Jumaat, 25 Jun 2010

AKHIRZAMAN ORANG TAK KIRA HALAL HARAM JANJI DAPAT DUIT DAN KAYA

Pembeli air zamzam ditipu



2010/06/25

MAKKAH: Penduduk Makkah mendakwa, ada pihak tidak bertanggungjawab menjual air zamzam yang dicampur air paip di sepanjang Lebuh Raya Makkah - Jeddah.

Menurut mereka, zamzam berkenaan dijual kepada orang ramai pada harga di antara RM8.60 bagi bekas kecil dan RM17.25 untuk bekas besar.


Seorang daripada penduduk tempatan itu berkata, biasanya kegiatan berkenaan didalangi pendatang tanpa izin yang mengambil kesempatan sempena bulan Rejab ketika ini.


Bagaimanapun, katanya, ada juga penduduk tempatan terbabit dalam kegiatan itu.


“Setiap Rejab, bilangan jemaah umrah bertambah dan sekolah pula bercuti musim panas menyebabkan mereka mengambil kesempatan atas situasi itu,” katanya.


Rakannya, Faris al-Sharif, menggesa orang ramai memulaukan air zamzam berkenaan.


Katanya, ada sesetengah bekas dijual itu berisi air zamzam bercampur air perigi yang tidak selamat diminum.


“Pihak berkuasa perlu campur tangan dengan mengenakan tindakan tegas ke atas penjual terbabit.


“Bagi pendatang asing, pegawai imigresen boleh menjalankan operasi bagi mengesan mereka dan membawa kes itu ke mahkamah,” katanya.


Ketika ini, katanya, kebanyakan penjual itu bertumpu berhampiran stesen minyak di lebuh raya bagi memudahkan mereka melarikan diri setiap kali melihat polis datang.


Sementara itu, jurucakap kerajaan berkata, beberapa langkah pencegahan diambil bagi mengekang kegiatan berkenaan.

“Polis diarah merampas semua bekas air yang dijual di sepanjang lebuh raya berkenaan, manakala jika ada pendatang tanpa izin ditahan, mereka mesti diusir dari negara ini,” katanya. - Agensi.

Tiada ulasan: