Selasa, 17 Mei 2011

JANGAN ASYIK MENCUNGKIL...MENCIPTA AIB MUSUH...AIB KITA DISOROK SERAPAT2...MACAM SUCI BERSIH...PERANCANGAN ALLAH LAGI CANGGIH..MEREKA TAK LEPAS PUNYA

Demontrasi Umno gagal himpun ramai peserta
Harakahdaily

KOTA BHARU, 17 Mei: Arahan seorang pemimpin wanita Umno Kelantan supaya setiap bahagian menghantar 500 peserta menyertai demontrasi membantah Ladang Rakyat semalam ternyata gagal.

Kelihatan hanya beberapa wanita dan Puteri sahaja yang hadir biar pun arahan mahu setiap bahagian menghantar 500 wanita dengan berpakaian merah.

Ramai berhujah agenda permulaan Pemuda dan sayap lain Umno menggugat kerajaan negeri tersasar jauh apabila tidak sampai 500 peserta menyertai demontrasi di hadapan Kota Darulnaim semalam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, Umno sengaja mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan negeri bagi menafikan manfaat yang diperolehi rakyat miskin melalui dividen bulanan sebanyak RM200.

“Sepatutnya usaha membantu rakyat miskin turut disokong Umno dan bukannya berdemontrasi seperti budak-budak. Ini jelas menggambarkan Pemuda Umno tidak mengikuti perkembangan semasa.

“Tindakan Pemuda itu boleh menguris perasaan lebih 4,500 penerima dividen bulanan Ladang Rakyat kerana cuba menghalang usaha murni kerajaan negeri membantu penduduk,” katanya di sini.

Oleh itu AMK Kelantan menyokong penuh sebarang tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang sengaja menuduh kerajaan PAS merampas tanah rakyat.

Semalam hanya kira-kira 200 pemuda dan wanita Umno berdemontrasi di hadapan Kota Darulnaim bagi membantah Ladang Rakyat kononnya merampas tanah rakyat.

Bagaimanapun media harian seperti sepakat menggambarkan 1,000 hadir pada demontrasi tersebut. Ia dilakukan bagi menyelamatkan maruah Pemuda dan Wanita Umno Kelantan.

Demontrasi tersebut diketuai Ketua Pemuda Umno, Anuar Safian yang turut disertai pemuda-pemuda Umno peringkat bahagian.

Mereka berselindung di sebalik NGO yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak).

Keputusan undian ‘Putar Belit Najib’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Undian terhadap tajuk muka depan Harakah Bil. 1640, wajarkah perkataan "PUTAR BELIT NAJIB" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Pembaca boleh setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sementara itu seramai 469 undian telah dilakukan terhadap edisi sebelum ini, wajarkah perkataan "BATU API PERKAUMAN" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Keputusannya adalah 77.56% atau 356 unidan bersetuju berbanding dengan 21.35% atau 98 pengundi sahaja yang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Hanya 5 undian atau 1.05% pula yang memilih tidak pasti.

Keputusan undian terhadap tajuk ini telah meningkat lebih 100 peratus, berbanding dengan tajuk sebelum ini.

Untuk melihat keputusan terperinci, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php


Najib sokong Bahrain untuk kelabui mata rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menilai kembali pendirian berhubung keputusan menghantar tentera pengaman ke Bahrain yang kini sedang bertindak keras terhadap rakyatnya yang menuntut perubahan ke arah demokrasi dan hak asasi manusia yang lebih dihormati.

Pengerusinya, Raja Ahmad Iskandar al-Hiss (gambar) kesal dengan kenyataan Najib yang menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap kerajaan Bahrain yang kini bersungguh-sungguh mematahkan kebangkitan rakyat negara itu dengan sokongan negara-negara Arab Teluk dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk negara jiran, Qatar.

Sebelum ini, katanya Najib turut mengeluarkan kenyataan mengaitkan pembangkang dan sekumpulan rakyat Bahrain dengan kumpulan teroris.

“Dunia kini didedahkan dengan maklumat bahawa pelbagai lapisan rakyat termasuk komuniti perubatan dan aktivis pembangkang ditahan dan diseksa oleh aparatus keselamatan kerajaan negara itu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sokongan tidak berbelah bagi tanpa syarat yang ditunjukkan oleh Najib juga menimbulkan persoalan adakah kepentingan perniagaan di negara-negara GCC mendasari sikap kerajaan pada masa ini, sehingga mengabaikan tuntutan-tuntutan sah rakyat negara di kawasan tersebut.

Katanya, umum mengetahui syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam pelbagai projek berbilion ringgit di negara Arab Teluk.

Najib juga, ujarnya ketika lawatan ke Qatar menggesa syarikat Malaysia merebut peluang kontrak infrastruktur bernilai RM434 bilion yang ditawarkan di Qatar.

Sehubungan itu, LA DPPP mendesak kerajaan Malaysia tidak menjadikan kepentingan-kepentingan tersebut sebagai lebih penting berbanding tuntutan demokrasi rakyat di Bahrain dan negara-negara di wilayah itu semata-mata untuk mengelabui rakyat Malaysia untuk negara mendapat habuan setelah ekonomi negara jatuh dengan teruk akibat kegagalan Umno dan Barisan Nasional mengurus negara.


Guru diseru berjuang bersama Pakatan Rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Muslimat PAS Pusat menyeru guru-guru yang menghadapi tekanan pemerintah supaya meneruskan perjuangan bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Penerangannya, Salbiah Abd Wahab berkata, pihaknya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru 2011.

“Kepada semua yang bergelar pendidik yang terdiri daripada guru-guru di sektor awam dan swasta di semua peringkat persekolahan, Pasti, tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi tinggi, kakitangan pejabat-pejabat pendidikan dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta semua yang terlibat dengan profession perguruan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, golongan pendidik adalah merupakan golongan perkhidmatan awam yang terbesar di negara ini yang dianggarkan seramai 520,000 orang termasuk pegawai pendidikan dan pentadbir.

Tambahnya, guru-guru berada di seluruh pelosok negara dan menjadi nadi yang menghidupkan ekonomi setempat dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, mereka tekad menjalankan tugas rasmi dan tidak rasmi profesyen perguruan tanpa mengira dan mengenal penat-lelah.

“Mereka jugalah yang diamanahkan untuk mempersiapkan dan menyediakan generasi pemimpin pelapis, yang berkebolehan dan berkeupayaan menyumbang tenaga dan bakti untuk kesejahteraan ummah dan ekonomi negara di masa hadapan negara,” ujarnya.

Oleh itu, tambahnya guru-guru mesti bersifat cekal dan anjal serta istiqamah dan bertaqwa kerana proses pendidikan sambung-menyambung dalam dunia yang semakin mencabar.

“Didiklah anak-bangsa tanpa mengira ras keturunan, insya Allah pengorbanan dan khidmat bakti anda akan membuahkan hasil apabila Pakatan Rakyat mengambil teraju kepimpinan negara di dalam PRU13 akan datang,” katanya.

Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat komited akan menawarkan kepada guru-guru elaun khas perguruan sebanyak RM500 seorang untuk mengangkat martabat perguruan dan seterusnya menarik lebih ramai cerdik-pandai menyertai profesyen perguruan.

Katanya, dengan tema Hari Guru 2011 tahun ini, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’, Dewan Muslimat berharap ia bukan transformasi retorik pemerintah BN Umno.

“PAS dan Pakatan Rakyat akan mempastikan ia benar-benar transformasi pendidikan ke arah kesejahteraan, keunggulan dan kecemerlangan ummah dan negara dunia dan akhirat,” ujarnya.


RON95: Rakyat akan ditipu lagi
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Rakyat terus ditipu lagi dengan permainan licik kerajaan Umno BN, apabila harga petrol RON95 akan dinaikkan setelah harganya kini begitu membebankan.

Pada hal tiga lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat tidak perlu risaau kerana harga RON95 tidak akan dinaikkan.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, cakap Datuk Ismail Sabri itu bagaimanapun tidak boleh dipakai kerana ia hanyalah untuk mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, kenaikan petrol RON95 tidak sepatutnya berlaku kerana jika RON95 dinaikkan ia pasti akan melibatkan bebanan seluruh rakyat.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan RON97 yang hanya digunakan oleh golongan tertentu sahaja, tetapi jika RON95 dinaikkan ia pasti akan turut melibatkan kenaikan harga barangan lain yang pasti akan lebih menghimpitkan lagi kehidupan rakyat pelbagai peringkat.

"Dalam hal ini, saya cukup hairan apabila tiga hari lalu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri yang mengatakan harga RON95 tak akan dinaikkan, hari ini dia sendiri pula yang minta rakyat bersedia kerana RON95 akan dinaikkan lagi atas alasan kenaikan harga minyak dunia.

"Jadi ini jelas menunjukkan cakap pemimpin Umno yang tak boleh dipakai, cakap orang yang tak ada penelitian, tak tegas dan ternyata hanya untuk mengelirukan rakyat sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini yang mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat bersedia dengan kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95.

Menurut Ismail, kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

"Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya ketika mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini.

Ismail Sabri berkata, kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

"Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu," katanya.

Kali terakhir harga RON95 naik pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut kesal dan hairan dengan kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku.

"Kenyataan itu amat pelik kerana harga minyak dunia sendiri ada turun naiknya. Jadi kenapa pula harga minyak di Malaysia tak ada penurunannya?

“Ini adalah kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta Kerajaan BN mengkaji balik cadangan untuk mengkaji kembali rasionalisasi subsidi kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat.

"Malah dalam apa keadaan sekalipun, rakyat amat memerlukan subsidi dari kerajaan terutama yang melibatkan minyak. Subsidi untuk minyak pula terutama RON95 melibatkan seluruh rakyat.

"Kerajaan BN jangan pula hanya memberikan subsidi kepada pihak tertentu sahaja seperti IPP yang hanya untuk golongan tertentu sahaja, manakala subsidi RON95 yang melibatkan pelbagai peringkat hendak dikurangkan lagi," katanya.


Ibrahim, nak 'berjihad' pun bayar 'hutang' dulu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali diingatkan agar tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli.

AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menyatakan demikian sebagai merujuk kepada kenyataan terbuka Ibrahim bahawa beliau dan Perkasa sanggup melancarkan ‘perang salib’ atau ‘jihad’ untuk menentang rakyat Malaysia yang beragama Kristian jika mereka didakwa terus mencabar kedudukan Islam di negara ini seperti yang tersebar dalam laman web Malaysiakini bertarikh 15 Mei 2011 dan lain-lain laman web berita.

“Saya menasihatkan agar beliau tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli untuk mengekalkan Umno BN terus berkuasa dengan konsep jihad sebenar yang suci dan bersih,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pertama, katanya isu yang berbangkit mengenai kumpulan Kristian ingin menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah samar-samar dan berunsur fitnah sedangkan Islam tidak mengizinkan jihad dilancarkan atas kedudukan yang samar-samar seperti ini.

Kedua, ujarnya Perkasa sendiri adalah badan bermotif politik yang jelas mempertahankan sesetengah kemungkaran dengan cara tidak menegur atau bersuara amalan seperti korupsi, kehilangan rule of law, kepincangan sosial, kecelaruan dasar-dasar dan kegagalan Umno BN selama ini.

Bahkan, kata beliau hanya menggunakan isu-isu kaum dan agama bagi kepentingan politik sebelah pihak yang menunjukkan Perkasa tidak berpijak atas ajaran Islam yang syumul dan tidak layak membangkitkan isu jihad yang seharusnya tulen dan bersih.

“Sebagai contoh, di manakah Perkasa apabila Presiden MCA selaku rakan utama Umno dalam BN datang ke Kelantan untuk mengubah amalan tidak mengizinkan premis-premis perjudian dibuka bagi rakyat Kelantan yang majoriti 95% beragama Islam,” katanya.

Ketiga, ujarnya kekeliruan yang berlaku dalam politik negara pada hari ini ialah kerana kebimbangan Umno BN kehilangan kuasa hasil ‘kemungkaran’ politik dan ekonomi yang berterusan yang telah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Menurutnya, jika jihad hendak dilaksanakan mengikut keutamaan ajaran Islam, kepincangan-kepincangan yang berterusan yang dilakukan oleh Umno BN adalah lebih utama diperbetulkan.

Keempat, jelasnya Islam menganjurkan pendekatan yang menarik hati manusia lain contohnya sepertimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Surah ‘Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

“Jika diamati ayat ini, sekiranya Perkasa ingin menguatkan lagi Islam, ia boleh dilakukan bukan hanya dengan kata-kata yang berapi-api tetapi dengan polisi dan amalan yang selari dengan Islam seluruhnya seperti berlaku adil, dan good governance/tatakelola yang baik.

“Akhir sekali, nasihat saya kepada Datuk Ibrahim Ali, jika beliau ingin terus ‘berjihad’, saya sarankan beliau mengembalikan semula kerusi parlimen Pasir Mas terlebih dahulu kepada PAS yang beliau tandingi juga atas tiket PAS dalam PRU-12 yang lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan secara sinis berkata, orang yang hendak berjihad adalah wajib membayar hutang terlebih dahulu kerana ruh orang tidak membayar hutang tergantung antara bumi dan langit.

“Kerusi parlimen Pasir Mas adalah dikira sebagai ‘hutang’ Datuk Ibrahim Ali,” katanya.


Penduduk akui Ladang Rakyat tak rampas tanah
M Faqih

GUA MUSANG, 16 Mei: “Ladang Rakyat tidak pernah rampas tanah rakyat. Kalau ada tanaman mereka tidak masukkan dalam kawasan projek.

“Lagi pun kawasan yang diambil Ladang Rakyat kesemua tanaman yang pernah ditanam tidak menjadi akibat dimakan binatang liar,” kata Ramli Abdul Rahman (gambar), 57 ketika ditemui di Kampung Baru Star.

Kampung tersebut terletak kira-kira 25 km dari bandar Gua Musang. Kedudukannya di laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli melalui Jelawang, Dabong.

Di sebelah timur bukit di kampung itu, tidak jauh dari masjid terletak projek perladangan sawit diusahakan Ladang Rakyat.

Kelapa sawit yang ditanam tiga tahun lalu kini ada yang sudah berbuah.

Ramli memberitahu Ladang Rakyat tidak pernah merampas tanah penduduk kampung seperti didakwa sesetengah pihak melalui media massa sebelum ini.

”Saya masih ingat lagi sewaktu Allahyarham Chek Hashim Sulaiman menjadi Penyelia Dun Galas acap kali beliau datang menemui penduduk membincangkan cadangan Ladang Rakyat membangunkan ladang sawit di sini.

”Kalau tidak silap enam kali beliau datang. Perjumpaan diadakan di masjid Star Baru dan Madrasah di Kampung Kalai,” katanya.

Menurutnya dua tahun berbincangan diadakan dan penduduk berpuas hati apabila kawasan yang sudah ditanam dikeluarkan daripada projek Ladang Rakyat.

Beliau juga meluahkan rasa pelik selepas lebih empat tahun projek Ladang Rakyat dijalankan mengapa pula baru sekarang ada penduduk di sesetengah tempat mempertikaikan.

Oleh itu beliau mengsyaki ada orang tengah yang menjual tanah milik kerajaan cuba menimbulkan pelbagai dakwaan bukan-bukan terhadap Ladang Rakyat.

Seramai 10 penduduk ditemui di Kampung Star Baru Sabtu lalu menjelaskan perkara serupa seperti diberitahu Ramli.

Di majlis berasingan pada malam bertempat di padang Majlis Daerah Gua Musang lebih 1,000 penduduk hadir mendengar penjelasan mengenai isu membabitkan Ladang Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi tampil menjelaskan isu tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Turut hadir Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamad dan Penyelia Dun Paloh, Hamdan Jusoh.

Biar pun hujan pada sebelah petang, namun orang ramai tetap hadir bagi mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Ladang Rakyat selepas diberi imej negetif media harian proUmno.

Umno tentang program kebajikan

Dr Nazmi berkata, sejak daripada awal lagi pemimpin Umno cuba menggagalkan projek Ladang Rakyat apabila mereka menentang ketika Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dibentang pada persidangan Dun Kelantan.

Katanya, selama dua hari setengah enakmen tersebut dibahas dan akhirnya perbadanan tersebut berjaya diwujudkan dengan undian 23 Adun PAS menyokong dan 22 Adun BN menentang.

”Umno menentang kewujudan program Ladang Rakyat kerana program ini memberi kebajikan kepada rakyat di mana sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM40 juta dibayar kepada lebih 4,300 peserta.

”Kejayaan program ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac 2008 Adun BN yang menentang penubuhan Ladang Rakyat kecundang dalam pilihan raya sehingga tinggal enam orang,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan biar pun Umno mendesak kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih kononnya berlaku penyelewengan membabitkan Ladang Rakyat, namun audit yang dilakukan Jabatan Audit Negara tidak menemui sebarang penyelewengan.

Menteri Besar pula menyokong cadangan Ladang Rakyat menyaman pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap agensi terbabit.


CAP gesa atasi masalah penduduk Bayan Baru
Harakahdaily

PULAU PINANG, 16 Mei: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah lebih 5,000 penduduk rumah pangsa di Lengkok Mahsuri, Bayan Baru di sini.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, masalah yang berlaku sejak empat tahun yang lalu itu semakin serius dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan berkenaan dan tidak ada tindakan yang diambil sehingga kini walau pun aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan blok, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan wakil rakyat, Adun Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.

Katanya, antara masalah-masalah yang berlaku di sini ialah kebocoran tangki dan paip air di atas bumbung blok, ketiadaan alat pemadam kebakaran dan tong sampah yang sempurna, pencemaran sampah sarap, bau busuk dan lampu di kaki lima blok yang rosak.

“Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati terdapat rumah-rumah penduduk yang terlibat telah reput di bahagian siling dan retak di bahagian dinding kerana terdedah kepada air hujan yang bertakung di atas bumbung.

“Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes di atas bumbung-bumbung blok di kawasan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya terperanjat dan merasa kesal bila dimaklumkan oleh penduduk terbabit bahawa banyak air dibazirkan sejak tempoh berlakunya masalah itu, 4 tahun yang lalu hingga sekarang apabila kebocoran tangki dan paip air di atas bumbung blok di sini tidak dibaiki oleh pihak pengurusan walau pun beratus aduan telah dibuat kepada pihak itu.

Beliau turut meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyiasat masalah itu dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya kerana kejadian tersebut merupakan satu pembaziran air yang besar dan merugikan.

Tambahnya, penduduk-penduduk juga bimbang tentang keselamatan mereka jika berlaku kebakaran kerana pihak pengurusan tidak menyediakan alat pemadam api dan paip bomba yang sempurna.

Menurutnya lagi, lampu-lampu di kaki lima blok juga banyak yang rosak dan tidak digantikan oleh pihak berkenaan.

Beliau percaya jika masalah-masalah tersebut dibiarkan keadaan yang lebih buruk akan berlaku dan penduduk-penduduk di kawasan tersebut bukan saja akan terjejas kehidupan harian dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah keselamatan mereka juga mungkin terancam.

“Kami akan mengemukakan masalah-masalah ini secara rasmi melalui surat-surat yang akan dihantar kepada pihak berkuasa yang terlibat dalam masa terdekat untuk menggesa perhatian serius diberikan dan tindakan segera diambil bagi menanganinya.

“Kami turut meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turun padang melihat sendiri secara dekat masalah yang berlaku dan dihadapi oleh penduduk-penduduk di sini,” katanya lagi.

PAS minta Joseph Kurup jangan ugut penduduk
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hisammuddin Sulaiman menyelar dakwaan Tan Sri Joseph Kurup yang menyatakan bahawa kehadiran penduduk kampung di Mahkamah Anak Negeri Pekan Kecil Sook, baru-baru ini bertujuan ingin mengadakan demostrasi jalanan semata-mata.

Katanya, ucapan Kurup (gambar) itu berbentuk mengugut orang kampung tetapi masalah penduduk termasuk rumah pemujaan yang dirobohkan tidak dapat diselesaikan.

Ahli Parlimen Pensiangan itu dilaporkan berkata demikian di Majlis Perasmian Balai Masyarakat Kampung Lintuhun Baru, Sook.

Kurop mengulas tindakan beberapa orang yang telah mengadakan demonstrasi jalanan di hadapan Pejabat Daerah Kecil Sook.

Hisammuddin mengingatkan Kurup jangan hanya pandai bermain dengan kata-kata mengugut rakyat tetapi tuntutan penduduk kampung yang terlibat dengan rampasan tanah hendaklah diselesaikan segera.

“Jangan jadikan penduduk kampung sekadar alat politik sahaja, seolah-olah beliau takut dengan bayang-bayang sendiri sedangkan kehadiran PAS adalah penyelamat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Untuk makluman, kehadiran beliau pada hari itu adalah atas arahan PAS negeri untuk menyaksikan proses prosiding Mahkamah Anak Negeri.

Apatah lagi, katanya pakaian penduduk-penduduk kampung pada hari tersebut adalah pakaian suku etnik yang ada dalam kalender Tourism Sabah dan tiada sebarang kekacauan dan huru hara.

Tambahnya, pihak polispun tidak mengkelaskan sebagai demostrasi kerana kehadiran penduduk dalam keadaan aman.

Justeru, kata Hisammuddin yang juga Yang Dipertua PAS Keningau bahawa PAS bersedia menggantikan PBRS di Pensiangan pada pilihan raya akan datang.


Minyak naik: Jangan sampai rakyat hilang sabar
Afiq Hizami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kerajaan sekali lagi dilihat mahu perbodohkan rakyat negara ini dengan kajian rasionalisasi subsidi minyak yang dijalankan dan berkemungkinan menaikan harga petrol RON95.

Menurut Mohd Anuar Mohd Tahir, Pengerusi Lajnah Buruh & Setinggan PAS, Kerajaan dilihat mahu mencabar rakyat dan menguji kesabaran rakyat dengan mahu menaikkan harga minyak sekali lagi.

"Selepas menaikkan harga gula dan minyak petrol RON97 sekian ini, tidak sampai sebulan pun masih lagi mahu menaikan harga minyak petrol RON95 pula.

"Pekara ini dilihat menyeksakan rakyat dan terus membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana, tambahan lagi kita semakin hampir mendekati bulan Ramadan seterusnya menyambut Syawal tiba.

"Hal ini tidak patut dilakukan oleh kerajaan pusat yang dilihat tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat," jelas beliau yang sedikit terkejut dengan tindakan kerajaan itu.

Beliau sewaktu dihubungi tengah hari tadi dengan lantang dan keras menegaskan bahawa kerajaan tidak usah terus memperbodohkan rakyat dan membohongi lagi rakyat.

"Kita adalah antara negara pengeluar minyak terbesar dunia, mana mungkin harga minyak boleh dinaikan dengan sewenang-wenangnya.

"Kerajaan jelas nampak membohongi rakyat dengan membandingkan harga minyak negara dengan harga minyak negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina.

"Sedangkan negara-negara tersebut bukanlah negara pengeluar minyak seperti Malaysia, kerajaan dilihat sengaja membutakan mata rakyat untuk kita tidak membandingkan harga minyak dengan negara pengeluar minyak terbesar dunia yang lain.

"Negara-negara pengeluar minyak yang lain seperti Arab Saudi dan Venezuela yang mencatatkan harga minyak paling rendah berbanding Malaysia.

"Malah contoh yang paling dekat yang dapat dilihat ialah negara Brunei yang jauh lebih rendah harga minyak berbanding negara kita tapi tidak dibandingkan oleh kerajaan, atau sengaja dibutakan mata dipekakkan telinga oleh mereka," kata Anuar (gambar) yang penuh bersemangat dengan pekara ini.

Beliau yang sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menambah kerajaan dilihat gagal memainkan peranannya dalam menguruskan perbelanjaan negara dan memberi anologi terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Umno itu sebagai "buruk siku"

"Kerajaan memberi subsidi kepada rakyat kemudian menarik balik subsidi tersebut atas dasar-dasar untuk menampungi perbelanjaan boros yang dilakukan oleh kerajaan seperti projek-projek "kosmestik" atau "projek solekan" yang diutamakan oleh kerajaan atau Umno ini dilihat banyak membazir duit negara.

Pekara ini dilihat kerajaan pimpinan Umno ini gagal mengimbangi perbelanjaan negara, sebagai contohnya menambah kos infrasruktur di ibu negara tanpa melihat kos pembaikannya pada masa yang sama.

Pekara ini dipetik dari laporan Bernama di Putrajaya semalam, di mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan kemungkinan akan berlaku kenaikan harga petrol RON95.

Beliau mejelaskan lagi kemungkinan kenaikkan harga minyak tersebut berdasarkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi yang dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

Justeru itu, beliau meminta rakyat bersedia dan tidak terkejut dengan kenaikan harga minyak nanti.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Anwar terkejut hakim buat hukuman awal
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperintahkan untuk membela diri dalam kes fitnah II hari ini melahirkan rasa terkejut kerana hakim telah menjatuhkan hukuman awal.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hakim Datuk Mohd Zabidin seolah-olah terikat dengan hujah pendakwaan.

“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes ini dan menjangkaui kes prima facie,” kata beliau kepada pemberita di perkarangan mahkamah selepas selesai mendengar keputusan hakim hari ini.

Hakim Mohd Zabidin hari ini berkata, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Anwar telah disifatkan sebagai “saksi yang benar dan berwibawa”.

Pengakuan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika memerintahkan Anwar supaya membela dirinya.

Anwar mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya doktor hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium Desa Damansara.

“Saya telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini tiada asas,” katanya yang juga ketua pembangkang di parlimen.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.


Cabar Najib hadir sebagai saksi


Sementara itu, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar hadir ke mahkamah sebagai saksi kerana beliau merupakan saksi yang sangat relevan dalam kes ini.

Ini kerana katanya, Saiful sendiri mengaku bertemu dengan Najib selepas beliau didakwa diliwat Anwar.

Beliau juga memberi amaran kepada Najib agar tidak mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan hadir ke mahkamah meskipun beliau salah seorang saksi pening dalam kes liwat pertama dahulu.

"Kita nak tengok keberanian Datuk Najib untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan kerana beliau orang yang pertama bertemu Saiful.jadi beliau sangat relevan sebagai saksi.

"Saya ingin cabar Perdana Menteri supaya jangan guna alasan seperti mana yang digunakan Tun Mahathir dalam kes pertama untuk mengelakkan diri dari hadir ke mahkamah. Kita nak selesaikan di mahkamah," katanya yang juga ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.

Shamsul turut 'terkejut' dengan keputusan mahkamah yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar.

"Ini keputusan yang telah kita jangka dan saya yakin peguam bela Anwar akan menyusun strategi dan mengumpul seramai mungkin saksi kerana mentaliti pemikiran hakim sebentar tadi lebih menjurus kepada memutuskan Anwar telah bersalah walaupun sebelum mendengar keseluruhan kes.

"Ini agak meranjatkan kerana pada masa ini bukan hakim kena buat keputusan yang muktamad siapa yang bersalah, hanya perlu buat keptusan samaada Anwar perlu membela diri atau tidak," katanya.

Beliau turut mendakwa BN akan menggunakan sepenuhnya mahkamah untuk mengherat Anwar ke penjara kerana isu video seks dilihat bukan lagi 'peluru yang berkesan' untuk menjatuhkan Anwar.

"Saya yakin akan ada lagi sokongan rakyat kerana kes ini digunakan sepenuhnya untuk mengekang kemaraan Anwar kerana isu video seks ini bukan lagi peluru yang berkesan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada Anwar bagi memastikan keadilan terlaksana di Malaysia.

SMS: SPR jangan undur ke belakang
Harakahdaily

KUANTAN, 16 Mei: PAS mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil jalan undur ke belakang dengan melarang ejen calon membawa telefon bimbit untuk mengelakkan penyaluran tidak rasmi berlaku di hari pengundian seperti yang dilaporkan di sebuah akhbar tempatan hari ini.

“Adalah lebih baik untuk SPR mencari jalan yang lebih telus dengan menyiarkan keputusan jumlah undian di setiap peti undi melalui tayangan skrin besar di luar kawasan penjumlahan.

“Ini sekaligus akan berjaya mengelakkan maklumat tidak rasmi di setiap peti undi,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam reaksinya terhadap laporan akhbar Berita Harian hari ini.

Berita Harian melaporkan bahawa mulai pilihan raya umum ke-13 yang dijadualkan tidak lama lagi, ejen parti politik yang bertugas di pusat pengiraan undi dan pusat mengundi dilarang membawa masuk telefon bimbit.

“Ia bagi mengelakkan parti politik menyalurkan maklumat, khususnya keputusan tidak rasmi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook atau Tweeter sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, baru-baru ini,” tambah laporan itu lagi.

Namun begitu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berpendapat bahawa dengan kecanggihan teknologi masa kini adalah sukar untuk menghalang penyebaran maklumat.

“Cuma yang kita mampu ialah bersikap telus dengan maklumat yang ada, ini sekadar cadangan,” tambah beliau.


Malaysia Today kerjasama dengan WikiLeaks
Harakahdaily

LONDON, 16 Mei: Laman web yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today dijangka akan meningkatkan pelawatnya lagi apabila memulakan kerjasama dengan laman dari Australia, WikiLeaks.

Kedua-dua laman itu melalui pemiliknya, Raja Petra dan Julian Assange menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-duanya hari ini di the Sunday Roast lunch dekat the Duke of York.

(GAMBAR: Petra dan Assange bersalaman dan menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama antara mereka)

Turut serta di majlis itu adalah anak Raja Petra, Sara Petra.

WikiLeaks menggegarkan dunia apabila membuat pelbagai pendedahan tentang dokumen yang kebanyakan dimiliki oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Turut didedah adalah dokumen-dokumen berkaitan dengan Malaysia.

Raja Petra pula banyak menggegarkan politik Malaysia apabila membuat pelbagai pendedahan.

Antaranya adalah membuat pendedahan melalui Kenyataan Bersumpah kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut berada di tempat pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam.











Tiada ulasan: