Jumaat, 27 Mei 2011

MUJAHADAH SERTA PENGORBANAN TERUS MENERUS...MENYEBABKAN TURUN PERTOLONGAN ALLAH..MUNGKAR TURUN LAKNAT ALLAH SWT...

Salahguna sekolah: Pemuda PAS Pahang lapor SPRM
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 27 Mei: Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam terhadap Pergerakan Pemuda Umno Kuala Krau atas dakwaan menyalahgunakan sekolah untuk tujuan politik.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim dalam laporannya mendesak SPRM menggunakan kuasa menyiasat aktiviti Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau yang telah mengadakan mesyuarat perwakilannya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, 21 Mei lalu.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ketua Biro Antarabangsa Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

“Kami DPP Negeri Pahang melahirkan rasa dukacita terhadap pencabulan premis awam saperti premis sekolah ini yang sepatutnya bebas dari sebarang campur aduk politik apatah lagi ianya salah dari segi undang-undang, malahan boleh mendatangkan kemusnahan kepada institusi pendidikan negara yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kepartian.

“Perlu diingat bahawa pembinaan sekolan awam ini dibuat dari sumber kerajaan dan cukai rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu adalah salah dari segi undang-undang dan moral jika pentadbiran dan pengurusan dana awam ini diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Shahril turut mendedahkan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Krau juga akan diadakan di tempat yang sama pada 29 Mei ini.

Tambahnya, amalan ini bertentangan dengan undang-undang dan peraturan yang boleh diambil di bawah Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkaitan dengannya.

“Oleh yang demikian itu, kami mengesa SPRM menggunakan sepenuhnya kuasa untuk menyiasat dan mendakwa jika terbukti benar berlakunya penyelewengan terutama kepada guru besar atau pengetua sekolah terbabit yang telah membenar sekolahnya dijadikan tempat mesyuarat perwakilan tersebut.

“Kami juga mendesak SPRM menyiasat transaksi kewangan guru besar mahu pun sekolah terbabit serta segala urusan kewangan bersabit penggunaan premis awam tersebut kerana jika ianya berlaku sewaan atau membabitkan urusan kewangan yang lain maka ianya telah melakukan kesalahan dan melanggari batas-batas perundangan negara.

“Kami berharap SPRM menggunakan sepenuhnya peruntukan undang-udang di bawah Seksyen 7 dan seksyen 29 (3) Akta 694, Pencegahan Rasuah Malaysia atau menggunakan mana-mana peruntukan undang-undang yang ada bagi maksud tersebut,” katanya.

Shahril berharap SPRM dapat melakukan penyiasatan dengan penuh kesungguhan, ketelusan dan keberanian dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.


Lynas: Panel bebas tidak bebas
Huzir Sulaiman

Ramai pihak ragu-ragu dengan ketelusan 9 orang Jawatankuasa Panel Bebas yang dilantik oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya oleh Kementerian Industri Dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) yang diketuai oleh menterinya Dato’ Seri Mustapha Mohamed dan timbalannya Dato’ Mukhriz Tun Mahathir.

Keraguan yang pastinya akan menjejaskan integriti atau ketelusan laporan keselamatan, kesihatan dan persekitaran ‘panel bebas’ itu kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya akan terus dipertikaikan malah ditolak.

Dan jika laporan yang tidak telus itu digunapakai sebagai panduan atau rujukan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional(BN) untuk membenarkan Lynas untuk terus beroperasi pada bulan September atau November ini, hampir 800-850 ribu nyawa manusia termasuk keturunan mereka akan diperjudikan sampai bila-bila demi keuntungan ekonomi pihak tertentu semata-mata.

Terlajak perahu boleh diundur, Terlajak kata badan binasa.

Satu insiden yang melibatkan kebocoran sisa buangan radioaktif ke udara, air, tanah dan makanan sudah memadai untuk mengheret semua rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman termasuk keseluruhan perniagaan atau perusahaan malah sektor awam ke situasi yang cukup kritikal. Satu keadaan kritikal, yang jika gagal dikawal oleh pihak yang bertanggungjawab akan mengheret semua pihak tidak kira agama dan bangsa, tua atau muda kepada kehancuran total sampai bila-bila.

Kenapa keraguan itu timbul:

  1. Laporan daripada Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 18/5/11 mempertikaikan kewajaran MITI untuk menubuhkan ‘panel bebas’ itu sedangkan penilaian kesihatan awam, isu keselamatan radiasi, dan kemudahan kilang berbahaya atau ‘hazardous’ tidak terletak di bawah bidang kuasa MITI.
  2. Pihak berkuasa tidak dilihat terlibat di dalam perlantikan 9 ahli ‘panel bebas’ itu khususnya Jabatan Alam Sekitar (DOE) sedangkan permohonan awal penilaian persekitaran telah dihantar ke Jabatan Alam Sekitar semenjak tahun 2008. Matlamat DOE untuk melindungi alam sekitar lebih kukuh dan berkaitan dalam isu ini dan juga relevan dengan kegusaran penduduk setempat kepada ancaman sisa buangan radioaktif dari operasi Lynas kepada keselamatan, kesihatan dan persekitaran penduduk setempat.
  3. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Innovasi (MOSTI) menyerahkan pula keseluruhan tanggungjawab ‘panel bebas’ itu kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di mana IAEA adalah badan antarabangsa yang mempunyai kepentingan khusus untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan keseluruhan aktiviti yang berkaitan dengannya di seluruh dunia. Mereka bukan penggubal undang-undang atau ‘regulator’ yang diyakini tiada berkepentingan untuk menyebelahi sesiapapun. Bagaimanakah pihak yang berkepentingan untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan dengannya dapat menjalankan tugas sebagai penggubal atau ‘regulator’ dalam Kes Lynas ini. Sebagai satu badan yang tiada berkepentingan langsung khususnya di dalam mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia. Pastinya, penilaian berat sebelah mungkin berlaku dalam kes penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran dari operasi Lynas ini pada 29/5/11 sehingga 03/06/11 ini.
  4. 4 daripada 9 orang ahli ‘panel bebas’ itu adalah kakitangan IAEA. Keraguan teramat sangat dari penduduk setempat bahawa kepentingan 4 orang kakitangan IAEA itu untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia akan mempengaruhi ketelusan mereka ketika penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran itu.
  5. 5 orang pakar luar atau ‘external expert’ yang bukan dari IAEA telah dimaklumkan oleh CAP/SAM sebagai tidak bebas kerana dikaitkan dengan syarikat-syarikat yang berasaskan tenaga nuklear dan nadir bumi termasuk pernah berkhidmat sebagai jururunding malah sebagai pekerja atau bekas pekerja kepada syarikat berkenaan malah kepada IAEA termasuk mempuyai kepentingan seperti IAEA untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan.

Nik Aziz akan raikan 200 ahli Umno sertai PAS
Harakahdaily

SELAYANG, 27 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan meraikan hampir 200 ahli Umno yang menyertai PAS malam ini di Kampung Setia, Kuang.

Hampir 200 ahli Umno dijangka akan menyerahkan borang menyertai PAS malam ini kepada beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu.

Ia akan diketuai oleh bekas Ketua Umno cawangan Kampung Setia, Mat Senin Mat Lana.

Mat Senin telah lebih 10 tahun mengetuai Umno cawangan di situ dan beliau juga adalah pengasas kampung Kuang itu sendiri.

Fenomena kemasukan ahli dan pemimpin Umno tempatan ini menjadi rancak apabila kampung jiran mereka, Rahmat Jaya, Kuang memilih seorang wanita untuk mengetuai cawangan PAS di situ.

PAS mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita menjadi ketua cawangannya yang pertama iaitu Puan Eisah A Wahid, 53, untuk PAS Cawangan Rahmat Jaya, Kuang.

Malam ini, kesemua mereka akan diraikan sendiri oleh Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan ini.

Tugas saya bantu Pakatan ke Putrajaya - Bob Lokman
Mohd Sabri Said

BUKIT MERTAJAM, 27 Mei: Penulis lirik, pencipta lagu dan pelakun Bob Lokman memberitahu, tugas beliau kini adalah membantu Pakatan Rakyat khasnya PAS ke Putrajaya.

"Kini saya sudah sedar daripada lamunan kerana dunia hiburan banyak melalaikan.

"Tugas saya kini berceramah, membantu Pakatan Rakyat agar lebih berketrampilan dalam usaha mengejar impian ke Putrajaya," beritahu Bob Lokman (gambar) ketika berpidato pada majlis anjuran PAS Permatang Pauh di belakang Sekalah Agama Al Masriyah, Bukit Mertajam semalam.

Bob Lokman menyertai PAS tidak lama dahulu dan kini aktif bersama program PAS bagi membantu parti Islam itu agar lebih berketerampilan dalam menyampaikan mesejnya kepada masyarakat.

"Islam yang digerakkan oleh PAS juga tidak mengharamkan lagu bahkan mengalakkan lagu-lagu ketuhanan dengan irama yang berbagai agar anak muda tidak terpesong akidah atau lalai dengan gerak geri penyanyi luar, " jelas beliau.

Beliau berceramah dipentas bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.

Dalam pada itu, beliau juga meminta Jabatan Agama Islam memantau lirik-lirik lagu yang dinyanyikan penyanyi agar ia tidak terpesong dari aqidah Islam.

Mereka di saran berperanan lebih aktif menilai dan mengkaji semua senikata lagu supaya tidak timbul masalah pemesongan akidah.

Ia perlu kerana semasa peminat menghayatinya sebagai hiburan ia boleh menggugat akidah, kata bekas penilis lirik, pencipta lagu dan pelakun itu.

Kadang-kadang, kata beliau, pencipta lagu dan lirik, ketika mendapat ilham terus sahaja mencatat tanpa berteraskan syariat yang dibenarkan asalkan penyusunan ayatnya bernas di tambah pula melodinya yang boleh mengkhayalkan pendengar.

"Bukan bermakna tidak boleh mencipta lagu asalkan penciptaanya tidak menyalahi Islam. Saya bercakap bukan untuk orang lain tetapi untuk diri saya sendiri yang pernah melalui era kegemilangan menerusi lagu Taman Rashidah Utama nyanyian Kumpulan Rock Wings dan Isabella nyanyian Search, " jelasnya.

Baginya, sekaranglah masa terbaik untuk dirinya meluangkan masa kepada Islam sebab dulu terlalu sibuk mengejar dunia semata-mata kerana duit.

Keluar dari alam glomour bukan mudah tambahan lagi aktif bersama PAS berceramah sana sini dengan tujuan menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang zalim terhadap rakyat bawahan, kata beliau.


BN Masih minat naikkan harga minyak
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa percaya kerajaan BN masih berniat untuk menaikkan harga minyak dengan menggunakan alasan rasionalisasi subsidi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu lalu bahawa kerajaan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti.

"Saya berpendapat dengan penangguhan kenaikan harga minyak bermaksud Kerajaan Persekutuan mempunyai niat untuk menaikkan harga minyak," kata beliau ketika ditemui di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa isu sebenar kerajaan ingin menaikkan harga minyak bukan kerana rasionalisasi subsidi yang diwarwarkan namun kerana negara kekurangan wang kerana gagal menguruskannya dengan baik.

Beliau memberi contoh negara pengeluar minyak Mesir dan Oman yang mempunyai harga minyak yang lebih rendah dari Malaysia meskipun negara mereka mempunyai lebih ramai penduduk.

"Dalam isu ini saya rasa bukan isu rasionalisasi subsidi tetapi isunya ialah negara kita kekurangan cash ataupun wang kerana sebab yang lain, bukan kerana subsidi.

"Kalau isu subsisi harga minyak, sebagai negara pengeluar minyak kenapa Mesir dan Oman boleh letakkan harga minyak yang lebih rendah sedangkan mereka mempunyai penduduk yang lebih besar.

"Saya nak buat perbandingan Malaysia dengan negara pengeluar minyak yang lain yang mana Malaysia di nombor 27 dan harga minyak kita ialah RM2.90 seliter.Kita lihat negara pengeluar minyak ke 28 dan 29 Oman dan Mesir, harga di Oman dan Mesir adalah lebih rendah," katanya.

Di Mesir, harga minyak ialah RM1.06 sen seliter dan Omar RM1 seliter.

Justeru katanya kerajaan harus melihat perbandingan harga ini dan memberikan hujah yang lebih kukuh mengenai rasionalisasi subsidi.

"Saya harap kerajaan Malaysia boleh menggunakan perbandingan ini untuk memberikan hujah kepada rakyat Malaysia kenapa mereka membesarkan isu rasionalisasi subsidi," katanya.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram.

Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lepas.


Pemuda PAS bantah KUIN gantung pelajar
Nazri Abdullah

(Gambar: Lima pelajar KUIN yang digantung pengajian)

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu pihak pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah mengkaji semula tindakan menggantung pengajian lima pelajarnya kelmarin.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Ketuanya Nasruddin Hassan berkata terdapat cara yang lebih baik bagi menyelesaikan perkara itu dan selain hukuman menggantung pengajian.

“Tindakan itu tidak mendatangkan kebaikan kepada pelajar sebaliknya menjejaskan masa depan mereka. Bertindaklah dengan hikmah dan lunak.

“Gantung mahasiswa menjejaskan masa depan pengajian mereka. Mereka perlu didikan dan bimbingan bukan tindakan keras seperti itu,” tambahnya.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, enam mahasiswa kolej itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang darinya dikehendaki membayar denda.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Kesemua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara (speaker corner), dan serta mengadakan kenyataan akhbar dan kepada orang awam berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

“Saya harap pihak KUIN mengkaji semula tindakan gantung yang diambil ke atas 6 pelajarnya.

“Saya juga merayu agar pihak kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan bertemu dengan pelajar," gesa Nasruddin.

Sebelum daripada itu, pada 1 April lalu, sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat bagi menuntut semula bangunan tahfiz yang akan diguna untuk pembangnan Sekolah Insan Bestari tersebut.

Rentetan itu, Timbalan Dekan Kuliah Al-Quran, Muhammad Idrus Ismail didakwa telah dilucutkan jawatan kerana turut terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Selain itu, mereka kemudiannya mengadakan sepaker corner bagi menjelaskan perkara itu namun dihalang pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Mereka kemudiannya bertindak mengeluarkan kenyataan akhbar kepada media menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak campur tangan.

Tidak cukup dengan itu, mereka kemudiaanya menyerahkan satu memorandum ‘selamatkan idealisme mahasiswa' kepada Presiden PAS meminta agar Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihati Menteri Besar Kedah untuk menangani isu tersebut secara adil.


Keperluan pemimpin untuk semua kaum
Panah Hijau

Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan tidak lama lagi. PAS disarankan untuk memainkan peranan yang lebih menonjol kali ini sebab kali ini tumpuan akan diberikan kepada pengundi kaum Melayu.

Pengundi kaum Melayu juga adalah golongan yang terbesar dan oleh itu peranan mereka sebagai mempunyai undi penentuan adalah betul dan benar. Namun demikian, sokongan dari kaum bukan-Melayu tidak boleh diabaikan sebab sokongan mereka juga penting dan diperlukan di kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai demografi campuran.

Memandangkan situasi adalah sedemikian rupa, PAS harus menumpukan fokus mereka kepada isu-isu eknonomi selain daripada isu-isu agama. Ini adalah sebab kaum Melayu juga merupakan golongan orang miskin yang terbesar di negara ini. Isu-isu ekonomi ini boleh diketengahkan oleh ahli-ahli professional dalam PAS seperti Dr. Hatta Ramli, Dr. Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Salahuddin Ayub.

Apabila rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu nampak bagaimana PAS cenderung untuk berjuang demi kebaikan rakyat bukan sahaja dari segi agama bahkan juga dari segi kehidupan di dunia harian, maka lebih ramai lagi orang (bukan sahaja orang Melayu bahkan juga orang-bukan Melayu) yang akan menyokong PAS.

Bukan sahaja isu perihal akhirat yang perlu diberi perhatian oleh PAS tetapi isu perihal dunia juga mesti dititikberatkan supaya rakyat boleh nampak dengan mata mereka sendiri bahawa PAS adalah sebuah parti yang prihatin.

Sebagai sebuah parti yang prihatin dan untuk dapat menarik sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, PAS memerlukan pemimpin-pemimpin dari golongan ulama dan juga dari golongan professional untuk memacu parti ini ke masa depan yang lebih cemerlang.

Golongan ulama dan golongan professional mesti berganding bahu dan bekerjasama demi memantapkan kekuatan parti.

Pemimpin-pemimpin yang lantang bersuara juga amat diperlukan oleh PAS untuk menangkis serangan-serangan UMNO dan disini pemimpin-pemimpin seperti Datuk Mahfuz Omar, Ustaz Idris Ahmad, Khalid Samad, Khalil Idham Lim dan Mat Sabu adalah amat menyerlah.

Pemimpin-pemimpin PAS yang popular di kalangan orang bukan-Melayu juga diperlukan untuk menonjolkan PAS sebagai sebuah parti yang peramah terhadap semua bangsa dan di sini peranan ini boleh dimainkan oleh Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak yang selalu mendapat sambutan baik dari orang Cina semasa kempen pilihanraya kecil. Selain dari Nizar, terdapat juga Dr. Mujahid Yusof, Dr. Lolo Ghazali dan Dr. Siti Mariah yang semuanya popular di kalangan orang-bukan Melayu di kawasan Parlimen mereka masing-masing.

Justeru itu, dapat dilihat bahawa PAS mempunyai ramai pemimpin yang cerdik, pintar, berwibawa dan berbakat dan diharap pemimpin-pemimpin ini semua dapat memainkan peranan yang besar dalam PRU-13 dan masa depan parti ini demi kebaikan rakyat dan negara.

Semoga slogan 'PAS Untuk Semua' akan muncul sebagai satu slogan yang akan dapat dinikmati kesahihannya oleh rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dan oleh itu saya harap pemilihan parti yang akan dilangsungkan di Muktamar kali ini akan memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin ini untuk sama-sama berjuang untuk Islam dan juga untuk rakyat seluruh Malaysia.

Semoga Tuhan akan memberi ilham kepada semua perwakilan PAS untuk membuat pemilihan dengan cara yang bijak, berhemah dan bertanggungjawab.

PANAH HIJAU
27hb Mei 2011



Tiada ulasan: