Jurucakap rasmi kerajaan Selangor berhubung isu tersebut, Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemimpin BN masih "buat-buat tidak faham" kaedah kutipan hutang sebanyak RM392 juta dari anak syarikat kerajaan negeri itu, Talam Corp Sdn Bhd.

Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menurutnya, cuba menggunakan isu berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana mendakwa isu itu masih "tidak berkesudahan sehingga hari ini''.

Walhal, isu hutang Talam itu dianggap selesai apabila selepas syarikat itu melunaskan hutang-hutangnya melalui pemberian tanah dan aset kepada kerajaan negeri, katanya.

"Umno dan BN menuduh Pakatan menyelamatkan (bailout) atau istilahnya membayar Talam bagi menyelesaikan hutang Talam kepada kerajaan negeri.

"Hakikatnya kita melakukan (proses) round tripping iaitu seperti kitaran yang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

"Dari segi undang-undang, proses ini betul. Sebab itu MBI ada kuasa untuk tuntut pinjaman daripada Talam," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin pada hari Sabtu lalu yang berkata isu hutang Talam itu, selain isu pasir dan bekalan air, merupakan antara pelbagai isu yang tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan negeri Selangor.

Muhyiddin juga berkata, perkara itu mampu menjadi ramuan mencukupi bagi BN merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.
Penjelasan hampir sejam

Selain Muhyiddin, isu hutang Talam itu juga menjadi sasaran utama oleh koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin dan anggota jawatankuasa pusat MCA, Datuk Chua Tee Yong.
''Tolonglah TPM, Mohd Zin dan Chua faham isu ini. Yang kata kita bayar hutang RM1 bilion pada Talam.
"Penilaian ini bukan dibuat oleh kroni-kroni tetapi dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Dalam sidang media hari ini, Dzulkefly turut meluangkan masa hampir sejam untuk menjelaskan proses round tripping itu.

Katanya, langkah itu melibatkan tindakan oleh sebuah anak syarikat Selangor Selangor Industry Corporation mengambil alih tiga buah anak syarikat negeri lain yang berhutang dengan Talam.
Syarikat yang menanggung hutang itu ialah Permodalan Negeri Selangor Berhad, Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad diambil alih dengan menggunakan RM392 juta hasil pinjaman bank CIMB, katanya.
Selepas audit dilakukan dan pengesahan hutang Talam dibuat, kerajaan negeri kemudiannya membuat dua perjanjian bagi membolehkan Talam membayar hutang mereka mereka, jelasnya lagi.
Apabila jumlah Rm392 juta itu diluluskan di DUN, Perbadanan Menteri Besar kemudiannya mengambilalih SSIC, menyebabkan hutang tiga anak syarikat tersebut berpindah terus kepada MBI, katanya lagi.
VIDEO l 3.16 min