Khamis, 19 Mei 2011

BUAT APA NAK HARAMKAN...KAN KATA PARTI LEMAH...KUCAR KACIR...PENUH DENGAN PERKARA2 SUMBANG...BIAR IA TUMBANG SENDIRI.. DIHARAMKAN BERMAKNA IA MENGUGAT

Anwar dakwa Umno dalangi usaha haramkan PKR
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Selepas Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang bertubi-tubi, dan akhbar Suara Keadilan ditarik permit penerbitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini terus diberi tekanan dengan resiko pengharaman parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan tindakan ini sebagai langkah terdesak untuk mendera rakyat negara ini.

"Ini kerja pimpinan Umno yang terdesak dan terus mendera rakyat," katanya ringkas dalam siri temubual dalam "Question time' anjuran Yahoo Malaysia.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail pula berkata, notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13 ini bermakna pihak Pendaftar Pertubuhan telah "berpuashati' dengan dakwaan yang dilemparkan.

"Namun dakwaan karut ini jelas mengelirukan kerana Fasal 32.2.1 langsung tidak wujud di dalam perlembagaan KEADILAN. Walaupun ianya kesilapan ejaan, Fasal 32 tidak langsung berkaitan dengan isu disiplin dan Lembaga Disiplin," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Dalam notis yang dihantar, mereka memberi alasan tindakan untuk mengharamkan parti itu disebabkan PKR telah melanggar beberapa fasa perlembagaan parti itu termasuk fasal 32.2.1.

Ianya juga dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung parti itu akhir tahun lalu dan kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti.

Sehubungan itu PKR diberi tempoh sehingga 9 Jun ini memberi penjelasan.

Menurut Saifudin, PKR telah menerima notis bertarikh 9 Mei 2011 ditandatangani oleh Datuk Abdul Rahman Othman, di bawah Kementerian Dalam Negeri di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 yang mengancam untuk membatalkan pendaftaran KEADILAN selepas 9 Jun 2011.

Notis telah dikirim menerusi pos berdaftar dengan salinan turut dihantar kepada Presiden dan Bendahari Agung.

Notis menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatalkan selepas 9 Jun 2011 melainkan parti menyatakan sebab mengapa ia tidak wajar dibatalkan.

Dakwaan sebagaimana yang dinyatakan dalam notis adalah seperti berikut:

“Telah sengaja melanggar Fasal 32.2.1 ( sic ) Undang-Undang Berdaftar Parti kerana memecat keahlian Rajagopal (sic) a/l Andaikallam pada 1/4/2009 ( sic ) dan 27/4/2009 tanpa terlebih dahulu disoalsiasat dan dibicarakan oleh Lembaga Disiplin”

Bagi Saifudin, pihak Pendaftar Pertubuhan turut melakukan kesalahan kerana rekod parti menunjukkan bahawa nama individu yang dinyatakan sebenarnya adalah Jayagopal a/l Andaikallam (No KP 520929-02-5709) dan bukannya Rajagopal a/l Andaikallam.

Tarikh pemecatan beliau dari parti adalah pada 27 April 2009 dan diputuskan dalam Majlis Pimpinan Pusat pada tarikh tersebut.

"Kami terkejut dengan dakwaan pihak Pendaftar Pertubuhan kerana bagaimana individu ini boleh dipecat sebanyak dua kali," katanya.

Bagi beliau, dakwaan dan campurtangan Pendaftar Pertubuhan dalam masalah dalaman parti ini ternyata sangat tidak berasas dan tidak adil.

Perkara tentang disiplin dan prosedur berkaitannya adalah sepenuhnya masalah dalaman parti, tegas beliau.

Tindakan tidak wajar - PAS

Sementara itu, AZIZ MUDA melaporkan, ROS tidak sepatutnya mengambil tindakan ke atas PKR dengan kemungkinan membatalkan pendaftarannya seperti yang diperkatakan sekarang, memandangkan PRU Ke-13 kini sudah semakin hampir.

Jika tindakan itu dilakukan, Kerajaan ternyata sengaja mengambil kesempatan berbuat demikian terhadap pembangkang hanya disebabkan perkara kecil, bagi membolehkan BN mendapat kemenangan mudah dalam pilihanraya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pembatalan pendaftaran PKR ketika pilihanraya semakin hampir merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dinilai dengan adil oleh pihak ROS.

"PRU Ke-13 seperti yang diketahui sememanngnya sudah semakin hampir. Oleh itu, pihak kerajaan jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk menghadapi pilihanraya dengan mengharamkan PKR pula," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.


Naib presiden: Mujahid tolak, Idris sahkan tanding
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Bekas calon Naib Presiden PAS sessi lepas, Mujahid Yusof mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu kali ini manakala Ketua Penerangan, Idris Ahmad sahkan akan bertanding.

Dalam kenyataannya kepada Harakadaily hari ini, Idris mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan itu dalam muktamar kali ini.

Dengan pengesahan ini, sudah dua calon mengesahkan bertanding iaitu Idris dan Salahudin Ayub manakala Mujahid Yusof mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan itu.

Dalam kenyataan bertulisnya kepada Harakahdaily, Mujahid berkata, buat masa ini beliau belum mampu membawa pertanggungjawaban di tahap tersebut namun untuk masa hadapan "saya serahkan kepada Allah dan kepada ahli untuk menilai prestasi saya."

"Walaupun demikian saya bersetuju menerima pencalonan untuk jawatan AJK PAS Pusat dan selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus berkhidmat untuk parti demi agama, bangsa dan negara," kata beliau.

Dalam Muktamar 2009, Mujahid bertanding jawatan naib presiden tetapi tewas. Namun begitu beliau menang jawatan AJK PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya itu kerana menganggap tidak layak untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi.

Seorang lagi naib presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya Ahad ini melalui satu sidang media yang akan diadakan. Beliau kini berada di Singapura untuk menyertai satu majlis di sana.

AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula akan membuat keputusan 24 Mei nanti iaitu dua hari sebelum tarikh tutup pengesahan penerima pencalonan ini sebagaimana yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan 2011.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak juga belum membuat sebarang keputusan sehingga kini. Ketika ditanya wartawan dalam sidang medianya tengahari tadi, beliau berkata akan membuat keputusan selepas menerima surat pengesahan pencalonan dari JK Pemilih, beritahu Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid.

Selain naib presiden, Azizan juga layak untuk bertanding timbalan presiden dan juga AJK PAS Pusat.

Bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa juga belum membuat sebarang keputusan dan mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu. Selain naib presiden, sebagaimana Azizan, Husam juga layak bertanding timbalan presiden dan AJK.

Ketika dicalonkan sebagai presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang, Husam menolaknya dengan membuat kenyataan sokongan penuhnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan berkata beliau hanya akan bertanding AJK sahaja.

Jawatankuasa Pemilih PAS 2011 memaklumkan, 14 calon layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.

Enam dari mereka turut dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden iaitu timbalan presiden sekarang, Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Selain mereka, turut layak bertanding jawatan naib presiden adalah:

1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat).

Salahudin bimbang penggabungan Bank Islam dan Bank Muamalat
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Langkah untuk menggabungkan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Muamalat diyakini berpunca dari tangan-tangan ghaib yang mengarahkan tindakan itu dilakukan, kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Naib Presiden PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, tindakan penggabungan itu diyakini dilakukan bagi menyelamatkan Bank Muamalat yang sedang mengalami masalah, walaupun ia terpaksa mengorbankan BIMB sendiri.

Namun yang anehnya, kata beliau, sehingga kini tidak pula terdapat kenyataan rasmi yang dikeluarkan mengenai masalah yang dialami oleh Bank Muamalat.

Katanya, PAS kurang senang dengan langkah penggabungan itu kerana ia jelas merupakan satu lagi tindakan bagi menyelamatkan sesebuah syarikat dengan menggunakan dana awam.

"Saya risau ini satu lagi 'bailout' yang merupakan budaya tidak sihat di negara kita dan akan terus membebankan rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Minggu lalu, DRB-HICOM, pemegaqng saham utama Bank Muamalat, menjelaskan minatnya yang dinyatakan kepada Bank Islam hanyalah semata-mata mahu meninjau kemungkinan penggabungan itu.

Syarikat itu berkata, ia tidak menyatakan minat untuk menjual 70 peratus kepentingan dalam Bank Muamalat.

Cadangan penggabungan itu akan menyaksikan kemunculan bank Islam yang besar dan ini seiring dengan saranan kerajaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat antarabangsa terkemuka untuk kewangan Islam.

Menurut Salahuddin, tindakan penggabungan itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada Bank Islam terawal itu kerana BIMB adalah anak syarikat BIMB Holding Bhd, dengan Tabung Haji yang merupakan pemegang saham terbesarnya dalam BIMB sebanyak 51 peratus.

“Jadi, apa guna Bank Islam mahu bergabung dengan Bank Muamalat? Apa faedahnya? Bank Islam sudah ada 115 cawangan di seluruh negara.

"Apa guna Bank Islam mahukan lagi Bank Muamalat. Kalau cawangan sikit, baru ada rasional, tapi Bank Islam ada rangkaian di seluruh negara. Begitu juga dengan Tabung Haji,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau yang yakin dengan tindakan penggabungan itu dilakukan disebabkan Bank Muamalat mengalamai masalah besar, hairan dengan langkah penggabungan itu kerana ia pasti akan membebankan BIMB sendiri kerana terpaksa bergabung dengan bank yang bermasalah.

Pemegang saham terbesar Bank Muamalat adalah DRB-HICOM iaitu 70 peratus, manakala bakinya sebanyak 30 peratus lagi dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd.

“Saya cukup bimbang berlaku satu lagi budaya tidak sihat yang akan merugikan rakyat di mana BIMB Holding mahu mengambil alih atau beli atau bergabung dengan Bank Muamalat.

“Bank Muamalat diharap telus dalam isu ini. Bank Muamalat mesti nyatakan status kewangannya dengan jelas, kena beritahu apa sebenarnya yang berlaku pada Bank Muamalat.

"Kalau ada masalah, apa masalah? Dan, apa guna Bank Islam mahu mengambil alih bank bermasalah ini?" jelasnya yang turut berhasrat untuk membangkitkan perkara itu pada persidangan Parlimen nanti.

Beliau turut berjanji akan mengutus surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas kedudukannya selaku Ahli Parlimen bagi memaksa Bank Muamalat membekalkan kenyataan kewangannya.

"Jika ia beroperasi dengan lancar, kita ingin tahu selancar mana? Jika ia mencatatkan kerugian, berapa banyak yang rugi? Dan kenapa ia mahu bergabung dengan BIMB?” jelas beliau.

Orang Asal ditaja ’demo’ di Gua Musang
Salmah Mat Husain

GUA MUSANG,19 Mei: Pagi semalam kelihatan dua bas disewa khas bagi membawa penduduk Orang Asal dari Kuala Betis, Jias dan Lambok berhimpun di hadapan Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang.

Selain itu beberapa orang lagi datang dengan motosikal. Jumlah keseluruhannya sekitar 100 orang yang ditaja pihak tertentu kononnya bagi membantah Ladang Rakyat.

Apakah benar isu Ladang Rakyat yang dibantah mereka, sedangkan di kawasan terbabit belum ada projek perladangan milik Ladang Rakyat dijalankan.

Penghulu Orang Asal di Gua Musang, Anjung Alang berkata, penduduk Orang Asal diangkut khas datang dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini semalam.

Katanya, setiap mereka diberi duit antara RM5 hingga RM10 sebagai sagu hati kerana datang ke perhimpunan tersebut.

”Isu sebenar bukan berkaitan Ladang Rakyat sebaliknya bantahan terhadap perobohan rumah ibadat yang dibina di tanah rezab kerajaan beberapa tahun lalu.

”Pihak tertentu membawa penduduk Orang Asal dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini dan bukan berkaitan isu Ladang Rakyat seperti dilaporkan media,” katanya di sini.

Difahamkan isu perobohan sebuah rumah ibadat tersebut dibawa ke mahkamah oleh pihak tertentu dan sudah diselesaikan kerajaan negeri.

Beberapa media hari ini melaporkan seramai 500 penduduk Orang Asal dari 40 kampung di pedalaman berhimpun di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang menyerah memorandum menuntut supaya menghentikan pengambilan balik tanah adat mereka.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin berkata, memorandum yang diserah penduduk Orang Asal kepada kerajaan negeri pada Febuari lalu bukan berkaitan isu Ladang Rakyat.

”Isu sebenar mereka mahu kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat untuk masyarakat Orang Asal dan tidak timbul projek perladangan di bawah Ladang Rakyat.

”Lagi pun isu syarikat yang memajukan projek Ladang Rakyat di Pos Balar sudah diselesaikan apabila tiga penduduk Orang Asal yang memiliki enam batang pokok getah disodok syarikat telah dibayar pampasan.

”Setiap seorang mendapat sebanyak RM1,200. Jadi isu tersebut tidak berbangkit lagi,” katanya.

Malah kata beliau dakwaan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof kononnya kerajaan negeri merampas tanah milik Orang Asal tidak berasas sama sekali.

Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga kini telah memberi kelulusan sebanyak 78 lot kepada penduduk Orang Asal di Gua Musang.

“Selain itu kerajaan negeri sedang berusaha mewartakan melalui Seksyen 62 Kanun Tanah Negara di empat kawasan di Gua Musang.

“Ini termasuk seluas 428 ekar di Pos Jedip, di mana susun atur dan pelannya sudah siap cuma kita hanya menunggu pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia mengukur,” katanya di pejabatnya hari ini.

Selain itu, katanya sebanyak 600 ekar lagi di Pos Blau, Kuala Betis, 3,500 ekar termasuk di Tanah Tinggi Lojing akan direzabkan untuk masyarakat terbabit.

Oleh itu beliau menasihat Orang Asal tidak mudah diperalatkan pihak tertentu bagi memburukkan kerajaan negeri.

Pada April lalu Suhakam mengakui kerajaan Kelantan prihatin terhadap masyarakat Orang Asal di mana usaha sedang dilakukan bagi mewartakan kawasan penempatan mereka.

Ustaz Kasim Ahmad kembali ke rahmatullah
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 19 Mei: Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10.30 pagi tadi di rumahnya di Kampung Tuan Mandak, Pekan Batu Enam.

Beliau yang diserang angin ahmar sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang selepas solat Asar tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah.

Semasa hayat, beliau yang dilahirkan pada 11 September 1937 di Kuala Rompin, Pahang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1972 hingga 1975 dan Pengerusi Tetap PAS Pusat.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada enam beradik juga pernah menjadi Exco Kerajaan Terengganu pada 1972 hingga 1974 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Marang.

Ketua Pemuda: Keputusan malam ini?
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Pucuk pimpinan Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mesyuarat khas malam ini antaranya untuk membincangkan pertandingan untuk jawatan utama dewan itu dalam muktamar akan datang.

Sehingga ini, tidak ada calon ketua pemuda yang mengesahkan pertandingan untuk jawatan yang disandang oleh Nasrudin Hassan itu.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau menolak untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS biarpun dicalonkan.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau bagaimanapun memberitahu, akan bertanding merebut kerusi timbalan ketua.

"(Bertanding) ketua pemuda tak kot, timbalan sahaja,"katanya yang juga ahli parlimen Jerai.

Selain beliau, dua lagi calon yang layak bertanding jawatan nombor satu sayap pemuda PAS itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat.

Azman ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan tersebut, bergantung kepada keputusan rasmi Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Nasruddin Hassan.

"Saya ambil sikap begini, kalau Ustaz Nasruddin nak kekal, saya tak lawan, saya akan bagi laluan mudah.

"Kalau dia kata nak berundur untuk diberi calon lain, saya akan lawan.

"Apapun saya tunggu pendirian rasmi Ustaz Nasruddin dahulu,"katanya.

Seorang lagi calon, Suhaizan pula berkata, beliau masih belum membuat keputusan untuk bertanding atau tidak jawatan tersebut.

"Saya belum buat keputusan lagi. Lagi pun masa panjang lagi.

"Malam ni ada mesyuarat khas pemuda, dan saya akan bincang dahulu," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Sementara itu, keputusan rasmi calon yang bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini apabila kesemua calon menjawab surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilihan 2011.

Berikut ialah senarai penuh calon layak bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Azman Shapawi Abd Rani, ustaz
2. Mohd Firdaus Jaafar, ustaz YB
3. Nasruddin Hassan, ustaz
4. Suhaizan Kaiat

Timbalan Ketua

1. Ahmad Sabki
2. Azman Shafawi
3. Firdaus Jaafar, YB
4. Mohd Nor Hamzah, YB
5. Nasaruddin Hassan
6. Nik Abduh Nik Aziz
7. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
8. Riduan Mohd Nor
9. Suhaizan Kaiat

Naib Ketua

1. Azman Shafawi, Ustaz
2. Firdaus Jaafar, YB
3. Kamaruzaman Mohamad
4. Khairi Faizi Kamil
5. Mohd Nor Hamzah
6. Mohd Sany Hamzan
7. Nasir Zakaria, YB
8. Nik Abduh Nik Aziz
9. Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
10. Riduan Mohd Nor
11. Sabki Yusof
12. Suhaizan Kaiat

Ada cawangan Umno di Ketereh bakal dibubar
Mohd Nor Yahya

KETEREH, 19 Mei: Di tengah-tengah kekalutan Umno mengadakan demontrasi membantah Ladang Rakyat dan pelancaran gelombang merah, lebih 100 bekas ahli Umno di bahagian ini menyertai PAS.

Kemuncaknya apabila bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Soberi Shafii (gambar) mengambil langkah sama menyerah borang menyertai PAS baru-baru ini.

Sejak pilihan raya umum 2008 sehingga sekarang tiga bekas anggota jawatankuasa Umno Ketereh menyertai PAS termasuk Hussin Mat dan Abdul Manaf Abdullah.

Soberi pernah berjuang selama 38 tahun bersama Umno berkeyakinan lebih ramai lagi pengikutnya di Ketereh terutamanya anak muda menunggu masa sesuai untuk meninggalkan Umno.

“Hanya menunggu masa yang sesuai dan InsyaAllah kita akan lihat ada cawangan Umno di Ketereh akan dibubarkan nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil keahlian PAS kepada 100 bekas ahli Umno di sini, baru-baru ini.

Mereka yang diketuai Mohamad Abdul Rahman menerima sijil daripada Adun Kadok, Azami Mohd Nor. Majlis itu diadakan di Kampung Padang Lepar, Kadok.

Soberi juga bekas calon BN pada pilihan raya umum 1995 di Dun Kadok menjelaskan gelombang merah dilancarkan Datuk Seri Mustapa Mohamed hanya retorik semata-mata.

“Umno sebenarnya tidak ada pendekatan kukuh untuk meyakinkan rakyat Kelantan.

”Bagi saya gelombang merah tidak memberi kesan langsung kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.

Azami pula berkata, hasil kesedaran rakan-rakan bekas pemimpin Umno di Kerereh membolehkan rakyat menilai perjuangan sebenar dibawa Umno sekarang.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran depan).

Tiada ulasan: