Rabu, 26 September 2012

HUDUD NI HUKUM ALLAH...JANGAN NAK LAWANLAH KEHEBATAN ALLAH...PATUT KITA BERSYUKUR ALLAH DAH HIDUPKAN...NI MELAWAN PULAK...NI UNTUK PERHATIAN ORANG YANG YANG MENGAKU MUSLIM

P'raya Kampus: Pro-M kekal kuasai UKM

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KAJANG: Keputusan pilihan raya kampus bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan kumpulan pro-M yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa UKM (GMUKM) kekal menguasai kampus itu.

GMUKM menang di 19 kerusi berbanding kumpulan pro-Aspirasi yang hanya menang lapan kerusi.

Calon bebas turut memenangi satu kerusi pada pilihan raya kampus itu kali ini.

GMUKM meletakkan calon mereka di 28 kerusi iaitu sembilan kerusi umum manakala 19 lagi di fakulti.

Kemenangan majoriti itu sekaligus mengekalkan penguasaan Pro-M di kampus itu.

Pada pilihan raya kampus tahun lalu, GMUKM menang 23 kerusi.

Pilihan raya kampus bukan penanda aras PRU13

Muhammad Hasbullah Md Najib,
Setiap tahun warga kampus akan melaksanakan rutin tahunan mereka bagi memilih kepimpinan mahasiswa yang akan menjadi suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran universiti.

Namun pilihanraya kampus tahun ini menjadi tumpuan umum kerana inilah pilihanraya kampus terakhir sebelum pilihanraya umum yang ke 13 yang bakal menjelang bila-bila masa dari sekarang.

Ianya kerana sebahagian masyarakat beranggapan bahawa pilihanraya kampus merupakan penanda aras ataupun keputusan jangkaan tentang apa yang bakal berlaku dalam pilihanraya umum yang akan datang. Keputusan di kampus menandakan sokongan golongan anak muda di kampus sama ada memihak kepada kerajaan mahupun Pakatan Rakyat.

Saya selaku mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar ingin menyatakan bahawa teori dan pandangan tersebut adalah tidak tepat untuk masa kini kerana situasi dua perkara ini (Pilihanraya Kampus dan PRU) adalah berbeza sama sekali.
Pertandingan d iantara Pro Aspirasi yang dikatakan menyokong kerajaan dan Pro Mahasiswa yang dikatakan menyokong Pakatan Rakyat sebenarnya tidak berlaku di semua IPTA di dalam negara ini.

Ini kerana tidak semua kampus mengamalkan konsep calon mewakili "Parti" ini dalam bertanding. Sebahagian kampus sebagai contoh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa IPTA lain tidak membenarkan calonnya secara rasmi mengumumkan diri mereka mewakili pihak mana.

Mahasiswa akan mengundi calon itu berdasarkan kapasiti individu itu sendiri dan bukannya dari parti mana. Dalam kes ini juga, apabila calon itu menang maka secara tiba-tiba Aspirasi akan mengaku bahawa mereka menang di kampus tersebut. Saya sendiri pada awalnya dikatakan Aspirasi dan menerima jemputan untuk menghadiri program Aspirasi sedangkan saya tiada kaitan langsung dengan Aspirasi!

Aspirasi juga realitinya tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya telah berkubur lama di sebahagian IPTA. Sewaktu pilihanraya kampus tahun lepas, saya sendiri menjadi "contact person" oleh pimpinan Aspirasi Malaysia bagi menanyakan status terkini perjalanan pilihanraya di kampus kami kerana Aspirasi telah lama berkubur dari persada kampus kami dan mereka tidak mempunyai orang mereka sendiri untuk memberi maklumat kepada mereka.

Antara lain mengapa saya katakan pilihanraya kampus tidak boleh menjadi penanda aras kepada pilihanraya umum adalah kerana, menguasai proksi MPP disemua kampus bukanlah hasrat utama Pro Mahasiswa.

Di kampus-kampus utama terutama di lembah Klang ya! Tetapi tidak di kampus lain. Di sebahagian kampus, Pro Mahasiswa tidak menghantar calon yang penuh dan ada kampus tidak menghantar calon langsung kerana misi siyasah Pro Mahasiswa itu berbeza di setiap kampus bergantung kepada keperluan dan "waqi'" kampus tersendiri. Sebahagian kampus cukup untuk mereka sekadar menguasai perwakilan kolej kediaman dan persatuan sahaja untuk mereka menguasai siyasah kampus.

Keprihatinan mahasiswa dalam arena politik kampus juga jauh berbeza dengan arena politik negara. Mahasiswa lebih terdedah dan peka dengan politik negara yang hangat setiap hari berbanding dengan politik kampus yang hanya hangat setahun sekali seperti menyambut Aidilfitri.

Ini menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak mengambil peduli langsung tentang pilihanraya kampus yang berlaku hinggakan sebahagian kampus terpaksa memberi merit kokurikulum dan merit kolej penginapan kepada sesiapa yang datang mengundi untuk memastikan peratusan mahasiswa yang turun mengundi tinggi.

Inilah mengapa saya katakan bahawa keputusan pilihanraya kampus tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keputusan pilihanraya umum yang akan berlaku kerana realitinya amatlah berbeza dari tanggapan masyarakat umum. Apa yang saya telah nyatakan di atas hanyalah sebahagian dari pengalaman saya sebagai Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar dan tidak termasuk lagi kes-kes kepincangan perjalanan pilihanraya kampus dan keputusan yang meragukan yang berlaku di sebahagian kampus di negara ini.

Penulis ialah Pengerusi Alumni Unimas Zon Selatan Malaysia dan mantan Yang Dipertua MPP Unimas.

Rapid Pengerang: Salahudin cabar Abdul Ghani debat

Muhammad Faizal, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berdebat dengan beliau berhubung isu pengambilan tanah rakyat untuk projek Rapid di Pengerang, Johor.

Menurutnya, Abdul Ghani perlu  menjelaskan tindakan kerajaan negeri mengambil tanah rakyat melibatkan 10 buah kampung tradisi bagi pembangunan projek rapid itu.

"Ini satu peluang terbaik untuk kita mendengar penjelasan kerajaan negeri kenapa mereka mengambil tanah melibatkan 10 buah kampung sedangkan terdapat tanah kosong yang boleh menampung projek tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada satu sidang media diparlimen telah mencabar Salahuddin berdebat berhubung isu tersebut.

Mengulas perkara itu, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Azalina perlu berdebat dengan Pengerusi NGO Pengerang Perihatin, Anis Afida Mohd Azli.

"Kalau Azalina hendak berdebat biar dia berdebat dengan Anis Afida, baru setanding perempuan dengan perempuan.

"Saya lebih berminat untuk berdebat dengan Abdul Ghani kerana beliau mempunyai jawapan berhubung kenapa tanah 10 buah kampung itu diambil dan saya harap Abdul Ghani sudi menyahut cabaran saya ini," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Johor yang tidak menggunakan tanah miliknya sendiri bagi tujuan pembangunan loji bersepadu penapisan, minyak dan petrokimia (Rapid).

Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Mantap, turut mempersoalkan tanah milik kerajaan negeri yang terletak hanya 10 kilometer dari tanah penduduk itu lebih luas dan tiada sebarang pembangunan dilakukan.

PRK: UIA gantung keputusan, mengundi semula

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kampus bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan diadakan sekali lagi berikutan masalah teknikal dalam sistem pengundian secara elektronik (e-undi) yang dihadapi mereka semalam.

Difahamkan pengiraan undi semalam mendapati jumlah undi yang direkodkan melebihi jumlah mahasiswa keluar mengundi.

Ekoran masalah itu, UIAM bakal menjadi kampus pertama membuat pengundian dua kali.

Difahamkan juga, pengundian semula akan diadakan secara manual dalam tempoh seminggu untuk mengelak kejadian serupa berulang.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, untuk mendapatkan keputusan pengundian yang adil dan telus, pihaknya akan mencadangkan kepada senat supaya mengadakan satu lagi pilihan raya kampus secara manual.

Sebanyak 31 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kampus universiti itu pada tahun ini.

Ianya adalah 18 kerusi bagi kampus Gombak dan 13 kerusi bagi kampus Kuantan.

Tahun lalu kumpulan Pro-Mahasiswa menang 23 daripada 26 kerusi.

Cerita untuk YAB Datuk Seri

Hasan Husaini, 26 Sep 2012
Saya tak pandai menulis surat. Saya hanya pandai bercerita. Blog saya juga adalah blog cerita. Ini cerita baru, ini pula cerita lama kalau sudi untuk dibaca.

Cerita ini untuk Yang Amat Berhormat Datuk Seri Memanda Perdana Menteri Malaysia, tanah air saya. Juga untuk mereka yang sudi menadah telinga dan mata untuk membaca lantas menyebarkannya. Demi agama, bangsa dan negara.

Jumaat akan datang, tinggal beberapa hari sahaja lagi. 28 September 2012. Pada hari itu, Kabinet akan bersidang, Memanda Perdana Menteri akan membentangkan bajet kewangan bagi tahun 2013.

Bajet yang sedia ditunggu oleh seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. 1.3 juta penjawat awam semestinya menjadi orang paling awal tersenyum sambil mendengar bajet diumumkan untuk mereka. Tapi kami...?

Saya terdengar cerita dari Malaysia, setiap kali beralih tampuk kepimpinan mahasiswa di IPT dalam negeri, mereka disediakan dengan sut persalinan lengkap. Saya tak tahu berapa nilainya. Presiden  Mahasiswa Malaysia di Jordan hanya memakai jaket bundle.

Majlis Perwakilan Mahasiswa dalam negeri juga diberikan bajet tahunan untuk memudahkan proses mereka mengurustadbir hal ehwal ahli di bawah jagaan mereka.

Pejabat operasi disediakan oleh pihak universiti secara percuma malah berhawa dingin pula. Mereka bermesyuarat dengan tenang, tanpa pening memikir sumber kewangan untuk mengatur langkah bagaimana ingin menebar manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Petrol di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Jordan. Kenderaan awam juga jauh lebih selesa dan terurus berbanding perkhidmatan yang disediakan kepada kami di sini. Perhubungan di Malaysia sangat efektif. Kami hanya ada bas yang akan bergerak apabila penumpang penuh.

Datuk Seri, pada September 2012, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan permohonan lebih 1300 pemohon ke Jordan. Dari jumlah itu, lebih 1089 bertandang.

Kawan-kawan saya bertungkus-lumus menyambut adik-adik baru yang tak pernah mereka kenali, tapi cukup mereka sayangi. Rumah dan penginapan dicari untuk dihuni.

Menyewa van dan bas selepas bertengkar dengan kedegilan arab untuk menyambut mereka di lapangan terbang. Letih dan jerih mereka tak pernah berbayar, Datuk Seri. Mereka berkhidmat untuk Malaysia, tanah air yang mereka cinta. Saya hanya tukang cerita, menyampaikan berita.

Di tempat saya mengaji, Mu'tah University. Pekan kecil yang dipenuhi debu. Rumah kecil 3 bilik dengan dapur sempit dan ruang tamu kosong dan tangki air bersih yang terhad perlu disewa dengan harga lebih RM500. Kebanyakan kami pula datang dengan tanggungan sendiri selepas mendapat izin dari KPT.

Di pekan kecil ini, lebih 700 warganegara Malaysia berteduh. Dengan kesedaran tanggungjawab sosial, sebuah persatuan ditubuhkan untuk memudahkan urusan antara kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kedutaan Malaysia Jordan dan Educatian Malaysia Jordan.

Di Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah, juga persatuan lain di Jordan, kawan-kawan saya bekerja tanpa gaji. Kesedaran sosial mereka sangat tinggi.

Atas dasar tanggungjawab, mereka rela menipiskan perut untuk berkhidmat. Keluarkan duit poket sendiri untuk tambang bas dan isi minyak demi menghadiri mesyuarat, pertemuan dan taklimat.

Kenapa tak tuntut dari persatuan? Persatuan kami, sangat miskin, Datuk Seri.

Saban tahun, kawan-kawan saya pening, bagaimana ingin dicari sejumlah wang untuk menampung kos pengurusan persatuan kecil itu.

Kawan-kawan yang pulang bercuti di Malaysia pula, menebalkan muka memanjat lif dan tangga, menghulurkan surat dan proposal untuk mencari sumbangan dan derma. Kos pengurusan rumah pejabat di pekan kecil Mu'tah menelan lebih RM 20000 untuk setahun.

Tidak termasuk dengan program jatidiri, pembangunan mahasiswa, kebajikan dan tanggungjawab sosial yang dilaksanakan.

Itu di pekan kecil bernama Mu'tah, terletak berhampiran dengan kota Karak yang masyhur. Di Irbid dan Amman bahkan Mafraq, kosnya pasti lebih tinggi. Mereka di bandar maju.

Kami ada idea untuk memacu dan men-transformasi-kan ekonomi pelajar Malaysia di Jordan, tapi kami tidak punyai dana dan biaya kewangan.

Datuk Seri pernah mengajar kami, anak muda dan mahasiswa adalah aset penting negara. Mahasiswa pembentuk negara pada masa akan datang. Kami pula sangat yakin akan peranan kami untuk Malaysia.

Atas sebab itu, meski kami tahu kami akan letih dan sedih, kami tetap berhijrah ke negeri asing untuk menjana transformasi diri agar lebih maju dan mampu untuk memacu negara pada masa akan datang.

Datuk Seri, saya empati kepada nasib mereka, lantas saya menulis. Saya harap, Datuk Seri turut menaruh simpati kepada kami, rakyat Datuk Seri yang bakal kembali ke Malaysia, menyambung legasi 1 Malaysia.

Justeru, apa salahnya andai dicelah ratusan billion yang bakal Datuk Seri umumkan pada Jumaat nanti, selitkan juga barang sejuta dua untuk kami di luar negara.

Ianya bakal meringankan beban kami, agar tidak perlu berletih jerih mencari dana saban Ramadhan. Moga nanti, masa keemasan dan pengurusan cemerlang hasil bantuan dan bajet kewangan itu dapat kami tumpukan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Datuk Seri, saya bercerita tentang Jordan yang saya kenali, tapi sebenarnya, mungkin seluruh dunia saya wakili.

1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

HASAN HUSAINI adalah
Naib Presiden, Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan
Presiden, Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah
Mantan Yang Dipertua, Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Kajian UM sahkan MCA gagal dalam isu hudud

Harakahdaily, 26 Sep 2012


(Pandangan Cina tentang hudud hasil kajian UM)

KUALA LUMPUR: Kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya  Universiti Malaya (UMCEDEL) yang bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13 semalam mengesahkan bahawa MCA dan medianya telah gagal dalam memainkan isu hudud.

Ditanya samada mereka merasakan hudud adalah adil untuk semua, 42% respondan Cina menyatakan ya. Hanya 14 peratus Cina tidak bersetuju dan manakala satu perempat daripadanya menyatakan tidak pasti.

Respondan seterusnya ditanya samada pelaksanaan hudud boleh menjadi penyelesaian kepada peningkatan jenayah, 41% respondan Cina berkata ya manakala 32% menyatakan tidak pasti. Dalam kalangan orang India, separuh daripada mereka tidak pasti, manakala hanya 23% tidak setuju.

Hampir separuh respondan Cina tidak bersetuju atau tidak pasti dengan kenyataan samada hukum hudud boleh dilaksanakan di Malaysia kerana kepelbagaian etnik dan budaya. Akan tetapi, kenyataan yang sama mendapat sokongan satu pertiga orang Melayu, beragama Islam.


(Ini satu lagi keputusan kajian um)

MCA, yang para calonnya ditewaskan teruk pada PRU 2008 telah secara aktifnya cuba mendapat kembali undi pengundi bukan Islam dengan menfokuskan kepada niat kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud pada orang Islam.

Dengan bantuan The Star, akhbar yang dikawal oleh parti Cina tersebut, para pemimpin MCA bertali-arus membuat kenyataan mengenai hudud, menakutkan mereka dengan spektra hak mereka bakal ditindas jika Pakatan Rakyat berkuasa nanti.

Seramai 1,536 respondan telah ditemuramah secara bersemuka oleh UMCEDEL yang dijalankan daripada September 1 hingga September 16, 2012.

Lebih daripada separuh (56%) adalah pemuda berumur 21 ke 40 tahun dan hampir separuh mendapat pendidikan tinggi. Semua respondan adalah pengundi berdaftar, dengan 26 peratus akan mengundi untuk kali pertamanya dalam PRU akan datang.

Walaupun keseluruhan kajian menunjukkan peningkatan kepada Pakatan Rakyat, atau prestasi yang lebih baik untuk PR, satu soalan kajian telah menyatukan para respondan – iaitu samada mereka ingin melihat debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka. 72% berkata ya, hanya 17% berkata tidak perlu untuk debat sedemikian.

Selain itu, majoriti juga bersetuju dengan isu seperti skandal National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil, kilang Lynas dan integriti para pemimpin Umno and BN akan merugikan BN pada PRU ke 13.

Saham FGVH: Hutang RM3,640 dikira RM4,000

Khairil Abdul Rahim, 25 Sep 2012
BANDAR JENGKA: Harapkan dapat saham percuma, rupa-rupanya dikira hutang. Sudahlah begitu, jumlah hutang yang dicaj pula melebihi daripada harga sebenar.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan, sepatutnya peneroka perlu membayar balik pinjaman untuk 800 unit saham Felda Global Venture Holding (FGVH) sebanyak RM3,640 (pada harga terbitan RM4.55), sebaliknya peneroka perlu membayar RM4,000.

Serentak dengan itu beliau menggesa Felda memberi penjelasan mengenai jumlah bayaran balik pinjaman untuk saham yang tidak mengikut harga sebenar atau berhadapan dengan saman peneroka.

“Setiap negeri membuat pinjaman melalui bank yang berbeza. Peneroka Felda di Johor contohnya melalui Maybank, mereka diminta membayar semula pinjaman sebanyak RM5,000. Bagi negeri Pahang pinjaman melalui CIMB yang dikenakan caj RM4,000

“Sekiranya setiap peneroka di negeri ini terpaksa membayar RM4,000 berbanding jumlah sebenar, ke mana perginya lebihan wang RM360 bagi setiap peneroka yang membayar baik hutang saham tersebut?

“Bayangkan sekiranya setiap peneroka membayar RM360, dengan andaian kira-kira 80,000 peneroka yang membeli saham tersebut secara hutang, ia bermakna terdapat lebihan berjumlah lebih RM28 juta,” katanya dalam sidang media di Jengka 19 di sini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda (Bangkit) Pahang Abdul Rahim Abdul Rahman, Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan Timbalan Pengerusi Anak Aris Fezul Ismail.

Tambah Mazlan, persoalannya mengapakah jumlah yang perlu dibayar tidak sama dengan hutang saham yang diterima dan siapakah yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada hutang saham peneroka.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, beliau mengetahui perkara tersebut melalui peguam Harris Abdullah yang menyerahkan dokumen berkaitan kepadanya yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar peneroka kepada pihak bank dan ia ditulis menggunakan pen.

Katanya, pada awal proses mendapatkan saham itu, peneroka diminta menandatangani borang kosong dan kali kedua pula dengan mengisi borang biru.

“Kita sudah membuat road-show menasihatkan peneroka supaya tidak menandatangani borang kosong kerana ia berisiko dan terdedah kepada tindakan manipulasi, malangnya tidak ramai yang percaya.

“Masih ramai peneroka tidak sedar mereka sebenarnya telah tertipu, malah masih ramai yang tidak tahu perkara ini dan ada antaranya masih menganggap saham yang diberikan adalah percuma, sehinggalah mereka menerima surat tuntutan bayaran pinjaman semula ini,” katanya sambil menunjukkan surat tuntutan bank berkenaan.

Beliau berkata, kebimbangan yang diramalkan Anak selama ini menjadi kenyataan dan ia terbukti menerusi maklumat terbaru itu.

Dalam pada itu, Mazlan berkata jika tiada sebarang jawapan daripada Felda atau bank berkaitan tuntutan melebihi hutang Anak akan meminta peneroka membuat laporan polis kerana menganggap ia sebagai satu penipuan.

“Kami sebagai anak peneroka berasa simpati dengan nasib peneroka yang tertipu dengan janji kosong yang mengatakan mereka akan menjadi jutawan sebaik saja saham FGHV disenaraikan.

“Kini mereka terpaksa menanggung lebih banyak bebanan hutang selain terpaksa membayar semula wang pinjaman rumah dan kos penanaman semula sekitar RM50,000 hingga RM60,000,” katanya.

Mazlan berkata, kebanyakan peneroka kini berusia 70 hingga 80 tahun, namun masih dibebani dengan masalah hutang.

“Mereka tidak meminta untuk berhutang sebaliknya dipaksa untuk berhutang. Seandainya mereka ini mati nanti, bagaimana mereka mahu menghadap Tuhan dengan hutang yang masih belum dibayar?,” soalnya.

Keputusan PRK UM tangguh, Pro-M mendahului

Harakahdaily, 25 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi Pilihan Raya Kampus bagi Universiti Malaya ditangguh ekoran dua kerusi iaitu di Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Pendidikan mendapat undi sama banyak.


Difahamkan, undian semula di kedua-dua fakulti itu akan dibuat esok bagi menentukan keputusan rasmi.

Bagaimanapun, keputusan stakat ini menyaksikan kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) kampus itu mendahului dengan kemenangan di 20 kerusi.

Ianya diikuti rapat dengan kumpulan Pro-Aspirasi yang dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa, yang menang 19 kerusi manakala bebas menang di dua kerusi.

Keseluruhan kerusi yang dipertandingkan bagi kampus UM adalah 43 kerusi iaitu sembilan kerusi umum dan 34 kerusi di peringkat fakulti.

Dengan keadaan yang berlaku itu, keputusan penuh bagi PRK UM tergantung dan hanya akan diketahui esok.

Pada PRK tahun lalu, Pro-M UM berjaya memenangi 23 kerusi dari keseluruhan yang dipertandingkan sekaligus berjaya membentuk Majlis Perwakilan Pelajar.

Bagaimanapun keputusan hari ini meyaksikan Pro-M kurang tiga kerusi berbanding tahun lalu.

Keputusan PRK di kampus UM sering menjadi perhatian ekoran legasi UM sebagai universiti tertua di Malaysia dan sering dilihat sebagai nadi gerakan mahasiswa di negara ini.

UM juga sering diibaratkan sebagai mini Malaysia yang mana populasi mahasiswanya boleh dikatakan seimbang dalam mengikut pecahan kaum.

Tiada ulasan: