Kaki judi mati tikam diri sendiri
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/24
Mangsa dipercayai tiada pekerjaan tinggalkan nota sesal terbabit pertaruhanKUALA LUMPUR: "Saya sudah tidak mahu berjudi lagi." Demikian nota ringkas yang ditinggalkan seorang lelaki sebelum ditemui mati dengan lima kesan tikaman di dada dipercayai membunuh diri, akibat kekalahan teruk perjudian.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat mangsa, Liew Siew Meng, 33, ditemui rakan serumahnya di sebuah rumah kedai di Taman Segar, Cheras, di sini, dalam keadaan berlumuran darah di atas tilam bilik tidurnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata rakan serumah mangsa terhidu bau busuk sebaik memasuki rumah berkenaan dan memaklumkannya kepada polis.
“Polis terpaksa memecahkan pintu bilik mangsa kerana ia berkunci dan menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai sudah mati tiga hari lalu.
“Pemeriksaan di sekitar bilik mangsa tidak menemui kesan pergelutan dan terdapat sebilah pisau berukuran 25 sentimeter (sm) (10 inci) berhampiran mangsa," katanya.
Abdul Rahim Hamzah berkata, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan suspek membunuh diri kerana mengalami kekalahan teruk dalam perjudian.
“Ia berikutan penemuan nota yang membawa maksud sudah serik berjudi sehingga nekad membunuh diri. Rakan serumahnya memberitahu kali terakhir berjumpa mangsa pada Ahad lalu dan dia mengatakan tidak mempunyai pekerjaan serta ingin mati,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, polis akan menyiasat kes itu dan meminta keluarga mangsa tampil untuk membantu siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan