanya, pendapatan diperoleh berdasarkan permintaan pelanggan di beberapa pejabat sekitar ibu kota mencecah RM300 sebulan selepas ditolak modal bagi mendapatkan bekalan daripada pembekal di Sungai Buloh.


“Itu sudah mencukupi buat kami 12 beranak daripada tiada pendapatan langsung. Kadangkala jumlah diperoleh tidak mencecah angka terbabit, tapi kami bersyukur dengan rezeki yang ada asalkan cukup untuk belanja harian persekolahan anak.


“Memanglah penat bila terpaksa bersusah payah menaiki pengangkutan awam untuk ambil bekalan dan hantar pula kepada pelanggan, tapi demi anak-anak, saya gagahkan juga dan suami sendiri walaupun tak mampu bekerja tetap membantu kerana ini saja punca rezeki kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, Jalan Ipoh, di sini, semalam.


Meskipun tinggal di rumah perumahan rakyat dengan sewa bulanan RM124 sebulan, 12 beranak itu hidup dalam kedaifan dan bernasib baik apabila semua perabot di rumah disedekahkan jiran tetangga seperti kerusi dan meja makan serta katil selain pakaian.


Salmah berkata, dia tidak menolak pemberian orang yang mahu membantu kerana mengenangkan anaknya berusia tiga tahun hingga 20 tahun masih memerlukan jagaan rapi lebih-lebih lagi dua daripada mereka yang menghidap sakit kulit. “Anak kedua, Mohd Ikmal Hakimi, 17, menghidap penyakit kulit sejak berusia tujuh tahun, manakala Nurul Elyani (anak ketiga), 15, disahkan berpenyakit sama sejak dua tahun lalu dan masing-masing bergantung kepada bantuan hospital untuk rawatan percuma.


“Ibu mana tak sedih melihat anak sakit begitu, malah Mohd Ikmal Hakimi yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) pernah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatrik, gara-gara tertekan dengan cemuhan kawan-kawannya,” katanya.


Apapun, katanya, dia bersyukur semua anaknya masih membesar di depan mata dan berazam tidak akan sekali-kali menyerah anak kepada pihak lain semata-mata kerana kedaifan hidup.


Selain Mohd Ikmal Hakimi dan Nurul Elyani, pasangan itu mempunyai lapan lagi anak iaitu Nurul Azua Liana Zawawi (20) yang menuntut di Universiti Teknologi Mara, Seremban, Nurul Fatihah (13), Mohamad Asrie Ibrahim (11), Mohamad Aizat (9), Mohamad Hafiz (8), Muhamad Zakwan (6), Nurul Suraya (4) dan Mohamad Hafizul (3).


Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salmah di talian 019-6402471 atau menyalurkan terus ke akaun Bank Islam 03-090-02-012062-5

Tiada ulasan: