Sabtu, 14 Mei 2011

JADIKAN KITA PEMIMPIN BERJATI DIRI ..MATANG..BERKUALITI ..YANG BAIK SEKALI TAKWA@ADIL..BUKAN MENGALAHKAN MUSUH DENGAN MEMBURUK2 DAN UGUT2..TAK SYOKLAH

Politik lucah: Ulama muda diseru tinggal Umno
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa ulama muda Umno menilai semula penglibatan mereka dalam Umno ekoran amalan politik lucah dan kotor pemimpin parti itu.

Katanya, ulama muda di dalam Umno tersebut perlu sedar amalan politik yang bercanggah dengan Islam itu telah menjadi budaya dalam Umno sejak sekian lama.

Bagaimanapun katanya, beliau menyambut baik usaha untuk menegur sikap Umno itu malah mencadangkan agar mereka meninggalkan parti itu jika gagal merubahnya.

"Hakikatnya itulah budaya Umno. Harapan saya agar ulama muda Umno terus menegur budaya politik Umno yang keji dan songsang ini.

"Jika tidak mampu ubah, fikirkan semula adakah tepat berada di dalam Umno?" soalnya melalui responsnya di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang mengakui rakaman video seks mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilakukan.

Ini kerana perkara tersebut menurutnya bertentangan dengan prinsip Islam yang mengharamkan umatnya mengaibkan orang lain.

Fathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno.

Beliau berkata demikian pada satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu semalam.

Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia sebelum ini dikecam banyak pihak termasuk oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ekoran mengaibkan Anwar dalam isu video seks yang didedahkan trio Umno iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Akhbar itu tanpa memikirkan hukum hakam agama, telah melapor dan menyiarkan gambar dan berita berunsur lucah berhubung video seks tersebut.

Fitnah tersebut juga, digunakan Umno dalam siri kempen mereka pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu.

Harussani dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan, adalah fitnah dan dosa besar membuka rahsia orang tanpa ada bukti yang jelas menurut Islam seperti yang dilakukan terhadap Anwar.

"Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

“Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.

Selain mengecam tindakan mengaibkan Anwar itu, beliau juga kesal dengan tindakan Utusan yang dakwanya tidak menyiarkan pandangan penuhnya itu malah hanya mengambil sekerat sahaja.

“Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya.

Selamatkan Utusan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Walaupun jelas yang paling membuat kerosakan hasil dari laporan "Kristian agama rasmi" adalah Utusan Malaysia, namun Umno nampaknya sedang berusaha keras menyelamatkan akhbar mereka itu.

Fokus diberikan kepada laporan salah yang dibuat oleh dua blogger yang pembacanya tidak seberapa dan Utusan selamat apabila hanya menerima satu surat amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Satu lagi media rasmi Umno, TV3 melalui Buletin Utama mereka malam tadi langsung tidak memberikan fokus kepada kesalahan yang dibuat Utusan tetapi memberikan fokus laporan kepada dua blogger pro-Umno yang malang itu.

Kedua-duanya adalah blog Bigdog dan Marahku.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat seperti wujud perancangan dalam isu ini untuk menyelamatkan Utusan dengan mengalih tumpuan kesalahan kepada dua blogger Umno yang menyiarkan tuduhan tersebut.

"Saya melihat semacam ada persefahaman dan kerjasama terancang seolah-olah KDN pejam mata terhadap laporan fitnah Utusan," kata Salahuddin kepada Harakahdaily.

Beliau juga berkata, seperti menjadi satu trend sekarang ini apabila tumpuan kini dialihkan kepada blogger

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri mendedahkan bahawa agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) berkata, Ketua Pengarang Utusan akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin.

Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Agenda mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.

Tahun lalu, akhbar China Press telah dikenakan hukuman gantung dua minggu oleh KDN di samping membuat permohonan maaf di muka depan ekoran kesilapan melaporkan berita perletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

(Utusan hanya membuat penjelasan dua para yang tidak jelas dalam muka dalamnya mengenai laporan "Kristian agama rasmi")

Pada tahun 2008, wartawan kanan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana melaporkan ucapan Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang menyebut Cina di Malaysia hanya penumpang.

Namun, Utusan yang telah mempercikkan api pertembungan agama apabila mendakwa DAP bekerjasama dengan Paderi Kristian untuk menjadikan Kristian agama rasmi hanya dikenakan surat amaran.

Untuk meredakan ketegangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menemui para pemimpin agama Kristian dalam satu majlis dialog makan malam semalam.

"Kesilapan yang dibuat Utusan jauh lebih berbahaya dan berniat jahat dari China Press. Tetapi, Utusan dibebaskan hanya dengan satu surat amaran. Mengapa tidak ada tindakan yang lebih tegas kepada Ketua Pengarang dan wartawan yang menulis berita itu?" soal anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Lagipun, katanya, laporan Utusan itu dibuat hanya berdasarkan posting dalam dua blog pro-umno yang tidakpun cuba disahkan oleh Utusan.

Bahkan, Utusan juga tidak mendapatkan penjelasan dari Jeff Ooi yang didakwa bersekongkol dengan beberapa paderi untuk melakukan tindakan itu dan tidak juga menyiarkan penjelasan yang dibuat oleh DAP mengenainya, kata Nie Ching.

Bagi beliau, semua yang berlaku ini adalah kerana double standard yang diamalkan oleh Perdana Menteri Najib walaupun dalam kempen politiknya Najib memasarkan dasar satu standard iaitu 1 Malaysia.

"Perdana Menteri mesti menyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan tidak menikmati imuniti dengan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada editor dan wartawan yang terbabit dalam laporan yang tidak bertanggungjawab ini," kata Nie Ching.

Sebelum ini, Nie Ching juga menjadi mangsa Utusan (gambar) apabila akhbar itu melaporkan beliau memberikan 'tazkirah' di sebuah surau dalam kawasan parlimennya.

Padahal beliau hanya memberikan ucapan kepada pengundi di kawasannya dalam satu majlis yang diadakan di sebuah surau.


Tindakan kepada Utusan 'double standard'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Mei: PAS menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya memberi surat teguran kepada akhbar Umno, Utusan Malaysia ekoran laporan provokasi 'Kristian Agama Rasmi', sebagai 'double standard' dan 'tidak padan'.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan) berkata Utusan Malaysia sepatutnya diberi tindakan lebih tegas kerana laporan tersebut sesuatu yang serius dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

"Tidak padan sekadar amaran, perlu kepada satu tindakan lebih tegas kerana ianya boleh mengancam keselamatan negara dan mencetuskan suasana tidak harmoni.

"Inilah sikap double standard Umno BN, pendakwaan terpilih. Kita menolak ISA, namun sepatutnya tindakan kepada Utusan ini harus lebih tegas dan sama seperti tindakan yang dikenakan kepada pembangkang jika perkara sama dilakukan sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Pada 7 Mei lalu, Utusan Malaysia pada muka hadapannya melaporkan dengan tajuk 'Kristian agama rasmi?' yang boleh mengancam keselamatan negara.

Akhbar itu memetik laporan dua laman blog sebagai mendakwa satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ianya diambil dari entri blog Bigdog bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku juga melaporkan paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik dari kalangan penganut agama itu.

Laporan itu bagaimanapun didakwa tidak bertanggungjawab dan melanggar prinsip-prinsip asas kewartawanan kerana Utusan menyiarkannya tanpa melakukan siasatan berhubung kesahihan maklumat tersebut.

Meskipun dikecam hebat, KDN semalam hanya mengenakan amaran dengan menghantar surat teguran kepada akhbar tersebut.

Surat teguran berkenaan diserahkan kepada ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak.

Surat teguran KDN lazimnya bermakna tidak ada sebarang tindakan lain akan diambil terhadap Utusan meskipun laporan itu disifatkan sebagai fitnah yang boleh menggugat perpaduan kaum, agama dan keselamatan negara.


Hina Islam: PAS mahu presiden MCA dikena tindakan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Dua laporan polis dibuat terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atas beberapa tindakannya yang didakwa menghina ajaran Islam.

Laporan berasingan itu dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di IPD Kota Setar manakala satu lagi oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor semalam.

Mereka mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan Soi Lek itu bukan sahaja bersifat menghina Islam, malah memprovokasi dan menyakiti perasaan umat Islam itu sendiri.

"Kami dari Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah membuat laporan polis ini terhadap Presiden MCA, Dato Seri Dr Chua Soi Lek di atas kenyataan-kenyataan beliau sejak kebelakangan ini yang begitu ketara mempamerkan sikap prejudis, permusuhan dan penghinaan terhadap Agama Islam selaku Agama bagi Persekutuan Malaysia," kata Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahaya.

Berikut antara kenyataan presiden MCA itu yang dakwa mereka terlah menghina Islam.

1) Mengaitkan Negara Islam sebagai negara teokratik dengan mengatakan:

“The Prime Minister and other Umno stalwarts are fully aware of MCA’s stand on turning this country into a theocratic Islamic State” (sila rujuk laporan akhbar The Star bertarikh 02/05/2011 di bawah tajuk ‘MCA strongly against Islamic State’. Sila baca di http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/5/2/nation/8592015&sec=nation).

2) Mencerca dan menghina ajaran Islam yang melarang perempuan dan lelaki berlainan muhrim dari bersentuhan apabila mengkritik tindakan calon PAS di Pilihanraya Kecil DUN Tenang , Cikgu Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki dan juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang memakai sarung tangan apabila bersalam dengan lelaki. Beliau menyatakan:

“Normala will not come here to a Chinese temple, she doesn't even shake hands with the people. I have received complaints about this. She is like Anwar Ibrahim's wife. She wears gloves when she shakes hands. If you can accept this kind of Islamic value, go ahead and vote for PAS”. (sila rujuk laporan portal berita Malaysia-Chronicle bertarikh 20/01/2011 di bawah tajuk ‘Chua slams Normala, Wan Azizah for wearing gloves when shaking hands’. Sila baca di http://www.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=6591:chua-slams-normala-azizah-for-wearing-gloves-when-shaking-hands&Itemid=2).

3) Cuba memprovokasi dan/atau menyindir sambutan Hari Raya Aidil Adha dengan menggambarkan seolah-olah Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Kelantan memaksa supaya kedai-kedai ditutup pada Hari Raya Aidiladha. Beliau menyatakan:

“Becoz of hari raya haji all shops seem to be closed for celebration or by directive from local authority? It's quiet in Kota Bahru”. (Sila rujuk akaun Twitter Dato Dr Chua Soi Lek bertarikh 17/11/2010. Sila baca di http://twitter.com/#!/drchuaSL).

4) Mengaitkan Islam sebagai punca banyak negara yang mempunyai majoriti rakyat beragama Islam menjadi negara tidak demokratik, mundur, tidak mencapai taraf pembangunan global, dipaliti rasuah dan lain-lain lagi. Antara lain beliau dilaporkan sebagai berkata :

“Do not be too optimistic that once PAS rules the government, the country will be free from corruption and other problems. Bear in mind, some of the most corrupted countries are Muslim-majority nations..... He noted that the book listed down the common characteristics of 57 Muslim-majority countries in the world which, among other things, claimed that the nations were less democratic because of its emphasis on religion. Although these countries have Cabinets and elections, they also have the Council of Muslim Elders, which enjoys absolute power to override the decisions or policies made by the government. Since these countries formulate their policy using religion as its basis, policies formulated will not be on par with the global development requirement”. Sila rujuk laporan portal berita The Malaysian Insider bertarikh 06/08/2010 di bawah tajuk ‘Soi Lek fires broadside at Umno, PAS’. Sila baca di http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/soi-lek-fires-broadside-at-umno-pas/).

"Kami percaya sekiranya Dato Seri Dr Chua Soi Lek dibiarkan berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang provokatif yang menyentuh berkaitan agama Islam tanpa memperdulikan sensitiviti umat Islam di negara ini, lambat laun pastinya akan menimbulkan suasana tegang dan tidak tenteram di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kami juga percaya kenyataan-kenyataaan yang dinyatakan di atas bukanlah mewakili suara dan kehendak masyarakat bukan Islam di Malaysia, bahkan kami meyakini seluruh rakyat Malaysia menolak sebarang cubaan untuk memainkan sentiment agama semata-mata bagi mencapai matlamat politik," kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Johor Mahadzir Bin Mat Zili.

Selain itu, mereka juga mendakwa kenyataan Soi Lek juga yang berjanji akan menjadi penyokong utama PKR jika parti tersebut mahu mengugurkan keistimewaan orang Melayu yang tercatat dalam perlembagaan negara boleh menimbulkan kemarahan kepada orang Melayu.

Justeru, mereka memohon agar Soi Lek disiasat dan diambil tindakan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang yang relevan.


Talibarut Umno di Perak dan Selangor
Subky Latif
KETIKA Perak setahun di bawah Pakatan Rakyat hampir setiap hari beberapa kumpulan mendakwa anti penyelewangan kerajaan negeri itu keluar di TV dan akhbar memburuknya begitu dan begini.

Beberapa muka anak Perak yang tidak pernah muncul dalam media sebelumnya menjadi jurucakap segera yang baru hingga dikenali sekalian orang.

Kerjanya mereka mengatakan kerajaan negeri itu buruk belaka.

Lepas kerajaan itu digulingkan nama dan muka mereka hilang langsung. Tidak kedengaran lagi suara mereka. Tidak ada apa-apa yang mereka kata tentang kerajaan yang merampas kuasa di Perak itu seolah-olah kerajaan itu betul semua.

Sebagai kumpulan yang mendakwa prihatin tentang apa yang kerajaan buat, tidak pernah mereka berkata apa-apa tentang kerajaan negeri sebelum Pakatan itu seolah-olah kerajaan itu kerajaan malaikat.

Lepas itu beralih pula Perdana Menteri Najib ke Selangor. Diambilnya jawatan ketua Umno yang pernah diberi kepada Tan Sri Mohamad Mohd Taib dan Dr. Khir Toyo.

Maka ada pula badan anti penyelewengan kerajaan negeri Selangor. Hari-hari pula gilirannya keluar dalam media mencerca kerajaan dan menteri besarnya begitu dan begini. Lebih sering gambar dan nama mereka dari gambar Sultan dan menteri besar keluar dalam media.

Gambar dan nama Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerap juga keluar tetapi mereka lebih kerap.

Bagi tokoh anti penyelewengan itu Tan Sri Khalid tak betul bekala. Kerajaan Selangor yang dipimpinnya buruk saja. Seolah-olah lebih buruk dari Presiden Robert Mugabe dari Zimbabwe.

Ada baiknya juga wujud orang dan kumpulan seperti itu supaya kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berhati-hati dan supaya kerajaan tidak berbuat sesuatu ikut suka hati.

Seperti kewujudan pemerhati hak asasi manusia di Amerika dan Eropah yang bergerak di serata dunia bagi memastikan kerajaan-kerjaan di dunia tidak melanggar hak asasi manusia.

Mereka itu terdiri dari orang-orang profesional dan diiktiraf oleh banyak pihak membuat kerja-kerja profesional. Banyak teguran dan pendedahan mereka tentang keburukan yang berlaku. Kebanyakan yang dikatakan keburukan itu berlaku di Afrika dan Asia termasuk China dan Pakistan. Iran pula buruk saja.

Tegurannya kepada Amerika dan England ada juga tetapi macam tak berapa ada.

Israel yang menjadi raja pelanggar hak asasi manusia khususnya terhadap Pelestin tidak berapa dipedulikannya. Mungkin kerana regim terlalu banyak melanggar hak asasi manusia, kalau tidak tidak dipedulikannya pun dunia tahu ia kaki langgar hak kemanusiaan itu.

Bahkan apabila badan pemerhati hak asasi manusia itu terlalu sering menegur perjalanan di Malaysia ini pun menyebabkan orang naik muak juga. Pada hal badan itu diakui profesional. Laporannya yang terlalu selalu memuakkan juga.

Begitulah juga dengan apa yang dikatakan golongan anti penyelewengan Khalid Ibrahim dan kerajaan Selangor ini.

Muak juga orang dibuatnya. Sehingga ada yang menunggu apa yang ia hendak kata esok dan lusa?

Sejak Najib menjadi ketua Umno Selangor, maka badan itu tidak pernah diam. Malah suaranya lebih terdengar dari suara Umno dan suara Noh Omar. Kalah Menteri Perusahaan Hasil Tani itu dibuatnya.

Tidak dapat hendak dikatakan kerajaan Khalid Ibrahim itu bersih dari sebarang kelemahan. Ada kelemahannya di sana sini. Kalau Almarhum Tun Dr. Ismail pun ada kelemahan, masakan Khalid tidak ada kelemahan. Tetapi tidaklah seperti yang golongan anti penyelewengan itu kata.

Pentadbiran Selangor sebelum Khalid juga tidak bebas dari penyelewengan. Banyak yang dibawa ke mahkamah dalam dan luar negeri. Ada yang dihukum dan ada yang belum dihukum.

Tetapi selemah-lemah Khalid tidaklah seteruk kerajaan-kerajaan terdahulu.

Masalah mereka tidak pernah dibandingkan dengan pentadbiran Khalid dan tidak pernah perbuatan terdahulu itu disentuh.

Mengapa? Badan anti penyelewengan itu diadakan bukan untuk melihat penyelewengan secara menyeluruh tetapi ia diadakan untuk Khalid, kerajaan dan partinya.

Ia lebih tepat dinamakan anti Khalid Ibrahim. Kiranya kerajaan Khalid tidak ada lagi, ia pun ghaib macam jenisnya yang di Perak dulu.

Siapa sebenarnya mereka? Ia tidak lain nama lain bagi Umno kalau pun tidak talibarut Umno. Apabila ia Umno, pada Umno yang lain daripadanya adalah tidak betul.

Tiada ulasan: