Jumaat, 13 Mei 2011

ADAKAH ORANG INI..SUKA DALAM KEADAAN TIDAK TENTERAM...DAN BERMUSUHAN...SIKAP YANG TAK BERTAMADUN DAN TAK TERPELAJAR...NIATNYA ALLAH SAJA YANG TAHU


Kristian-Islam: KDN panggil ketua pengarang Utusan, beri teguran

TERKINI @ 08:13:07 PM 12-05-2011
May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dipanggil menghadap Kementerian Dalam Negeri petang tadi dan diberi teguran berhubung laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bertajuk “Kristian agama rasmi?”.

The Malaysian Insider difahamkan Aziz bersama seorang editor kanan dipanggil bertemu dengan kementerian itu sekitar 4 petang tadi.

“Datuk Aziz dipanggil datang ke KDN kira-kira 3.45 petang tadi. Saya dimaklumkan seorang editor juga ikut sama. Utusan diberikan teguran, berhubung laporan isu penganut Kristian,” kata sumber kepada The Malaysian Insider petang ini.

Sabtu lalu, ekoran pendedahan dua blog, Utusan Malaysia yang telah memetik laporan tersebut dan disiarkan dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?”, mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan kumpulan Kristian.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Petang tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Mwnteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, Lim berkata pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

Dalam pada itu, kenyataan media Kementerian Dalam Negeri berkata pihaknya telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan Utusan bagi menyerahkan surat teguran kerana menyiarkan berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang didapati menggemparkan fikiran orang ramai.

“Adalah menjadi amalan KDN untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan pihak akhbar atas tindakan menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984), serta menyerahkan surat teguran ke atas kesalahan tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kementerian itu akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984.


Dakwaan Bigdog konspirasi Kristian tindakan melulu, kata Khairy

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membidas penulis blog “Bigdog” sambi menyifatkan dakwaan yang dibuat kononnya wujud konspirasi mahu melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama Kristian sebagai “terlalu melulu.”

Blog pro-Umno milik Zakhir Mohamad itu disifatkan Khairy sebaga satu tuduhan yang “luar biasa dan sangsi” tanpa “mempunyai apa-apa bukti.”

“Apa yang dia ada hanya gambar dan apa yang dia tulis dalam blognya. Ia adalah amat tidak bertanggungjawab dan melulu. Dia adalah seorang yang sangat teruk,” katanya kepada The Malaysian Insider selepas mengecam tindakan Zakhir melalui Twitter.

“Jangan terlalu sombong 'Fat Dog'. Jika anda salah anda akan dikenakan hukuman berat.

“Saya rasa kalau anda dibuktikan bersalah anda akan didakwa kerana menyebarkan laporan palsu dan hasutan. Berani buat berani tanggung,” tulis Khairy dalam Twitter.

Walaupun tidak mempunyai sebarang bukti, semalam Zakhir dalam entri terbaru di blognya mempertahankan laporannya dengan berkata “apa yang perlu dikekalkan adalah janji paderi-paderi yang mahu melantik perdana menteri Kristian dan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.”

Dia berkata paderi-paderi itu berdoa agar perdana menteri dilantik tanpa mengira latar belakang agama.

“Sudah tentu, mereka telah melakukan perkara ini secara terang-terangan untuk menyingkirkan hak kaum majoriti, siapa orang Melayu Islam yang gembira dengan perkara ini,” tulis Zakhir.

Dia juga memberi respons terhadap Khairy dengan berkata “ini bukan mengenai sombong. Hanya menyatakan fakta. Siasatan masih berjalan. Apa yang pasti polis belum menyiasat mereka yang hadir.”

Khairy membalas dengan berkata polis telah mengambil keterangan pada Selasa.

“Anjing, anda telah buktikan anda seorang penipu dalam Twitter. Saya cadangkan anda hentikan sebarkan laporan palsu, pergi ke The Loaf, pesan makanan dan sedut semua,” katanya dengan merujuk kepada fizikal Zakhir.

Beliau juga berkata Zakhir sepatutnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai mana yang disarankan sesetangah pihak.

Minggu lalu Zakhir dalam entrinya bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN), beberapa blog pro-Umno dan kumpulan Kristian.

Beberapa laporan polis telah dibuat agar siasatan dilakukan terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog itu.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian hari ini ekoran laporan media bahawa komuniti Kristian mahu menggantikan Islam sebagai agama rasmi selepas kontroversi kitab Injil versi Bahasa Malaysia.


Kristian-Islam: DAP gesa Najib arah Utusan tarik balik laporan, mohon maaf

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — DAP menggesa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan Malaysia bebas dari imuniti dengan mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf kerana menyiarkan laporan palsu.

“Selain itu, beliau juga harus menukar editor dan wartawan yang terlibat dengan laporan yang bahaya ini dan boleh membakar gagasan 1 Malaysia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar berbahasa Malaysia milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”

Kata Lim, Utusan Malaysia berani bertindak mengeluarkan laporan yang tidak benar kerana akhbar itu didokong sepenuhnya oleh Umno malah agenda mingguan akhbar tersebut ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh diketuai Najib.

“Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari, mendedahkan agenda-agenda dalam Utusan Malaysia ditetapkan Biro Politik Umno yang mengadakan perbincangan setiap Isnin untuk menentukan agenda mingguan akhbar itu.

“Mereka yang berada dalam biro itu adalah Najib, timbalannya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, tiga naib presiden (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein dan (Datuk Seri) Shafie Afdal termasuk Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno (Datuk) Ahmad Maslan,” katanya.

Tambah Lim, beliau juga mencabar parti komponen BN untuk membantah tindakan Utusan Malaysia dalam mesyuarat Kabinet.

“DAP mencabar menteri MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengemukakan bantahan tegas terhadap Utusan Malaysia dalam Kabinet.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian bermakna mereka adalah talam dua muka seperti Umno,” katanya.

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno terus kecam ‘Bigdog’, gesa minta maaf

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ekoran pendedahan provokasi yang didedahkan melalui blog “Bigdog”, penulis blog itu terus dikecam hebat oleh beberapa blog pro-Umno yang tidak bersetuju dengan laporan yang dikeluarkan itu.

Malah blog-blog pro-Umno ini juga menyifatkan penulis blogger “Bigdog” sebagai bongkak kerana enggan mengakui kesalahan dan meminta maaf.

Penulis blog “Bigdog” melalui entri bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan kumpulan Kristian.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

“Untuk kontroversi terbaru ini bukan orang Melayu, Cina dan India sahaja, malah semua rakyat Malaysia mesti bangun mendesak dia menarik semula kenyataan ‘Kristian Sebagai Agama Rasmi Negara?, yang kononnya didesak oleh sekumpulan paderi dan pemimpin DAP agar Kristian dijadikan agama rami negara.

“Pandangan blogger ini telah dikeluarkan di muka hadapan Utusan Malaysia, tiada bukti, tiada fakta... hanya sekeping gambar dikeluarkan. Mungkin ramai yang keliru dengan status blogger ini,” kata kata blogger “Gelombang-Rakyat”.

Tambah penulis blog itu, tindakan “Bigdog” itu akan menjatuhkan imej dan kepimpinan negara.

“Kenapa perlu nyatakan yang palsu? Tindakan Bigdog ini bukan sahaja menjatuhkan imej kepimpinan negara, malah boleh mencetuskan perpecahan perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama.

“Lebih pelik, ia hanya sekadar rekaan semata-mata. Sebenarnya ini yang dinamakan mainan politik dan tidak mustahil Bigdog akan terus melaksanakan strategi-strategi begini,” katanya.

Sementara itu blogger “Gelombangwangsamaju” bersetuju blogger “Bigdog” ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mencetuskan provokasi yang menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

“Saya memang bersetuju, ISA sahaja, blogger pro-kerajaan yang memalukan BN dengan membangkitkan isu sehingga menggugat ketenteraman awam dan bakal menyebabkan perbalahan antara agama,” katanya.

Sementara itu blogger “Papa Gomo”, menyifatkan tuduhan palsu yang dilemparkan “Bigdog” bukan sahaja menjatuhkan imej negara tetapi kesannya turut diterima blogger pro-Umno yang lain.

“Kalau sudah salah mengaku sahaja, tidak perlu nak bongkak sangat... akibat dari tindakan anda ini telah mengakibatkan Malaysia jadi kecoh dan ketenteraman awam tergugat malah kesannya turut mencalar imej kami blogger pro-Umno yang lain.

“Kenapa nak bongkak sangat? Kerana dia, semua blogger terima tempias, isu yang dibawa Bigdog ini kesan kecelakaannya amat besar dan tidak ada guna nak simpan blogger macam ini.

“Bukan sekali dia merosakkan kerajaan malah sudah berpuluh-puluh kali... cukup-cukuplah elok anda duduk diam dan keluarkan permohonan maaf, tidak perlu keluarkan kenyataan yang bongkak dan angkuh,” katanya.

Awal pagi tadi The Malaysian Insider melaporkan blogger “Bigdog” mempertahankan tulisannya dan enggan membuat permohonan maaf atas laporan yang disifatkan sebagai fitnah.

“Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

“Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan,” kata penulis blog “Bigdog” kepada The Malaysian Insider.


Kristian-Islam: Blogger ‘Bigdog’ tidak akan mohon maaf

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Dengan mempertahankan tulisannya, penulis blog “Bigdog”, yang mencetuskan provokasi berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara menegaskan, dia tidak akan membuat permohonan maaf atas laporannya, yang disifatkan banyak pihak sebagai fitnah.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Penulis blog tersebut yang enggan namanya didedahkan menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

“Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

“Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan,” kata penulis blog “Bigdog” kepada The Malaysian Insider.

Ditanya sama ada laporan yang ditulis itu benar atau palsu, penulis blog “Bigdog” enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya hanya berkata: “Saya tidak boleh cakap, sebab ia sudah jadi kes polis, sudah ada laporan polis dibuat.

“Jadi biar polis siasat dulu,” katanya.

Selain enggan meminta maaf, penulis blog itu juga enggan menarik balik laporan yang telah ditulis itu sambil menyifatkan tiada alasan untuk dia berbuat demikian.

Sebuah lagi blog yang turut mendakwa kewujudan konspirasi itu telah memadamkan entri-entri itu.

Selain blog “Bigdog”, blog “Marahku” merupakan blog yang dipetik Utusan Malaysia yang dalam laporan itu menuduh DAP mungkin terlibat dalam konspirasi tersebut.

“Buat apa saya perlu tarik balik? Saya tidak akan . . . biarkan sahaja ia di situ,” kata penulis blog “Bigdog”.

Blog “Bigdog” juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan.

The Malaysian Insider pagi semalam melaporkan sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog”.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian — Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan “Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno telagah, gesa Bigdog ditahan ISA

May 11, 2011

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog” berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Ekoran pendedahan penulis blog Bigdog itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi? yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog “Bigdog” atau nama sebenar penulisnya, Zakir Mohammed menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion? mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan”Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

“Dalam isu gereja dan negara Kristian ini memang dari awal saya merasakan sangsi berhubung laporan yang ditulis Bigdog ini sebab dalam laporan itu tiada asas yang kukuh untuk mengatakan perjumpaan paderi itu adalah untuk membentuk jemaah yang sebulat suara menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

“Secara logik mustahil pihak Kristian dalam Malaysia boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini, mereka tahu kewajaran dalam nak menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi bagaimana pula Bigdog ini boleh mengeluarkan satu perkara yang tidak pasti yang mana sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa akibat dari kebodohan Bigdog ini,” katanya.

Justeru kata “Papa Gomo”, kerajaan harus peka dan memandang serius terhadap laporan palsu yang dikeluarkan blog “Bigdog” kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

“Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA bagi mengelakkan kekacauan dan ketenteraman awam tergugat.

“Kerajaan harus memandang serius isu yang dimomokkan blog Bigdog kerana yang menanggung beban dalam hal ini adalah kerajaan BN dan bukannya Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kita bela blogger yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia?” katanya.

Tegasnya, konsep 1 Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat direalisasikan jika kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap “Bigdog”.

“Apa guna 1 Malaysia jika hal begini tidak dapat dibendung oleh kerajaan Malaysia. Saya yakin dan amat pasti pembangkang (Pakatan Rakyat) juga akan turut sama bersetuju agar ISA dikenakan ke atas blogger Bigdog jika terbukti dia salah menyebarkan laporan.

“Sudah sampai masa KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertindak tegas dalam hal ini bagi menjamin ketenteraman awam, bagi saya berbaloi jika Bigdog ditahan di bawah ISA kerana dapat menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Blog Bigdog juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan.

100 mahasiswa UM diberi amaran tatatertib

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEP UM) telah mengeluarkan satu surat tindakan tatatertib ke atas beberapa mahasiswa UM hari ini.

Sumber menyatakan pihak HEP telah ‘mengeluarkan senarai’ dan memberi amaran tatatertib kepada hampir 100 mahasiswa UM.

Pejabat HEP UM akan menelefon setiap mahasiswa yang namanya telah disenaraikan dan surat amaran itu akan diberi setelah berjumpa dengan pihak HEP UM.

Setakat kini, hampir 15 mahasiswa UM telah dihubungi dan diberi surat amaran.

Namun, beberapa sumber individu menyatakan sebahagian daripada nama yang disenaraikan HEP itu kebanyakannya daripada ahli Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).

Antara yang termasuk dalam senarai diberi amaran tindakan tatatertib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Izzuddin Hilmi, dua suspek kes ‘Rosmah Puaka UM’ iaitu Aizat Roslan dan Syahrul Deen serta jurucakap SPKUM, Asri Zulkifli.

Difahamkan amaran itu dikeluarkan atas dua sebab iaitu pernah mengadakan beberapa siri himpunan haram di kampus UM sepanjang penglibatan sebagai mahasiswa UM dan disabitkan kesalahan atas cubaan mengancam keselamatan UM.

Kesemua mereka kemungkinan akan dicaj dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Selain mahasiswa Tahun Dua dan Tiga UM, turut mendapat amaran itu adalah beberapa mahasiswa Tahun Satu UM yang kebanyakannya daripada Akademi Pengajian Islam UM (APIUM).

Sehingga kini, diberitakan pelajar siswi masih tidak menerima sebarang panggilan atau surat amaran tersebut.

Himpunan PAS Ganti Umno di Perak pula
Johari Jaafar

IPOH, 12 Mei: Gelombang kebangkitan rakyat untuk memastikan PAS menggantikan Umno selaku kuasa politik utama orang Melayu di negara ini bagaikan rancak dan ketara, kerana itu PAS Perak akan membawa program besar-besaran yang dinamakan sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat 'PAS Ganti Umno' di negeri Perak.

Program besar-besaran itu akan diadakan selama dua hari pada 14 dan 15 Mei ini bagi zon utara Perak di Padang Rengas, manakala bagi Zon Selatan Perak pula diadakan pada 28 dan 29 Mei ini di Pasir Salak.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki ketika ditemui di Pejabat PAS Negeri hari ini.

PAS Perak, katanya akan menggerakkan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS ganti Umno ini dengan bersungguh dan penuh komitmen agar program yang dirancang ini dapat berlangsung dengan jayanya.

Program besar-besaran PAS Ganti Umno ini adalah antara usaha PAS Perak untuk kembali memerintah negeri Perak sejak ia dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kes rampasan kuasa secara zalim oleh Umno BN ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selepas PRU 12 selama 11 bulan.

"PAS Perak akan terus berusaha dan merancang serta melaksanakan pelbagai program untuk menawan hati rakyat," ujarnya.

‘Kita bertekad untuk mengambil semula pemerintahan negeri Perak, jadi beberapa perancangan dan program yang telah dan sedang rancak dijalankan untuk menghadapi pilihanraya Umum 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang," katanya.

Oleh itu PAS Perak akan melakukan usaha menggerak dan menawan hati rakyat, dalam masa yang sama mendokong penuh program yang disarankan diperingkat PAS Pusat iaitu program "PAS Ganti Umno", malah PAS Perak akan jayakannya di peringkat negeri.

Menurut beliau, kejayaan Himpunan PAS Ganti Umno di Pantai Timur tanah air menyebabkan pemimpin Umno akur melihat kekuatan rakyat yang begitu ramai berhimpun untuk menyatakan aspirasi mereka menyokong perjuangan PAS.

"Ijtimak PAS Ganti Umno adalah manifestasi perjuangan yang sekian lama dilaungkan oleh PAS dalam usaha menggantikan Umno dalam penguasaan politik negara, ia juga merupakan matlamat utama parti mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil mengikut lunas-lunas Islam," tegasnya.

Rakyat pasti akan lebih terbela masa depannya, manakala negara akan lebih stabil dalam semua aspek pembangunan sekiranya PAS berpeluang menggantikan Umno yang sudah lama pincang dengan amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, menzalimi hak rakyat, budaya fitnah dan bermacam bentuk penyelewengan lagi, katanya.

Bekas isteri Datuk K sah jadi isteri Rayyan

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Bekas isteri usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K, Tengku Datin Zawyah Tengku Izham selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan, Datuk Rayyan Joseph King hari ini.

Dinikahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dengan mas kahwin RM501 di Hotel Royale Chulan di sini, Rayyan yang juga bapa kepada dua anak perempuan itu bergelar suami kepada Zawyah tepat pukul 11.06 pagi ini.

Laporan Utusan berkata, pada majlis yang sama, pasangan mempelai bertukar-tukar dulang hantaran iaitu tujuh dulang daripada Rayyan termasuk wang hantaran RM38,888.88 manakala Zawyah membalas dengan sembilan dulang antaranya sirih junjung, wangian, al-Quran dan sejadah, manisan dan jam tangan.

Rayyan yang memeluk Islam pada pertengahan Februari lalu berkenalan dengan Zawyah melalui seorang kenalan hampir dua tahun lalu.


Salih Yaacob kahwin isteri ke-4 selepas Aidilfitri

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Pelakon dan pelawak terkenal Salih Yaacob bakal melangsungkan perkahwinan buat kali keempat dengan seorang gadis yang hanya mahu kenali sebagai Emi, 24 tahun.

Menurut Harian Metro, gadis manis dari Johor itu bakal disunting Salih, 50, sebagai suri hidupnya, sekali gus melengkapkan kuota poligami penyampai radio Sinar FM yang sudah diamalkan sejak puluhan tahun lalu.

Majlis perkahwinan pasangan berkenaan dijangka berlangsung selepas Aidilfitri ini berikutan kesibukan Salih menguruskan kerjayanya ketika ini selain mahu menyelesaikan beberapa urusan mahkamah berkaitan urusan kebenaran berpoligami.

Dalam poligami aman dengan tiga isteri, Salih telah dikurniakan 11 zuriat.

Menurut Emi, dia tertarik dengan hidung Salih selain memenuhi kriteria lelaki pilihannya.

“Abang (Salih) comel, saya paling suka hidung dia yang mancung kerana itu juga kriteria lelaki idaman saya,” katanya.

Menurut Emi, walaupun hidung Salih menjadi antara tarikan padanya, namun dia tidak menetapkan kelebihan fizikal sebagai teras utama memilih suami sebaliknya keikhlasan dan sifat dalaman seseorang lelaki yang sentiasa diberi keutamaan dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Rupa paras perkara kedua, bagi saya yang lebih penting sifat dalaman yang ada pada diri bakal suami dan saya nampak ciri-ciri itu pada abang, malah dia banyak mengajar dan membentuk saya menjadi insan baik dalam mendepani perjalanan hidup.

“Saya sukakan dia yang menitik berat ajaran agama, cara dia membimbing 11 anak dan tiga isteri, sebab saya terfikir macam mana dia boleh mengurus keluarga besar dengan masing-masing hidup aman damai . . . dia ceritakan semuanya dan dari situ saya tertarik.

“Faktor itu yang buat saya mahu tahu lebih mendalam lagi. Saya akui perkara itu membuatkan abang berbeza daripada lelaki lain. Kalau lelaki lain mulut saja manis, tapi kosong, abang tidak begitu, dia ada isu,” katanya.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Emi memberitahu dari awalnya dia tidak berminat untuk mengenali Salih secara rapat memandangkan pertemuan mereka atas dasar antara peminat dengan artis di satu pementasan di Pulau Pangkor, Perak, November lalu.

“Ketika itu saya tidak rasa apa-apa, cuma mahu bergambar dengannya saja apatah lagi semua orang tahu abang sudah berkeluarga dan mengamalkan poligami.

“Bermula dari keinginan untuk tahu bagaimana dia menguruskan isteri-isterinya membuatkan hubungan kami rapat dan saling berbalas SMS dan panggilan telefon. Abang pandai mengambil hati dan layanannya membuatkan saya terpaut,” katanya.

Penuntut sarjana bidang pengangkutan di sebuah institusi pengajian tinggi itu turut mengakui bukan mudah untuk dia menyakinkan keluarganya bagi menerima Salih memandangkan poligami tidak dijadikan amalan dalam keluarga termasuk di kalangan sanak saudara.

Katanya, selepas empat bulan perkenalannya dengan Salih, baru dia memberanikan diri untuk berterus terang di hadapan ahli keluarga dan kakak sulung menjadi orang pertama diberitahunya sebelum kakaknya berjumpa sendiri dengan Salih.

“Sebelum itu saya kerap solat hajat, istiqarah memohon petunjuk dan akhirnya selepas dijelaskan mengapa saya memilih abang, ibu dan ayah menerimanya. Malah ibu sempat berpesan supaya saya menjaga diri sebab tahu perkara ini bukan mudah.

“Apapun saya masih belajar mendalami ilmu terutamanya aspek rumah tangga dan ‘bekalan’ yang diberi abang akan saya pegang dan amalkan serta paling penting menjadikan al-Quran sebagai teras membentuk perjalanan hidup ini.

“Saya sudah bersedia menempuh alam rumah tangga bersama dia dan isteri serta anak-anaknya . . . insya-Allah,” katanya yang kini menjadi pembantu peribadi Salih.

Sementara itu, Salih berkata dia tidka mengambil Emi sebagai isteri secara suka-suka sebaliknya anak bongsu daripada lima beradik itu sudah dititipkan dengan bekalan ilmu agama dan rohani yang membolehkannya menjadi isteri taat dan umat Islam sejati.

“Sebelum menyuntingnya saya sudah asuh dia, bimbing dan sediakan dia dengan bekalan yang diperlukan. Kalau tidak dia tak boleh ‘follow’. Bukan mudah kerana dia muda tapi sebab saya penyampai amanah dan perkahwinan satu ibadat.

“Setiap hari saya akan memperingatkan dia, memberikan nasihat dan panduan tidak mahu tersasar. Alhamdulillah dia seorang yang patuh dan mengenal arah tuju hidup ke jalan Allah. Apapun proses pembelajaran itu tidak pernah habis dan ia masih berterusan,” katanya.


No 2 PAS: Ulama penentu kemenangan, kata penganalisis

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Walaupun ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu mendahului senarai pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu, namun ia bukan petanda pemimpin itu boleh “merampas” kedudukan tersebut.

Ini kerana jelas beberapa penganalisis politik, faktor ulama dan golongan profesional adalah penentu kepada kemenangan mana-mana pemimpin PAS yang bertanding bagi jawatan dalam parti Islam itu.

Malahan mereka juga tidak menolak kemungkinan penyandang Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa akan terus mempertahankan jawatan itu pada pemilihan Jun ini.

Setakat hujung minggu lalu The Malaysian Insider difahamkan Mohamad yang turut dikenali sebagai “Mat Sabu” sudah memperoleh 70 pencalonan manakala Nasharudin hampir 40 pencalonan daripada lebih 130 kawasan sudah bermesyuarat.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara dan hampir 80 peratus kawasan atau bahagian sudah pun mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan masing-masing.

Ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa pun.

Menurut pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, jumlah pencalonan yang diterima Mohamad tidak boleh dijadikan ukuran bekas naib presiden PAS itu boleh merampas jawatan itu daripada Nasharudin.

Ini kerana jelas beliau, selama ini jawatan presiden dan timbalan presiden PAS dipegang golongan ulama dan agar sukar golongan profesional untuk memecah tradisi itu.

Justeru kata Sivamurugan, faktor itu harus diambil perhatian di samping perwakilan juga tidak harus mengetepikan sumbangan golongan profesional.

“Pencalonan tidak boleh menggambarkan kemenangan kerana ia akan bergantung kepada kompromi di saat-saat akhir dan dalam PAS lazimnya golongan ulama mampu menandingi kumpulan profesional.

“Saya setuju penentuan yang sama masih berterusan kepada sebilangan besar masih berpihak kepada kumpulan ulama berbanding golongan profesional.

“Tetapi ini tidak bermakna PAS harus meminggirkan golongan profesional kerana sumbangan golongan profesional semakin berkembang terutama dalam peningkatan ahli dari kelompok ini dan jika ruang berjawatan dan bersuara tidak diberikan, ia boleh memberi kesan kepada PAS dalam jangka panjang,” katanya.

Selain itu tambah Sivamurugan, sudah tentu Hadi memerlukan seorang timbalan yang berkelayakan serta membantu beliau dalam melakukan perubahan dalam parti.

“Saya percaya presiden mahu seseorang yang boleh bekerja dengan beliau malahan strategi PAS juga mahukan seorang pemimpin yang boleh bergandingan dengan presiden.

“Ini bermakna, walaupun pencalonan Nasharudin masih kurang, peluang beliau masih ada,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian dan prestasi kedua-dua pemimpin PAS itu juga akan menjadi penentu siapa yang layak untuk memegang jawatan itu.

“Saya percaya sumbangan dan percapaian akan turut menjadi percaturan tetapi lebih daripada itu, siapakah yang mampu bergandingan dengan presiden akan menjadi faktor dominan kerana sudah pasti PAS tidak mahu melihat wujudnya kepuakan yang ketara pasca-pemilihan nanti yang boleh memberi kesan kepada struktur kepimpinan PAS,” katanya.

Pandangan Sivamurugan itu dikongsi bersama Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat yang mengatakan ciri-ciri ulama dan profesional ada pada Nasharudin yang mana ia boleh menyumbang kepada perubahan PAS.

“Dari segi pencalonan saya tidak lihat ia mencerminkan kemenangan Mohamad Sabu kerana pencalonan hanya untuk lihat siapa yang layak bertanding.

“Dan, kalau kita lihat ciri-ciri yang ada pada Nasharudin, beliau masih mempunyai peluang kerana ciri-ciri itu memenuhi semangat yang diperlukan dalam kepimpinan parti,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Mohamad merupakan pemimpin lama dalam PAS, namun dari aspek kepimpinan dan latar belakang pendidikan Nasharudin mengatasi bekas ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

“Saya tidak kata Mohamad Sabu ini bukan ulama, beliau ada ciri-ciri itu tapi ciri-ciri yang ada pada Nasharudin lebih banyak, selain berlatar belakang agama, pendidikan yang tinggi, masih muda dan Nasharudin mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang diperlukan dalam parti.

“Selain itu, kalau kita lihat asas perjuangan PAS selama ini adalah Islam dan ulama menerajui PAS, kalau perwakilan mahu melakukan perubahan itu saya tidak pasti tapi yang saya pasti ulama adalah pilihan utama manakala profesional hanya cita rasa baru dalam PAS,” katanya.

Pada pemilihan kali ini selain Mohamad dan Nasharudin, empat lagi pemimpin utama PAS turut dicalonkan bagi jawatan itu.

Ketiga-tiga pemimpin itu adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, Menteri Besar Kedah dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima pencalonan), seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan satu pencalonan.

Bagaimanapun hanya Mohamad dan Nasharudin sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

Bagi Prof Abdul Aziz Bari, Mohamad berpeluang untuk merampas jawatan timbalan presiden ekoran kegagalan Nasharudin melakukan perubahan dalam parti.

Bagaimanapun penganalisis politik itu tidak menolak banyak faktor lain yang boleh menentukan siapa yang layak untuk memegang jawatan tersebut yang mana ia bakal menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Mohamad dan Nasharudin.

Selain itu, jelas Aziz, penentu bagi kemenangan kedua-dua calon itu juga bergantung kepada fakor ulama atau golongan profesional yang bakal dipilih perwakilan pada pemilihan parti Jun ini.

Menurut beliau, kelemahan dan kegagalan Nasharudin sepanjang menyandang jawatan itu kemungkinan akan dinilai dan diambil kira oleh perwakilan.

“Ya, kemungkinan itu ada, lagipun Mohamad Sabu masih belum mendapat pencalonan dari Terengganu yang dikira kawasan Nasharudin . . . ertinya pencalonan itu menggambarkan mood dalam parti.

“Faktor ini memang penting tetapi kita belum tahu sama ada kali ini penentu, dari segi prestasi Mohamad lebih ke depan dan begitu juga jemputan ceramah Mohamad Sabu ke depan.

“Selama ini Nasharudin kelihatan gagal membantu Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), mungkin perwakilan akan melihat itu yakni presiden sudah ulama apa perlunya timbalan juga ulama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Aziz, prestasi Nasharudin yang tidak menyerlah juga akan memberikan kesan kepada Ahli Parlimen Bachok untuk mempertahankan jawatan itu.

“Apatah lagi apabila Nasharudin tidak begitu menyerlah, khususnya di Parlimen dan beliau hanya kelihatan apabila pemilihan hendak berlangsung.

“Sebelum ini Nasharudin tenggelam, ini menandakan prestasi yang kurang baik. Selain itu kita juga kena ambil kira prestasi sebagai ahli Parlimen yang sama teruk dengan ketika beliau jadi ahli Parlimen Yan dulu,” katanya.

Ditanya peluang Mohamad yang bertanding buat kali kedua selepas tewas pada pemilihan dua tahun lalu, Aziz yang juga pensyarah UIA berkata, “peluang itu ada kerana tiada faktor lain yang boleh membantu kemenangan Nasharudin.”

“Melihat kepada jumlah pencalonan saya fikir itu satu kemungkinan (kemenangan Mohamad kerana dalam dua pertandingan (pemilihan) sebelum ini ada faktor lain yang memenangkan Nasharudin.

“Kali ini faktor itu tiada lagi yang mana pada kali pertama Nasharudin disokong oleh golongan profesional yang mahukan Allahyarham Hassan Shukri digantikan dan pada pertandingan selepas itu pula Nasharudin menang kerana pecah undi antara Mohamad Sabu dengan Datuk Husam Musa (ahli jawatankuasa kerja PAS pusat).

“Dalam pertandingan kali ini Mohamad Sabu lebih bersedia dari awal dan momentum menyebelahi beliau, selain itu Mohamad Sabu adalah seorang yang terbukti veteran dalam politik dan ini saya fikir memberi kelebihan kepada beliau dan apa yang penting sekarang beliau perlu mengekalkan momentum supaya terus bersamanya,” katanya.

Pada pemilihan 2009, kerusi timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad, Nasharudin dan Husam yang mana keputusannya memihak kepada Nasharudin yang menghimpunkan 480 undi.

Husam memperoleh 281 undi sementara Mohamad hanya mendapat 261 undi.

Tiada ulasan: