Sabtu, 26 Jun 2010

NI SAJA HUKUMAN BARU DITERIMA...TUNGGU DAN LIHAT....YANG DIBULI DAH MATI...BAGAIMANA KALAU YANG MATI DIBULI ANAK KITA...FIKIR2KAN

1 digantung sekolah, 4 kena tindakan

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar senior Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di sini, digantung sekolah serta-merta manakala empat rakannya disyaki terbabit membuli seorang pelajar junior sehingga mati Rabu lalu dikenakan tindakan tegas.

Malah, semua mereka kini sudah direman beberapa hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mereka juga bakal dikenakan tindakan di Mahkamah Tentera kerana semua mereka adalah pelajar kolej ketenteraan.


Kelima-lima pelajar berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota Provost Marshal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan membuli hingga menyebabkan kematian, Mohamad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sebagai perbuatan jahiliah.


“Kami mengambil tindakan serta-merta dengan menggantung seorang pelajar MTD dipercayai dilihat menendang mangsa, manakala empat lagi akan dikenakan tindakan keras.


“Selain itu, mereka juga akan dikenakan tindakan di mahkamah ketenteraan kerana mereka adalah putera (pelajar kolej ketenteraan),” katanya ketika menghadiri mesyuarat Agung Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, penahanan semua pelajar terbabit dilakukan bagi menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes membuli mangsa hingga menyebabkan kematian.


“Polis tidak menolak kemungkinan punca kematian mangsa disebabkan kejadian buli atau dera.


“Kalau dilihat luaran anggota badan mangsa tidak terdapat sebarang luka, bagaimanapun kami akan tunggu keputusan bedah siasat daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tindakan susulan,” katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.


Abdul Samah berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada keluarga pelajar berkenaan berhubung kejadian itu.



Tak diizin periksa tubuh



2010/06/26

BALING: “Saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan arwah ketika mengucupnya buat kali terakhir. Saya juga meminta untuk memeriksa seluruh badannya, tetapi tidak dibenarkan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir mengiringi jenazah ketika itu,” kata Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, bapa kepada Mohammad Naim Mustaqim, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior, kelmarin.

Menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan wakil ATM yang tidak membenarkannya memeriksa badan arwah anaknya itu.


“Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab arwah sudah dikapan dan mereka hanya membenarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajahnya kali terakhir.


“Saya tidak membantah, tetapi mendapati ada kesan lebam di mata kanan arwah ketika mengucupnya kali terakhir.


“Saya mahu mereka yang bertanggungjawab memukul anak saya dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, semalam.


Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun kematian Mohammad Naim tetap memerlukan pembelaan bagi memberi teladan kepada orang lain yang mungkin menerima nasib sama pada masa depan. “Arwah adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan kehilangannya buat selama-lamanya.


“Saya sentiasa impikan satu hari nanti arwah akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam seorang pegawai tentera dan berharap dia akan membantu kami dan adik-adik lain untuk berjaya sepertinya,” katanya Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat MTD meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.


Mohammad Naim Mustaqim dikatakan pengsan selepas didera kumpulan pelajar senior terbabit antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama MTD sebelum dikejarkan ke PPAT, namun disahkan meninggal dunia.


Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir berjumpa arwah ketika anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti sekolah seminggu lalu.




KOMEN...YANG DAH MATI .... MATILAH... REDALAH...TAPI IA ADA HAQ UNTUK DIADILI...KITA PERLU ADIL...KITA JUGA AKAN MATI DAN DIADILI PERBUATAN KITA DIDUNIA..MAKA LAKUKAN DENGAN ADIL


Keluarga buat laporan polis

BALING - Susulan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, akibat didera sekumpulan senior, keluarga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Baling, semalam, untuk mendapatkan keadilan terhadap kematian arwah.

Ibu mangsa, Fauziah Abd Wahab, 45, berkata, beliau sangat sedih dengan kehilangan arwah, anak sulung yang menjadi harapan mereka sekeluarga dan bakal menjadi contoh buat dua adiknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, arwah bercita-cita menjadi seorang tentera berpangkat kapten satu hari nanti dan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia diterima masuk ke MTD.

“Terasa hancur berkecai harapan keluarga apatah lagi sejak kecil dia bercita-cita menjadi seorang pegawai tentera namun hasrat itu tidak kesampaian," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini menetap di Sungai Siput dan berhasrat terus menetap di Baling, kampung suaminya kerana terlalu banyak kenangan bersama arwah di Sungai Siput yang membuatnya selalu merinduinya.

“Dua minggu lalu arwah pulang dan ada kesan lebam di beberapa bahagian badan serta tangannya terseliuh namun tidak mengadu apa-apa, malah lebih ceria daripada biasa maka kami tidak menaruh syak wasangka dan menyangka dia gembira di sana.

“Wajah arwah semasa meninggal juga lebam di bahagian mata dan saya sedih arwah terpaksa melalui semua ini dan dugaan ini akan saya hadapi dengan tabah,” katanya ketika ditemui di IPD Baling.

Beliau dan suami, Fadzil Ismail, 41,serta saudara ke IPD Baling petang semalam membuat laporan polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Husain, hadir sama.

Mohammad Naim yang mati dipercayai akibat didera pelajar senir sudah dikebumikan malam kelmarin di Perkuburan Islam Kampung Baru, mukim Siong, Baling

Tiada ulasan: