Sabtu, 19 Mei 2012

JANGAN KATA GITU...KITA ADA KUASA MUTLAK...IAITU ALLAH...KITA USAHA DENGAN SUNGGUH2...KEJAYAAN DARI ALLAH...JANGAN PUTUS RAHMAT...ALLAH BOLEH MATI SEMUA ORANG2 JAHAT...TINGGALKAN ORANG2 BAIK SAJA...JIKALAH ALLAH NAK BEGITU...ITU HAK ALLAH TAK BOLEH KITA GANGGU GUGAT...KITA YANG RAGU2 HUKUM ALLAH TAK TAHU BILA MATI...TAK TAHU AHLI SYURGA ATAU NERAKA...CAKAP TENTANG ALLAH JAGA2...JANGAN SAMPAI ROSAKKAN IMAN...

Pemuda dakwa retak kepala diganasi polis
Seorang pemuda mendakwa retak di kepala akibat dipukul polis sewaktu himpunan BERSIH 28 April lalu - antara insiden paling serius diketahui setakat ini.

Mohd Najib Rahimi, 27, mendakwa dipukul kira-kira 30 anggota polis selepas ditangkap dan diseret polis dari kawasan Masjid Jamek ke Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau dipukul selepas cuba menghalang polis yang mahu merempuh peserta BERSIH yang berlindung di Masjid Jamek.

Beliau juga kesal dengan tindakan polis yang didakwa bertindak seolah-olah beliau melawan sewaktu ditangkap untuk membolehkan polis lain menyerangnya bertalu-talu.

NONE "Dia tarik dan koyakkan leher baju saya dan menggoyang-goyangkan badan saya seolah-olah saya melawan.

"Sepanjang perjalanan (dari Masjid Jamek ke Dataran) saya ditumbuk, ditendang dan saya hanya mampu beristighfar sahaja," katanya.

Mohd Saufi Othman, 26 tahun, seorang pelajar politeknik pula mendakwa dihentak dengan gari dan bucu pistol pada bahagian tulang rusuknya.

"Sehingga kini setiap kali saya menarik nafas, saya terasa sakit di bahagian dada," katanya yang menyertai himpunan BERSIH bersama keluarganya.

Seorang agen insurans, Daniel Lee, 39 tahun mendakwa menerima lima jahitan di belakang telinganya selepas dipukul polis sewaktu menunggu tren berhampiran Masjid Jamek untuk pulang ke rumah

"Polis naik ke atas platform dan menarik dan membelasah saya sepanjang perjalanan dari stesen itu sehingga ke Dataran Merdeka," katanya.
Pemuda Umno Johor bergolak?
Naib Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fuad Tukirin menafikan cuba menjatuhkan bosnya Mohd Fadil Muskon dengan melobi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Mohd Fuad mengakui beliau dan rombongan 17 Pemuda Umno bahagian di Johor berjumpa Khairy pada 8 Mei lalu tetapi ia tidak berkaitan dengan khabar angin untuk menjatuhkan Mohd Fadil yang dilantik sebagai ketua Pemuda negeri.

"Saya menafikan perkara tersebut. Tidak ada (buat) desakan apa-apa. Kenapa disalahtafsirkan. Kita mengunjungi beliau kerana mahu mengucap tahniah sebab dilantik menjadi pengerusi PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd )," katanya Mohd Fuad sambil ketawa.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohd Fuad berkata pertemuan beliau bersama rombongannya dengan Khairy berlangsung di ketua Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mohd Fuad berkata kunjungan mereka itu tidak disertai Mohd Fadil yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Ayer Hitam dan beliau "tidak pasti" sebab ketidakhadirannya.

"Saya pergi bukan atas kapasiti naib ketua pemuda Johor, tapi sebagai ketua pemuda bahagian ... Kita maklumkan (kepada semua) siapa nak pergi, pergilah," katanya yang juga ketua Pemuda Umno Bakri.

'Tidak salah manja-manja dengan bos'


Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku pergolakan dalam pergerakan Pemuda Umno Johor yang diedarkan melalui e-mel sejak 15 Mei lalu dan dikatakan tersebar luas di negeri kubu kuat Umno itu.

Kumpulan itu juga didakwa memberi kata dua kepada Khairy untuk mengikut keputusan mereka atau mereka akan mendesak menteri besar Johor campur tangan untuk menukar ketua Pemuda Umno negeri.

Diminta mengulas dakwaan tindakan kumpulan mereka itu didalangi Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim, Mohd Fuad sekali lagi mengulangi dengan berkata:

"Tak ada desakan apa-apa. Kenapa buat tuduhan melulu. Yang lain-lain saya no comment (tiada komen)," katanya.

Selain mengucap tahniah kepada Khairy, Mohd Fuad berkata rombongannya turut membangkitkan rungutan terhadap kepada ahli parlimen Rembau itu supaya "tengok-tengok" Pemuda akar umbi di negeri itu.

"Beliau jarang turun. Jangan berada di Kuala Lumpur sahaja. Tidak salah nak manja-manja dengan ketua Pemuda, bos kami," katanya sambil ketawa.

"Kami tak ada baling batu, cakap belakang... Mesti ada pihak yang menangguk di air keruh," Katanya lagi.
KDN, Jakim halang program penulis kontroversi
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program melibatkan wanita itu daripada berlangsung.

Beliau berkata Manji, 48, akan datang ke negara ini bagi tujuan melancarkan buku terbarunya bertajuk Islam, Liberty and Love yang dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.

"Kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Buat Elok Saja Tau (Best) di Gurun malam tadi.

Katanya ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Jamil Khir berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT sebagaimana yang ditegaskan dalam persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac lepas di Geneva, Switzerland.

Justeru, beliau menyeru umat Islam di negara ini sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan dan individu tersebut.

Ini kerana beliau khuatir akan menyentuh sensitiviti agama serta menjadi provokasi serius terhadap umat Islam secara harmoni di bawah naungan institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini.

Manji merupakan seorang Muslim berfahaman liberalismie, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa.

Dia pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk The Trouble With Islam Today yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie.

- Bernama
'Allah, Kebebasan dan Cinta' berjaya dilancarkan
Walaupun menghadapi pelbagai halangan dan kontroversi, buku Allah, Kebebasan dan Cinta berjaya dilancarkan secara sederhana di Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 70 orang hadir dalam pelancaran buku penulis Kanada Irshad Manji yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur dekat ibu negara awal petang ini.
K'jaan terima banyak bantahan kedatangan Manji
Kerajaan menerima banyak bantahan orang ramai terutama dari kalangan NGO, individu serta parti politik berhubung ura-ura seorang aktivis Muslimah liberal, Irshad Manji mengadakan program di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Irshad Manji bercadang datang ke Malaysia untuk melancarkan bukunya berjudul Islam, Liberty and Love yang dipenuhi dengan unsur penghinaan terhadap agama Islam di samping mengadakan ceramah awam mengenai ideologi songsangnya itu.

Dalam kenyataan Jumaat, beliau berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati Irshad Manji adalah seorang Muslimah berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme.

Jamil Khir berkata aktivis wanita itu yang secara terbuka mengaku lesbian dan juga pendukung hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

"Kerajaan memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia," katanya dan menambah bahawa ideologi itu jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan norma masyarakat.

Jamil Khir berkata Irshad Manji pernah mengarang buku yang menimbulkan kemarahan umat Islam di dunia yang berjudul The Problem With Islam Today yang mengandungi idealisme yang sama dengan Salman Rushdie, penulis novel The Satanic Verses.

Beliau berkata Malaysia bersama-sama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak orientasi seksual yang mendukung golongan LGBT sebagaimana yang ditegaskan dalam Persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac 2012 di Geneva, Switzerland.

- Bernama
Saham Bursa Malaysia dijangka terus rendah
Saham-saham di Bursa Malaysia dijangkakan terus rendah berikutan kebimbangan berterusan terhadap ekonomi dunia, kata penganalisis.

Pasaran tempatan juga dijangkakan mengalami aliran harga menurun berikutan prestasi ringgit dan komoditi yang lemah -- dengan ringgit, minyak dan minyak sawit mentah, masing-masing susut 2.2 peratus, 3.1 peratus dan 5.7 peratus -- ekoran faktor luar yang negatif.

Keadaan ini berpunca daripada kebimbangan berterusan terhadap pemecahan zon euro, susulan perkembangan baharu politik di Eropah dengan pihak yang antipenjimatan, membentuk kerajaan pasca pilihan raya.

Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan menjangkakan bursa tempatan akan menguji paras sokongan psikologi 1,500.

Beliau berkata pasaran terus berada dalam kedudukan yang tidak menentu berikutan kebimbangan bahawa krisis hutang Eropah kini semakin besar susulan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) menghentikan pinjaman kepada bank-bank Greece dan Sepanyol berikutan tindakan Moody menurunkan penarafan ke atas 16 bank Sepanyol.

Sementara itu pelabur terus bimbang tindakan Greece keluar dari zon euro akan memburukkan lagi sistem kewangan di seluruh benua itu.

Dalam pada itu, Nazri berkata walaupun semua kebimbangan bertumpu terhadap zon euro, peluang kini muncul apabila pasaran global tumbang.

Beliau berkata bank pusat dunia sedia melancarkan rangsangan monetari jika keadaan memerlukan, selain campur tangan oleh ECB untuk menenangkan pasaran.

"Sebarang berita oleh ECB untuk membantu secara langsung dalam mengurangkan kuantitatif besar-besaran bagi menangani krisis euro, dijangka akan meningkatkan pasaran," katanya.

Nazri juga berkata terdapat mudah tunai yang besar dalam negara selain penyenaraian tawaran awam pemulaan (IPO) besar seperti Felda, serta kemasukan projek baharu, termasuk projek RM15 bilion North Malay Basin, yang mampu menampung penurunan pasaran dalam tempoh terdekat.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran berada pada kedudukan rendah, akibat tekanan sentimen luar yang lemah.

Mengikut perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 51.86 mata kepada 1,532.46.

Indeks Kewangan susut 442.83 mata kepada 13,730.49, Indeks Perusahaan turun 112.35 mata kepada 2,681.1 dan Indeks Perladangan turun 535.69 mata kepada 8,104.51.

Indeks FBM Emas turun 408.38 mata kepada 10,444.55, Indeks FBM ACE turun 314.31 mata kepada 4,228.37, Indeks FBM Mid 70 susut 577.62 mata kepada11,302.36 dan Indeks FBM T100 turun 381.93 mata kepada 10,273.85.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.768 bilion saham bernilai RM8.262 bilion berbanding 6.033 bilion saham bernilai RM6.45 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.89 bilion bernilai RM7.97 bilion berbanding 3.702 bilion bernilai RM6.073 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.3 bilion bernilai RM215.75 juta berbanding 1.544 bilion saham bernilai RM272.771 juta.

Waran berkurangan kepada 522.02 juta unit bernilai RM63.62 juta berbanding 767.848 juta unit bernilai RM96.247 juta.

- Bernama
Bekas senator AS tanya PM bila pilihan raya
Bekas senator Missouri Amerika Syarikat (AS), Christopher Samuel "Kit" Bond, memandang tinggi Malaysia dan yakin negara itu merupakan lokasi yang baik untuk pelabur US menjalankan perniagaan.

Sambil menyifatkan Malaysia sebagai negara yang aman, Bond, yang berkhidmat selama dua penggal sebagai Gabenor Missouri dari 1973 hingga 1977 dan dari 1981 hingga 1985, menolak tanggapan bahawa protes "kebangkitan revolusi" (Arab Spring) boleh berlaku di Malaysia, sekaligus menakutkan pelabur.

"Oh! Dengar! Semua orang bimbang terhadap kebangkitan revolusi dan tujuannya, namun Malaysia ialah negara yang aman!" katanya kepada wartawan Malaysia yang menembualnya selepas beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di New York.

Najib yang melakukan lawatan kerja ke New York dari Rabu hingga Jumaat, mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), serta bertemu pemimpin syarikat Fortune 500, di New York.

"Mereka (Malaysia) mengamalkan demokrasi, mereka mempunyai hak asasi manusia, mereka mempunyai perusahaan bebas di sana, oleh itu tidak timbul persoalan terhadap Malaysia, dan ia merupakan lokasi yang baik untuk menjalankan perniagaan," kata Bond.

Bond, rakan di Thompson Coburn, firma pembangunan dan perundingan perniagaan yang diketuainya, yang mempunyai pejabat di Missouri dan Washington, berkata beliau telah memberitahu rakyat Amerika mengapa Malaysia merupakan tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan.

"Beberapa minggu lepas, saya membantu menganjurkan mesyuarat untuk MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MIGHT (Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi) yang datang ke St Louis, Missouri, untuk berunding mengenai peluang-peluang yang ada di Malaysia.

"Seratus dua puluh perniagaan mahu datang dan berada di Malaysia untuk menjalin usaha sama, dan kami mempunyai universiti yang mahu datang dan bekerja bersama-sama universiti dan institusi pengajian tinggi di Malaysia," katanya.

Ditanya tujuannya menemui Najib, Bond berkata beliau menemui seorang rakan.

"Kami mempunyai peluang hebat untuk menjadi orang yang baik, pergi ke tempat yang menarik dan membuat kawan dan kawan...itulah perkara yang anda tidak boleh lepaskan.

"Hebat... ia sesuatu yang baik dapat menemui perdana menteri. Saya bangga menyambut beliau di sini dan mengetahui apa yang berlaku di Malaysia dan memberitahu beliau serba sedikit apa yang kami lakukan di Missouri," katanya.

Ditanya sama ada beliau ada bertanyakan soalan khusus kepada perdana menteri, sambil berseloroh Bond berkata:

"Saya bertanya PM bila pilihan raya (Malaysia) akan berlangsung memandangkan JJ (Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis) memberitahu saya beliau tidak mengetahuinya dan meminta saya bertanya beliau (Najib), namun tidak mendapat jawapan daripada PM."

Bond, 73, anggota Parti Republikan, dipilih sebagai senator US pada 1986 dan dipilih semula pada 1992, 1998 dan 2004.

Pada 8 Januari 2009, beliau mengumumkan tidak bertanding semula buat penggal kelima pada 2010, dan digantikan oleh Senator Roy Blunt pada 3 Januari 2011.

- Bernama
Hudud: Menghadapi nasib seperti Mat Jenin?
Pelaksanaan hukum hudud yang terus dijanjikan PAS, bagi banyak pemerhati politik, kali ini hanya sandiwara untuk meraih sokongan orang Islam di negara ini, khususnya pengundi Melayu pada
pilihan raya umum ke-13.

Meskipun umum mengetahui bahawa impian itu ditentang hebat rakan pakatan pembangkang iaitu DAP, namun tentangan itu dilihat untuk membolehkan sokongan pengundi bukan Islam kekal bersama DAP.

Apakah PAS benar-benar memperjuang hukum Hudud dan Islam sebagai addin atau cara hidup? Dan jika benar ia adalah matlamat PAS, mengapa hukum Hudud tidak dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu yang pernah diperintah PAS pada 2004?

Kalangan pemerhati politik juga melihat bahawa PAS seperti cuba berdolak-dalik untuk melaksanakan Hudud di negeri yang dikuasai mereka dengan memberi contoh di Kelantan yang diperintah PAS selama lebih 20 tahun.

NONE Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 15 Disember lepas dilapor sebagai berkata jika benar perlembagaan PAS itu Al-Quran, kenapa pula hendak salahkan Perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di Kelantan dan Kedah?.

Kerajaan PAS Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II yang melibatkan hukum Hudud, pada persidangan Dewan Undangan Negeri 1993 dan mendapat sokongan semua anggota, tetapi ia masih tidak dilaksanakan.

Setiap kali dipersoal oleh rakyat mengenainya, PAS hanya memberi alasan kerajaan persekutuan yang tidak membenarkan ia dilaksanakan.

Alasan itu adalah bukti bahawa sememangnya PAS tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang dijanjikan mereka dan isu seperti itu timbul dan dihangatkan hanya sebagai modal untuk meraih sokongan.

NONEPensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata PAS perlu melupakan hasrat untuk mewujudkan negara Islam dan melaksanakan Hudud jika masih tetap bersama dalam pakatan pembangkang.

"Rakan pakatannya tidak pernah ikhlas dan hanya mahukan kuasa. Kalaulah mendapat kuasa nanti, PAS akan ditendangnya. Hudud PAS hanya akan tinggal angan-angan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Justeru beliau sedih apabila PAS turut terpengaruh dan terheret bersama mereka yang menentang Islam.

Persoalan juga timbul, apakah PAS begitu yakin akan dapat menerajui kerajaan jika pakatan pembangkang memerintah dan bagaimanakah hendak PAS laksanakan hukum hudud dan negara Islam yang terus mendapat tentangan DAP dan PKR?

Adalah menghairankan apabila janji itu dibangkitkan semula oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 9 Mei lepas hanya untuk menyifatkan bahawa hukum Hudud bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Janji PAS itu sudah nyata bercanggah dengan pendirian dan kata sepakat Majlis Pimpinan pakatan pembangkang pada 28 September tahun lepas yang berikrar bahawa pakatan itu tidak akan melaksanakan hukum Hudud seperti yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Lantaran itu, apabila PAS berulang kali melaungkan janji hukum Hudud, pemerhati politik berpendapat bahawa rakyat sudah jemu mendengar siulan politik itu yang hanya untuk menyedapkan halwa telinga tanpa ada sebarang asas untuk menjadikannya kenyataan.

Rakyat pun sudah banyak mempertikai kemampuan PAS, malah ada yang merasa pelik melihat PAS terus-menerus mendendangkan lagu lama.

Mereka berpendapat PAS terpaksa melakukannya kerana sudah ketiadaan modal politik lain, sudah ketiadaan isu baru untuk menunjukkan dirinya masih gah dan dihargai dalam pakatan tiga buah parti itu.

Kata mereka, yang terus-menerus terkeliru hanyalah para penyokong PAS sendiri.

Mohd Ridhuan berkata rakyat melihat dengan jelas bahawa PAS sudah cukup jauh disisihkan di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pakatan pembangkang.

"Inikan pula apabila berjaya membentuk kerajaan pusat," katanya.

Pemerhati juga bertanya, pernahkah mana-mana anggota Parlimen PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukum Hudud dilaksanakan dan supaya tidak lagi bercanggah dengan janji mereka?

NONEPresiden Majlis Peguam Lim Chee Wee pada 30 Sept lepas dipetik sebagai berkata hukum Hudud, jika dilaksanakan di Malaysia, hanya untuk orang Islam dan tidak untuk orang bukan Islam, menunjukkan ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, seorang Islam juga akan terdedah kepada dua bentuk pendakwaan atau sabitan kesalahan berbeza - satu di bawah Hudud dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaan, bercanggah dengan Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bekas naib presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali pada 9 Feb lepas dilapor berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat menyebabkan PAS terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang.

Banyak pemimpin PAS sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar PAS sedang diperalat oleh rakan pakatan pembangkang untuk mencapai cita-cita ke Putrajaya.

Pada 8 Disember lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula dilapor berkata bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang dilulus semasa pentadbiran kerajaan PAS di Terengganu, bercanggah dengan Islam.

Pada 2 Oktober tahun lepas, Pengerusi DAP Karpal Singh dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud walaupun jika parti pembangkang mendapat majoriti dua pertiga pada PRU ke-13.

Katanya pelaksanaan Hudud akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan sokongan terhadap pakatan pembangkang memandangkan bukan semua rakyat bersetuju dengan hukum berkenaan.

Mengulas dakwaan PAS ia tidak dapat melaksanakan hukum Hudud di Kelantan dan Kedah yang mereka terajui kerana dihalang oleh kerajaan persekutuan, Pensyarah Sains Politik di UiTM Dungun, Terengganu, Che Hamdan Mohamed Razali berpendapat ia tidak boleh lagi dijadikan alasan tanpa PAS sendiri mencuba meminda perlembagaan.

"Kalau sekejap keluar kenyataan nak buat Hudud, selepas itu tarik balik pula, saya nampak seolah-olah PAS cuba main-main. PAS mungkin lebih takut kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Che Hamdan juga sependapat dengan Ridhuan bahawa PAS perlu meninggalkan pakatan pembangkang jika berada di dalam gabungan itu akan menggadaikan prinsip perjuangan parti itu, yang kononnya untuk menegakkan Islam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain tidak menafikan bahawa isu itu dimainkan PAS untuk meraih sokongan orang Islam dan Melayu.

"Ketiga-tiga parti ini sentiasa bermain sandiwara antara satu sama lain. PAS memerlukan kedua-dua parti itu untuk membolehkan ia bersama-sama bermimpi menguasai pemerintahan negara seandainya mereka menang dalam pilihan raya akan datang.

"Bagaimanapun, saya yakin rakyat telah pun faham muslihat politik yang ditonjolkan PAS. Kalau PAS benar-benar hendak laksanakan hukum hudud, pastinya DAP akan keluar daripada gabungan itu," katanya.

Pemerhati politik berpendapat bukan sahaja PAS tidak akan dapat melaksanakan hukum Hudud, malah mungkin ia akan kehilangan banyak kerusi untuk ditandingi dalam PRU 13, jika ia terpaksa terus tunduk kepada pelbagai tuntutan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang.

Tanpa formula pembahagian kerusi yang jelas, pemerhati meramalkan PAS, PKR dan DAP akan bertelagah sesama sendiri berebut kerusi kerana masing-masing mahu lebih banyak kerusi untuk ditandingi supaya dapat mengetuai kerajaan yang mereka mimpikan kelak.

Apakah PAS akan menghadapi nasib sama seperti Mat Jenin, menang sorak kampung tergadai atau lebih parah lagi, kalah sorak dan kampung pun digadai?

- Bernama

Tiada ulasan: