Isnin, 21 Mei 2012

KONON NEGERI PEMBANGKANG TERUK...MEREKA ELOK...KALAU BANCI KES2 LAGI BANYAK DITEMPAT2 LAIN...DAH JADI PERKARA BIASA...DALAM PADA ITU TAK SEDAR MEREKA MENAFI HUKUM ALLAH..LAGILAH TERUK...BOLEH ROSAK IMAN..

Anwar, Azmin akan didakwa esok berhubung Bersih 3.0

Muhammad Faizal, 21 Mei 2012
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Azmin Ali akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kedua-dua pemimpin iaitu, diminta hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi esok.

Writ saman tersebut telah diserahkan oleh lebih kurang sepuluh orang anggota polis dari Bukit Aman di Ibu Pejabat PKR pada jam 3 petang tadi.

Pegawai dari pejabat Ketua Umum menerimanya bagi pihak Anwar manakala Pegawai Khas Azmin, Hilman Idham telah menerima writ saman tersebut bagi pihaknya.

Sebelum ini, pelbagai pihak dan media masa arus perdana telah mendakwa bahawa Anwar dan juga Azmin adalah individu yang mengarahkan peserta memasuki kawasan Dataran Merdeka pada perhimpunan tersebut sehingga menyebabkan beberapa individu bertindak merempuh pengadang jalan yang menghalang dari kawasan Dataran diceroboh.

Namum pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Anwar telah menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan arahan tangan olehnya itu adalah mengarahkan peserta bergerak kearah Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Menurut writ saman tersebut, Azmin dituduh melanggar Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun yang sama.

Dia dituduh bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka.

Sementara itu, ketua kakitangan di pejabat Anwar - Ibrahim Yaacob - mengesahkan ketua umum PKR itu telah menerima notis tersebut pada jam 2.40 petang.

Menurutnya, terdapat dua pertuduhan berasingan terhadap Anwar -  (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) seksyen 188 dibaca bersama dengan seksyen 109 dan 34 dan (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) Seksyen 4(2) (c) dan Seksyen 4(3).

FGVH: K'jaan jangan campur urusan S'jaya Sekuriti

Hazayani Zakaria, 21 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)  memberi amaran kepada kerajaan agar tidak campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Sekuriti mengendalikan isu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, anak tidak teragak-agak untuk mengheret Suruhanjaya Sekuriti ke mahkamah sekiranya badan itu didapati "dipaksa mengikut telunjuk perdana menteri."

Anak sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti berhubung borang tawaran pinjaman bank yang diedarkan kepada peneroka sedangkan badan itu belum meluluskan “Prospektus Penyenaraian FGVH.

"Biarlah Suruhanjaya Sekuriti membuat pertimbangan secara profesional, berdasarkan bukti dan hujah yang dikemukakan.

"Kami beri amaran, kerajaan khususnya perdana menteri jangan campur tangan dalam dalam urusan suruhanjaya sekuriti.

"Kami tak teragak-agak mengheret Suruhanjaya Sekuriti ke mahkamah jika 'dipaksa ikut telunjuk perdana menteri," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau mendakwa pihaknya mendapat maklumat wujudnya 'tangan ghaib' yang cuba mempengaruhi keputusan Suruhanjaya Sekuriti berhubung borang pinjaman pembelian saham FGVh oleh tujuh bank yang terlibat.

Anak dalam pada itu akan menyerahkan memorandum kepada Bank Negara Rabu ini bagi mendesak Bank Negara menarik balik borang tawaran saham yang diedarkan kepada peneroka.

"Kita mohon perhatian serius supaya borang-borang yang dikeluarkan oleh tujuh bank tersebut dapat ditarik balik serta merta," katanya.

Katanya, borang tersebut seolah-olah ingin menipu peneroka apabila dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris dan tidak difahami peneroka.

Kes Mahfuz, Salahudin saman kerajaan, polis didengar esok

Harakahdaily, 21 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Kes saman Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub terhadap polis dan kerajaan Malaysia berhubung salah tangkap terhadap mereka pada perhimpunan Bersih 2.0, Julai tahun lalu, akan didengar esok.

Kes kedua-dua mereka akan didengar di Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) '2' aras tiga, Kompleks Mahkamah Jalan Duta jam 2 petang esok.

Pada 8 Ogos tahun lalu kedua-dua mereka memfailkan saman malu terhadap empat pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis Inspektor Mohd Zaid Madzizat.

Ianya ekoran dakwaan penangkapan salah terhadap mereka di KL Sentral pada 9 Julai lalu sempena himpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Saman tersebut difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.

Kedua-dua mereka sebelum ini mendakwa, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.

Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan daripada mereka.

Mereka juga tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

100 peneroka Kesedar Chalil isytihar keluar Umno

Mijie Yusoff, 21 Mei 2012
GUA MUSANG: Impian Umno mahu menawan Kelantan semakin tergugat apabila 100 lagi ahli dan penyokong parti itu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS.

Malam tadi seramai 100 bekas ahli dan penyokong Umno di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil dekat sini menyerah borang menyertai PAS yang diketuai bekas anggota jawatankuasa Umno Cawangan Chalil, Mat Ali Ibrahim, 62.

Mat Ali yang menyertai RKT Chalil pada 1983 mewakili rakan-rakan menyerah borang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama pada ceramah Selamat Tinggal Umno, Ketua Pemuda PAS Negeri, Abdul  Latiff Abdul Rahman, Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkifli Muhamad dan Penyelia Dun Paloh, Saharudin Mustafa.

Mat Ali yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, beliau berjuang bersama Umno selama 40 tahun.

“Saya melihat dan merasai sendiri apa yang berlaku dalam Umno sepanjang tempoh tersebut. Sebelum ini saya diam sahaja terhadap banyak penyelewengan yang berlaku.

“Namun sekarang saya tidak mampu pendam lagi. Sebab itulah saya dengan sokongan kawan-kawan  mengisytiharkan keluar Umno beramai-ramai malam ini,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Beliau juga mengakui berlaku perbezaan yang jauh di antara PAS dan Umno, di mana rakyat boleh merasai sendiri program berkebajikan yang dilaksanakan di Kelantan sekarang.

Manakala rakannya, Che Ghani Che Mat, 60 yang masih memiliki nombor keahlian Umno berkata, dasar perjuangan Umno tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

Katanya, perjuangan Umno sudah jauh ketinggalan zaman kerana ia hanya sesuai pada zaman menuntut kemerdekaan sahaja.

“Sebab itulah sekarang mereka melakukan apa sahaja bagi menarik sokongan rakyat termasuk umpan wang ringgit.

“Namun peneroka sekarang sudah celik. Kami sebagai peneroka sudah lama merasai ditipu pemimpin Umno. Nasib peneroka masih di tahap lama dan tidak berubah,” ujarnya.

(Ikuti pelbagai pendedahan peneroka dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Baju Bersih 3.0 koyak disentap siak dalam masjid

Harakahdaily, 21 Mei 2012


NILAI: Berang dengan tindakan seorang jemaah yang memakai baju Bersih 3.0, seorang siak di sebuah masjid di Kampung Jijan di sini didakwa bertindak menyentap baju pemuda tersebut hingga koyak.

Kejadian berlaku malam tadi ketika pemuda terbabit sedang bersalam-salaman dengan jemaah lain sejurus selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid Saidina Abu Bakar di sini.

"Tiba-tiba tok siak tersebut telah meluru kepada pemuda yang memakai baju Bersih dan menyentap bajunya dari belakang sehingga terkoyak.

"Jemaah yang lain menegur beliau supaya menghormati masjid tetapi dia buat tak peduli," cerita seorang saksi yang mengirim emel kepada Harakahdaily.

Menurut saksi itu lagi, kejadian semalam merupakan kemuncak kepada kemarahan siak tersebut yang sebelum ini pernah menghalau pemuda sama dari bersolat di masjid berkenaan gara-gara memakai baju Bersih itu.

Kejadian kali pertama itu didakwa berlaku pada 14 April lalu iaitu sebelum himpunan besar-besaran Duduk Bantah Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April.

Ketika itu pemuda dengan berbaju Bersih itu hadir dan bersiap sedia untuk solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan.

Namun tidak semena-mena, siak tersebut meninggikan suara dan menghalau keluar pemuda tersebut dan tidak membenarkan beliau bersolat jemaah di masjid berkenaan.

"Ahli-ahli jemaah yang lain hanya berpandangan antara satu sama lain dan mengeleng-ngelengkan kepala.

"Sebelum ini, siak tersebut sangat disenangi dan disegani oleh para jemaah kerana komitmen yang ditunjukkan dalam menyelenggarakan hal-hal masjid sangat baik, tetapi kesan daripada kejadian tersebut kepercayaan kepada beliau tergugat," kata saksi itu lagi.

Lantas saksi itu menimbulkan persoalan termasuk adakah siak tersebut menerima arahan supaya tidak membenarkan orang memakai baju Bersih bersembahyang di masjid tersebut.

Atau juga siak tersebut mendapat mendapat 'fatwa' yang menyatakan memakai baju Bersih tidak sah sembahyang di masjid.

Serbuan rumah urut hanya 'wayang'?

Analisis Majdan Dagang, 21 Mei 2012


(Selepas menaiki black maria ini ke mana mereka. Kenapa tiada berita mereka didakwa atau dihantar pulang ke negara asal?)

Percambahan rumah urut khususnya diSelangor pada hari ini menjadi isu hangat dan diperkatakan serta telah menjadi cerita politik.

Tambahan pula, kemunculan rumah urut ini bukan sahaja di bandar-bandar utama tetapi telah menular ke pekan-pekan kecil.

Sebahagiannya berselindung di sebalik nama pusat refleksologi. Hakikatnya mereka menjalankan kegiatan pelacuran.

Sebahagian besar pekerja seks ini dibawa dari China sama ada secara rela atau paksa.

Pada masa yang sama, setiap hari rakyat Malaysia dapat melihat di kaca televisyen pihak berkuasa khususnya pihak polis dan imigresen bertungkus lumus menyerbu tempat-tempat berkenaan.

Namun, walaupun pihak berkuasa bekerja siang dan malam, kegiatan tersebut tidak pula berkurang, malah semakin banyak.

Pelbagai persoalan timbul yang memerlukan siasatan dan jawapan. Antaranya, selepas diserbu dan ditahan, ke manakah para pelacur ini di bawa? Adakah mereka dihantar pulang ke negara asal? Adakah pemilik premis atau perniagaan ini didakwa di mahkamah?

Hal ini kerana, walaupun telah diserbu dan disita beberapa kali, rumah urut yang sama akan beroperasi semula seperti biasa tidak lama selepas itu. Seolah-olah mereka ini kebal undang-undang atau pihak berkuasa tidak bersungguh-sungguh bekerja.

Beberapa tahun yang lalu, saya pernah melihat suatu operasi bersama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak polis menyerbu dan merampas DVD lucah dan cetak rompak. Operasi yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu turut disertai media cetak dan elektronik.

Saya dan seorang rakan lagi yang kebetulan bersarapan di sebuah gerai tidak jauh dari lokasi operasi. Kami cuma melihat kejadian itu dan masing-masing berkata tindakan memang wajar.

Pada sebelah petangnya kami makan di gerai yang sama, namun mendapati kedai yang diserbu oleh PBT dan polis pada pagi tersebut telah beroperasi semula.

Untuk memastikan bahawa perkara itu, sebaik selesai makan, kami lalu di hadapan kedai tersebut dan mendapati memang benar taukeh yang sama telah meneruskan perniagaannya.

Kami saling berpandangan dan saya tertanya-tanya dengan tindakan lanjut akibat serbuan pada paginya. Beberapa hari selepas itu, ketika menonton sebuah rancangan televisyen, maka disiarkan cerita tentang kejayaan pihak berkuasa menyerbu dan menumpaskan sindiket pengedaran DVD lucah dan cetak rompak.

Secara spontan saya ketawa besar menonton “wayang gambar” yang lihat itu. Masakan tidak, peristiwa ini menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan.

Apakah tujuan serbuan ini dibuat dan disertai pihak media? Adakah pihak kerajaan mahu menunjukkan bahawa agensi di bawah mereka memang bekerja siang dan malam membanteras jenayah.

Hakikatnya semua itu hanya untuk mengabui mata rakyat. Sebagai rakyat, saya berasa tertipu dengan lakonan tersebut. Tiada apa-apa tindakan susulan dibuat.

Tiada pendakwaan di mahkamah dan tiada apa-apa yang berlaku luar daripada kebiasaan – perniagaan mereka berlangsung seperti biasa, tiada apa yang perlu dirisaukan.

Oleh itu, tidak mustahil perkara yang sama berlaku terhadap rumah urut dan pusat refleksologi yang hangat diperkatakan oleh kerajaan UMNO-BN melalui media mereka.

Hal ini kerana, tiada pula berita tentang taukeh rumah urut ini didakwa dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Tiada pula berita tentang penghantaran kembali semua pelacur yang ditahan itu. Atau, mungkinkah mereka ini kembali menyambung tugas selepas usai lakonan yang tersiar di kaca TV.

(Ke mana mereka selepas ini)


Jika hal yang demikian berlaku, patutlah semakin banyak rumah urut dan pusat refleksologi bercambah di negara ini.
Sepatutnya, semakin banyak serbuan dan tangkapan dibuat semakin berkuranglah tempat tersebut. Namun, yang berlaku adalah sebaliknya.

Malah, ada pusat maksiat ini hanya beberapa kilometer dari balai polis dan telahpun diserbu beberapa kali.

Dalam hal ini, saya berasa simpati terhadap anggota-anggota penguatkuasaan yang terpaksa bekerja siang dan malam.

Mereka menjadi tunggangan pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya kerajaan Umno-BN. Penat lelah yang dilakukan hanyalah untuk tujuan politik.

Mereka menjadikan berita ini sebagai alat untuk menyerang Pakatan Rakyat. Sebenarnya, mereka sendiri tidak bersungguh-sungguh menghapuskannya.

Tahniah kepada Datuk Fauzi

Harakahdaily, 21 Mei 2012


(Datuk Fauzi menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia kerana telah menyertai PAS dengan disaksikan oleh Presiden PAS dan Timb. Presiden PAS di Perak.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, DPPWP melihat tindakan Datuk Fauzi ini merupakan salah satu rentetan episod kepada ramainya tokoh-tokoh terulung negara yang berbondong-bondong menyertai perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahan pula, beliau merupakan salah seorang pemimpin tinggi di dalam PDRM.

Sebelum ini, katanya, Datuk Ramli Yusuff yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM menyatakan sokongan beliau terhadap Pakatan Rakyat.

"DPPWP melihat ini merupakan suatu tanda kepada kebangkitan ramainya pemimpin-pemimpin di kalangan PDRM menyertai Pakatan Rakyat," katanya.

Bagi beliau, sudah sekian lama, polis ditindas dan dijadikan alat UMNO/Barisan Nasional untuk mempertahankan legasi kepimpinan yang penuh dengan salah guna kuasa dan kezaliman.

Beliau juga menyeru kepada semua anggota polis untuk bangkit bersama seluruh rakyat untuk menolak sebuah kerajaan yang zalim dan membelakangkan hak rakyat.

"DPPWP juga menyeru semua tokoh-tokoh dan pimpinan masyarakat di semua peringkat untuk bersama-sama PAS dan Pakatan Rakyat untuk membina negara Malaysia yang lebih baik dan berkebajikan untuk semua warga rakyat," katanya.

Kemasukan ramai tokoh-tokoh penting negara membuktikan UMNO/BN kini bukan lagi pilihan untuk rakyat Malaysia, apatah lagi kini semakin banyak isu moral dan salahlaku pemimpin di kalangan UMNO/BN, tambahnya.

"Semoga kemasukan tokoh-tokoh ini akan dapat menarik lebih ramai rakyat untuk bersama PAS dan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang semakin bongkak menafikan hak rakyat," tambah beliau.

Tiada ulasan: