• Zaharuddin Abdul Rahman
1 / 1
KUALA LUMPUR - MAS perlu ubah dasar berkaitan penjualan arak dalam penerbangan mereka, jika tidak mereka harus berani untuk menanggung akibat, kata Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Zaharuddin berkata, pandangan bahawa penjualan arak dalam penerbangan yang kononnya bersifat komersil perlu diubah kerana MAS tidak akan rugi jika tiada hidangan arak dalam penerbangan mereka.

"Apa yang menjadi keutamaan pengguna sewaktu hendak membeli tiket kapal terbang adalah sama ada harga tiket murah atau tidak dan adakah jadual penerbangannya tepat dan keselamatan mereka terjamin?

"Rakan-rakan bukan Islam dan kerap menaiki penerbangan mengaku bahawa mereka tidak pernah mengambil kira faktor sama ada sesuatu penerbangan itu ada jual arak atau tidak, adakah pramugarinya seksi atau tidak, ketika hendak membeli tiket. Tidak pernah ada dalam pertimbangan mereka," katanya.

Menurutnya, itu menunjukkan bahawa soal arak langsung tidak ada kepentingan untuk dihidangkan dalam kapal terbang kerana yang menjadi keutamaan pengguna kapal terbang adalah soal harga tiket serta keselamatan mereka.

"Mas perlu pertimbangkan perkara tersebut dan jika ada pengguna yang tidak berpuas hati dengan pendedahan itu dan hendak memboikot MAS, pada saya tidak salah.

"Mereka ada hak dan boleh menggunakan kuasa pengguna yang dimiliki. Jika MAS tidak berganjak dengan keputusan untuk terus menghidangkan arak dalam penerbangan mereka, mereka perlu tanggung akibat," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam isu tersebut dan mencari penyelesaian kerana mereka mempunyai kuasa.

Ketika mengulas adakah pengguna Islam yang membeli tiket termasuk caj arak tersebut berdosa, Zaharuddin berkata, pembeli tidak menanggung dosa sebaliknya pengurusan MAS yang berdosa dalam keadaan tersebut.

"Niat pembeli hendak beli tiket dan bukan hendak beli arak tetapi pengurusan MAS pula menyediakan caj hidangan yang terdapat arak dalam menu mereka," katanya.