Rabu, 19 September 2012

BANTAH ITU BAGUS...BERIMAN PADA RASUL...TETAPI JANGAN BANTAH TAPI TAK SOLAT...BUAT MUNGKAR SANA SINI...INI TAK BETUL LAH....BUATLAH SEMUA AJARAN ISLAM DAN TINGGALKAN YANG MUNGKAR

Himpunan Sejuta Umat juga di Johor Jumaat ini

Salman Hussin, 19 Sep 2012
JOHOR BAHRU: Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru juga akan bergema dengan himpunan sejuta umat Islam bagi membantah pembikinan serta penyebaran filem Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, yang menghina keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.

Himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Taman Perling Johor Bahru, selepas solat Jumaat, 21 September ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ghazaley Ayub, dalam kenyataan medianya turut memberitahu, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), berhubung perkara berkenaan pada Khamis ini.

“Kita akan meminta MAIJ mengeluarkan Khutbah Khas pada hari Jumaat ini, kita harap pihak berkenaan dapat mengeluarkan khutbah yang akan mengupas dengan lebih lanjut isu berkenaan termasuk perkara-perkara yang berkait dengan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w..”

“Kita juga berharap mimbar Jumaat ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam dengan memberi penjelasan yang terperinci kepada umat Islam berhubung perkara berkenaan.”

Selain itu menurut beliau, PAS juga mengajak seluruh umat Islam di negeri ini serta semua parti politik dan Ngo bersama-sama pada himpunan tersebut.

“Kita menyeru seluruh umat Islam serta parti-parti politik termasuk Umno, menyertai himpunan ini kerana isu ini melibatkan umat Islam secara keseluruhan, tidak kira apa parti sekali pun, dalam konteks ini kita perlu membuktikan kesepaduan kita dalam menangani isu ini, justeru kita berharap Umno sudi bersama-sama kita untuk menyatakan bantahan terhadap pihak yang cuba menghina Islam khususnya Nabi Muhammad s.a.w..”

Selanjutnya menurut Ghazaley, pihaknya juga akan menjemput rakan-rakan dari DAP untuk sama-sama pada himpunan tersebut.

“Selama ini DAP dilabel sebagai anti Islam maka untuk membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, mereka juga akan turut serta pada himpunan ini.”

Hina Nabi: Siapapun berhak turun Jumaat ini

Harakahdaily, 19 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempelawa seluruh umat Islam yang cintakan agama turun dalam himpunan membantah filem 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi pada Jumaat, 21 September ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, semua pihak berhak turun menyatakan bantahan dan tidak timbul soal siapa pelawa siapa untuk himpunan itu nanti.

"Saya telah diaju pelbagai soalan oleh media berkait sikap pemuda PAS  terhadap pelawaan pemuda Umno dalam isu himpunan membantah penghinaan terhadap Rasululla SAW.

"Suka saya tegaskan bahawa perkara ini bukanlah isu sebenar. Sebaliknya, yang jadi isu ialah penghinaan ke atas Nabi SAW. Adapun, siapa membantah filem yang menghina Nabi itu, turunlah ke kedutaan US Jumaat ini. Habis cerita," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada pihak yang mahukan pendirian dewan itu terhadap pelawaan pemuda Umno.

Menurut Nasrudin, DPPM sedari awal, sejak Rabu, 12 September lalu telah memutuskan untuk mengadakan himpunan di Kedutaan Amerika itu pada Jumaat ini.

Sedangkan hanya pada Isnin, 17 September lalu, beliau mengetahui melalui media bahawa pemuda Umno ada mengajak pemuda PAS untuk turun berdemontrasi bersama-sama.

"Terima kasihlah kerana menjemput kami. Kalau tiada jemputan pun, Kami memang akan turun pada 21 September ini, kerana kami terlebih awal telah “dijemput" oleh Nabi kami SAW untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaannya," katanya lagi.

Nasrudin juga melahirkan rasa hairan kenapa isu 'pelawaan' tersebut dipolemikkan sehingga mengalih pandangan umum daripada isu sebenar .

"Atau mereka sengaja mahu mencari political millage dan hendak tunjuk hero kepada masyarakat? Kalau mahu berdemo, turun saja lah, tidak perlu buat bising. Apakah mereka bergantung kepada keputusan pemuda PAS baru akan turun demonstrasi?

"Lucunya, kenduri belum lagi bermula, sudah ada yang berebut meja makan. Tunggulah hari kenduri, kemudian datang dan ambillah mana-mana kerusi dan meja kosong. Kenapa mahu bising-bising? Mahu cari publisiti murah?" soalnya.

Selamat datang para pencinta Nabi SAW

Harakahdaily, 19 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kedatangan para peserta demonstrasi ke Kedutaan Amerika pada hari Jumaat ini, 21 Sept bagi membantah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Bagi DPPWP, kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob kehadiran peserta untuk berdemonstrasi tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik mencerminkan keprihatinan dan sensitiviti rakyat Malaysia berkenaan isu agama di negara ini.

“Ianya turut membuktikan rasa cinta dan sayang umat Islam di Malaysia terhadap Rasulullah SAW.

“DPPWP yakin, kehadiran demonstrasi kali ini bukan sahaja dihadiri oleh rakyat Malaysia, malahan akan turut disertai oleh ribuan umat Islam yang berasal dari negara lain tetapi menetap di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, DPPWP turut mengecam terhadap sikap biadap yang ditunjukkan oleh Sam Bacile atau nama lainnya Naloula Basseley Nakoula yang secara berani menghina Nabi Muhammad SAW melalui filemnya.

“Perbuatan Sam Bacile ini menzahirkan sikap anti-Islamnya dan tidak bertamadun kerana sanggup menghina agama lain.

“Golongan ini sentiasa tidak puas dan akan mencari jalan bagaimana untuk menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Bagi DPPWP, katanya tiada kemaafan bagi mana-mana pihak yang sanggup menghina Nabi Muhammad SAW yang amat dicintai.

“Bahkan, kami Pemuda PAS sanggup menggadaikan nyawa dan darah demi mempertahankan kesucian Islam dan Rasulullah SAW daripada dihina,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau DPPWP ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang berada di Lembah Klang untuk hadir bersama-sama berhimpun di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

DPPWP juga, ujarnya komited untuk menghantar seramai 5 ribu orang pemuda untuk bersama-sama hadir ke demonstrasi pada Jumaat ini.

Kejutan Dun Kelantan, pembangkang tiada soalan

Salmah Mat Husain, 19 Sep 2012
KOTA BHARU: Tidak pernah berlaku dalam sejarah persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan khususnya sejak tahun 1990 hingga hari ini di mana pembangkang tidak menghantar soalan bertulis atau lisan.
Sama ada ianya satu perancangan atau ketiadaan idea, namun sidang Dun Kelantan yang bakal berlangsung 15 hingga 17 Oktober ini menyaksikan kejutan apabila pembangkang tidak menghantar soalan untuk dikemukakan pada kerajaan negeri sama ada melalui lisan atau bertulis sebagaimana lazimnya.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar) selepas mesyuarat exco tengah hari tadi.

Fadzli  memaklumkan bahawa sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan yang akan berlangsung Oktober depan menyaksikan satu kejutan kerana tiada soalan bertulis atau lisan dikemukakan oleh pihak pembangkang.

“Situasi ini kali pertama berlaku dalam tempoh 22 tahun pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, ini mungkin kerana pihak pembangkang di negeri ini sudah berpuas hati dengan pencapaian kerajaan negeri ataupun sudah kehabisan modal untuk berhujah.

“Bagaimanapun kita tunggu nanti dalam dewan mungkin akan ada soalan-soalan tambahan, tetapi kalau soalan dari mereka sendiri memang tidak ada,” ujarnya.

Mesir keluar waran tangkap dalang filem hina Nabi

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 19 Sep 2012


(Pastor Terry Jones memberitahu Associated Press bahawa beliau telah diminta untuk mempromosikan video hina Nabi tersebut)

KAHERAH: Pejabat pendakwa raya Mesir telah mengeluarkan waran tangkap untuk tujuh orang Kristian Koptik Mesir dan seorang paderi Amerika dari Florida atas peranan mereka dalam filem yang menghina Nabi yang telah mencetuskan kekacauan dalam dunia Islam.

Waran dikeluarkan Selasa lalu, mengarahkan defendan menghadapi perbicaraan atas tuduhan berkaitan filem "Innocence of Muslim", yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang penipu, kasanova, dan pelawak.

Rusuhan yang dicetuskan filem tersebut mengakibatkan kematian duta AS ke Libya dan tiga rakannya minggu lepas.

Empat lelaki tersebut diserang di bandar timur Libya, Benghazi, tempat bermulanya pemberontakan bersenjata yang menggulingkan Muammar Gaddafi tahun lepas.

Banyak protes terhadap filem tersebut telah diadakan di negara Arab dan negara Islam - termasuk Afghanistan, Yaman dan Indonesia - dengan penunjuk perasaan menyeru Amerika Syarikat menghukum dalang di sebalik video tersebut.

Tuduhan ini hanyalah simbolik kerana tujuh lelaki dan seorang wanita yang didakwa dipercayai berada di luar Mesir dan tidak mungkin akan ke Mesir untuk menghadapi tuduhan tersebut.

Keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ini bertujuan menenteramkan kemarahan orang ramai terhadap filem amatur yang trelernya telah menarik puluhan juta tontonan di Youtube.


Defendan Utama


Antara mereka yang didakwa adalah Nakoula Basseley Nakoula, seorang warga Mesir Koptik yang tinggal di selatan California dan dipercayai menjadi dalang di sebalik filem itu.

Mereka yang turut didakwa adalah seorang paderi Amerika, Pastor Terry Jones, yang berkata beliau telah dihubungi oleh pembikin filem untuk mempromosikan filem tersebut dan Morris Sadek, seorang konservatif Kristian Koptik di Amerika Syarikat yang meletakkan video tersebut di laman webnya.

Kaitan lima defendan yang lain dengan filem itu bagaimanapun tidak begitu jelas.

Nakoula, 55, memberitahu agensi berita AP dalam satu temu bual minggu lepas di luar Los Angeles bahawa dia adalah pengurus syarikat yang menghasilkan filem "Innocence of Muslims”.

Jones juga memberitahu AP bahawa beliau telah dihubungi oleh Nakoula untuk mempromosikan filem tersebut.

Pejabat pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan bahawa tertuduh, termasuk penerbit filem, menghadapi dakwaan merosakkan perpaduan nasional, menghina dan menyerang Islam secara terbuka dan menyebarkan maklumat palsu. Mereka boleh menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tarikh perbicaraan masib belum ditetapkan.

Mamdouh Ismail, seorang peguam Salafi, memuji keputusan pendakwa raya.

Walaupun menyedari bahawa lapan defendan akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka, Ismail berkata mengarahkan mereka ke perbicaraan akan membantu membendung kemarahan orang ramai.

"Sekarang ini adalah langkah undang-undang dan bukannya reaksi kemarahan, yang akibatnya tidak dapat ditentukan," katanya. "Ini juga akan menetapkan batasan untuk mereka dan sesiapa sahaja yang mungkin melakukan kesalahan ini”.

Kenyataan pendakwa raya, yang mana satu salinannya telah diperolehi oleh AP, dikeluarkan selepas penyiasat filem menentukan bahawa filem tersebut mengandungi adegan yang menghina institusi Islam dan Mesir.

Kenyataan itu juga mengatakan bahawa mereka menyoal 10 plaintif sebelum mengeluarkan tuduhan tersebut.

Warga Libya yang cuba selamatkan Duta AS

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 19 Sep 2012
KAHERAH: Duta Chris Stevens masih bernafas apabila warga Libya menjumpai beliau di dalam sebuah bilik di Konsulat Amerika di Benghazi, Libya.

(Duta Amerika masih hidup ketika cuba diselamatkan oleh rakyat Libya selepas serangan ke atasnya)

Mereka memberi galakan, "Hidup, hidup" dan "Allah Maha Besar" apabila mendapati beliau masih bernafas dan kemudian cuba untuk menyelamatkan beliau selepas serangan maut minggu lalu di bandar timur Libya, sekumpulan saksi memberitahu The Associated Press Isnin lalu.

Fahd al-Bakoush, juruvideo bebas, adalah antara orang awam Libya yang merayau bebas di dalam konsulat selepas sekumpulan lelaki bersenjata dan penunjuk perasaan mengamuk di situ Selasa lalu. Al-Bakoush berkata dia mendengar seseorang memanggil-manggil bahawa dia tersadung satu mayat.

Sekumpulan orang berkumpul sambil beberapa lelaki menarik orang yang seolah-olah tidak bernyawa dari bilik tersebut. Mereka melihat orang tersebut masih hidup dan warganegara asing, dan tiada siapa yang tahu siapa orang tersebut, kata al-Bakoush.

Orang itu masih bernafas dan kelopak matanya berkedip-kedip, kata a-Bakioush. "Dia masih hidup,Tidak syak lagi. Mukanya telah dihitamkan dan dia seperti orang lumpuh."

Video yang diambil oleh al-Bakoush dan diposkan di YouTube menunjukkan Stevens sedang dibawa keluar bilik gelap melalui tingkap oleh orang ramai. "Bawa dia keluar," jerit orang ramai. "Beri laluan, beri laluan!"

"Hidup, Hidup!" datang teriakan lain, kemudian sorakan "Allah Maha Besar."

Adegan seterusnya menunjukkan Stevens berbaring di atas lantai jubin, dengan seorang lelaki menyentuh lehernya untuk memeriksa nadi beliau.

Video itu disahkan tulen  kerana muka Stevens dapat dilihat dengan jelas dan dia memakai baju putih yang sama yang dilihat dalam gambar yang turut disahkan tulen yang menunjukkan dia dibawa di atas bahu orang lain.

Dua rakan al-Bakoush yang turut menyaksikan kejadian tersebut mengesahkan bahawa al Bakoush telah mengambil rakaman itu.

Stevens dan tiga rakyat Amerika lain telah terbunuh dalam serangan ke atas konsulat Amerika Syarikat, sebahagian daripada gelombang serangan ke atas misi diplomatik AS di negara-negara Islam kerana membantah filem yang dibuat di Amerika Syarikat yang menghina Nabi Muhammad.

Futsal Harakah: Cabutan undi 22 September

Harakahdaily, 19 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Proses cabutan undi bagi Kejohanan Futsal Piala Tok Guru sempena 25 Tahun Harakah akan diadakan pada jam 9 malam, 22 September ini bertempat di Ferro Futsal Center Subang Jaya.

Cabutan undi tersebut bagi menentukan kedudukan setiap pasukan dalam kumpulan yang disediakan.

Sehubungan itu setiap wakil pasukan yang sudah mendaftar diminta hadir pada malam tersebut untuk membuat undian.

Kejohanan Futsal Piala Tok Guru sempena 25 Tahun Harakah akan berlangsung pada 23 September ini di di Ferro Futsal Center Subang Jaya.

Perasmian pembukaan akan disempurnakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood manakala majlis penutup pula akan disempurnakan Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Yunus Hairi.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai masing-masing RM3,000 kepada johan, RM2,000 naib johan dan RM1,500 untuk tempat ketiga beserta medal dan piala.

Menurut Pengarah Program, Mohd Rashidi Hassan, sehingga kini sudah 82 pasukan telah mengesahkan penyertaan.

"Setakat ini kita menerima penyertaan yang sangat menggalakkan dan persediaan untuk kejohanan itu sudah di peringkat akhir.

"Kita mengharapkan kejohanan kali ini berjalan lancar," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut memberitahu, tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga jam 12 tengahari esok dan mana-mana pasukan yang sudah mendaftar secara online dan belum membuat bayaran, boleh menjelaskannya sebelum waktu tersebut.

Yuran penyertaan adalah RM150 untuk setiap pasukan dan boleh mendaftar secara online di http://myharakah.net atau menghubungi terus unit pendaftaran, En Fauzi 012 686 9236 atau En Faisal 016 689 4322.

Hasil kerja orang kurang cerdik (gambar)

http://naimnikmat.blogspot.com, 19 Sep 2012
http://bm.harakahdaily.net/cache/397348_452397064805323_591387153_n_thumb_medium490_0.jpg

Langsung tak mesra o.k.u.

Tiada ulasan: