Selasa, 24 Mei 2011

MEMANGLAH KENA MUNAJAT PADA ALLAH...ALLAH YANG ESA BUKAN DUA ATAU TIGA....WAJIB MOHON PADA ALLAH...BUKAN MOHON SELAIN DARI ALLAH..BEGITU JUGA HUKUM

Adun Limbongan dijangka keluar hospital Khamis ini
Harakahdaily

KOTA BHARU, 24 Mei: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menziarahi Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang sehingga hari ini masih dirawat sejak dimasukkan pada 19 Mei lalu akibat pendarahan usus.

Ini adalah kali yang kedua Tuan Guru menziarahi Zainuddin dalam tempoh beliau mendapat rawatan di situ, lapor portal MTD Limbongan.

Zainuddin yang telah dipindahkan dari Wad CCU ke Wad 10 dua hari lepas kini sedang menjalani rawatan susulan bagi memastikan tahap kesihatan betul-betul pulih sebelum kembali bertugas.

Menurut kata Dr Nur Atiqah, pegawai perubatan yang merawat beliau, Zainuddin dijangkakan dapat pulang ke rumah pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Tuan Guru Menteri Besar berpesan seluruh warga khasnya di Limbongan agar tidak perlu risau lagi tentang ketiadaan Adun buat sementara waktu dan berharap rakyat sekalian akan terus berdoa memohon kepada Allah SWT agar Zainuddin akan kembali bertugas seperti biasa.

Zainuddin ketika ditanya, menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan agama yang syumul dan insya Allah akan kembali bertugas untuk terus memikul amanah rakyat seawal yang boleh.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang prihatin dengan masalah kesihatan yang dialaminya dan tidak lupa juga kepada semua yang datang menziarahinya di situ.


Untuk apa Felda pinjam RM6b dari KWSP
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta kerajaan menjelaskan tujuan Felda membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, sekiranya laporan yang diterima pihaknya dua minggu lalu itu tidak benar, Timbalan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mesti membuat penafian dan sekiranya tidak benar, Anak menuntut penjelasan segera mengenai penggunaan wang tersebut.

"Laporan yang anak terima dua minggu lalu melalui minit mesyuarat 6 April lalu menyebut Felda telah meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 bilion. Untuk apa wang RM6 bilion ini dipinjam?

"Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi sangat buruk kepada pengurusan Felda dan keseluruhannya," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa Felda sedang mengalami krisis kewangan yang serius sehingga terpaksa membuat pinjaman tersebut dalam pada Felda diwarwarkan sebagai agensi yang mempunyai keuntungan yang tinggi selepas Petronas.

Laporan Felda meminjam daripada KWSP ini katanya timbul ketika isu kemerosotan rezab Felda belum lagi reda.

"Ketika menjawab soalan tambahan di Parlimen seperti didedahkan media pada17 dan 18 jun 2010, Datuk Ahmad Maslan mengakui bahawa kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

"Kemerosotan RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun sesuatu yang sangat mengejutkan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Ahmad dalam jawapannya itu memberi alasan bahawa kemerosotan itu disebabkan sejumlah wang digunakan untuk tujuan tertentu.

RM2 bilion katanya digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta untuk pinjaman rumah, RM253 juta untuk Tabung Kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk bangunan baru Felda.

Mazlan berkata, meskipun laporan polis telah dibuat agar siasatan dilakukan mengenai penggunaan wang tersebut, dan keraguan munasabah terhadap ketelusan pengurusan kewangan, sehingga hari ini tidak ada sebarang maklumat daripada pihak polis.

Pada sidang media sama, Mazlan turut mempersoal status anak peneroka yang belajar di Malaysia Airlines Engineering Training Centre (METC).

"Walaupun peluang belajar kejuruteraan kapal terbang suatu langkah yang dialu-alukan, tetapi ia mesti telus. Felda mesti menjawab nbeberapa persoalan.

"Apakah status terkini program tersebut, berapa kos sebenar untuk seorang pelajar METC?

"Apakah jenis lesen yang akan mereka dapat, Europen Aviation Safety Agency (EASA) atau British Civil aviation Regulation (BCAR)?

"Adakah benar dakwaan kos yang dibayar oleh Felda terlalu mahal? Setakat manalkah pelajar METC ini mendapat pentauliahan yang melayakkan mereka untuk pergi lebih jauh?" soalnya.

Tambahnya, Anak menerima laporan bahawa sebanyak RM260 ribu diperuntukkan untuk seorang pelajar.

Mazlan tolak naib presiden, tanding AJK
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Mazlan Aliman yang menerima pencalonan bagi dua jawatan iaitu naib presiden dan ahli jawatankuasa hari ini mengesahkan hanya menerima satu daripadanya.

Mazlan menerima untuk bertanding jawatankuasa PAS Pusat, iaitu jawatan yang sedang disandangnya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beliau ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap Lajnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang dipengerusikannya.

"Setelah menimbang beberapa perkara, saya hanya bersedia untuk bertanding bagi jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat sahaja dan menolak untuk jawatan naib presiden.

"Saya takut hilang fokus terhadap lajnah tanah yang saya pegang sekarang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Dr Mujahid Yusof juga mengumumkan akan bertanding AJK sahaja walaupun mendapat pencalonan untuk timbalan dan naib presiden.


Pakatan jangan bubar Dun jika PRU tahun ini
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei: DAP akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan Dun masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Roketkini.com melaporkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP di sini malam tadi.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) pucuk pimpinan parti lebih cenderung untuk tidak membubarkan Dun bagi membolehkan pemusatan tenaga dan jentera dalam menghadapi Barisan Nasional.

“Ia juga bertujuan memastikan usaha Pakatan Rakyat untuk memenangi semula Perak dapat ditumpukan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimana pun, beliau menjelaskan, keputusan sama ada untuk sama-sama membubarkan Dun atau tidak, sekiranya PRU diadakan tahun ini, akan dibuat bersama oleh pucuk pimpinan Pakatan tidak lama lagi.

Pakatan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perak dimenangi secara sah oleh Pakatan dalam PRU 2008 tetapi dirampas secara haram oleh Umno dan BN setahun kemudian.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, kajian terbaru yang dibuat oleh Pakatan negeri itu menunjukkan PAS, DAP dan PKR mampu memenangi 33 daripada 59 kerusi Dun Perak.

“Dalam PRU 2008, kita menang 31 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan. Selepas BN rampas Dun Perak, kajian yang kita buat menunjukkan jika pilihan raya negeri diadakan pada ketika itu, kita mampu menang sehingga 40 kerusi, iaitu menang dua pertiga majoriti,” katanya.

Beliau menambah, keadaan pada masa itu menggambarkan kemarahan para pengundi Perak berikutan taktik kotor Umno dan BN.

Beliau menjelaskan, walau pun kajian terbaru menunjukkan kemungkinan pengutan kerusi berkurangan, ia adalah lebih baik daripada keputusan yang Pakatan catatkan pada 8 Mac 2008 dan terus menjamin kemenangan.

Sebelum itu, Guan Eng menyatakan pucuk pimpinan DAP mengulangi pendirian bahawa parti tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, kini dan sekiranya Pakatan kembali menguasai negeri itu.


Harakah lancar tabung bantu mangsa tanah runtuh

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Tabung Kemanusiaan Harakah akan menyalurkan semua kutipan yang diterima mereka bermula hari ini sehingga 30 Jun akan datang, kepada penghuni serta mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar pada sidang media bersama Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat di Pejabat Agung PAS hari ini (gambar).

"Kutipan itu kita akan khususkan untuk membantu keluarga dan pembangunan sekolah dan madrasah yang terlibat," kata Kamarudin.

Sehubungan itu, bermula hari ini, tabung tersebut dibuka kepada semua pihak bersimpati sama ada syarikat, pertubuhan atau individu persorangan untuk memberi sumbangan.

Sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Bhd 1406 9010 0212 98 atas nama Tabung Kemanusiaan Harakah.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden rumah anak-anak yatim itu sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah kahas bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu sememangnya dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

BN usaha daftar warga Thai mengundi di Tumpat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mei: PAS mengesyaki wujud usaha BN memberikan kad pengenalan segera kepada warga asing di Tumpat, Kelantan bagi memberi undi kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) hari ini mendedahkan maklumat mengenai program yang dinamakan "program pelaksanaan operasi mydaftar" yang akan berlangsung Sabtu, 28 Mei ini.

Menurut beliau, program tersebut diumumkan imam masjid di salah satu mukim di daerah tersebut Jumaat lalu, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu (1), Tumpat.

Menurut maklumat yang diterima kata Kamarudin, program tersebut bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk rakyat negeri Kelantan yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta bagi yang layak memohon perkhidmatan yang disediakan.

Ianya merangkumi lima perkara iaitu pendaftaran, kelahiran, kematian serta anak angkat, pendaftaran urusan kad pengenalan, pendaftaran urusan kewarganegaraan, khidmat nasihat semua urusan JPN, dan khidmat nasihat oleh Jabatan Imegrisen Malaysia.

"Program ini sealiran dengan pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing yang sedang berangsung seperti yang dilaporkan contohnya di Hulu Selangor," kata beliau yang juga ahli Parlimen Tumpat pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, PKR Selangor mendedahkan usaha Umno Hulu Selangor menghantar permohonan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta kelulusan menukar taraf pemastautin tetap sekitar 2,000 rakyat asing bagi membantu kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Kamarudin tidak menolak kemungkinan mereka yang cuba didaftarkan sebagai warganegara itu ialah rakyat Thailand kerana kawasannya yang bersempadan dengan negara itu.

“Kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersempadan dengan Thailand. Maka ramai rakyat Thailand adalah beragama Islam dan selalu keluar masuk ke negeri ini (Kelantan).

"Ia dilakukan seolah-olah secara rasmi untuk mendaftarkan bukan rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, PAS mendesak program ini dihentikan kerana ia membantu kehadiran pengundi hantu seperti yang berlaku sebelum ini.

Kamarudin berkata, PAS akan memantau program itu bagi memastikan tiada pemberian kad pengenalan segera seperti yang diwarwarkan itu.

"Saya akan berada di sana Khamis sehingga Sabtu itu dan PAS akan pantaulah program berkenaan.Kita tidak mahu berlaku pemberian kewarganegaraan ini berlaku. Isu pemberian kada pengenalan di Sabah dulu pun masih diperkatakan," katanya.

Islamic Foundation, UK menang anugerah IDB

Harakahdaily

JEDDAH, 24 Mei: Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IDB) Rabu lalu mengisytiharkan Islamic Foundation, UK sebagai pemenang hadiah berprestij IDB dalam Ekonomi Islam bagi tahun 2011.

Ia satu pengiktirafan kepada sumbangan pertubuhan tersebut dalam mempromosikan ekonomi Islam. Anugerah itu akan disampaikan pada Mesyuarat Agung Tahunan IDB yang ke 36, yang bakal diadakan pada Jun 29-30.

Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam, Ahmah Muhammad Ali dalam satu kenyataannya telah mengucapkah tahniah kepada pemenang atas sumbangan dan prestasi cemerlang mereka.

Beliau turut memuji pegawai yang bertanggung jawab atas sumbangan berharga untuk ekonomi Islam dan berharap mereka dapat mengecapi kejayaan yang lebih besar dalam segala usaha mereka.

Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada misi diplomatik British di Arab Saudi untuk pencapaian institusi Islam British ini dalam perkhidmatan ekonomi Islam.

Jawatankuasa Pemilihan Hadiah IDB diketuai Professor Hatem Karanshawy, dekan Fakulti Pengajian Islam di Yayasan Qatar dan barisan ulama terkemuka dan pakar dari luar dan dalam bank telah bertemu pada May 15 yang lalu dan sebulat suara untuk menganugerahkan hadiah IDB dalam Ekonomi Islam untuk tahun 1432H kepada Islamic Foundation, UK dengan mengeluarkan kenyataan berikut:

Jawatankuasa Pemilihan Anugerah IDB sebulat suara membuat keputusan untuk menganugerahkan Hadiah IDB dalam Ekonomi Islam kepada Islamic Foundation, UK.

1. Memandang berat usaha perintis dalam memberikan perkhidmatan penting untuk ekonomi Islam;

2. Mengiktiraf dan menghargai sumbangannya terhadap pembentukan Ekonomi Islam sebagai bidang bebas penyelidikan melalui kajian yang inovatif, pengajaran, latihan dan penerbitan;

3. Menyedari kesan signifikan penerbitan dalam ekonomi Islam dan kekerapan petikan yang diambil daripada penerbitan tersebut;

4. Dan berpandangan bahawa yayasan tersebut mempunyai minat berterusan, sokongan intelektual dan komitmen terus untuk menpromosi ekonomi Islam.

IDB telah menganjurkan anugerah ini sejak tahun 1408H (1988) dengan tujuan untuk mengiktiraf, menghargai jasa dan menggalakkan aktiviti perkhidmatan yang mempunyai merit yang cemerlang dalam usaha mempromosikan ekonomi Islam, perbankan dan kewangan.

Sepanjang 23 tahun terakhir, 32 penyelidik, ahli pembankan, ahli ekonomi dan institusi telah dianugerahkan Hadiah IDB setiap tahun yang silih bergantian antara ekonomi Islam dan perbankan dan kewangan Islam.

Ditubuhkan pada tahun 1973 di Leicester, United Kingdom, Islamic Foundation adalah unik sebagai pusat perintis untuk kajian, penerbitan, pendidikan, latihan dan dakwah.

Sejak awal, Islamic Foundation telah melibatkan diri dalam mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang Islam di Barat, membina jambatan melalui pembangunan hubungan kuat antara masyarakat pelbagai kaum dengan mengadakan dialog yang bermakna, antar-budaya, dan antara-iman dan secara penglibatan mendalam.

Pemimpin Umno hanya berpandu ‘kitab’ Utusan
M Faqih

KOTA BHARU, 24 Mei: Kitab rujukan bagi peimpin Umno ialah Utusan Malaysia apabila mempercayai bulat-bulat laporan berasas persepsi buruk akhbar terbabit mengenai Perhimpunan 10,000 anak muda di Padang Perdana Jumaat lalu.

Akhbar itu mengenakan tajuk ‘PAS peralatkan pelajar agama’ dan keesokan harinya diulas pemimpin Umno dengan paparan tajuk ’Nik Aziz bertopeng imej warak’ dan ’PAS Kelantan terdesak eksploitasi pelajar agama’.

Wartawan akhbar terbabit sebenarnya gagal membezakan di antara pelajar dan pemuda PAS yang sendat memenuhi padang di mana ramai yang berjubah serta memakai t-shirt berwarna hijau.

Sedangkan jumlah pelajar sekolah agama yang hadir hanya sekitar 2,000 orang. Jumlah keseluruhan kehadiran kira-kira 15,000 orang.

Hanya berpandu laporan akhbar Umno yang melapor secara tempang, tiba-tiba Pemuda Umno Kelantan dan beberapa pihak yang berselindung di sebalik nama NGO melantah.

Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, dakwaan Utusan Malaysia dan pemimpin Umno kononnya PAS memperalatkan pelajar tidak berasas.

”Pelajar sekolah termasuk dari pusat pengajian tahfiz yang dijemput hanya sekitar 2,000 orang dan selebihnya kira-kira 13,000 lagi pemuda PAS yang datang dari seluruh Kelantan.

”Pelajar terbabit dijemput khas kerajaan negeri untuk menyertai acara khatam al Quran dan bermunajat bersama pemuda-pemuda PAS.

”Mengapa Umno cemburu sangat. Ini tidak lain lagi kerana perhimpunan tersebut jauh mengatasi kehadiran pada gelombang biru dilancarkan Umno Kelantan sejak tahun lepas,” katanya di sini.

Pelajar dijemput khas kerajaan negeri bagi mengikuti program khatam al Quran dan munajat yang bermula selepas Maghrib sehingga Isya.

Sebaliknya akhbar Umno terbabit pada laporannya Ahad lepas mendakwa PAS memperalatkan pelajar sekolah agama apabila rata-rata mereka yang hadir berjubah.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, tidak timbul pelajar sekolah diperalatkan kerana mereka datang untuk mengkhatamkan al-Quran.

Menurutnya program khatam dan munajat berakhir dengan solat Isyak dan ada sebahagian pelajar pulang selepas itu.

”Program ceramah umum yang berlangsung selepas solat Isyak tidak ada lagi kaitan dengan Munajat Anak Muda,” ujarnya.

Kata beliau Pemuda Umno Kelantan melatah kerana mahu menutup kelemahan mereka yang gagal menarik ramai demostrator hadir di hadapan Kota Darulnaim 16 Mei lalu.

(ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran terdekat).


BN Perak tiada kuasa, Orang Asal tidak terbela
Harakahdaily

IPOH, 24 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat kerajaan negeri dalam keadaan tidak stabil adalah berpunca kerana tidak mengikut lunas-lunas sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan.

Ketuanya, Zawawi hassan berkata, ini menjadi punca utama kira-kira 1,000 Orang Asal yang tinggal di tujuh buah kampung di Pos Perwor masih tidak mendapat kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan tenaga elektrik walaupun sudah 20 tahun tinggal di kampung itu.

Katanya, DPPN Pk juga merasa sangsi malah kesal terhadap masalah yang bertimpa-timpa datang kepada rakyat tanpa jalan penyelesaian yang cekap oleh pihak kerajaan lantas masalah mereka terpaksa ditanggung sendiri.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu secara legal mengikut majoritinya, Barisan Nasional (BN) di Negeri Perak bukanlah sebagai pemegang tampuk pemerintahan yang sah tetapi sebenarnya kuasa rakyat adalah bukti kedaulatan sesebuah pemerintahan.

“Sekarang sistem demokrasi telah dicabul dengan tidak bermaruah oleh BN dan rakyat yang terpaksa menanggung penderitaan,” ujarnya.

Menurutnya, Rukun negara hanya tinggal rukun semata-mata dan tindakan Umno BN sebagai pemerintah hanya mementingkan kuasa dan kroni mereka sahaja dan bukan berteraskan kebajikan yang sebenarnya.

Dr Mariah, Dr Asiah tolak calon Ketua Muslimat

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Dua calon, Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Asiah Ali, menolak pencalonan jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) pada Muktamar PAS, Jun ini.

Dr Mariah telah memutuskan hanya mahu bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP dan AJK PAS Pusat, manakala Dr Asiah pula hanya mahu bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa DMPP.

Dengan ini, hanya tinggal penyandangnya iaitu Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Siti Zailah Yusof untuk jawatan itu.

Menurut Dr Mariah, keputusan tersebut dibuat setelah berbincang dengan rakan-rakannya termasuk bersama rakan-rakan dari kalangan kepimpinan DMPP.

Katanya, kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP dan menolak pencalonan Ketua dan Naib Ketua bersandarkan kepada beberapa faktor.

"Di antara pencalonan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP, jumlah pencalonan bagi Timbalan Ketua DMPP yang paling tinggi bagi saya.

"Dengan itu, ia memberikan gambaran kepada saya bahawa dari ketiga-tiga jawatan itu, para perwakilan lebih berhasrat untuk saya bertanding jawatan Timbalan Ketua berbanding jawatan lain dalam DMPP," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kota Raja ketika dihubungi, hari ini.

Di samping itu, jelasnya, hasil perbincangan yang diadakan dengan rakan-rakan termasuk dalam usrah, mereka juga lebih suka jika beliau hanya bertanding jawatan Timbalan Ketua DMPP sahaja.

Manakala Dr Asiah ketika dihubungi menjelaskan, keputusannya untuk hanya bertanding jawatan AJK DMPP dibuat setelah berbincang dengan suami dan rakan-rakannya.

"Borang untuk bertanding AJK DMPP dah saya serahkan hari ini. Jadi dengan itu secara rasminya saya menarik diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Ilham menjelaskan, keputusan untuk tidak bertanding jawatan tertinggi DMPP dibuat bagi membolehkan beliau memberikan sepenuh perhatian terhadap soal pendidikan dalam PAS, khususnya untuk menghidupkan Ilham.

Ilham adalah institut latihan yang diwujudkan oleh PAS untuk melatih ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang khasnya berkaitan dengan agama Islam.

"Dalam Ilham, saya memang dah mempunyai tanggungjawab besar. Sekiranya saya memegang jawatan tertinggi dalam DMPP, saya bimbang akan terabai tanggungjawab saya terhadap Ilham.

"Politik bukanlah perkara main-main. Ia adalah amanah. Jika kita rasa kita dah tak layak, tak mampu kerana dah mempunyai tanggungjawab lain yang begitu besar, lebih baik kita tak bertanding, nanti hanya akan dimarah oleh ahli-ahli dan merosakkan parti sahaja," kata bekas pensyarah pendidikan Islam UiTM itu.

Jadi, katanya, bagi jawatan-jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMPP, beliau menyerahkan kepada calon-calon lain yang lebih berkelayakan untuk bertanding bagi kepentingan parti atau perjuangan Islam, walaupun beliau telah disahkan layak bertanding bagi jawatan-jawatan itu.

Sementara itu, seorang lagi calon Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof memberitahu, beliau belum membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak bagi jawatan itu.

Beliau juga belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau sebaliknya bagi jawatan-jawatan lain dalam DMPP yang diterimanya termasuk Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan AJK.

"Segalanya masih dalam proses. Nanti saya akan beritahu kemudian," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang ketika dihubungi.

Calon layak bertanding Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Nuridah Mohd Salleh (Penyandang)
2. Siti Mariah Mahmud, Dr
3. Asiah Ali, Dr
4. Siti Zailah Mohd Yusof.

Timbalan Ketua

1. Asiah Ali, Dr.
2. Mumtaz Mohd Nawi, YB
3. Nuridah Salleh
4. Siti Mariah Mahmud, Dr
5. Siti Zailah Mohd Yusof , YB
6. Wan Hasrina Wan Hassan

Naib Ketua

1. Aiman Athiran Al-Jundi
2. Asiah Ali, Dr.
3. Mastura Mohamad
4. Mumtaz Mohd Nawi, YB
5. Najhatussolehah Ahmad, Dr.
6. Normala Sudirman
7. Nuridah Salleh
8. Rohani Ibrahim, YB
9. Siti Mariah Mahmud, Dr.
10. Siti Zailah Mohd Yusof , YB
11. Wan Hasrina Wan Hassan

AJK

1. Aiman Athirah
2. Amizan Baharuddin
3. Asiah Ali, Dr.
4. Azizah Khatib Mat
5. Azlina Che Haron
6. Bariah Alang Sapri
7. Fatimah Ismail
8. Fatimah Wan Teh
9. Fatimah Zainab Ibrahim, Toh Puan
10. Fazilah Abu Samah
11. Halimah Ali, Dr. YB
12. Hawa Yaakub
13. Kartini Ahmad
14. Khadijah Mahmud
15. Khatijah Jumangat
16. Kintan Man
17. Lo扡o?Ghazali, Dr.
18. Mariam Abdul Rashid
19. Mastura Mohamad
20. Maznah Taha (Melaka)
21. Mumtaz Mohd Nawi
22. Muna Izzah Fadzil Nor
23. Munirah Athira Hassan Adli, Dr.
24. Najihatussolehan Ahmad, Dr
25. Noraini Hussein
26. Norazliza Abd Latif
27. Norhafizah Musa @Ummu Hannan
28. Norhayati Bachok
29. Normala Sudirman
30. Nuridah Salleh
31. Nurul Huda Yusof Rawa
32. Nurwani Ahmat
33. Rahimah Sahit,
34. Rahmah Mohd Isa
35. Raja Azrina
36. Rohani Ibrahim, YB
37. Rohaya Yaacob, Dr.
38. Rosiah Salleh
39. Rosnah Abdullah
40. Rosni Adam, Dr.
41. Safinah Jusoh
42. Sakinah Awang
43. Salbiah Wahab
44. Salmiah Mohd Nor
45. Siti Aisyah Ghazali, YB
46. Siti Mariah Mahmud, Dr.
47. Siti Mariam Othman
48. Siti Zailah Yusof, YB
49. Wahibah Tahir
50. Wan Hasrina Wan Hassan
51. Wan Ubaidah Wan Omar, YB
52. Zahroni A Bakar
53. Zaironi Othman
54. Zaitun Ahmad.


Zunar dapat anugerah antarabangsa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Kartunis, Zulkifli Anuar ul Haq atau Zunar diiktiraf ke peringkat antarabangsa apabila bakal menerima anugerah dari Cartoonists Rights Network International (CRNI) di bawah kategori 'Keberanian dalam kartun editorial'.

Anugerah itu akan disampaikan 7 Julai depan di St. Petersburg Florida, Amerika dan Zunar dalam kenyataannya berkata, "saya akan hadir."

Beliau juga melahirkan syukur dengan anugerah tersebut.

Zunar bermula dengan berkarya di majalah Gila-gila, Berita Harian dan pada tahun 1998 menyertai Harakah sebagai kartunis tamu.

Semasa di Berita Harian, beliau menghasilkan kartun kontroversi ekoran kemalangan yang sentiasa berlaku pada helikopter Nuri.

Zunar (kiri bersama CEO Malaysiakini, Pramesh Chandran) membuat satu lakaran aksi yang berlaku dalam sebuah mahkamah dengan hakim menjatuhkan hukuman "Anda didapati bersalah kerana membunuh...oleh itu anda dijatuhkan hukuman naik helikopter Nuri."

Selepas keluar dari Harakah, Zunar menyertai penerbitan Suara Keadilan yang dimiliki PKR dan berjaya menaikan SK kepada ratusan ribu cetakannya ketika beliau menjadi ketua pengarangnya.

Selepas itu, Zunar menerbitkan banyak buku kartun dan sebahagiannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana 'membahayakan keselamatan negara".

Menurut Dr. Robert Russell, Pengarah Eksekutif CRNI, Zunar dijemput untuk menerima anugerah di sana di samping memberikan ucapan bagi menceritakan perjuangannya dalam memperjuangkan kebebasan bersuara di Malaysia.

Semasa di Washington, pihak CRNI juga akan mengaturkan wawancara dengan Al Jazeera, Voice of America dan lain-lain media.

Semasa di sana, Zunar juga akan bertemu dengan kartunis dari seluruh dunia termasuk dari Amerika, Kanada, Afrika Utara, Asia serta negara Eropah yang lain.

"Tahniah kepada anda dan kini anda menyertai kumpulan kartunis terbaik di seluruh dunia," kata Dr. Robert Russell dalam suratnya kepada Zunar.


Tiada ulasan: