• Lokasi kejadian tikam membabitkan bekas kekasih petang kelmarin. Lokasi kejadian tikam membabitkan bekas kekasih petang kelmarin.
1 / 1
JEMPOL - Seorang wanita cedera parah pada ulu hati akibat ditikam dipercayai oleh bekas kekasihnya di sebuah kedai pakaian, dekat Bandar Seri Jempol di sini, petang kelmarin.

Mangsa berusia 32 tahun merupakan ibu tunggal tiga anak dan menjalinkan hubungan dengan suspek berusia 33 tahun selama dua tahun, namun telah memutuskan hubungan dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa sedang bekerja di sebuah kedai pakaian.

Hamzah berkata, suspek dipercayai meletakkan motosikalnya di belakang kedai sebelum masuk dari pintu hadapan kedai.

"Semasa kejadian, terdapat dua lagi individu bersama mangsa. Bagaimanapun, kejadian disedari oleh seorang lelaki yang bekerja berhampiran lokasi setelah mendengar jeritan dari dalam kedai berkenaan.

"Lelaki itu segera ke kedai berkenaan dan ternampak suspek sedang memegang pisau, manakala mangsa terbaring dengan berlumuran darah, berhampiran kaunter” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, lelaki terbabit sempat merampas sebilah pisau sepanjang 13 inci di tangan suspek sebelum suspek melarikan diri kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Namun suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang kebetulan meronda di kawasan berkenaan.

"Mangsa yang cedera parah di bahagian ulu hati dan calar di kedua-dua bahunya kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban," katanya.

Hamzah berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 18 November depan.