Jumaat, 27 Mei 2011

SEMUA NAK JADI HERO...HERO ISLAM KENA IBADAHNYA KUAT..TINGGI ILMUNYA..BERANI..KUAT MUJAHADAH..HIDUP MEMADA...MENGAMALKAN APA YG IA CAKAP....

Pemuda PAS Shah Alam bantah blog hina Islam
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam hari ini membuat bantahan rasmi terhadap wujudnya sebuah blog yang disifatkan sebagai menghina Agama Islam, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul Akhir Zaman.

Ketua Pemudanya, Mohd Hilmi Radzuan berkata, mereka sangat memandang berat sikap tidak bertanggungjawab menghina Islam bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi Agama daripada Allah, Pencipta dan Pentadbir Alam ini.

Pemuda Shah Alam telah membuat tiga bantahan hari ini bermula di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Hilmi berkata, pihaknya telah terbaca satu blog yang mengandungi unsur-unsur penghinaan terhadap Allah SWT yang dipanggil sebagai babi dan juga menggelar Nabi Muhammad SAW sebagai babi.

Menurutnya, blog http://makcikhajjahsittalwuza2u.wordpress.com itu juga turut memaparkan imej-imej penghinaan seperti babi membaca al-Quran, wanita berbgel di atas Kaabah dan banyak lagi imej yang mencemarkan kesucian agama Islam.

"Saya juga mendapati penulis blog ini secara sengaja ingin menimbulkan kemarahan umat Islam melalui artikel-artikel provokatif yang ditulis dan dipaparkan di blog berkenaan.

"Kami berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap penulis blog ini," tegas Hilmi dalam sidang akhbar selepas membuat laporan berkaitan.

Dalam isu sama, Hilmi berkata, SKMM sewajarnya mengambil tindakan paling segera memandangkan perkara ini sangat besar kesannya kepada keharmonian dan kerukunan kehidupan dalam negara ini.

Katanya, pihak akan menimbulkan perkara ini dalam masa dua minggu selepas ini jika tiada sebarang tindakan positif diambil terhadap penulis dan blog berkenaan oleh pihak berkuasa.

Berikut adalah memo penuh yang dihantar oleh Pemuda PAS Shah Alam kepada tiga pihak berwajib hari ini.

Malaysia adalah sebuah negara aman dan makmur dihuni oleh masyarakat majmuk berbilang agama dan bangsa. Sesungguhnya kita semua maklum bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia. Kami selaku Pemuda PAS Shah Alam berasa duka cita dan amat kecewa dengan tindakan pemilik website http://makcikhajjahsittalwuzara2u.wordpress.com yang terus terang menghina Allah swt, RasulNya dan agama Islam.

Sebagai umat Islam yang taat dan mengamalkan setiap ajaranNya, kami Pemuda PAS Shah Alam bersatu hati untuk membantah atas tindakan website ini. Kami bertegas mahu pihak polis, Jakim dan SKMM agar menyekat dan mengambil tindakan dengan segera serta mengingatkan masyarakat supaya tidak bertindak keterlaluan yang boleh merosakkan akidah ummah dan menggugat perasaan ummat Islam khususnya.

Kami berharap pihak berkuasa jangan merasa mudah dan senang terhadap apa yang kami utarakan kerana ini melibatkan penghinaan kepada Yang Esa dan Rasulullah.

Mereka yang mengambil mudah di dalam hatinya terhadap perkara ini nescaya Allah Taala akan mengambil mudah buat dirinya di akhirat kelak.

Kami Pemuda PAS Shah Alam mengingatkan pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan segera terhadap pemilik website ini agar ia menjadi pengajaran bagi sesiapa sahaja yang cuba menghina mana-mana agama yang terdapat di Malaysia.



JKKK cari tapak baru ganti gerai diroboh
Harakahdaily

GEORGETOWN, 26 Mei: Kerajaan Pulau Pinang khususnya Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman tidak wajar dipersalahkan dalam isu robohan dua gerai milik peniaga Melayu di Batu Feringghi kelmarin, kata Jabatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Batu Feringghi.

Pengerusinya Jamaluddin Hashim berkata, isu tersebut sebenarnya melibatkan dua peniaga Melayu, Rahayu Abdul Malik dan Mohamad Yusoff Ibrahim dan pemilik tanah persendirian, bukan membabitkan kerajaan Pulau Pinang.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Rahayu membuat kenyataan di media-media tertentu bagi menggambarkan kerajaan negeri tidak membela peniaga-peniaga Melayu.

"Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Datuk Mansor Othman seakan dipersalahkan kononnya tidak membela Melayu di negeri ini.

"Isu tersebut sebenarnya membabitkan dua peniaga Melayu dan pemilik tanah persendirian yang kini sedang dibangunkan SJK (C) Pai Chai; bukan membabitkan tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Khabarnya, salah seorang pengadu telahpun mendapat pampasan yang setimpal daripada pemilik tanah persendirian. Sebab itu, kami ingin mengetahui motif pengadu terbabit," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, mereka terbabit sepatutnya terlebih dahulu menghubungi JKKK Batu Feringghi supaya jawatankuasa boleh berbincang dengan pihak berwajib sebelum sebarang penguatkuasaan dilakukan.

"JKKK tidak dimaklumkan pun mengenai notis roboh dua gerai tersebut. Jika kami mendapat makluman tersebut, kami akan berusaha berbincang dengan Pejabat Daerah Timur Laut dan MPPP bagi menangani isu ini," ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, JKKK akan tetap berbincang dan mencari tapak niaga alternatif baru bagi menyelesaikan masalah kedua-dua pengadu tersebut.

Penyelesaian yang dimaksudkan katanya, termasuk membina astaka dua tingkat di Bayu Senja, Batu Feringghi sebagaimana yang dicadangkan pada pejabat Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang tadi.


Nik Abduh ubah fikiran, tanding Timbalan Ketua
Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 26 Mei: Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz lewat hari ini memaklumkan menukar keputusannya di saat akhir untuk turut bersaing merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa jam Harakahdaily menyiarkan keputusannya awal pagi tadi bahawa beliau menolak untuk bertanding jawatan nombor dua dewan itu dan hanya mahu bertanding Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja.

Bagaimanapun petang ini beliau merubah pendirian itu dan memaklumkan akan turut bertanding bersama tiga calon lain iaitu penyandangnya Azman Shapawi, Ketua Penerangan Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pilihanraya Mohd Firdaus Jaafar.

"Selepas mendapat pandangan dari rakan-rakan, saya sedia untuk bertanding Timbalan Ketua Pemuda.

"Saya juga telah maklumkan perubahan keputusan saya itu kepada Jawatankuasa Pemilihan," katanya ketika dihubungi 4.30 petang tadi.

Dengan keputusannya terbaru itu bermakna perebutan jawatan Timbalan Ketua Pemuda kini menjadi empat penjuru.

Dalam laporan sebelum ini juga, Harakahdaily melaporkan Riduan Mohd Nor dan Mohd Nor Hamzah juga masing-masing menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu.

Riduan juga turut membuat keputusan sama, bertanding AJK PAS Pusat dengan satu lagi untuk jawatan AJK Dewan Pemuda bersama Mohd Nor.

Tiga lagi calon yang layak bertanding jawatan itu iaitu Nasruddin Hassan, Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob dan Ahmad Sabki lebih awal mengumumkan pendirian mereka.

Nasruddin yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahan jawatan Ketua Pemuda sekaligus menolak bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Raja Ahmad Al-Hiss juga menolak untuk jawatan nombor dua itu dan mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda manakala Ahmad Sabki untuk jawatan AJK PAS Pusat.

Dewan Pemuda PAS Pusat akan bermuktamar penuh dan memilih kepimpinan baru pada 2 Jun ini di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Untuk rekod, tiada had umur tertentu ditetapkan untuk jawatan Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda, manakala untuk jawatan naib dan AJK dewan pemuda, dihadkan tidak melebihi umur 40 tahun.

Bagaimanapun keputusan rasmi pertandingan untuk semua jawatan hanya akan diumum Jawatankuasa Pemilihan PAS esok, selepas tarikh terakhir penyerahan surat jawapan ditutup jam 5 petang ini.

Berikut ialah senarai calon versi kemaskini Harakhadaily yang akan bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Nasaruddin Hassan

Timbalan Ketua
1. Azman Shapawi
2. Firdaus Jaafar
3. Suhaizan Kaiat
4. Nik Abduh Nik Mat

Naib Ketua
1. Kamaruzaman Mohamad
2. Khairi Faizi Kamil
3. Mohd Nor Hamzah
4. Mohd Sany Hamzan
5. Nasir Zakaria
6. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob


Petroleum: Mahkamah Rayuan tolak, Kelantan rayu
Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 26 Mei: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.

Keputusan itu dibuat Hakim Low Hup Beng setelah mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa berkata, beliau meminta Tommy memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

"Saya telah minta peguam kita untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan di atas kedua-dua keputusan tadi," kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah selepas mendengar keputusan berkenaan.

Menurutnya, Kelantan tetap berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana tidak memberi sebarang impak kepada mereka.

"Kes ini sebenarnya begitu simple. Jika kerajaan Kelantan menang dalam kes ini, lima peratus bahagian (royalti) Kerajaan Pusat tidak akan berkurangan.

"Kalau Kerajaan Kelantan ditakdirkan kalah dalam kes ini bahagian lima peratus Kerajaan Pusat tak bertambah. Jadi tidak ada apa-apa kesan negatif dan positif kepada Kerajaan Pusat.

"Dan kerana itulah kita masih berpendapat bahawa Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana kes ini adalah kontrak antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya Kelantan berharap agar rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti akan diterima.

"Kita berharap Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memberi keputusan sebaliknya daripada apa yang diputuskan hari ini," katanya.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dibuat dalam masa 30 hari daripada hari ini.

Sementara itu Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan.


Kakitangan PAS terima anugerah Khidmat Setia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Pegawai kewangan Pejabat Agung PAS, Anuar Hassan Basri yang bertugas selama 36 tahun dengan PAS telah diberikan anugerah Khidmat Setia oleh Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS hari ini.

(Gambar: Anuar (kanan) menerima anugerah dari Mustafa)

Turut menerima anugerah itu adalah Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong yang menjadi petugas yang paling lama di Harakah iaitu sejak Harakah ditubuhkan pada tahun 1987 lalu.

Kedua-dua mereka menerima medal dan senaskah Al Quran sebagai tanda mata sempena dengan majlis penutup sambutan Hari Buruh yang diraikan oleh lajnah itu sepanjang bulan Mei ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS bersama dengan pengerusi lajnah itu, Mohd Anuar tahir.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis di Pejabat Agung PAS tengahari tadi dengan dihadiri oleh kakitangan Pejabat Agung PAS dan juga Harakah.

"Ini adalah majlis penutup sambutan hari pekerja sejak 1 Mei yang kita sambut," kata Anuar Tahir ketika memberikan kata-kata aluan di majlis itu.

Anugerah itu diberikan sebagai tanda terima kasih kepada petugas yang paling setia dengan PAS dan juga jabatan di bawah PAS (Harakah) yang terbesar itu.

Mustafa ketika berucap di majlis itu mengucapkan terima kasih kepada lajnah itu yang berusaha untuk menjaga kepentingan petugas parti.

"Sebenarnya, sebelum ini pernah ada petugas parti yang membuat laporan secara langsung kepada lajnah ini bagi membuat aduan terhadap PAS dan kita telah bincang hal ini dalam mesyuarat PAS," kata Mustafa.

Anuar Hassan Basri ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau mula bekerja di Pejabat Agung PAS di bawah Almarhum Ustaz Hassan Shukri yang menjadi Setiausaha Agung PAS 36 tahun lalu.

"Ketika itu gaji saya hanya RM140 sahaja sebulan," kata beliau yang masih sihat dan bertugas terus dengan PAS sehingga kini.

Beliau pernah berada di bawah empat Presiden PAS bermula dengan Datuk Asri Haji Muda, Pak Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan kini Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Lynas: Nyawa lebih bernilai dari wang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Kerajaan terus meluluskan projek berbahaya seperti Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng dan tidak mempedulikan rayuan rakyat bahawa nyawa dan kesihatan lebih bernilai daripada wang.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris (gambar) berkata nyawa manusia tidak seharusnya dipaksa melalui kesakitan dan penderitaan dalam mengejar pertumbuhan dan kekayaan.

“Untuk tidak mempedulikan tanda amaran walaupun semua bukti ialah untuk menyalahkan diri kita sendiri dan alam sekitar. Kita mempunyai pilihan untuk menuju ke arah masa depan yang lebih selamat dan waras.

“Isunya ialah sama ada kita mahu dan rayuan kita didengar dan tindakan diambil oleh mereka yang berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya CAP merasa sedih dan kecewa berhubung beberapa siri kematian baru-baru ini akibat daripada tidak mempedulikan keselamatan.

“Kita telah kehilangan nyawa dan sebahagiannya pula mengalami kecederaan sepertimana apa yang telah berlaku dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 orang dan dalam kemalangan terbaru di tempat kerja di mana dua orang pekerja mati apabila tiang kren setinggi 50 meter tumbang ke atas mereka di sebuah tapak pembinaan di Bukit Tunku, Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, tragedi dan kemalangan di tempat kerja ini boleh dielakkan jika hanya pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah mematuhi aspek keselamatan.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan garis panduan yang baik untuk memastikan keselamatan tetapi ia tidak dikuatkuasakan dan dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan.

Selepas tragedi berlaku, katanya kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa bahawa langkah yang lebih ketat akan diambil, pemeriksaan dan penyiasatan akan turut dilakukan, janji dan bantuan akan mencurah.

Semuanya, kata beliau akan dijalankan dalam beberapa hari atau minggu yang pertama.

“Kemudiannya selepas itu semuanya dilupakan dan kita akan mendengar tragedi yang sama di masa akan datang.

“Kenapakah berlakunya sikap yang tidak mempedulikan terhadap kesihatan dan keselamatan ini secara terang-terangan?” soalnya.

Soalnya lagi, kenapa pihak berkuasa menutup mata terhadap struktur haram dan berbahaya di tempat kerja, siapakah yang bertanggungjawab apabila berlaku insiden yang tidak dijangka, siapakah yang perlu dipersalahkan – alam semula jadi, takdir atau kecuaian pihak yang berkenaan.

“Apa yang pasti, pertanyaan dan keprihatinan kita terus kekal tidak berjawab.

“Tidakkah kita pernah mengambil iktibar daripada kesilapan yang lepas?” ujarnya.


10 kerusi dari Sarawak bakal tumbangkan BN

Harakahdaily

MIRI, 26 Mei: AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata, sekiranya Pakatan Rakyat Sarawak dapat menyumbangkan 10 atau lebih kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, BN akan dapat ditumbangkan.

“Insya Allah, kerajaan (BN) pusat pasti tumbang dan dengan sendirinya kerajaan BN Sarawak akan tunduk di bawah pemerintahaan baru di Pusat,” ujarnya sempena program ke Miri sebagai persiapan Pakatan menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 nanti.

Program bermula dengan perjumpaan bersama pimpinan Pakatan Rakyat Miri yang disertai Yang Dipertua PAS kawasan, Jofri Jaraiee, Adun Piasau, Ling Sie Kiong dan bekas calon PR Senadin, Dr Michael Teo.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan agar Pakatan Rakyat di Sarawak mesti terus bekerjasama dengan lebih erat dan kukuh lagi demi mencapai cita-cita Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Sebaik selesai perjumpaan tersebut, rombongan terus menemui mangsa kebakaran rumah setinggan di Pujut Corner yang berlaku beberapa hari yang lalu.

Ini susulan daripada pertemuan awal yang lalu di mana 17 buah keluarga mangsa kebakaran menerima bantuan daripada Pakatan Rakyat.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran itu (gambar).

Pada sebelah malam, rombongan mengadakan ceramah perdana di kediaman Jofri.

Jofri ketika berucap pada majlis itu melahirkan hasrat PAS kawasan agar diberi peluang untuk bertanding di Parlimen Miri dalam PRU 13 nanti.

Ini, katanya memandangkan rakan Pakatan lain di Miri sudah diberi peluang bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu di mana DAP bertanding di dua Dun iaitu Piasau dan Pujut sementara PKR di Senadin.

“Inilah masanya untuk Pakatan memberi peluang dan menujukkan setiakawan, sepakatan dan sefahaman dalam Pakatan Rakyat di Sarawak,” katanya.

Nizar tanding naib presiden, Dr Hatta AJK saja
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengesahkan penyertaannya bagi pertandingan Naib Presiden PAS namun Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli hanya bertanding AJK sahaja.

Nizar (gambar) ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, pihaknya telah menghantar surat pengesahan untuk bertanding jawatan itu ke Pejabat Agung PAS sekejap tadi dan memaklumkan hanya akan bertanding naib presiden sahaja.

Sementara itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Harakahdaily, beliau mengambil keputusan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Langkah ini diambil beliau selepas bekas naib presiden sebelum ini, Datuk Husam Musa membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu kali ini.

"Saya rasa oleh kerana PAS melaksanakan keputusan secara konsensus, saya rasa cukup kalau saya menumpu pertandingan AJK sahaja dan tidak perlu di naib presiden," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily sambil mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan beliau.

Semalam Dr Hatta berkata, beliau masih belum menarik diri lagi untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi belum menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilih.

Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, yang turut mendapat pencalonan untuk AJK PAS Pusat tapi menolaknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada naib presiden sahaja.

Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam muktamar PAS kali ini dalam satu sidang media esok. Hari ini adalah hari terakhir untuk calon-calon yang layak membuat pengesahan pertandingan.

Selain Nizar, yang dijangka bertanding untuk naib presiden adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar yang menyandang jawatan itu sekarang di samping Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Exco kerajaan Kelantan Datuk Nik Mohd Amar.

Naib presiden sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan bertanding timbalan presiden dalam muktamar kali ini.

Nizar datang ke pejabat Harakahdaily untuk rakaman program 'Persepsion' bersama TVPAS yang akan disiarkan dalam Harakahdaily Jumaat ini.

Nizar berbicara soal 'Perak dalam pilihan raya umum ke 13'.

Semalam, Mohamad Hata Wahiri, Presiden NUJ membuat rakaman untuk rancangan 'Persepsi' terbitan TVPAS untuk Harakdaily.

Hata, wartawan Utusan Malaysia yang baru sahaja dipecat berbicara soal Utusan Malaysia dan Umno dalam siaran kali. Rancangan ini juga akan disiarkan mulai petang Jumaat ini di Harakahdaily.


Undian tajuk Mykad Segera Ancam Negara
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Mulai semalam, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah wajarkah perkataan "MYKAD SEGERA ANCAM NEGARA" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh menngundi sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam dua hari ini, hari ini dan esok. Manakala pada hari Sabtu nanti, kita akan mengundi tajuk lain pula.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sementara itu seramai 530 undian telah diperolehi terhadap tajuk edisi sebelum ini, wajarkah perkataan "BN TIRU BUKU JINGGA" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Keputusan undian bersetuju adalah pada tahap 89.81 % atau 476 undian berbanding dengan 45 undian sahaja atau 8.49 % sahajayang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 9 undian atau 1.7 % pula yang memilih tidak pasti dengan tajuk tersebut sesuai digunakan sebagai tajuk utama.

Sehingga kini, undian terhadap “PUTAR BELIT NAJIB” adalah yang tertinggi dengan 1,090 undian. Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php


Pilihan raya ke 13 tahun ini?
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 26 Mei: Pilihanraya Umum ke-13, dijangka akan diadakan tahun ini berikutan harga minyak tidak dinaikkan dalam tempoh terdekat meskipun ada usaha untuk menaikkan harga bahan api itu.

Selain itu juga, negara akan menanggung beban kewangan yang semakin kronik sekiranya pilihanraya itu diadakan tahun hadapan.

Timbalan Setiausaha Agung Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Rosli Abdullah, berkata selain itu juga dakwaan terhadap Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui akhir bulan Jun ini.

“Kita yakin, Datuk Seri Anwar (gambar) akan dijatuhi hukuman akhir bulan depan dimana kes perbicaraan membela diri dalam kes perbicaraannya berlangsung pada 6 hingga 30 Jun dan selepas itu pilihanraya umum akan diadakan.

“Dua eleman ini antara petunjuk pilihanraya umum akan diadakan tahun ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PKR Terengganu menyeru Pakatan Rakyat peringkat akar umbi sentiasa dalam bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya itu.

Khabar angin yang terkini, pilihan raya umum akan diadakan Julai ini namun ramai yakin ia terlalu awal dan akan diadakan seawalnya September hingga November tahun ini.

"Ia sebaiknya selepas Bajet 2012 dibentangkan kerana ia senjata ampuh BN untuk memberi gula-gula kepada rakyat," kata seorang pemimpin PAS.

Namun begitu ada juga yang berpandangan ia akan diadakan selepas persempadanan semula pilihan raya yang seawalnya diadakan tahun 2012.


BN tidak naikkan harga RON95 takut kalah PRU 13
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan BN tidak akan menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada ketika ini sebagai satu keputusan yang populis demi mengelakkan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, ini diikuti dengan kenyataan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga ahli kabinet dengan mengatakan bahawa “keputusan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95 ini diharap akan terus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan (BN)".

Akhirnya, kata beliau kerajaan BN akur dengan tuntutan rakyat dan strategi Pakatan untuk terus mendesak kerajaan mengekalkan harga bahan api berkenaan berjaya.

Namun, ujarnya jika dibaca kenyataan Ismail, ternyata Kerajaan BN hanya bermain politik kerana tidak berani memberikan jaminan tentang tempoh masa bagi mengekalkan harga sedia ada.

Tambahnya, ini bermakna Kerajaan BN hanya berjanji tidak menaikkannya pada hujung bulan ini aatau awal bulan depan, tapi mungkin kenaikan akan berlaku selepas itu.

Malah, katanya berdasarkan keputusan Kabinet semalam, ramai yang beranggapan bahawa Pilihan raya Umum ke-13 kian hampir dan BN kini sanggup melakukan apa sahaja bagi mengekalkan kuasa mereka.

“DPPWP yakin, rakyat Malaysia lebih bijak dari pemimpin BN dan tahu muslihat mereka yang akan menaikan harga minyak dan barangan lain berkali ganda jika BN kekal memerintah selepas PRU 13,” katanya.

Katanya, kenaikan harga minyak, gula, tepung, beras dan sebagainya yang berkali ganda selepas BN diberikan mandat semula dalam PRU 12 sudah cukup mengajar rakyat akan taktik kotor mereka itu.

Menurutnya, BN harus berani mengakui kegagalan mereka menguruskan sumber ekonomi negara sehingga menyebabkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam menghentikan pengambilan kakitangan baru dan tidak lagi menyambung kontrak kakitangan sementara.

Beliau berkata, banyak projek kerajaan kini berjalan perlahan ekoran sumber kewangan yang terhad kerana bajet besar negara banyak dihabiskan Bn dalam kempen pilihan raya kecil.

Ini, katanya tidak termasuk lagi dengan pembaziran besar-besaran kerajaan yang sudah banyak dibongkar oleh media.

“BN harus bersedia berundur dan tibalah masanya rakyat menerima kepimpinan baru yang sudah lama memahami hasrat dan keinginan rakyat yang mahukan perubahan. Tiada pilihan lain sebagai alternatif, melainkan Pakatan Rakyat,” ujarnya.


3 sebab BN tak potong subsidi petrol

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi tiga sebab mengapa Barisan Nasional (BN) tidak meneruskan cadangan pemotongan subsidi untuk petrol, diesel dan LPG, dan yakin dengan kenaikan harga barangan keperluan tertentu kecuali IPP sebaik memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) telah menyebabkan timbulnya rasa takut kepada kepimpinan kerajaan BN yang telah mendorong mereka membatalkan cadangan pemotongan subsidi malah turut mengumumkan tiada kenaikan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk ketika ini.

Namun subsidi diesel untuk kapal penangkap ikan laut dalam dan 9 kelas kenderaan komersial masih akan dihapuskan bermula 1 Jun, mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung Kerajaaan Persekutuan sehingga mencecah RM886.1 juta setiap tahun.

“Ada 3 alasan mengapa BN menukar dan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan kenaikan harga barangan,” katanya.

Pertama, katanya PR berkemampuan untuk memobilisasi hampir keseluruhan dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP yang dilindungi daripada pemotongan subsidi sebanyak RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia biasa yang tidak berkemampuan terpaksa membayar sejumlah wang dengan harga yang tinggi.

Kedua, ujarnya BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah itu bertentangan dengan para pengundi.

“Ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa PR sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, katanya sebelum rakyat berpesta dengan pengekalan harga beberapa barangan kawalan, kerajaan BN masih belum menyerah kalah untuk menaikkan harga dengan pengurangan subsidi.

Ini, tambahnya adalah berikutan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan bahawa kajian semula dasar subsidi adalah perlu kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

“Dalam erti kata lain sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” jelasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Selain itu, katanya penjana tenaga bebas (IPP) sekali lagi akan terlepas daripada sebarang pemotongan subsidi gas seperti yang dinyatakan melalui sokongan padu kepada IPP daripada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Peter Chin menegaskan bahawa RM19 bilion setahun yang dinikmati oleh penjana tenaga bebas (IPP) dan TNB itu bukanlah dalam bentuk subsidi tetapi keuntungan yang dilepaskan oleh Petronas berikutan penjualan gas sebanyak 25 peratus daripada harga pasaran.

Sementara itu, Chua menyatakan bahawa subsidi gas kepada IPP tidak boleh dihapuskan kerana terikat dengan perjanjian.

Peter Chin ternyata sedang bermain dengan kata- kata kerana akhirnya IPP (60 %) dan TNB (40%) akan menikmati faedah daripada RM19 bilion subsidi tahunan.

Tambah Guan Eng, Chua pula harus menjelaskan mengapa kerajaan BN termasuk dirinya, menyokong dan menjeratkan diri mereka dalam perjanjian yang ternyata bertentangan dengan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia.

Katanya lagi, tiada cara lain untuk mencapai 5.4 peratus deficit fiscal tanpa lanjutan pemotongan subsidi melainkan kerajaan BN mengamalkan dasar anti rasuah.

Menurutnya, menteri-menteri BN sendiri mengaku bahawa kos rasuah negara melibatkan sekurang- kurangnya RM28 bilion setahun dan ada yang menganggarkan sebanyak USD100 bilion kehilangan secara kumulatif akibat rasuah sejak tahun 1980- an.

Beliau berkata, dasar anti rasuah tidak mungkin dilaksanakan kerana kerajaan BN menolak untuk mengamalkan sistem tender terbuka, ketelusan prosedur dan akauntabiliti awam dalam proses pembelian dan kontrak kerajaan.

“Atas alasan tersebut, hanya sokongan anti rasuah yang dilaksanakan PR akan dapat menyelamatkan rakyat, bak kata pepatah ‘bunuh dua ekor burung dengan seketul batu’ dengan tidak hanya membanteras amalan rasuah tetapi juga akan menghentikan kenaikan harga barang,” katanya.


Nik Amar sah tanding Naib Presiden PAS

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 Mei: Anggota Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) hari ini mengesahkan menyertai persaingan merebut jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar awal Jun ini.

Katanya, beliau tidak mahu mengecewakan keputusan dibuat beberapa kawasan yang mencalon namanya untuk bertanding jawatan ketiga tersebut dalam hierarki PAS.

“Lagi pun jawatan itu ada kekosongan yang boleh ditandingi mana-mana pemimpin apabila cukup syarat,” katanya di sini.

Pada 24 Mei lalu Mohd Amar memberi gambaran awal bakal menyertai pertandingan merebut jawatan Naib Presiden.

Bagaimanapun hari ini beliau memberitahu kepastiannya untuk bersama calon-calon lain bertanding jawatan tersebut pada muktamar yang akan diadakan di Taman Melewar bermula 3 Jun ini.

Setakat ini bermakna empat calon mengesahkan kesediaan merebut jawatan tersebut termasuk penyandang Datuk Mahfuz Omar, yang lain ialah Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.


Sah, tiga tanding Timbalan Ketua Pemuda PAS
Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 26 Mei: Kini sah, jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS bakal ditandingi tiga individu iaitu penyandangnya, Azman Shapawi Abdul Rani, Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pilihan Raya, Mohd Firdaus Jaafar.

Teka-teki perebutan jawatan itu terjawab apabila tiga calon yang ditunggu-tunggu membuat keputusan, akhirnya memutuskan menolaknya.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Riduan Mohd Nor dan Mohd Nor Hamzah masing-masing menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu.

Nik Abduh bagaimanapun memberitahu hanya akan bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

"Ana ada bincang dengan kawan-kawan. Biar tiga (Azman, Suhaizan, Firdaus) tu lah yang bertanding.

"Kita ni dah lebih umur untuk pemuda ni kena pergi ke PAS Pusat la pulak," katanya yang kini mencecah 41 tahun.

Riduan juga turut membuat keputusan sama, bertanding AJK PAS Pusat dengan satu lagi untuk jawatan AJK Dewan Pemuda bersama Mohd Nor.

Sebelum ini, tiga lagi calon yang layak bertanding jawatan itu iaitu Nasruddin Hassan, Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob dan Ahmad Sabki lebih awal mengumumkan pendirian mereka.

Nasruddin yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahan jawatan Ketua Pemuda sekaligus menolak bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Raja Ahmad Al-Hiss juga menolak untuk jawatan nombor dua itu dan mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda manakala Ahmad Sabki untuk jawatan AJK PAS Pusat.

Bagaimanapun keputusan rasmi pertandingan untuk semua jawatan hanya akan diumum Jawatankuasa Pemilihan PAS esok, selepas tarikh terakhir penyerahan surat jawapan ditutup jam 5 petang ini.

Berikut ialah senarai calon versi kemaskini Harakhadaily yang akan bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua
1. Nasaruddin Hassan

Timbalan Ketua
1. Azman Shapawi
2. Firdaus Jaafar
3. Suhaizan Kaiat

Naib Ketua
1. Kamaruzaman Mohamad
2. Khairi Faizi Kamil
3. Mohd Nor Hamzah
4. Mohd Sany Hamzan
5. Nasir Zakaria
6. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob

PAS bantah 1,210 pengundi dipindah kawasan

Afiq Hizami, Pelatih UKM

PUTRAJAYA, 26 Mei: PAS mengemukakan satu memorandum bantahan kepada Surunhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan 1210 pengundi yang dipindah kawasan mengundi tanpa disedari atau dimaklumkan oleh mereka di ibu pejabatnya semalam.

Rombangan PAS yang diketuai oleh AJK PAS Pusat Dr. Siti Mariah Mahmud bersama dengan enam jawatankuasa PAS Sabak Bernam tiba pada jam 10 pagi di Pejabat SPR, Putrajaya dan terus ke pejabat Setiausaha SPR untuk berjumpa dengan Datuk Kamaruddin Mohamed Baria mengenai bantahan tersebut.

Menurut Dr. Mariah bantahan ini dibuat kerana berasa ragu dengan sejumlah besar pengundi-pengundi yang diantaranya ialah ahli PAS dalam Dun Sabak dalam Parlimen Sabak Bernam yang alamat kad pengenalan mereka tidak bertukar tetapi telah dipindah ke kawasan Dun Sungai Panjang dalam Parlimen Sungai Besar tanpa dimaklumkan oleh SPR.

"Kita telah periksa sama ada mereka telah buat permohonan pemindahan tersebut, namun tiada seorang pun yang melaporkan bahawa mereka pernah berbuat demikian, pekara ini sangat menghairankan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja turut membawa sejumlah besar senarai nama pengundi-pengundi yang telah dipindahkan tempat kawasan mengundi mereka sebagai bahan bukti.

Di samping itu, menurut Ustaz Sallehen Mukhyi yang juga bekas calon PAS di Sabak mendakwa tentunya ada pihak yang cuba sabotaj hal ini.

"Kami dapat tahu pekara ini dan kami terus berkerja hingga kami dapat jumlah angka ini," tambah beliau

Pihak SPR yang diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya negeri Selangor Tuan Haji Dzulkifli Ab. Rahman dan juga Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menjelaskan pekara ini tidak akan mungkin berlaku sekiranya mereka tidak membuat pemindahan sendiri.

(Gambar: Dr Mariah bersama rakan-rakannya memeriksa senarai nama yang dipindahkan tanpa kebenaran pengundi)

"Kami pihak SPRM bergantung kepada sistem dan undang-undang yang ditetapkan kepada kami dan tidak berupaya untuk mengubah sistem tersebut, semuanya bergantung kepada sistem yang dijalankan," tegas Dzulkifli.

Walau bagaimana pun, pihak SPR mengambil sampel lima nama dalam senarai tersebut untuk disemak oleh unit sistem SPR.

Sementara menunggu keputusan itu, pihak SPR cuba menjelaskan kepada Dr. Mariah mengenai pekara-pekara yang berbangkit mengenai bantahan sebelum ini yang dilakukan oleh PAS.

Menurut Kamaruddin yang juga merupakan bekas Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, menyatakan kebanyakan bantahan yang diterima adalah tidak berasas dan tidak diselidik terlebih dahulu oleh pihak yang membuat bantahan dan pihaknya akan mendakwa balik sekiranya bantahan yang dibuat adalah tidak berasas.

"Pekara ini banyak merugikan masa kami, kami bekerja untuk membuang masa dengan bantahan-bantahan seperti itu," tambah Dzulkifli.

Sementara itu, pihak SPR mengambil masa yang lama untuk menyemak lima maklumat pengundi yang diberikan sebentar tadi.

Hal ini juga menimbulkan keraguan kepada rombangan PAS tersebut yang dibenarkan menunggu di bilik Setiausaha SPR itu, kerana di tangan mereka masih terdapat 1205 lagi senarai nama yang mengalami masalah yang sama.

Setelah kuputusan di perolehi dan dibawa oleh ketua unit sistem SPR kepada rombangan PAS tersebut serta diberi penerangan mengenai masalah tersebut.

Hasil keputusan tersebut mengejutkan rombongan PAS yang mengatakan bahawa pertukaran alamat tepat mengundi adalah disebabkan masalah kod lokaliti mereka yang bermaksud pengundi itu telah dipindah ke tempat asal kawasan menggundi mereka yang terdahulu.

Dr. Mariah terut mencelah dan mengatakan pekara ini tidak sepatutnya berlaku dan hal seperti ini amat menyusahkan pengundi yang tidak tahu dengan masalah ini.

Beliau yang tidak berapa senang hati dengan keputusan yang diberikan oleh SPR mula menyoal kredibiliti SPR dalam pengurusan mereka yang dikatakan semuanya bergantung kepada sistem dan juga undang-undang.

Ibarat kata pepatah cium tapak tangan, berbau atau tidak? Sesuai dengan situasi SPR pada ketika itu dilihat cuba menangani keadaan dengan lebih baik.

"Ya, pekara ini memang betul pengundi tidak menukar atau memohon untuk ditukar alamat tempat mengundi mereka akan tetapi pekara ini kami akan siasat dengan lebih terperinci lagi mengenai masalah kod lokaliti mereka yang bertukar ini dan kami akan maklumkan balik dalam tempoh seminggu ini," jelas Kamaruddin yang juga dulu pernah berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri

Menurut Dr. Mariah selepas keluar dari pejabat SPR menjelaskan "kita telah menduga keputusan yang diberikan oleh pihak SPR, namun begitu mereka berjanji kan menyiasat dengan lebih lanjut mengenai masalah yang terjadi dan akan memberitahu kami dalam tempoh seminggu lagi.

"Kita tidak berhenti di sini sahaja, kita perlu berusaha dengan lebih keras lagi selepas ini," jelas beliau.








BN masih gagal majukan OKU
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Kerajaan BN ternyata gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap orang kelainan upaya (OKU) sehingga menyebabkan golongan itu masih gagal mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Realiti itu menyebabkan golongan kelainan upaya di tanah air masih mengalami kerumitan untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberikan peluang oleh pelbagai pihak, walaupun mereka juga mempunyai kebolehan tertentu.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, sehingga kini penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU masih agak mendukacitakan, sehingga mereka hanya dianggap sebagai golongan yang hanya layak diberikan simpati.

Menurut beliau, disebabkan anggapan itu, golongan OKU masih tidak diberikan tempat yang sewajarnya untuk menjawat jawatan dan melakukan pekerjaan tertentu oleh pelbagai pihak terutama oleh syarikat-syarikat perniagaan dan tokoh-tokoh korporat.

Katanya, sedangkan golongan OKU tidak sepatutnya dianggap sedemikian, sebaliknya perlu diberikan peranan seperti golongan normal juga.

"Ini samalah seperti kata orang, yang buta menghembus lesung, yang capek menghalau ayam, yang kuat menumbuk padi, yang menggambarkan kepada kita bahawa semua manusia mempunyai peranan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan susulan majlis perbincangan meja bulat mengenai isu berkaitan orang kelainan upaya bersama pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kumpulan OKU anjuran Suhakam, bermula jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang ini.

Menurut Mahmood, untuk mengubah perspeksi masyarakat berhubung perkara itu sememangnya rumit dan ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memberikan penerangan kepada pelbagai pihak.

Sebelum itu, seorang pembentang kertas kerja pada perbincangan meja bulat itu, Presiden Persatuan Orang Cacat Malaysia, Datuk Mah Hassan turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan kelemahan Kerajaan BN dalam membantu mempertingkatkan pencapaian OKU.

"Macam mana golongan OKU hendak dipertingkatkan pencapaiannya, kerajaan sendiri dah dua tahun tak menggantikan senator dari golongan OKU," katanya.

Sebelum itu, seorang lagi Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Profesor Khaw Lake Tee dalam sesi perbincangan itu menjelaskan, isu-isu mengenai hak OKU di Malaysia telah sering kali diketengahkan dan dibincangkan.

Katanya, walau bagaimanapun, sebagai salah satu kumpulan yang kecil serta yang paling mudah ditindas, hak-hak mereka seharusnya diperjuangkan dan dilindungi.

"Sebagai Negara Ahli kepada kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations' Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pihak kerajaan bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang yang memberi makna kepada Konvensyen tersebut.

"Malangnya, penguatkuasaan Konvensyen ini masih lagi di tahap yang menyedihkan," katanya kesal sambil menyarankan pihak kerajaan melipatgandakan lagi usaha ke arah mempertingkatkan kualiti hidup golongan OKU di tanah air.

Sementara itu, Cik Yeoh Joo Ai menjelaskan, OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Beliau yang mewakili Jabatan Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia ketika membentangkan kertas kerjanya berkata, WHO menganggarkan kadar peratus populasi OKU di antara 5 peratus hingga 10 peratus dalam sesebuah negara.

"Malaysia tidak mempunyai data komprehensif berkenaan dengan bilangan OKU. OKU berdaftar dengan JKM 325,189 orang sehingga Disember 2010," katanya.



Calon bertanding diumum esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan PAS kali ini akan diumumkan petang esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman akan mengadakan sidang media mengenai perkara itu jam 4.00 petang esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan yang disandang itu untuk sesi 2011/2013 apabila tiada nama lain yang dicalonkan.

Jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dengan naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK, Mohamad Sabu.

Tiga lagi yang dicalonkan iaitu Salahuddin Ayub, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Datuk Husam Musa.

Apapun, senarai muktamad calon-calon yang telah mengesahkan bertanding pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 dan dewan-dewan bagi sesi 2011/2013 yang ditutup petang tadi akan diumumkan esok.


Tiada ulasan: