• Tertuduh (tengah) dibawa ke mahkamah, semalam. Tertuduh (tengah) dibawa ke mahkamah, semalam.
1 / 1
KOTA BHARU - Padah buat seorang remaja kerana menceroboh rumah, mencabul dan mengugut menyebarkan gambar mandi isteri jirannya, dia dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh, Muhammad Nazrul Isham Dolah, selepas dia mengaku bersalah. Muhammad Nazrul turut dikenakan hukuman penjara 28 bulan jika denda gagal dijelaskan.
Tertuduh didakwa atas tiga tuduhan iaitu menceroboh masuk rumah pasangan suami isteri terbabit dan mencabul wanita berkenaan serta membuat ugutan jenayah terhadap mangsa di Kampung Pasir Tumboh, Kubang Keranji, di sini, pada jam 10 malam, 3 September lalu.

Mangsa pada 6 September lalu mendapati lantai rumah sewa di bahagian bilik diumpil dipercayai oleh seorang pekerja bengkel besi sebelah rumah kerana tiga hari sebelumnya, lelaki terbabit masuk ke rumah mangsa dan memeluknya dari belakang serta meletakkan pisau di leher.

Tertuduh juga berkata dia menginginkan mangsa, namun mangsa berjaya melepaskan diri. Sebelum ini, lelaki sama banyak kali menghantar surat dan mesej mahu menyebarkan gambar mandi yang diambil secara curi jika mangsa tidak menyerah diri.

Tertuduh didakwa sekali lagi menceroboh ke rumah mereka di alamat sama, pada jam 1.30 pagi, 8 September lalu.

Pendakwaan ke atas tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.