Isnin, 28 Jun 2010

DISEBABKAN TAK JALAN HUKUM ISLAM....KENAPA TAK DIJALANKAN...MUFTI ELOK JAWAB....DIAKHIRAT LAGI SUSAH JAWAB...

Hamba arak

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/06/28

JOHOR BAHRU: Akibat kemaruk minum arak seorang wanita awal 20-an membelanjakan separuh daripada pendapatan bulanannya RM1,500 semata-mata membeli minuman keras dan berhibur.

Walaupun hanya bekerja kilang, remaja wanita yang hanya mahu dikenali Rosnah berusia 22 tahun itu juga sanggup merelakan tubuhnya ‘diratah’ untuk semalaman asalkan ketagihan minum minuman keras dipenuhi.


Anak kedua daripada tujuh beradik itu ibarat tertutup pintu hatinya untuk bertaubat apabila mengaku memilih hidup ala barat kononnya tidak mahu dilihat ketinggalan zaman atau kolot.


Rosnah antara 100 wanita dan lelaki Melayu ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di beberapa premis hiburan di sekitar bandar raya ini, Ahad lalu. Dalam operasi berkenaan pegawai serta anggota penguat kuasa Jaij terkejut melihat kumpulan remaja Melayu seolah-olah hilang pertimbangan diri dengan puluhan bekas minuman keras bertabur di meja.


Lebih mengejutkan, ada yang sudah terlalu mabuk sehingga gagal menjawab soalan ringkas, malah masih mahu berhibur kerana menyangka tiada apa berlaku.


Sumber Jaij berkata, mereka seolah-olah dalam dunia lain selepas mengambil minuman keras, malah wanita ditahan turut berpakaian seksi.


“Ada cuba melepaskan diri dengan membuat alasan mereka mengambil minuman berkarbonat, tetapi kami sedar ia sebaliknya berdasarkan bau arak yang kuat dari mulut mereka.


“Selain itu, kami juga jalankan ujian pengesan kandungan alkohol dan mereka tidak mampu memberikan apa-apa alasan lagi selepas hasil ujian dikeluarkan,” katanya.


Beliau berkata, pengunjung premis hiburan terbabit pula bukan saja terdiri golongan atasan, malah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk pekerja kilang di sekitar bandar raya ini.


Katanya, walaupun berpendapatan kecil, golongan pekerja kilang terbabit seolah-olah tidak kisah atau kesal menghabiskan pendapatan mereka asalkan dapat meneguk arak.


“Mereka yang ditahan memberikan alasan datang ke sana untuk bersuka ria dan mengambil minuman keras kononnya bagi melepaskan tekanan kerja serta masalah peribadi.

“Serbuan kali kedua dalam tempoh sebulan selepas Jaij menerima aduan awam berkaitan tingkah laku remaja Melayu yang tidak segan silu mengambil minuman keras, selain berpakaian seksi,” katanya.


Hasil kecekapan penguat kuasa, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku walaupun ada pengunjung cuba melakukan provokasi.


Dalam serbuan berkenaan, 103 pengunjung ditahan membabitkan 70 lelaki dan 33 wanita berusia antara 20 tahun dan 30-an.


Turut serta dalam operasi itu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pengunjung.

Hasilnya, empat pelanggan dua lelaki dan dua wanita, disahkan di bawah pengaruh dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.


Semua pengunjung yang disahkan berada di bawah pengaruh alkohol pula di bawa ke pejabat Jaij sebelum dibebaskan. Mereka bagaimanapun diminta melaporkan diri pada hari berikutnya untuk tindakan lanjut

Tiada ulasan: