Ahad, 16 September 2012

MUSUH KITA SEBENARNYA IALAH SYAITAN SERTA PENGIKUT2NYA...YANG TAK DIGANGGU OLEH SYAITAN IALAH ORANG YANG IKHLAS DALAM BERAGAMA@ISLAM

Negara Berkebajikan: PAS hapus curiga bukan Islam

Hazayani Zakaria, 16 Sep 2012
SHAH ALAM: Pendekatan strategik yang menepati dasar dan prinsip Islam seharusnya disokong oleh semua pihak khususnya orang Islam.

Merujuk kepada Negara Berkebajikan PAS, ahli akademik, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar berkata, istilah yang digunakan tidak penting asalkan kandungannya memartabatkan Islam dan masyarakat.

"Seandainya namanya Negara Berkebajikan ataupun Negara Kebajikan atau apa sahaja, kalaulah kandungannya, isinya berteraskan dan berprinsipkan Islam selari dengan tuntutan Ilahi maka ia seharusnya disokong oleh kita semua khasnya orang Islam," kata beliau dalam forum bertajuk Negara Berkebajikan: Analisa, Realiti dan Praktikaliti di  Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam tadi.

Mohamad berkata, Rasulullah SAW sendiri pada zaman pemerintahannya tidak memperincikan istilah negara Islam tetapi kandungannya menjurus ke arah perubahan ke arah negara Islam.

"Dalam perjuangan Rasulullah SAW sendiri tak ada istilah yang lengkap memperincikan negara Islam tetapi kandungannya menjurus kepada satu perubahan negara yang diredai Allah yang mendapat pengampunan Ilahi," katanya.

Tambah beliau, dengan slogan Negara Berkebajikan, PAS sudah berjaya menghapuskan rasa curiga orang bukan Islam terhadap Islam yang disifatkannya sebagai halangan psikologi.

Namun katanya, PAS menghadapi cabaran besar untuk menterjemahkan idealisme yang terkadung dalam dokumen Negara Berkebajikan.

"Ini cabaran yang besar sama ada di Kelantan, Selangor, Kedah dan sebagainya dan yang penting kita buang  istilah yang menakutkan sehinggalah halangan psikologi tadi dapat diatasi dan bagaimana (PAS) dapat menterjemahkan (Negara Berkebajikan) menjadi peradaban sehingga orang tersentuh dengan Islam," katanya lagi.

Transformasi biar ikhlas

Sementara itu beliau juga berkata, kerajaan yang berkuasa seharusnya mengambil berat soal keikhlasan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Merujuk kepada transformasi yang disebut seorang lagi ahli panel, Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr. Puad Zarkashi, Mohamad berkata, Umno BN harus ikhlas dalam memenuhi permintaan rakyat, bukan sekadar untuk memancing undi dalam pilihan raya umum.

"Benar kata Dr. Fuad tadi dalam program transformasi banyak beri deviden itu ini tapi apakah itu ikhlas atau adakah kerana Umno makin lemah, rakyat makin diperkasa maka Umno jadi takut kepada rakyat maka ikut sahaja apa yang diminta rakyat.

"Apakah kerana takut kepada rakyat maka perdana menteri harus tunduk dan memberi apa sahaja yang diminta sampai ke Sabah dan Sarawak?

"Kita harap ada keikhlasan pada pemimpin Umno dalam mengkebajikan program-programnya," katanya.

Turut menjadi panel forum sempena Konvensyen Fiqh Politik itu ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkely Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli manakala ahli akademik, Dr. Maszlee Malik sebagai moderator.

Obama: Mesir bukan musuh bukan sekutu

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 15 Sep 2012

(Obama menganggap Mesir bukan musuh tetapi bukan juga sekutu Amerika)

WASHINGTON: Amerika Syarikat tidak menganggap kerajaan Mesir sebagai sekutu atau musuh, menurut Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam satu temu bual televisyen.

"Saya tidak fikir kami menganggap mereka sebagai sekutu, tetapi kami tidak menganggap mereka sebagai  musuh," Obama memberitahu Telemundo, rangkaian berbahasa Sepanyol Rabu lalu selepas sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah filem menghina Nabi menyerang kedutaan AS di Kaherah.

Beliau berkata kerajaan baru Mesir itu, yang telah dipilih secara demokratik, sedang "mencari jalannya sendiri."

Jika pegawai kerajaan mengambil tindakan yang menunjukkan "mereka tidak bertanggungjawab," maka ia akan menjadi “satu masalah yang besar”, kata Presiden dalam temu bual itu, yang disiarkan sepenuhnya Khamis lalu.

Serangan ke atas kedutaan AS di Kaherah berlaku serentak dengan serangan ke atas konsulat AS di Benghazi, Libya yang menyebabkan empat diplomat AS terbunuh, termasuk Duta AS ke Libya.

Komen Obama mencerminkan kewaspadaan mendalam AS terhadap Presiden Mesir, Mohamed Morsi - yang mula mentadbir Jun lalu - selepas serangan kedutaan AS di Kaherah.

Amerika Syarikat adalah sekutu rapat Mesir di bawah autokratik yang digulingkan, Presiden Hosni Mubarak. AS memberi bantuan ketenteraan bernilai USD1.3billion setahun ke Mesir serta bantuan lain.

Obama akhirnya meminta supaya Mubarak berundur kerana beliau menghadapi protes besar-besaran pada awal tahun 2011. Tetapi Presiden AS telah dikritik kerana mengambil masa terlalu lama untuk menyatakan pengaruh mereka.

Khamis lalu Rumah Putih berkata Obama telah bercakap dengan Presiden Mesir dan Libya untuk membincangkan keganasan terhadap diplomat AS.

Obama, dalam panggilan telefonnya dengan Morsi, berkata Mesir "mesti bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam memastikan keselamatan kakitangan dan fasiliti diplomat AS," lapor Rumah Putih.

Ikhwan, FSA kutuk serangan ke atas kedutaan AS

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 15 Sep 2012

(Serangan ke atas keduataan Amerika di Benghazi, Libya)

BEIRUT: Ikhwanul Muslimun Syria dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengutuk keras serangan ke atas kedutaan Amerika di dunia Arab termasuk serangan yang menyebabkan duta Amerika di Benghazi, Libya mati baru-baru ini.

Mengulas mengenai serangan ke atas kedutaan AS di dunia Arab, jurucakap Ikhwanul Muslimin SyrIa, Zuhair Salim, memberitahu Asharq Al-Awsat ,"Kita tidak harus membesar-besarkan isu ini. Apabila sesuatu berlaku, kita tidak perlu menuding jari kepada revolusioner dan orang-orang Arab".

Beliau menambah, "Kami, Ikhwan Muslimin, mengutuk serangan ke atas kedutaan AS di Libya, dan kami menyeru kepada pihak yang bijak untuk mengambil inisiatif dan tidak meninggalkan perkara perkara ini kepada pihak yang jahat."...

Timbalan Ketua Turus Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army), Kolonel Aref Hamoud, mengutuk serangan dan serbuan ke atas kedutaan-kedutaan AS di Libya dan Mesir.

Bercakap secara eksklusif kepada Asharq Al-Awsat, Hamoud berkata, "Kita menentang perbuatan tersebut yang menghina revolusi rakyat dan kebangkitan Arab."

Bercakap tentang kemungkinan kebangkitan Al-Qaeda di Syria, Hamoud menegaskan "Apa-apa  boleh berlaku kerana kekurangan tindakan masyarakat antarabangsa terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim.

“Syria telah menjadi tanah subur untuk percambahan pelbagai kumpulan. Setakat ini, kumpulan-kumpulan ini adalah minoriti dan tidak sama taraf dengan organisasi Al-Qaeda, namun jika masyarakat antarabangsa terus mengabaikan rakyat Syria, tidak syak lagi bahawa kumpulan ini akan mulai muncul dan merebak [ke seluruh Syria]. "

Beliau juga berkata bahawa rakyat Syria yang percaya bahawa masyarakat antarabangsa telah lupa tentang mereka akan menolak rakyat Syria ke arah agama, dan selanjutnya kepada kumpulan yang menaikkan panji-panji agama.

Kolonel Hamoud menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf Tentera Pembebasan Syria secara rasmi dan memberi dana kepada mereka untuk membolehkan ia menjadi badan tunggal untuk membawa senjata di Syria.

Ahli Majlis Kebangsaan Syria, Samir Satouf mengesahkan bahawa Al-Qaeda wujud di Syria, tetapi di bawah pelbagai nama. Beliau memaklumkan Asharq Al-Awsat bahawa Bashar al-Assad telah membiaya sekutu-sekutu Al-Qaeda ini - dengan pengetahuan Barat - sejak sebelum berlakunya revolusi.

Beliau berkata, "Tiada beza antara kumpulan pelampau Syria dan Al-Qaeda; pelampau adalah saudara kepada pelampau. Kami mempunyai maklumat yang mengesahkan bahawa al-Assad membiayai kumpulan pelampau yang bekerjasama dengan Al-Qaeda, dan beliau akan terus membekal senjata kepada mereka, yang diseludup ke Syria di bawah perlindungan pihak keselamatan Syria. "

Satouf menegaskan bahawa krisis Syria yang berpanjangan dan ketidakmampuan atau keengganan masyarakat antarabangsa untuk mengambil satu pendirian tegas kepada keadaan ini, hanya akan memburukkan lagi masalah, sambil menambah bahawa ia semakin sukar bagi rakyat Syria untuk terus menghadapi cabaran tersebut.

Beliau memberi amaran bahawa keadaan ini hanya akan membawa Syria ke arah "perang saudara" seperti  yang dipupuk oleh pihak rejim.

10,000 beli meja untuk Jamuan Pakatan

Harakahdaily, 15 Sep 2012


(Sebahagian dari kira-kira 10,000 yang menyertai jamuan Pakatan Rakyat di Sutera Mall, Skudai, Johor Bahru)

JOHOR BAHRU: Lebih 10,000 orang rakyat Johor membeli kerusi untuk menyertai jamuan 1,000 meja yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Skudai, Johor malam tadi.

Ia dianggap antara jamuan berbayar terbesar yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Johor dan mendapat sokongan hebat rakyatnya.

Majlis itu diadakan di Sutera Mall, Skudai, Johor Bahru dengan disertai oleh para pemimpin kanan Pakatan Rakyat dari PAS, PKR dan DAP.

Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfodz Mohamed dan juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution

Anwar yang berucap di majlis itu mengajak rakyat Johor jangan lagi toleh kebelakang dan terus mara ke hadapan walaupun pelbagai ancaman yang dibuat kepada Pakatan Rakyat.

"Masa rakyat Johor bersama Pakatan telah tiba dan kita akan terus mara ke hadapan," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Mohamad Sabu juga mengajak rakyat Johor bersama politik baru dan menolak politik samseng dan perkauman.

Beliau juga turut menegaskan komitmen PAS bersama Pakatan Rakyat dan mempastikan semua rakyat negara ini melaksanakan politik baru.

"Politik perkauman dan ganas sudah ketinggalan," kata beliau merujuk kepada beberapa kejadian ganas terhadap pemimpin Pakatan termasuk kepada bas Merdeka Rakyat.

Salahudin Ayub pula dalam ucapannya melahirkan keyakinan beliau rakyat Johor akan bersama Pakatan untuk ke Putrajaya.

"Pakatan mempunyai potensi yang cerah di negara ini dan zaman Johor deposit tetap BN sudah berakhir," kata beliau di depan lebih 10,000 tetamu yang membeli meja untuk menyertai majlis itu.

Seminggu ada, tiga minggu tiada air di Beufort

Harakahdaily, 15 Sep 2012
BEAUFORT: “Seminggu ada bekalan air, tiga minggu tiada bekalan air. Bekalan elektrik pula sering kali putus. Kadangkala bekalan elektrik putus sehingga dua atau tiga hari.

"Ini lah nasib penduduk Kampung Ulu Weston sejak berpuluh tahun lalu,” kata Ketua Cawangan PAS Kampung Ulu Weston, Beaufort, Ahmad Kambar (gambar).

Ahmad yang juga Bekas Pengarah Perpaduan Negeri Sabah berkata, ini memaksa penduduk membeli sebanyak mungkin tangki air untuk menyimpan air yang setiap satunya bernilai RM250.00. Ini pasti membebankan penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Ekonomi dan pendapatan nelayan di sini juga merosot kerana tiada usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah muara sungai yang cetek.

"Ada pengumuman kerajaan untuk memberi bantuan bot dan jala baru kepada nelayan tetapi janji tinggal janji sahaja," katanya...Harakah Cetak.

18 tahun BN perintah Sabah, apa rakyat dapat

Muhammad Faizal, 16 Sep 2012
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin memberitahu mesti ada sebab kenapa beliau meninggalkan Umno serta sanggup kehilangan gaji.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan lebih 200 orang penduduk Kampung Bawan, Membakut bersempena Program Ambang Hari Malaysia di Sabah petang semalam.

"Saya hilang gaji sebagai timbalan menteri, tetapi saya tetap meninggalkan Umno Barisan Nasional.

"Kerana saya lihat dalam Umno sudah banyak kepincangan berlaku terutamanya dalam soa kroni serta melibatkan kewangan," jelasnya.

Jelasnya lagi, beliau meletakkan kebajikan rakyat Sabah lebih utama, walaupun Barisan Nasional merupakan lubuk emas untuk beliau mengumpul harta kekayaan.

Ahli Parlimen Beaufort itu turut menyatakan kalau beliau sanggup keluar dari Umno kenapa tidak rakyat Sabah membuat perubahan pada pilihanraya nanti.

"Umno Barisan Nasional telah memerintah Sabah selama 18 tahun namun apa yang Sabah dapat dari hasil pemerintahan mereka.

"Walaupun Sabah kaya namun negeri ini terus ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung," katanya

Tambahnya lagi, sepanjang beliau bersama Umno apa yang ingin beliau lihat adalah perubahan kepada rakyat namun sebaliknya berlaku yang mana rakyat terus miskin tetapi pemimpin Umno BN terus membolot kekayaan.

"Rakyat Sabah hanya diumpan dengan jalan raya hanya selebar 8 kaki tapi keuntungan semuanya dibolot oleh mereka yang berkuasa.

"Saya yakin jika Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memerintah, hak kebajikan dan pembangunan Sabah akan diutamakan," sambung beliau lagi.

Lajim memberitahu, Pakatan Rakyat akan menjadikan kebajikan rakyat lebih utama bukannya sepertimana dilakukan oleh Umno BN yang lebih mementingkan kroni.

"Bukan mudah untuk saya menyertai pembangkang, banyak risiko terutama dari pihak berkuasa.

"Yang tidak pernah ada fail di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun boleh diwujudkan," kata beliau sambil disambut tepukan orang ramai.

Sambil berseloroh, Lajim mengatakan ada satu janji Umno BN yang belum dilaksanakan dan kebanyakan penduduk mengatakan 'jambatan ajaib'.

"Yang mana di Kampung Berunai, jambatan telah disiapkan namun jalan tidak ada dan rakyat terpaksa menggunakan jambatan yang lama.

"Itulah jambatan ajaib, jambatan siap tetapi tiada jalan, malah rakyat masih menggunakan jambatan yang lama," ujarnya lagi.

Hari Malaysia: Mengisi dengan semangat Islam

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 16 Sep 2012
Firman Allah, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.  Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah” (Surah Al-A'raaf 7:11-12).

Sukacita saya mengulangi apa yang pernah saya ucapkan sebelum ini, bahawa kita hendaklah merdeka daripada penjajahan. Ini kerana penjajah membawa fahaman yang berlawanan dengan ajaran Islam. Penjajah yang membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman ini ditolak oleh Islam.
Sebagaimana sifat iblis yang suka menghasut manusia supaya berbuat sesuatu yang berlawanan dengan perintah Allah. Sifat iblis ini adalah suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka iblis adalah penjajah pertama terhadap manusia. Oleh itu, kemerdekaan dari hasutan iblis adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari fahaman kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.
Di dalam Al-Quran, seperti mana maksud ayat Surah Al-A’raaf di atas bahawa datuk manusia yakni Adam dan Hawa pernah dihasut oleh iblis ketika dalam syurga. Iblis menjalankan ‘penjajahan’ agar Adam dan Hawa mengikut hasutannya memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah. Iblis melaksanakan pendekatan ‘ghurur’ dengan memujuk secara tipu daya, kononnya apabila memakan buah larangan itu Adam dan Hawa akan kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Hakikatnya, pujukan iblis itu merupakan suatu penipuan ke atas manusia yang memang ada kelemahan (lupa). Akibat pujukan dan tipu daya iblis, lalu manusia yang lemah itu terpengaruh. Justeru itu Adam terpengaruh. Akibatnya Adam dimurkai Allah, lalu Adam dan Hawa dihalau keluar dari syurga dan dihumban ke dunia.
Walau pun begitu, Adam dan Iblis tetap berbeza. Adam telah mengaku salah dan memohon keampunan dari Allah. Sementara iblis tetap engkar untuk tunduk kepada perintah Allah, malah bersikap angkuh terhadap tuhan yang menciptanya. Iblis juga mempersoalkan perintah Allah agar sujud kepada Adam dengan katanya: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”  Iblis bangga dengan sifat api yang menyala dan meruap ke atas, sedangkan Adam dipandang hina kerana sifat tanah berada di bawah. Iblis tidak sujud sedangkan malaikat yang dicipta dari cahaya sanggup sujud kerana patuh perintah Allah SWT.
Inilah perbezaan besar sifat iblis dengan manusia. Atas perbezan inilah, sewajarnya kita kena merdeka diri dan negara ini daripada sifat iblis yang dilaknat Allah. Oleh kerana itu, semangat kesatuan di bawah sebuah negara merdeka, Hari Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963 sejak dulunya, (masuk 51 tahun) harus dikenang dan dijadikan landasan bagi mengisi negara dengan nilai kemerdekaan menurut semangat Islam. Kita hendaklah mengisinya dengan prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh Islam.
Maksudnya di sini, kita tidak boleh mengisi negara ini dengan pemikiran penjajah Inggeris yang mirip menghasut umat Islam menerima fahaman mereka – menolak prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh Islam. Sedangkan umat Islam diajar oleh Nabi Muhammad SAW agar mengisi dan melaksana urusan negara ini berpandukan prinsip dan ajaran Islam. Inilah amanah Allah kepada semua umat manusia tidak kira Melayu, Cina, Inggeris mahu pun Arab.
Sesungguhnya, manusia sedia memikul amanah Allah, sebagaimana firman-Nya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (Surah Al-Ahzaab 33:72).
Di atas kesanggupan memikul amanah tersebut, sebagai umat yang beriman tidak kira Melayu, Cina, India, mahu pun Inggeris atau Arab; kesemuanya haruslah menjadikan dunia ini sebagai medan melaksana amanah Allah. Medan (dunia) menuju ke akhirat. Justeru segala isi alam ini (langit dan bumi) adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, mana-mana pihak yang mengambil prinsip selain apa yang diamanahkan-Nya, maka ia hendaklah ditolak.  Cara menolaknya mengikut lunas sekarang ialah jangan mengundi mereka.
Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku sekarang, apabila dunia kini sudah berubah. Lihatlah peristiwa ‘Arab Spring’ yang menyaksikan di beberapa negara sudah menolak pemimpin dan kerajaan yang bersengkongkol dengan Barat atau menjadi talibarut Israel. Ia berlaku di Mesir, Tunusia, Libya, Algeria dan sekarang di Syria. Inilah hakikat kebangkitan golongan yang ingin mengisi negara yang merdeka dengan amanah Allah. Mereka bersedia meletak agama bagi mengisi dunia menuju akhirat. Realiti ini sudah berlaku di Kelantan sejak 22 tahun dulu yang kini sedang bermula pula di dunia Arab.
Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk untuk kita terus berusaha melaksanakan amanah Allah di dunia ini.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
Pulau Melaka.
29 Syawal 1433 bersamaan 16 September 2012.

Ustaz Azhar tidak mahu jadi calon PAS terhangat

Harakahdaily, 16 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Berita yang dipetik daripada blog  http://addin77.blogspot.com yang menerangkan mengapa Ustaz Azhar Idrus enggan terlibat secara langsung dalam politik ialah artikel paling popular di Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-37.


Di tangga kedua, berita mengenai kemuliaan Sultan Kelantan yang dipaparkan http://kachipemas.blogspot.com .

Berita mengenai berita terhangat minggu lepas mengenai peristiwa ‘Kami mintak maaf, talian terputus’ di sebuah rancangan TV pula menduduki tempat ketiga.

Berita http://greenboc.blogspot.com yang mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin UMNO menunjukkan tanda simbolik Jewish Magi pula menduduki tangga keempat.

Di tangga kelima, ialah berita ulasan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai bagaimana ‘Syaitan yang dikenali’ menangis akibat tindakan Majlis Syura dalam kontroversi melibat Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 9 September hingga 15 September, 2012.

1
Rupanya sebab ni Ustaz Azhar tolak jadi calon PAS
2
Akhlak sultan terhebat dewasa ini
3
‘Kami mintak maaf, talian terputus’ terhangat
4
Kenapa pemimpin Umno tunjuk tanda simbolik Yahudi?
5
Majlis Syura: ‘Syaitan dikenali' menangis
6
Cerita Nik Aziz yang menyentuh jiwa...
7
Nyanyian Iqwal, Rosmah dan Najib
8
Polis buru samseng Umno?
9
Penting: Mohon sebar-sebarkan...
10
10 tokoh sertai PAS di Himpunan Hijau Putrajaya

Tiada ulasan: