Jumaat, 25 Mei 2012

TAK KIRA TINGGI ATAU RENDAH PANGKATNYA...ORANG ISLAM PATUH PADA ALLAH...BAGUS ISLAMNYA...FAHAM PERINTAH ALLAH...AKHLAKNYA BAIK...BETUL AKIDAHNYA...AKAN SOKONG ISLAM...BAGI ORANG MENGAKU TUHANNYA 'ALLAH' MAKA MENYOKONG ISLAM ITU WAJIB....MENENTANG ISLAM BERMAKNA MENENTANG ALLAH...

Ahli sendiri pun Umno tidak percaya

Aspan Alias, 24 Mei 2012
Kalau tidak silap saya pada hari Isnin yang lepas, Mahathir telah mengingatkan ahli-ahli UMNO di Kedah yang Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO ditewaskan dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kata beliau yang Melayu akan hilang kuasa politik mereka jika UMNO tidak lagi memegang tampuk kuasa setelah ditolak oleh orang Melayu.
Tetapi Mahathir tidak langsung menyentuh kenapa orang Melayu sudah ramai yang menolak UMNO itu. Setiap perkara yang berlaku mesti bersebab dan perubahan kepada sikap orang Melayu terhadap UMNO itu pun bersebab. Perubahan tidak berlaku begitu sahaja tanpa sebab-sebab yang besar. Orang Melayu bukan mudah untuk berubah, tetapi kenapa mereka kini berubah? UMNO sepatutnya memandang ke dalam diri mereka untuk mencari masalah dan penyebabnya.

Kalau kali ini Mahathir berubah pun tentu bersebab. Kalau dalam pilihanraya yang lepas Mahathir membelakangkan UMNO dengan keluar dari parti itu, mesti ada sebab yang tersendiri. Semasa itu Mahathir menyeru rakyat memilih calon, jangan memilih parti. Kali ini beliau menyeru orang ramai memilih sesiapa juga yang diturunkan oleh parti.

Jadi kita berhak untuk memilih nasihat yang mana satu yang kita mahu ikut: nasihat beliau semasa pilihanraya yang lalu atau nasihat beliau yang sekarang ini? Jika rakyat tidak mahu mendengar nasihat beliau lagi pun semestinya ada sebab. Hanya Mahathir tidak sedar yang rakyat sudah terlalu keliru dengan sikap beliau yang sentiasa bertukar-tukar (flip-flop) arah pandangannya setiap kali piliharaya umum tiba. Tiada ‘consistency’ dan tiada perjuangan dan itu juga bersebab.

Ramai yang berjumpa dengan saya meminta saya memberikan komen tentang sikap Mahathir pada hari ini, tetapi saya hanya menjawab saya tidak faham kerana Mahathir hanya berjuang untuk apa yang beliau ingin untuk berlaku dan tidak ada kena mengena dengan perjuangan Melayu dan rakyat yang ramai.

Kalau beliau keluar dari UMNO dahulu kononnya untuk memprotes kepimpinan Abdullah Badawi kita tidak nampak sekarang ini kenapa beliau tidak keluar kerana kekalutan UMNO di bawah Najib sekarang adalah jauh lebih teruk daripada Abdullah Badawi.

Tetapi hakikatnya ramai yang tahu sebabnya. Mahathir akan mengamuk jika mana-mana PM selepasnya tidak melayan kehendak politik peribadi beliau. Beliau merasakan beliau adalah pemimpin yang mesti diikuti oleh pemimpin selepas beliau kerana beliau merasakan seorang yang hebat dan mampu ‘berjalan di atas air’ dan perlu disembah dan dipuja.

Oleh kerana Abdullah Badawi itu degil orangnya walaupun apabila berjalan pijak semut pun tidak mati. Beliau tidak melayan kehendak Mahathir…itu sebab Mahathir keluar dari UMNO dan terus mensabotaj UMNO dalam pilihanraya yang lalu. Beliau berkata, “jangan pilih parti, kita mesti pilih calon”.

Tetapi di Alor Setar Isnin lalu, beliau mahukan semua pemimpin dan ahli UMNO melakukan seperti ‘aku janji’ supaya jangan mensabotaj calon-calon UMNO dan beliau seolah-olah telah mengugut ahli-ahli UMNO dengan tekanan yang kuat ke atas ahli-ahli parti itu yang mereka akan menghadapi tindakan jika melakukan sabotaj terhadap parti.

Apa yang UMNO boleh lakukan jika ahli-ahlinya melakukan sabotaj terhadapnya dalam pilihanraya nanti? Jika UMNO ingin mengambil tindakan terhadap ahli-ahli UMNO yang mensabotaj parti dalam pilihanraya yang lalu ia terpaksa mengambil tindakan terhadap 1.5 juta ahlinya yang telah mengundi pembangkang di dalam pilihanraya itu. Inilah masalahnya jika sesebuah parti itu mengumpulkan keahlian yang berjuta-juta orang.

Seorang pemimpin UMNO selalu berkata kepada saya, “The huge number of memberships in UMNO will sink the party as it has to accept the scum and the useless members in it altogether.” Apabila keahlian begitu ramai maka ia mewujudkan banyak cawangan dan di cawangan-cawangan dan peti-peti undi yang banyak inilah bermulanya perpecahan parti. Di peti-peti undi inilah ahli-ahli UMNO keluar parti semasa memilih parti-parti alternatif yang menawarkan pencalonan mereka.

Jika Mahathir meminta ahli-ahli UMNO tidak mensabotaj parti itu merupakan nasihat yang sudah pasti tidak akan dituruti oleh mereka di peti-peti undi. Keluarga yang besar dan anak yang terlalu ramai selalunya akan menghadapi masalah mentadbir mereka kerana kehendak dan ragam anak-anak itu berbagai-bagai macam.

Kata-kata Mahathir di Kedah itu membayangkan yang UMNO sudah tidak percaya kepada ahli-ahlinya sendiri. Kalau dahulu mereka membesarkan keahlian parti kerana tidak yakin dengan sokongan orang ramai, sekarang UMNO sudah tidak yakin kepada ahli-ahlinya sendiri.

Nampaknya budaya bai’ah dan bersumpah sudah menjadi perkara biasa dalam UMNO kerana parti itu sedang menghadapi krisis keyakinan di antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli mereka. Jika perasaan curiga terhadap ahli mereka sendiri ini begitu tebal, bagaimanalah orang ramai hendak meningkatkan keyakinan terhadap UMNO yang sudah terlalu uzur dan tempang itu.

Saling tidak mempercayai di antara mereka itulah yang menjadi ‘immediate cause’ yang akan menjatuhkan parti itu dalam PRU yang akan datang. Saya agak hairan kenapa Mahathir tidak berdaya untuk menyatukan kembali orang Melayu sekarang ini. Lazimnya jika seseorang itu mahir memecahkan Melayu dalam sesuatu masa dia akan mampu menyatukannya kembali.

Kalau dahulu Mahathir boleh memecahkan ahli-ahli UMNO dan pada bila-bila masa sahaja beliau boleh menyatukan mereka kembali, kenapa sekarang beliau tidak lagi boleh melakukannya? Kenapa sekarang beliau terpaksa mengeluarkan kata-kata ugutan pula?

Pendeknya, UMNO tidak percaya yang ahli-ahlinya akan memberikan sokongan kepada parti itu. Oleh itu kita sekarang sedar bahawa keahlian yang ramai itu diharapkan akan mengundi UMNO kerana parti ini tidak percaya kepada pengundi yang bukan ahli. Tetapi sekarang Melayu telah sedar yang bukan ahli tidak diyakini oleh UMNO, tetapi yang lebih merunsingkan UMNO ialah ahli-ahlinya sendiri pun turut tidak dipercayai oleh pimpinan tertinggi mereka.

Mungkin jawapannya ialah Melayu sekarang sudah pandai berfikir dan tidak mahu lagi menjadi burung balam yang kerjanya hanyalah untuk menganggukkan kepala dan bertepuk tangan apabila Mahathir berucap.

Orang Melayu sedar bahawa ‘Melayu itu tidak akan hilang di dunia’ seperti sorakan pemimpin UMNO, tetapi yang mereka lupa ‘Melayu itu akan hilang dunianya’ jika UMNO terus menerus dalam keletihan dan tidak bermaya untuk melakukan perubahan minda dalam barisan kepimpinannya.

Tetapi memang ‘conclusive’, UMNO tidak akan berubah lagi. Maka UMNO itu akan diubah dari saat ini. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak berkeyakinan tentang sokongan orang Melayu.

Kalau tidak masakan UMNO telah memilih untuk menggunakan ‘gangster’ untuk mengganggu program-program anjuran Pakatan Rakyat di mana-mana. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pegawai tinggi diyakini akan terus sertai PAS

Hazayani Zakaria, 24 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 24 Mei: Fenomena penjawat awam berpangkat tinggi menyertai PAS diyakini akan berterusan selepas ini, kata veteran PAS, Ahmad Awang (gambar).

Ahmad berkata, fenomena ini berlaku kerana rakyat tidak menyenangi situasi politik dalam negara yang tidak baik.

Tambahan pula kata bekas Naib Presiden PAS itu, tindakan kerajaan menyekat kemaraan Bersih 3.0 baru-baru ini memberi kesedaran kepada rakyat untuk menolak kerajaan yang enggan membersihkan sistem pilihan raya.

"Banyak isu dalam negara menyebabkan kemarahan rakyat dan mereka mula sedar kepentingan mereka bersama-sama dalam perjuangan PAS," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Beliau juga juga yakin makin ramai pesara kerajaan akan menzahirkan sokongan terhadap PAS jika kerajaan terus mengamalkan politik kotor dan kezaliman.

"Saya yakin semakin banyak penyelewengan, salahguna kuasa dan politik kotor, semakin ramai orang akan menyertai perjuangan PAS," katanya.

Tambah beliau lagi, fenomena penjawat awam termasuk golongan cerdik pandai memilih PAS selepas bersara bukan baru sekarang berlaku malah sejak dari dahulu lagi.

"Sejak dahulu lagi PAS menerima keahlian penjawat awam yang bersara daripada askar, polis.

"Sewaktu dalam perkhidmatan, mereka terpaksa menyembunyikan sokongan terhadap PAS tapi mereka tahu apa yang diperjuangkan PAS. Jadi selepas bersara, mereka berasa bertanggungjawab untuk memberikan komitmen," katanya.

 

 

Jk Bersih akan putus tindakan - Pak Samad

Muhammad Faizal, 24 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said memberitahu Jawatankuasa Pemandu Bersih akan bermesyuarat bagi memutuskan tindakan selanjutnya yang akan diambil berhubung perhimpunan anti Bersih di rumah Datuk S Ambiga petang tadi.

Beliau yang ditemui diperkarangan rumah Ambiga menjelaskan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan bermesyuarat dan membincangkan tentang apa yang berlaku hari ini dan selepas itu satu kenyataan akan dikeluarkan.

"Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan kerana sebagai sebuah jawatankuasa biarlah kenyataan tersebut selari dengan apa yang mahu Ambiga nyatakan nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu hampir 100 orang cuba berkumpul di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara di sini dengan sebahagiannya terdiri daripada sekumpulan pemuda bermotosikal.

Mereka adalah dari kumpulan anti Bersih yang diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) Datuk Jamal Yunus yang sebelum ini turut mengumumkan akan membuka gerai di hadapan rumah Ambiga.

Bagaimanapun, ia dibatalkan disaat-saat akhir.

Perhimpunan mereka siang tadi bagaimanapun gagal sampai di hadapan rumah Ambiga apabila dihalang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berada di simpang masuk ke rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1 sejak pagi tadi.

Dua buah lori besar DBKL turut ditempatkan berdekatan kawasan itu, dipercayai untuk mengangkut sebarang gerai yang didirikan tanpa kebenaran.

Terdahulu sebelum itu, sekumpulan 30 orang lain yang menggelarkan diri mereka "HALAU 1.0" cuba menyerahkan risalah mengandungi 10 sebab Ambiga perlu 'dihalau' dari Malaysia kepada Ambiga sendiri.

Cubaan mereka bagaimana pun gagal apabila risalah itu hanya diterima Datuk A Samad Said menerusi celah pintu pagar rumah Ambiga.

4 tokoh profesional sertai PKR

Muhammad Faizal, 24 Mei 2012
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu empat tokoh tersebut adalah Pengurus Kanan Am Jabatan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Koh King Kee, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab, bekas Pengarang The Malaysian Insider, Praba Ganesan dan Dr Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Katanya, Koh King Kee merupakan graduan lepasan Universiti Malay dan pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau aktif memperjuangkan keadilan sosial.


Jelasnya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Abdul Hadi merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatannya yang tidak sah berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi.


"PKR sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama PKR dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah," jelasnya lagi.

Tiada ulasan: