Mahathir ramal Umno ganas jika kalah?
Ahmad Lutfi Othman,
|
29 Mei 2012
|
Sewaktu debat mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan
budaya politik baru yang sihat dan matang, kita dikejutkan dengan siri
aksi brutal terhadap program Pakatan Rakyat.
Ketika rakyat masih
mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan
himpunan aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang
dijangka bakal menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir
tidak dapat dielakkan lagi.
Terbaru, 24 Mei, di Pantai Dalam,
media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua Pembangkang,
Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera di
kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut
terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.
Menurut
saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan
Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak
bersebelahan. Personaliti yang ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali
berceramah dengan pembesar suara dihalakan kepada audien program Pakatan
Rakyat, dengan menjawab secara langsung isu-isu yang dibangkitkan
penceramah Pakatan berhampiran.
Hari yang sama, di Sayong
Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri
Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat
biru. "Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata
Nizar.
Minggu ini juga, kumpulan anti-Bersih, yang diketuai
pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Jamal Yunus, secara berterusan
melakukan provokasi dan gangguan melampau di hadapan rumah Pengerusi
Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman punggung" dipamerkan pada
15 Mei.
Minggu lalu, di Melaka, batu dan telur juga
berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana Ambiga dijadual
hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew
(BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi
pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi
Umno, termasuk beberapa wakil rakyatnya.
Siri gangguan ke atas
program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin
ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman
(ingat zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti
berkenaan gelabah dan kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam
PRU13.
Secara peribadi, saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN
yang meniti saat-saat sukar ini, memilih pendekatan konfrontasi, yang
sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti itu daripada sokongan pengundi.
Meskipun ia ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak
bukti boleh ditunjukkan bahawa segala serangan dan provokasi jahat
selama ini (ingat siri gangguan sejak keputusan PRU12, Mac 2008,
khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, dengan kemuncaknya
rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.
Sepatutnya,
menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang
bertanding mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan
pemikiran pengundi, bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi
berunsur samseng dan ganas -- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi
lebih marah dan jelik.
Aneh sekali strategi Umno ini, 'kan?
Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga untuk melunakkan hati
pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam belakang sendiri!
Tentu
ramai mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
menghadapi asakan di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek
tahi" yang menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.
"Apa
nak dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang
tidak malu-malu menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk
memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan
diupah Umno, serta mendapat layanan istimewa pemerintah, bersikap biadab
dan kurang ajar ketika memaparkan posting mereka," kata seorang teman,
seorang pensyarah sains politik.
Ternyata Umno tidak sabar dan
tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat kematian".
Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama, pembangkang
khususnya PAS, tetap menolak pendekatan kekerasan atau militan meskipun
sering diganasi secara fizikal dan istiqamah dengan "muwajahah
silmiyyah".
Pemimpin dan aktivis PAS menghadapi ujian perit,
termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai
warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain. Biarpun kalah teruk --
termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS tetap menghormati
proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan ahli-ahlinya agar
tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.
Justeru, apabila
bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi
provokasi jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan
patut dikecam.
Dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jika Pakatan
Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi ganas"
tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang akan
mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.
"Tunjuk
perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak
keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka
akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya
keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang
ditunjuk oleh parti lawan," dakwanya.
Kalah dalam pilih raya
bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak
sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan
itu tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila
ditewaskan adalah Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih
pendekatan membeli wakil rakyat dengan sogokan rasuah.
Namun,
jika PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan
manipulasi, seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya
sendiri tidak dapat menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah
melalui perhimpunan yang lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.
Apakah
Dr Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan
"kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar
membayangkan Umno sendiri mungkin mencetuskan huru-hara dan keganasan
sekiranya kalah dan hilang kuasa di peringkat persekutuan nanti, seperti
terjelma secara kecil-kecilan sehari dua ini?
Mengapa Najib, Umno takut debat dengan Anwar?
Riduan Mohd Nor,
|
29 Mei 2012
|

Di
saat budaya debat mula diterima rakyat negara ini sebagai medium
membuat penialaian terhadap sesuatu isu, namun masih ada lagi yang
melihat debat tidak mendatangkan apa-apa faedah.
Malangnya,
kenyataan 'memperlekeh' debat itu yang seolah-olah dilihat hanya
mendatangkan keburukan, datang dari pemimpin negara sendiri.
Terbaru,
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais
Yatim yang menyifatkan debat tidak menguntungkan mana-mana pihak
sebaliknya mendorong kepada perbuatan tuduh menuduh dan kata-kata nista.
Beliau
merujuk kepada keperluan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
dicadangkan banyak pihak.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengeluarkan pandangan serupa
bahawa, debat di antara Najib dengan Anwar tidak perlu.
Beliau
memberi alasan pembangkang khususnya Anwar akan mencetuskan suatu
keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik dalam debat itu.
Apa
yang menjadi persoalan kini, adakah pemimpin Umno ini tidak melihat
contoh depan mata debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berhubung Pemansuhan PTPTN pada 22
April lalu?
Rata-rata melihatnya sebagai sesuatu yang positif, dan langsung tidak timbul persoalan siapa menang siapa kalah antara mereka.
Bagaimana pula debat antara Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek
pada Julai 2008 untuk menurunkan harga minyak. Adakah debat tersebut
mendatangkan keburukan?
Terbaru sebuah NGO Asli sekali lagi mahu
menganjurkan debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas debat serupa
dianjurkan mereka Februari lalu.
Malah Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang dengan hati terbuka menerima tawaran debat itu hari ini.
Jika
benar budaya debat tidak membawa kebaikan, patut hapuskan sahaja
pertandingan debat di sekolah mahupun di universiti yang sudah diamal
sejak sekian lama.
Dalam isu debat Najib-Anwar ini, saya tidak tahu kenapa Najib dan Umno perlu mengelak sampai rapat ke dindidng.
Kenyataan dari pemimpin Umno yang mewakili suara Najib menolak debat ini hanya akan dilihat sebagai 'mengampu' bos sahaja.
Manakala
sikap sepi perdana menteri menyahut debat ini hanya mengesahkan
pandangan rakyat bahawa Najib sememangnya takut untuk berhadapan dengan
Anwar.
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
TG Nik Aziz yakin lebuh raya rakyat dapat disiapkan
Harakahdaily,
|
29 Mei 2012
|
(TG Nik Aziz menandatangani plak perasmian pembinaan Lebuh raya rakyat Kota Bharu - Kuala Krai semalam)
MACHANG: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat yakin projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kuala
Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion akan dapat disiapkan mengikut
jadual.
Mursyidul Am PAS itu berkata pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat, lapor Malaysiakini.
"Kita
yakin dapat melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun
tidak sepenuhnya melalui sumbangan rakyat," katanya kepada pemberita
selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya
itu di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, hari ini.
Nik Aziz
mengulas kenyataan sesetengah pemimpin politik, termasuk Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sangsi
dengan kemampuan kerajaan PAS Kelantan membina lebuh raya melibatkan kos
besar dan menyifatkannya sebagai gimik politik.

Sementara
itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan
Negeri, Datuk Husam Musa berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 73
kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas,
dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
(Ladang Sungai terah menyumbangkan RM1 juta untuk pembinaan
lebuh raya bagi meringankan kesusahan rakyat Kelantan yang pulang ke
kampung pada setiap hari raya dan cuti sekolah)
Katanya lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong
sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).
"Pembinaannya
berkonsepkan wakaf di mana kos pembinaan serta penyelenggaraannya
dibiayai sebahagian daripada dana hasil sumbangan derma dan wakaf oleh
rakyat dan syarikat swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC),"
katanya.
Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya semalam untuk menjayakan projek ini.
Anak
syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta
manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.
Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.
"Iapun
bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain
masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.
Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis
Salmah Mat Husain,
|
29 Mei 2012
|
KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek
diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana
kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa
Cina di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan
negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, juga berkata Soi Lek seharusnya tidak
begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan
Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab
kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan
Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin
membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.
Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar
berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang
membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka
dipertimbangkan.
Jelas Takiyuddin lagi, tidak timbul kerajaan negeri menolak dan
tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri
memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan
negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas
kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
“Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.
“Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap
kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan
pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya,” ujarnya.
Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan
beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan
penjelasan.
Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang
permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat
untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.
Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan
pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan
Islam.
“Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini
tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah
ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak lawan tidak mengambil
kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT
atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni
bina Islam.
Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya
gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam,
bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan
ciri-ciri itu.
FGVH: Apa fatwa libatkan tanah rizab Melayu
Harakahdaily,
|
29 Mei 2012
|
KUALA LUMPUR:
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut supaya sebuah fatwa
dikeluarkan dalam isu penyenaraian FGVH yang bakal melibatkan lebih
105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam Felda.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid
(gambar) berkata,
kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku di negara ini adalah
mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang
Yahudi.
“Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan
isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” ujarnya
dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Teras mendapati kuasa yang dimandatkan kepada
kerajaan sekarang untuk menjamin status TRM sudah lama disalahguna.
Tambahnya, bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara
tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah
didedahkan kepada awam.
Sehubungan itu, tegasnya Teras membantah dengan keras penyenaraian
Felda Global Ventures (FGV) yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar TRM
dalam Felda.
“Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh
kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa
jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam
Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Teras, kata beliau melihat tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu.
Katanya, penyenaraian hartanah dalam bursa saham yang menjadi aset
penting kepada orang Melayu bakal melihat tanah milik orang Melayu
dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu
dalam negara malah orang dari luar negara.
“Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan.
“Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status
TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus
diketengahkan oleh peneroka,” katanya lagi.
Hei Mufti! Bila aku kata undi PAS masuk surga - TG Nik Aziz
cenangau.blogspot.com,
|
29 Mei 2012
|

Nampak
sangat la media penchachai Umno dah habis modal. Tak habis-habis depa
dok ulang isu lama. Kalau isu lama tapi relevan takpa la jugak ni depa
dok guna isu lapok yang langsung tak relevan.
Dua tiga hari lepas depa spin balik isu orang bukan melayu boleh jadi PM. Isu yang dah lama Pakatan Rakyat jawab.
Kali
ni depa ulang pulak pasai isu 'Undi PAS masuk syurga'. Tah mana depa
dapat tiba-tiba Utusan boleh siarkan wawancara dengan Ahli Majlis Fatwa
Masjidi Haram Sheikh Dr Sulaiman Saloomi yang kata "fatwa propaganda
yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti
adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan."
Isu ni pun isu
lapok yang langsung tak relevan pasai dah lama PAS jawab isu ni. Tepat
sekali macam kata Salahuddin Ayub, PAS takmau layan isu ni, lebih baik
PAS memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRU13.
"Saya rasa
itu langkah terdesak UMNO yang sudah tidak mempunyai modal dan isu untuk
berhadapan dengan PAS. UMNO mainkan semula lagu lama untuk dapatkan
simpati rakyat menjelang pilihan raya umum.
"PAS tidak akan
menoleh lagi ke belakang untuk layan perkara ini, kita akan tetap dengan
perjuangan dan pendirian kita bersama Pakatan Rakyat (PR).
"Kita tidak akan layan perkara macam ini, kita mempunyai agenda dan perancangan yang harus dilakukan segera.
"PAS ada strategi yang harus dilaksanakan, dan semua ini perlu kepada fokus untuk memastikan kejayaan kita," katanya. - KLPos.
Yang
celakanya, akhbar KLPos yang laporkan kenyataan Salahuddin tu pilih
tajuk "Fatwa Masuk Syurga : Tiada Keperluan Tarik Kembali - PAS"
langsung tak sesuai dengan isi artikel tu.
Isu ni sepatutnya dah
lama selesai dengan jawapan yang TG Nik Aziz bagi lama dulu. Tapi main
dengan penchachai Umno ni depa bukan kira, selagi boleh spin depa akan
spin, jenis tak peduli hal syurga neraka ni bukan peduli betui ka salah,
selagi depa rasa boleh untungkan depa, depa akan spin.
Bagi yang
tak pernah dengar lagi dari mulut TG Nik Aziz pencerahan isu "undi PAS
masuk syurga" ni, hangpa patut tengok videoclip kat bawah ni sampai
habih (
klik untuk lihat). Dengar sendiri jawapan dari mulut TG Nik Aziz, Mursyidul Am PAS.
Sumber imej: Greenbox
TULISAN BERKAITAN
PM: Tunku Aziz selari dengan Nik Aziz
Harakahdaily,
|
29 Mei 2012
|
(Sidang media Tunku Aziz di rumahnya semalam)
PETALING JAYA: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul
Aziz Tunku Ibrahim berpandangan selari dengan Mursyidul Am PAS, Tuan
Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Perdana Menteri negara ini
seharusnya beragama Islam tanpa mengira kaum.
Beliau mengulas
kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyuarakan pendirian beliau
untuk melihat seorang calon bukan Melayu jika pembangkang mendapat
mandat memerintah negara.
“Mana-mana kaum di Malaysia boleh
menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina
Muslim sekalipun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam,” kata
beliau pada sidang media di rumahnya semalam.
Karpal baru-baru
ini mengeluarkan kenyataan bahawa Perlembagaan Negara tidak menetapkan
apa-apa peraturan yang menetapkan hanya orang Melayu yang boleh menjadi
Perdana Menteri.
DAP juga mendakwa, kenyataan yang disiarkan oleh
Utusan Malaysia tidak benar apabila melaporkan Karpal berkata sampai
mati beliau akan memperjuangkan agar seorang bukan Melayu menjadi
Perdana Menteri.
Sokongan terhadap PAS di Putrajaya meningkat
Harakahdaily,
|
29 Mei 2012
|
PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat
terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat
sangat memberangsangkan.
Biarpun Putrajaya terkenal sebagai
pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti
kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.
Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.
Menurut
Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang
menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada
mereka.
"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka
dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat
hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.
"Perkembangan ini
sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS
dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.
Antara
Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha
Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera
Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.
Pimpinan tertinggi PAS
Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP
Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.
Program
dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan,
Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust.
Nik Zawawi.
Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh
Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera
Presint 9 untuk acara seterusnya.
Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.
Beliau
telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang
kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.
Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada
peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari
Belia di Putrajaya.
Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik
Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam
sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.
Program
diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman
dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.
Luar biasa bila Hanif teruskan siasatan
Harakahdaily,
|
29 Mei 2012
|
KUALA LUMPUR:
Tindakan yang paling luar biasa di akhir-akhir ini adalah apabila Tun
Hanif Omar berkeras untuk terus mempengerusikan “panel penyiasatan
bebas” terhadap keganasan Bersih 3.0.
Ini kerana, hampir semua pihak kecuali kerajaan Umno dan BN yang mengiktiraf perlantikan itu.
Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.
Beliau
mengulas tindakan Hanif yang terus mempengerusikan jawatankuasa
siasatan yang tidak berwibawa dan ekoran itu tidak berani berdepan
dengan wartawan.
Sesi sidang media yang telah dirancang lebih
awal oleh Hanif dan panelnya telah dibatalkan semalam dan sebagai ganti
hanya kenyataan media yang telah diedarkan.
"Ini merupakan satu
bukti yang jelas bahawa Hanif dan panel bebas ini sedar yang orang awam
tidak yakin panel ini boleh bertindak secara bebas, adil dan saksama
terhadap keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira jika mangsa-mengsa itu
adalah kakitangan polis, wakil media dan perserta perhimpunan aman itu,"
kata Lim Kit Siang yang juga anggota Perlimen Ipoh Timur itu.
Sebelum
ini, Hanif meminta agar pihak yang mengkritik serta meragui
integritinya untuk mengetuai panel penasihat bebas mengenai perhimpunan
BERSIH 3.0 supaya melihat kembali rekod lama semasa menganggotai
beberapa jawatankuasa penyiasatan.
Namun, rekod Hanif yang tidak menjumpai ayat Al Quran yang mengharamkan judi adalah track rekodnya yang paling jelas.
Kalau ayat menentang judi tidak ditemuinya bagaimana beliau mahu memberikan keadilan kepada perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi Lim Kit Siang (
gambar),
sememangnya luar biasa – apabila bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif
Omar berkeras untuk mempengerusikan “panel penyiasatan bebas” terhadap
keganasan Bersih 3.0 padahal beliau dan ahli-ahli panel yang lain patut
mengundur diri.
"Apa yang Kabinet patut lakukan adalah
membatalkan panel ini dan sokongan penuh diberi kepada penyiasatan awam
Suhakam terhadap apa-apa pencabulan hak asasi manusia dalam perhimpunan
Bersih 3.0 pada 28 Aprilm," kata beliau.
Dalam tempoh sebulan
yang lalu, kerajaan telah melancarkan satu kempen fitnah untuk mencerca
Bersih 3.0 dan pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai ‘watak utama’ dalam
kempen fitnah ini.
Hanif sendiri memegang ‘watak utama’ dalam
kempen fitnah ini dari awal lagi apabila memberi sokongan membuta tuli
terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang
perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak
pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan, katanya.
Apa
yang lebih menghinakan, kata Kit Siang, adalah apabila Hanif berkata
yang beliau dapat mengenalpasti individu-individu pro-komunis di Bersih
3.0.
Ia dibuat berdasarkan demonstrasi-demonstrasi 1970an dan
memberitahu media yang ajen-ajen provokasi dan kanak-kanak digunakan
dalam Perhimpunan Bersih 3.0 sebagai “taktik komunis”.
"Bagaimana Hanif akan menukar prasangka buruk mengenai Bersih 3.0 melainkan beliau menarik balik prasangka ini?" soal beliau.
Dalam
beliau mempertahankan integriti beliau dan perlantikan sebagai
pengerusi panel penyiasatan itu, Hanif masih tidak sedar akan situasi
sebenarnya.
Jika Hanif masih tidak mahu menarik balik kenyataan
prasangka mengenai Bersih 3.0, beliau haruslah mengambil tempat sebagai
“saksi utama” dihadapan mana-mana penyiasatan Bersih.
Ia
bertujuan untuk memberi justifikasi pendirian beliau dan bukan
mempengerusikan panel tersebut untuk menyiasat apa yang benar-benar
telah berlaku di Bersih 3.0.
"Jika tiada bukti yang didapati
selepas penyiastan dijalankan, adakah Hanif bersedia untuk mengumumkan
secara terbuka yang kedua-kedua Perdana Menteri dan diri beliau mengaku
salah dalam dakwaan yang perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan
oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan?" soalnya lagi.
Berbanding
dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengambil alih kempen fitnah ini
dengan tuduhan perhimpunan Bersih 3.0 adalah “persediaan” Pakatan Rakyat
untuk mencetuskan kekecohan dan keganasan bagi menolak keputusan
Pilihanraya Umum Ke-13, nampaknya rakyat lebih membenci dan menolak
panel Hanif, dakwa Kit Siang.
Dalam tiga tahun yang lepas,
selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menyebut
“era kerajaan serba tahu sudah berakhir” (“the era the government knows
best is over”).
Oleh itu, bagi Kit Siang, ini merupakan satu
ujian samada beliau akan benar-benar mengotakan yang disebut itu dan
menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia menolah panel Hanif itu.
Najib
mesti bertindak dengan lebih tegas untuk meyakinkan rakyat Malaysia
bahawa beliau dan kerajaan beliau serius dan ikhlas dengan membatalkan
terus panel Hanif dan kerajaan memberi sokongan padu terhadap
penyiasatan Suhakam dalam Bersih 3.0.
P’raya Presiden melakar masa depan baru Mesir
Syed Ahmad Fadhli,
|
29 Mei 2012
|

Setelah
tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi
Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara
bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk
melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square itu benar-benar
membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan
membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.
Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon
Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan
meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed
Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin
Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon
bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim
Aboul Futuh pula memperoleh 17.2% undi.
Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi
50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka
akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak
mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka
iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga
mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat
jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh
mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada
pertengahan Jun nanti.
Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden
Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir
kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang
akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada
kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan
harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat
negara Mesir yang baru.
Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang
diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya
hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh
Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral
Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi
tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa
berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.
Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan
sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap
merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik.
Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran
antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral
Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih
rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan
kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.
Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui
kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana
perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal
perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah
diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung
kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul
kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan
memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada
asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan
sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang
tidak boleh disemak oleh parlimen.
Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya
presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang
sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum
pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar
pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.
Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak
aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu
kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di
hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak
mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat
termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.
Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden
Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan
pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu
berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare
part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil
kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution”
telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan
Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih
sebagai presiden kelak.
Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah
terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai
calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya
pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis
daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan
negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan
Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni
Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera
serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca
revolusi.
Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa
khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami
mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam
yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji
semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan
terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga
akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya
di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk
membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil
Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.
Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan
tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu
dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang
menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua
kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung
untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol
dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua
impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.
Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya
berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai
harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali
kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti
Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada
Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung
pemerintahan baru Mesir.
Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk
melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah
kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut
harimau, masuk mulut buaya”.
Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah
the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara
dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam
ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun
akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85
yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain
daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat
kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”
Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.
Tiada rumah: Kerajaan gagal bela penjawat awam
Hazayani Zakaria,
|
28 Mei 2012
|
KUALA LUMPUR, 28 Mei:
Kegagalan kira-kira 60 peratus penjawat awam berpendapatan bawah
RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri membuktikan kerajaan Umno BN
gagal menjaga kebajikan rakyat.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Anuar Tahir
(gambar)
berkata, kerajaan seharusnya memikirkan program yang memberikan
keselesaan jangka panjang kepada rakyat khususnya golongan
berpendapatan rendah dan sederhana.
"Selama 54 tahun BN memerintah, ini yang mereka tinggalkan untuk rakyat, penjawat awam masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
"Sepatutnya
soal pemilikan rumah harus diberi keutamaan oleh kerajaan, bukan
menghabiskan duit untuk projek-projek mega atau program untuk kesan
jangka pendek sahaja malah tak mencapai sasaran pun. Rakyat biasa
merintih tak ada rumah sendiri," kata beliau kepada Harakahdaily hari
ini.
Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang
berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutama di Lembah Klang tidak mampu
memiliki rumah sendiri.
Cuepacs menjangkakan fenomena ini akan
berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu termasuk
mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam
terbabit.
Mengulas perkara tersebut, Anuar berkata, PAS bersetuju
dengan tuntutan Cuepacs agar kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman
perumahan.
"PAS bersetuju dengan saranan Cuepacs itu dan
Pakatan Rakyat juga mengutamakan soal pemilikan rumah kepada rakyat,
bukan penjawat sahaja," katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan
seharusnya mempercepat pelaksanaan gaji minimum agar rakyat yang
berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan kos hidup yang semakin
meningkat.
"Pentadbiran kerajaan tidak bersifat manusiawi jika tidka memikirkan perkara ini.
"Gaji hanya cukup-cukup makan dengan harga barang semakin naik, perbelanjaan lain, bagaimana nak membeli rumah?" soalnya.
Logo Pakatan: Rakyat tahu mana nak pilih
KUALA LUMPUR: Selagi lapan perkara yang dituntut
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak dilaksanakan SPR,
selagi itu isu dibangkitkan suruhanjaya itu tidak memberi kesan kepada
Pakatan Rakyat.
Khususnya, perkara berkaitan larangan menggunakan
logo sendiri membabitkan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, ia merupakan
satu diskriminasi yang sengaja dilakukan.
Naib Presiden PAS,
Salahuddin Ayub berkata biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan
bertindak melarang atau menurunkan mana-mana bendera parti di kalangan
Pakatan Rakyat, beliau yakin rakyat tahu menilai dan memilih parti
pilihan mereka.
"Kita tiada masalah. Jika tiada logo PKR dan DAP
di tempat calon PAS bertanding, kita yakin rakyat bijak memilih. Begitu
juga di tempat-tempat DAP dan PKR bertanding," tegas beliau ketika
dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan
Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyatakan Pakatan
Rakyat tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo sendiri pada PRU
ke-13 kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan
pendaftaran gabungan tersebut.
Tambah Salahuddin, isu yang lebih
penting dibangkitkan SPR ialah isu membabitkan tuntutan Bersih, yang
juga merupakan tuntutan bersama Pakatan Rakyat yang sehingga ini tidak
diendahkan badan itu.
Mengulas status pendaftaran Pakatan Rakyat,
Salahuddin melahirkan kekesalan kerana sehingga kini tidak mendapat
sebarang jawapan daripada ROS.
"Sudah hampir dua tahun permohonan
itu dibuat, sehingga kini tiada sebarang jawapan. Saya tidak tahu
mengapa, tetapi ia tidak menjejaskan jentera kita bagi menghadapi
pilihan raya," tegas Salahuddin lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan