Isnin, 21 Mei 2012

PADA MATI SEBAB SAKIT DLL...BAIK MATI SEMASA BEKERJA UNTUK ISLAM...UNTUK ALLAH...JADI DA'IE...JADI PENDAKWAH

Perbincangan dengan NGO, bukan muzakarah Umno

Hazayani Zakaria, 21 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mei: PAS hari ini menjelaskan bahawa parti itu bersedia mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung salah faham mengenai Islam, bukan muzakarah dengan Umno.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian sebagai membetulkan salah lapor media pro kerajaan yang mengatakan PAS bersedia mengadakan muzakarah dengan Umno.

"Masa itu saya nyatakan perbincangan deng an NGO yang menuduh PAS menyeleweng dari dasar dan matlamat Islam.

"Perkataan muzakarah mungkin disebut pada masa itu tetapi muzakarah terjemahannya perbincangan, penjelasan tapi disalah tafsir PAS nak muzakarah dengan Umno. Itu tak timbul," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Isu itu mula dimainkan media selepas Ustaz Hadi ada menyebut perkataan muzakarah pada satu sidang media di tempat sama, dua minggu lepas.

Ustaz Hadi juga berkata, isu muzakarah merupakan isu lapuk yang ditimbulkan kembali menjelang pilihan raya.

"Isu muzakarah sudah lama dan acapkali dibentangkan kepada Umno dan Umno jadikan isu politik.

"Kalau nak bincang dengan Umno lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih," tegasnya.

Sementara itu, setiausaha, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS akan mengadakan seminar dan akan menjemput NGO dan parti lain termasuk bukan Islam.

"Kita ambil keputusan akan adakan program berbentuk seminar untuk jelaskan salah faham mereka mengenai Islam, katanya.

Bagaimanapun maklumat lengkap berhubung perkara itu belum dinyatakan.

Datuk Fauzi ingin menyumbang dalam Islam

Anis Nazri, 21 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbang dalam Islam, membuka hati bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Percaya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tindakannya menyertai parti itu secara rasmi semalam, bukan petanda beliau baru 'sedar'.

"Ketika saya berkhidmat dalam PDRM, saya sudah meneliti senario politik negara. Saya berhubungan dengan semua pihak, cuma saya belum menjadi ahli kepada mana-mana parti politik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengakui selalu mengikuti perkembangan PAS ketika masih berkhidmat di PDRM, Fauzi berkata tindakan beliau menyertai PAS melangkaui kepentingan dan keselesaan yang dinikmatinya kini.

Baginya, dengan menikmati wang pencen, beberapa perniagaan keluarga yang boleh memberikan pendapatan bulanan kepadanya tidak cukup menzahirkan rasa tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

"Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja.  Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini," tegas beliau lagi.

Beliau yang bersara sejak 25 September 2006, bertindak menyertai PAS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di satu majlis di Lumut, Perak, malam tadi.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini.

Melumpuhkan PAS atau Umno yang terhapus?

Harakahdaily, 21 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pandangan Datuk Zainuddin Maidin atau Zam supaya PAS dilumpuh dan dimusnahkan sebagai melucukan.
“Bagi DPPM, kenyataan Zam tidak berpijak di bumi nyata serta mengenepikan realiti.

“Beliau seakan dikejar bayang-bayang hitam yang menghantui beliau dan merasa gelisah dengan kebangkitan rakyat yang mahu bersama PAS dan menolak Umno secara terang-terangan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Katanya, dalam keadaan sokongan kepada PAS semakin meningkat apabila berbondong-bondong pemimpin masyarakat, bekas pegawai tinggi kerajaan, pemimpin Umno, selebriti dan artis ternama menyertai PAS, beliau pula berpandangan sebaliknya.

Sebaiknya, kata beliau Zam menoleh kepada partinya sendiri iaitu Umno dan lihatlah sokongan yang diterima oleh partinya, berapa ramaikah pemimpin ternama masyarakat mahu menyertai parti yang sedang karam itu.

“Adakah pemimpin dan tokoh masyarakat yang menyertai PAS mahu kepada ‘perpecahan’ dan menolak ‘perpaduan’ dalam Umno menurut definisi beliau?” soalnya dalam satu kenyataan.

Baginya, Zam mungkin masih bermimpi bahawa Umno sebagai platform perpaduan Melayu, hakikatnya orang Melayu menyedari bahawa Umno bukanlah platform perpaduan Melayu sebenar.

Katanya, Umno hanyalah tempat untuk mengaut kekayaan bagi suku sakat dan elit pemimpin yang berkuasa sahaja.

“Beliau adalah segelintir pemimpin yang masih terikat dengan doktrin bahawa hanya Umno memberi kemajuan dan perpaduan dalam negara ini manakala parti lainnya menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” ujarnya.

Justeru, ujarnya DPPM amat bersimpati dengan Zam yang kelihatan terdesak mahu mengembalikan sokongan keyakinan Perdana Menteri terhadap dirinya yang semakin tersisih.

“Mungkin beliau sedang menagih simpati pemimpin tertingginya dalam mendapatkan tempat pada PRU ke 13 sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang agak ‘agresif’.

“Apa yang dibimbangi jika pandangan Zam akhirnya tidak menjadi kenyataan, sebaliknya mmenikam balik partinya sehingga dilumpuh dan dimusnahkan oleh rakyat pada PRU13 nanti,” ujarnya.

Hadiah untuk Red Wariors: Exco akan rujuk MB

Salmah Mat Husain, 21 Mei 2012
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood (gambar), akan berbincang dengan Menteri Besar berhubung dengan imbuhan untuk pasukan Red Wariors yang menang piala FA baru-baru ini.

Buat masa sekarang, katanya, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan berhubung imbuhan yang bakal diberikan kepada  skuad bola sepak Kelantan itu.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diajukan soalan sedemikian dalam sidang medianya berhubung program Sambutan Hari Anak Muda Kelantan 2012.

Menurutnya, beliau tidak mahu mendahului Tuan Guru sebagaimana keputusan pengistiharkan cuti pada 20 Mei lalu selepas kejayaan Kelantan ke peringkat akhir menentang Sime Darby.

“Saya yakin tentu sudah ada sesuatu hadiah untuk skuad Kelantan berikutan kejayaan yang telah lama hilang 22 tahun lalu kini dapat ditebus oleh Kelantan,”ujarnya.

Apa yang penting kini, tegasnya biarlah kejayaan itu menjadi titik kepada kemenangan masa hadapan memandangkan bola sepak menjadi kebangkitan baru pada negara bukan hanya di Kelantan.

“Kebangkitan bola sepak Kelantan melalui The Red Wariors seolah-olah satu kebangkitan di seluruh negara,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kemenangan piala FA menjadi semangat untuk merebut piala Liga Super dan Piala Malaysia musim  ini.

Sabtu lalu Kelantan Berjaya menewaskan Sime Darby 1-0 melalui tendangan  panalti yang disumbangkan Mohammed Mahmoud Ghaddar.

100 peneroka Kesedar Chalil isytihar keluar Umno

Mijie Yusoff, 21 Mei 2012
GUA MUSANG: Impian Umno mahu menawan Kelantan semakin tergugat apabila 100 lagi ahli dan penyokong parti itu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS.

Malam tadi seramai 100 bekas ahli dan penyokong Umno di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil dekat sini menyerah borang menyertai PAS yang diketuai bekas anggota jawatankuasa Umno Cawangan Chalil, Mat Ali Ibrahim, 62.

Mat Ali yang menyertai RKT Chalil pada 1983 mewakili rakan-rakan menyerah borang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama pada ceramah Selamat Tinggal Umno, Ketua Pemuda PAS Negeri, Abdul  Latiff Abdul Rahman, Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkifli Muhamad dan Penyelia Dun Paloh, Saharudin Mustafa.

Mat Ali yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, beliau berjuang bersama Umno selama 40 tahun.

“Saya melihat dan merasai sendiri apa yang berlaku dalam Umno sepanjang tempoh tersebut. Sebelum ini saya diam sahaja terhadap banyak penyelewengan yang berlaku.

“Namun sekarang saya tidak mampu pendam lagi. Sebab itulah saya dengan sokongan kawan-kawan  mengisytiharkan keluar Umno beramai-ramai malam ini,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Beliau juga mengakui berlaku perbezaan yang jauh di antara PAS dan Umno, di mana rakyat boleh merasai sendiri program berkebajikan yang dilaksanakan di Kelantan sekarang.

Manakala rakannya, Che Ghani Che Mat, 60 yang masih memiliki nombor keahlian Umno berkata, dasar perjuangan Umno tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

Katanya, perjuangan Umno sudah jauh ketinggalan zaman kerana ia hanya sesuai pada zaman menuntut kemerdekaan sahaja.

“Sebab itulah sekarang mereka melakukan apa sahaja bagi menarik sokongan rakyat termasuk umpan wang ringgit.

“Namun peneroka sekarang sudah celik. Kami sebagai peneroka sudah lama merasai ditipu pemimpin Umno. Nasib peneroka masih di tahap lama dan tidak berubah,” ujarnya.

(Ikuti pelbagai pendedahan peneroka dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Jualan buku dari but kereta, santai tapi meriah

Hazayani Zakaria, 21 Mei 2012
Berkonsepkan 'jualan but kereta' iaitu aktiviti menjual pelbagai jenis barang baru dan terpakai dari kenderaan masing-masing, Perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL), di tepi Dataran Merdeka pagi semalam dipenuhi kereta dengan but terbuka berisi buku-buku baru dan terpakai.

Seawal jam lapan pagi hingga 12.30 tengahari, sebanyak 30 kenderaan memenuhi perkarangan PKL dalam program Pasar Buku Kuala Lumpur anjuran Perbadanan Kota Buku.

Buat julung kalinya Perbadanan Kota Buku menganjurkan program ini bagi menghimpunkan penggemar buku dalam aktiviti yang santai dan sederhana.

Menurut pengurus kanan Perbadanan Kota Buku, Razin Abdul Rahman, jualan but kereta yang hanya menjual buku merupakan acara yang  pertama kali diadakan di Malaysia bertujuan menggalakkan penerbit, pembaca, penulis serta penggiat buku untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana yang ringkas tetapi meriah.

"Memang jualan but kereta sudah biasa di Malaysia tapi melibatkan barangan lain. Kalau melibatkan buku, inilah kali pertama di sini.

"Berbanding di luar negara, jualan buku dari but kereta ini memang sangat biasa cuma di Malaysia, ia belum lagi menjadi kebiasaan. Jadi kami mengambil inisiatif mendekatkan masyarakat dengan buku melalui aktiviti ini," kata beliau ketika ditemui di program tersebut, semalam.

Melalui aktiviti ini tambah beliau, pemilik buku khususnya penerbit dan penulis boleh menjual karya-karya terbitan mereka dengan harga yang rendah sekaligus menggalakkan pembaca untuk berkunjung ke aktiviti seperti ini pada masa akan datang.

"Kami cuba mudahkan penerbit dan individu untuk menjual buku mereka sebab hari ini mereka tak perlu sewa tapak, hanya maklumkan kepada kami penyertaan mereka. Mereka dapat sepenuhnya hasil jualan buku tanpa sebarang caj dikenakan," katanya.

Razin juga berkata, Pasar Buku Kuala Lumpur akan dijadikan acara bulanan di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Kota Buku akan mangadakan aktiviti ini sebanyak dua kali sebulan dan boleh disertai sesiapa sahaja.

"Kita akan pilih tempat yang strategik seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan kawasan-kawasan rekreasi yang lain," katanya sambil melahirkan rasa gembira di atas respons positif yang diberikan orang ramai.

Buku penghibur jiwa

Sementara itu, penyair dan juga pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof Dr. Siti Zainon Ismail menyokong penuh usaha sedemikian dan menyatakan komitmennya untuk turut serta dalam aktiviti yang seterusnya.

Beliau yang turut menjual buku-buku tulisannya dan rakan-rakan seniman lain berkata, aktiviti mendidik dan santai begini sesuai untuk semua golongan.

"Buku merupakan sebahagian dari hidup saya dan saya akan terus menyokong aktiviti seperti ini. kalau kita fikirkan, buku-buku ini memang penghibur jiwa dan memberi ketenangan.

"Saya haraplah semua orang tak kira berpangkat dan berjawatan besar ke, orang biasa ke, tua atau muda, kita sama-sama meriahkan aktiviti begini.

"Contoh bagi saya sendiri, saya boleh terus terus berjumpa dengan anak-anak yang mungkin teringin nak jumpa saya, tapi tak tahu nak cari saya di mana," kata beliau yang ramah dan murah dengan senyuman.

Salah seorang penjual buku, Syikh Sazli Sabri pula berkata, beliau ingin berkongsi buku-buku yang dimilikinya dengan orang lain melalui aktiviti sebegini.

"Saya biasa tinggal di Eropah dan biasa mengikuti aktiviti begini. Jadi saya nak hidupkan budaya ini di Malaysia. Bila kita beli buku, kita hanya baca sekali dan tak ulang lagi. Jadi apa salahnya saya jual semula dengan harga yang murah untuk dikongsi oleh orang lain pula," katanya yang banyak menjual buku cerita kanak-kanak dari dalam dan luar negara.

Selain jualan buku, pasar buku tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan gurindam oleh penulis Mohd Sidek Mohd Dollah atau nama penanya Mas Adeki, bacaan puisi oleh Prof Siti Zainon dan lelongan buku yang dikelolakan pengacara televisyen, penyelidik dan perunding kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Tiada ulasan: