Khamis, 24 Jun 2010

BERITA TERKINI

21 ancam Malaysia

Oleh Saipul Adli Mohamad

2010/06/24

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mendedahkan penahanan 10 lelaki yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI) di Kampung Sungai Chincin, Gombak, 21 Januari lalu dibuat kerana mereka boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara apabila merancang untuk meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop (gambar) menafikan kerajaan seolah-olah sengaja membuat isu mengenai keganasan atau usaha merekrut pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini menjadi militan, sebaliknya menegaskan antara yang ditahan adalah seorang rakyat tempatan dan sembilan warga asing, termasuk pemimpinnya bernama Ayman dari Syria.


“Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat mereka ingin meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang. Mereka yang ditahan termasuk lima pelajar IPTA manakala warga tempatan itu pula adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman. “Warga tempatan itu berkenalan dengan Ayman ketika mereka belajar di Pakistan sebelum ini. Selain menjadi ketua kumpulan ini, peranan Ayman adalah merekrut ahli kumpulan Al-Qaeda. Ayman berada di Malaysia untuk menyusup ke IPTA dan IPTS bagi mendapatkan pelajar berpotensi menjadi militan sebelum dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad.


“Perkara ini bukan sengaja dibuat, tetapi saya percaya jika kumpulan ini dibiarkan, ia sudah pasti akan menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.


Sebelum itu, Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mempersoalkan bahawa kerajaan tidak dapat memberikan kepastian jelas mengenai isu keganasan dan usaha merekrut pelajar IPTA dan IPTS itu yang didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Mahfuz mempersoalkan majlis taklimat polis kepada Timbalan Canselor universiti yang turut disertai wakil Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Isnin lalu apabila polis gagal membuktikan dengan jelas wujudnya sarang pengganas di universiti sebaliknya mengenai beberapa individu yang menyampaikan isu berkaitan ajaran Wahabi serta menyiarkan gambar Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, bekas mufti negeri itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Menteri Besar Perlis yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiada ulasan: