Sabtu, 19 Mei 2012

AWAS... ISTERI DAPAT BISIKAN SYAITAN...DAN IA LAYAN...JAHANAMLAH...ISTERI YANG DAPAT BISIKAN MALAIKAT@YANG BAIK....IA IKUT MAKA BERUNTUNGLAH....BAGITU JUGA BAGI SUAMI...SYAITAN MEMANG KERJANYA MENYESATKAN DAN MENJAHANAMKAN MANUSIA DAN JIN

Muzakarah: Silap faham Muhyiddin

Ahmad Fadhli Shaari, 18 Mei 2012
Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mei 2012 yang lalu yang dikatakan sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara. Di dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin turut dilaporkan berkata, "...Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah.."

Suka saya membuat sedikit penjelasan terhadap kekeliruan Muhyiddin tentang sikap Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku al-Mursyidul Am PAS. Di dalam isu dialog dengan mana-mana pihak atas nama muzakarah, muqabalah mahupun mujadalah, YAB Tuan Guru sentiasa konsisten dengan komitmen bahawa pertemuan dialog harus dilakukan sentiasa bagi mencari penyelesaian. Antaranya sukalah saya merujuk kepada kronologi berikut :

1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 5 Februari 2011 yang antara lain menyatakan kesediaannya untuk berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan ekoran dakwaan yang menyatakan beliau mengeluarkan fatwa yang melanggar syarak. Antara lain beliau berkata, “Saya setuju benar orang berdialog dengan saya. Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik.." Kenyataan ini boleh dirujuk di pautan berikut :
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30703:belajar-kesan-ulama-mesir-yang-ditutup-mulutnya&catid=1:utama&Itemid=50
dan juga http://paspb2.blogspot.com/2011/02/hosni-mubarak-lama-dah-tutup-mulut.html

2. Pada 20 Ogos 2009, YAB Tuan Guru sebagaimana dilaporkan BERNAMA juga menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu-isu yang timbul ekoran kenyataan yang dikeluarkan olehnya. Laporan BERNAMA di pautan berikut boleh dirujuk :
http://bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=434567

3. Bahkan pada tahun 2008, YAB Tuan Guru juga menyatakan kesediannya untuk bermuqabalah (bersemuka) dengan mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Ia boleh dirujuk melalui laporan BERNAMA di pautan :
http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=349406&cat=ut

Justeru, apabila Muhyiddin menyatakan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah, ia menunjukkan kekeliruan di pihak Muhyiddin yang gagal membezakan antara muzakarah dengan penyatuan antara PAS-UMNO. Di dalam isu penyatuan PAS-UMNO, benar sekali YAB Tuan Guru konsisten menentang penyatuan ini yang dilihat hanyalah helah UMNO untuk menyelamatkan diri dari lemas dalam pilihanraya. Kekeliruan Muhyiddin memahami perbezaan antara kedua-dua isu ini menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah. Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Muhyiddin sendiri yang menolak debat dengan pembangkang seperti yang dilaporkan di pautan berikut : http://malaysiakini.com/news/198296

Menolak debat dengan pembangkang namun dalam masa yang sama bersetuju dengan muzakarah bersama PAS membuktikan sedikit sebanyak silap faham Muhyiddin dalam isu ini. Sekalipun muzakarah dan debat berkemungkinan sedikit berbeza tetapi asasnya sama iaitu bertemu, berdialog dan berhujah. Apatah lagi jika muzakarah ditafsirkan sebagai penyatuan, ia lebih silap!

Hakikatnya, bukan YAB Tuan Guru yang mengemukakan pelawaan untuk bermuzakarah. Beliau hanya menjawab soalan wartawan selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan pada 16 Mei 2012 yang lalu iaitu, "Adakah PAS sedia bermuzakarah?" maka jawapan dari YAB Tuan Guru ialah, "Ya.." Dipercayai soalan wartawan tersebut merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS yang memberikan respon ekoran kenyataan Mufti Perak yang menyatakan bahawa PAS telah terpesong daripada perjuangan Islam. Justeru, respon Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS ialah, "Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno..." (Rujuk : http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-sedia-muzakarah-soal-islam-1.47630)

Kesimpulannya, pendirian YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS dalam isu muzakarah ialah jelas. Pintunya sentiasa terbuka untuk sesiapa sekalipun. Tetapi untuk berpadu dengan UMNO bagi menyelamatkan UMNO yang sedang terkapai-kapai, pohon maaf.

Ahmad Fadhli bin Shaari,
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 18 Mei 2012

Guan Eng ajak Palanivel bincang isu kuil Muniswaran

Salmiyah Harun, 18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) mengajak Presiden MIC Senator Datuk Seri G. Palanivel duduk bersama bagi menyelesaikan isu perobohan kuil Hindu Sri Muniswaran.

Lim Guan Eng dalam suratnya kepada Palanivel berkata, perjumpaan tersebut sebagai usaha mencari jalan bagi membina semula kuil berkenaan agar dapat membela martabat kaum India dan agama Hindu khususnya di Negeri Pulau Pinang.

"Pertemuan boleh diadakan di pejabat saya di Pulau Pinang atau pejabat Senator Datuk Seri di Putrajaya," katanya.

Guan Eng juga menafikan kerajaannya terlibat dalam perobohan kuil berkenaan sebaliknya ia adalah tindakan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Yang sepatutnya meminta maaf bukanlah Saya tetapi YB Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya sebagai Pengerusi PPSB dan YBhg. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagaě Pengerusi (Penang Port Commission) PPC," jelas Guan Eng.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius dan mengutuk tindakan PPSB dan PPC kerana tidak menghormati sensitiviti agama dengan membenarkan kuil yang menjadi tempat ibadat pekerja-pekerja India PPSB yang terletak di Prai BCT dirobohkan.

Terdahulu, Palanivel dalam kenyataan di sebuah akhbar Bahasa Inggeris mendesak Guan Eng meminta maaf ekoran kenyatannya dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkaitan dengan perobohan  Hindu Sri Muniswaran oleh PPSB pada 20 April 2012 tanpa sebarang notis diberikan.

Bagaimanapun, Guan Eng menegaskan beliau membuat kenyataan tersebut ekoran keengganan Adun Umno Hilmi Yahya meminta maaf dalam mesyuarat Dun kepada penganut agama Hindu atas kesilapan itu apatah lagi masih tidak membina semula kuil tersebut.

Muzakarah: Muhyidin tak faham atau buat tak faham

Harakahdaily, 18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin tidak faham dengan muzakarah yang dicadangkan oleh PAS atau berpura-pura tidak faham.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, muzakarah yang ditawarkan kepada semua NGO dan parti politik jelas untuk menerangkan pendirian PAS mengenai isu-isu  yang tidak difahami oleh sesetengah pihak.

"Jadi tidak berbangkit soal PAS hendak bermuzakarah dengan Umno atas dasar untuk penyatuan politik. Isu itu sudah lama mati," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk NGO dan parti politik.

Muzakarah terbaru yang dicadangkan oleh Tuan Guru Nik Aziz adalah lebih kepada membincangkan isu perkataan Islam pada nama PAS.

Tuan Guru Nik Aziz berkata, sudah lama PAS tunggu muzakarah.

Ini ekoran kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan perjuangan PAS kini sudah menyeleweng dan beliau mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mempertimbangkan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam.

Namun, semalam Muhyidin menyebut Umno sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Menurut Sinar Harian, walaupun agak terkejut dengan pelawaan PAS itu, beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Nik Abdul Aziz.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya.

Nik Aziz sarung selendang cinta untuk isterinya

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 18 Mei 2012


(Tuan Guru Nik Aziz berucap dalam perhimpunan isteri pemimpin dan muslimat Kelantan)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarungkan selendang tanda cinta yang tidak berbelah bagi pada  isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Tuan Guru menyarungkan selendang berkenaan sempena majlis Himpunan Isteri Pimpinan dan Muslimat Kelantan – Gempur PRU 13, di Pusat Tarbiah Islamiah PAS Kelantan (PUTIK) tengahari tadi.

(Tuan Guru Nik Aziz menyarungkan selendang cinta untuk isterinya, Tuan Sabariah)

Sebelum ini Tuan Guru menghadiahkan bunga kepada isterinya yang tercinta itu, namun hari ini ianya agak berlainan menjadikan majlis bertambah ceria.

Program sehari itu anjuran Dewan Muslimat PAS negeri Kelantan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Kawasan Pengkalan Chepa.

Tuan Guru ketika merasmikan majlis ini mengingatkan para isteri mencontohi isteri-isteri pimpinan terdahulu yang telah banyak mengorbankan masa, kewangan dan sebagainya untuk perjuangan Islam.

Sambungnya, apa yang penting para isteri atau muslimat wajib mengikut perintah Allah kerana akan memperolehi hasil yang manis masa depan.

“Bonda Nabi Musa diperintahkan Allah membuang anaknya itu ke laut selepas disusukan hingga kenyang, walaupun hati begitu pilu berpisah dengan anak apa lagi mesti dibuang ketika masih bayi, namun kerana perintah Allah, dia berbuat demikian.

“Akhirnya Nabi Musa membesar dalam istana Firaun yang dibesarkan oleh ibu angkatnya sendiri Asiah,”ujarnya.

Ketika berucap pada majlis penutup, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Siti Zailah Yusof, juga turut menyeru para isteri mengambil contoh para isteri pimpinan khasnya yang dikenakan tahanan ISA.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sengsara sepanjang suami mereka tiada, namun kekentalan jiwa mereka sentiasa kukuh.

Program separuh hari itu turut dihadiri Normah Alwi (isteri timbalan Presiden PAS) dan beberapa orang pimpinan muslimat PAS Pusat yang lain, selain Timbalan Purnama, Siti Zubaidah Abdul Hamid dan lain-lain pimpinan.

Kenapa DBKL 'main wayang' dengan 'protes burger'?

Muhammad Faizal, 18 Mei 2012

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan hari ini menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail memberi penjelasan ekoran membenarkan 'protes' penjual burger di hadapan rumah Datuk S.Ambiga minggu lalu.

Desakan itu dimuatkan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pegawai Khas Datuk Bandar Md Aznan Md Zain pagi tadi.

Turut serta dalam penyerahan itu Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, wakil PKR Fahmi Fadzil dan PAS Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Memorandum tersebut dihantar sebagai tanda bantahan terhadap sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang lambat bertindak menghalang perkara itu berlaku.

Menurut Lim Lip Eng, DBKL sepatutnya peka kerana ia melanggar Akta Jalan Parit Bangunan 1974 kerana membuat kacau ganggu di jalan keluar masuk kediaman individu, menggangu privasi ketenteraman individu.
Sementara itu, Fahmi meminta Ahmad Fuad memberi penjelasan apakah tindakan selanjutnya akan diambil oleh DBKL jika tindakan perhimpunan dan gerai burger itu melanggar peraturan-peraturan DBKL.

"Sekiranya perbuatan tersebut adalah salah, apakah tindakan selanjutnya yang perlu diambil oleh DBKL," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Suhaimi meminta agar pihak polis, DBKL menjalankan tugas mereka dan bertindak segera.

"Kita tidak mahu perkara ini terus berulang dan pihak polis mahupun DBKL perlu bertindak dengan tegas.

"Saya menyifatkan apa yang dilakukan oleh kumpulan tersebut adalah bersikap dendam terhadap pengerusi Bersih itu dan lebih menjurus kepada serangan peribadi," katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) telah mencetuskan kontroversi apabila bertindak membuat 'protes burger' di hadapan rumah Ambiga yang juga merupakan seorang peguam.

Umno 'putus harapan' dengan Majlis Peguam, Suhakam

Harakahdaily, 18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan Umno yang mahu menubuhkan Akademi Undang-undang mungkin kerana mereka sudah 'putus harapan' terhadap Majlis Peguam yang tidak lagi boleh dijadikan 'pak turut' mereka.

AJK PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata, cadangan tergegsa-gesa kerajaan terhadap penubuhan akademi itu hanya selepas Majlis Peguam memberi pandangan tidak menyebelahi mereka mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 adalah dilihat tindakan sangat terdesak.

"Ini reaksi terdesak oleh Umno berhadapan dengan kecaman badan itu terhadap keganasan polis yang sudah tentu diarah kerajaan dalam menangani himpunan Bersih 3.0.

"Ini juga memperlihatkan Umno putus asa dan hilang keyakinan terhadap Majlis Peguam kerana pandangan badan itu tidak menyebelahi mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin yang bersetuju jika agensi baru seperti Akademi Undang-undang ditubuhkan bagi 'mengimbangi' Majlis Peguam sedia ada.

Cadanagn Nazri itu dipercayai dibuat ekoran 12 usul tergempar yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam pada 11 Mei lalu berhubung himpunan Bersih 3.0.

Antara lain, usul itu mengutuk tindakan ganas polis sewaktu menyuraikan peserta.

Mengulas lanjut Kamaruddin berkata, adalah tidak mustahil nasib sama bakal menimpa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang juga menyatakan pandangan mengutuk tindakan ganas polis dalam himpunan Bersih 3.0 lalu.

Sebelum ini juga, jawatankuasa inkuiri Suhakam bagi menyiasat insiden Bersih 2.0 pada Julai tahun lalu juga merumuskan bahawa pihak polis telah melanggar hak asasi sewaktu menyuraikan peserta pada hari tersebut.

"Tak mustahil kerajaan akan umum tubuh Suhakam satu lagi untuk saingi suhakam sedia ada.

"Kalau semua nak dibuat ada dua, sudah tentu yang ada sekarang ini tidak akan lagi memihak kerajaan manakala yang baru akan pro kerajaan," katanya.

Pengasas PAS Melaka, Yusof Enjah meninggal

Sofi Wahab, 18 Mei 2012
MASJID TANAH: Salah seorang pengasas PAS Melaka, Haji Yusof Enjah, 88 meninggal dunia jam 7.00 malam semalam di Hospital Terendak, Melaka.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Air Limau di sini jam 10 pagi semalam.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari; Setiausaha Perhubungan Negeri Melaka, Asri Shaikh Abdul Aziz, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, pimpinan PAS Negeri dan Kawasan dari seluruh negeri Melaka.

Adly dalam kenyataan ringkasnya melahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Yusof Enjah.

"Beliau merupakan antara orang yang mengasaskan PAS Melaka, jasa dan
pengorbanan beliau tetap dikenang oleh pejuang Islam di Melaka," kata
Adly.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama roh para anbia, solihin dan syuhada.

Al Fatihah.

Tiada ulasan: