Khamis, 20 September 2012

JANGAN KITA ANGGAP APA KITA BUAT SEMUANYA BETUL..

Umno buang papan tanda tulisan Jawi

Saidah Hairan, 20 Sep 2012
SEGAMAT: AJK PAS Negeri Johor, Firdaus Masood mengingatkan pengundi Melayu negeri itu supaya memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana Umno sudah tidak mempedulikan nasib orang Melayu dan agama Islam.

Ini berikutan katanya, tindakan Majlis Daerah Segamat yang telah menukar semua tanda nama jalan yang pada asalnya tulisan Jawi di sekitar bandar dan taman-taman di daerah Segamat.

Menurut beliau, difahamkan kos menukar nama tanda jalan di semua taman dan bandar Segamat itu sebanyak RM50,000.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Segamat menegaskan, tindakan menukar tulisan jawi itu membuktikan bahawa kerajaan negeri Johor yang dikuasai Umno tidak mempedulikan nasib orang Melayu dan agama Islam.

Sepatutnya kata beliau, Umno yang merupakan parti orang Melayu mempertahankan tulisan Jawi bukan membuang tulisan tersebut.

"Di mana suara Pemuda Umno dan ahli Umno dalam hal ini. Sepatutnya mereka yang mempertahankan hak orang Melayu Islam," tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS negeri Johor berharap rakyat negeri Johor mesti menilai kembali layanan kerajaan Umno yang telah mentadbir negeri itu selama 55 tahun.

Katanya, orang Melayu masih ramai yang hidup terpinggir dan Umno sebenarnya tidak pernah mempedulikan nasib orang Melayu.

Beliau yakin orang Melayu Johor akan terus hidup merempat dan tulisan Jawi akan terus hilang jika Johor terus ditadbir oleh Umno.

"Saya yakin orang Melayu tidak mempunyai tempat bergantung yang baik jika Umno masih lagi mentadbir Johor pada PRU ke 13 nanti," tegasnya.

Demo mahasiswa: Polis panggil 8 aktivis pelajar

Harakahdaily, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Polis memanggil lapan aktivis mahasiswa untuk memberi keterangan berhubung penganjuran Himpunan Merdeka Kampus pada 16 September lalu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kesemua mereka dipanggil oleh pihak polis ke IPD Dang Wangi pada jam 2 petang ini.

Antara aktivis mahasiswa yang dipanggil pihak polis ialah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Mohd Safwan Anang, Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) Akram Ikrami Taib Azamuddeen, Mantan Yang Di-pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Mohd Syahid Zaini, Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional Edikoup Lakip Sediyanto, Pengerusi SIGMA GAMIS Rohayu Rusli, Ekhsan Bukhairy, Haziq Abdullah dan Ahmad Syukri Abdul Razab.

Mereka dilihat memasuki ibu pejabat polis kira-kira jam 2.35 petang yang ditemani oleh peguam Farhana Abdul Halim.

16 September lalu kira-kira 800 pelajar menyertai perarakan di ibu kota bagi menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan telus.

Mereka antaranya menuntut sistem pengundian yang telus, peruntukan dana kepada calon dan penetapan tarikh pilihan raya kampus lebih awal serta menolak campurtangan anasir luar dalam pilihan raya kali ini.

Hanya pihak kecewa bangkitkan isu air

Harakahdaily, 20 Sep 2012
GOMBAK: Seorang guru yang tinggal di rumah banglow di Sungai Chichin dekat sini hanya perlu membayar bil air paling tinggi pun RM5 sebulan.

Sedangkan sebelum 2008, hampir RM20 diperuntukan untuk bayaran bil air setiap bulan. Isterinya juga seorang pendidik, mempunyai dua anak.

Di Bangi, penduduk yang tinggal di rumah flat kos sederhana dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air hanya mendapat bil bulanan kira-kira RM10 setiap bulan.

Seorang peniaga, Zulkifli Yusoff, 42 berkata, setiap bulan bil air yang diterima tidak lebih daripada RM10, sedangkan sebelum 2008 lebih RM20 sebulan.

“Kebanyakan rumah flat baru disediakan meter air secara individu dan bukan secara pukal. Langkah pemberian subsidi air diberi kerajaan Selangor amat meringankan bebanan rakyat.

“Cuma apa yang berlaku sekarang segelintir pihak yang kecewa dalam politik sahaja yang mengambil kesempatan di atas keengganan Syabas menyediakan meter individu di rumah flat lama.

“Mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan Selangor kerana tanggungjawab Syabas menyediakan meter individu dan bukannya pukal sehingga menyusahkan penduduk,” katanya di sini.

Media hari ini melaporkan seramai 2,020 pengguna air di Shah Alam dan Petaling Jaya dilaporkan menuntut ganti rugi hampir RM1.15 juta daripada kerajaan Selangor kerana didakwa gagal menerima subsidi air.

Zul berkata, isu air sengaja dimainkan sebagai usaha memburuk-burukkan kerajaan Selangor yang terbukti mengutamakan kebajikan rakyat negeri tersebut.

Katanya, pihak terbabit seolah-olah memperlekehkan kebajikan yang diterima majoriti rakyat Selangor.

“Saya yakin kumpulan terbabit tidak ramai kerana kebanyakan rumah yang dibina selepas tahun 1990 disediakan meter secara individu,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam di Salak Tinggi memberitahu setiap bulan beliau hanya membayar bil air sekitar RM8.

Kata beliau sepatutnya Umno Selangor turut berterima kasih di atas dasar kebajikan kerajaan negeri sekarang memperkenalkan subsidi air kepada setiap rakyatnya.

Sedangkan katanya, sebelum ini kerajaan BN tidak pernah melakukan perkara itu biar pun mereka mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

“Peliknya apabila kerajaan Pakatan memperkenalkan dasar kebajikan mereka pula kelam kabut. Saya yakin rakyat Selangor tidak mudah termakan hasutan golongan yang kecewa tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dilaporkan memberitahu tidak berhasrat melaksanakan program pemberian air "1,000 liter pertama percuma" kerana ia menggalakkan pembaziran.

Timbalan Menteri, Noriah Kasnon, berkata caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada di semua negeri.

Ramalan Dr M akan salah lagi rasanya...

Aspan Alias, 20 Sep 2012
Betulkah pandangan Dr Mahathir yang BN akan menang tipis dalam PRU yang akan datang? Ada yang bertanya samada ramalan ramai yang UMNO akan tumbang ada kebenarannya.. Dr Mahathir meramalkan kemenangan untuk BN, tetapi kemenangan yang tipis. Dr Mahathir juga mengakui yang BN akan menjadi kerajaan yang lemah dan akan menghadapi masalah ‘defection’ selepas pilihanraya dan sebagainya. Mahathir meramalkan yang BN akan mendapat majoriti 2/3 jika BN menghadapi PRU kali ini dengan lebih kuat dan melakukan pemilihan calon dengan tepat.
Keupayaan Dr Mahathir untuk menelah keputusan PRU itu menjadi persoalan kepada yang berfikir. Dalam pada UMNO menghadapi masalah yang besar sekarang, mana mungkin UMNO itu akan mendapat kemenangan majoriti 2/3 di Dewan Parlimen? Walau bagaimana pun sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir sendiri berhak untuk meramalkan keputusan PRU itu nanti, kerana pilihanraya itu pun belum diadakan lagi.

Pihak lain pula ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menang ‘hands down’ dan akan melakukan perubahan besar kepada lanskap politik buat pertama kali dalam sejarah kemerdekaan negara kita. Dr Mahathir berkata yang Pakatan Rakyat ini hanya sekumpulan manusia yang berpakat-pakat untuk melakukan kejahatan. Tetapi semua pakat-pakat yang beliau lakukan sekarang terbukti sebagai pakat-pakat jahat untuk kepentingan segelintiran pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja.

Salah satu dari dua ramalan itu akan menjadi kenyataan: samada yang mengatakan BN akan kalah atau pun pihak yang mengatakan BN akan kekal memenangi PRU itu nanti. Tetapi apa yang hendak saya nyatakan di sini ialah, tidak semua ramalan Dr M itu menjadi kenyataan. Ramai yang berkata Dr Mahathir hanya berkata-kata dengan apa yang beliau hendak dengar sahaja.

Pada tahun 1985 dahulu beliau meramalkan yang PBS (Parti Bersatu Sabah) yang baru sahaja wujud tidak akan berjaya mengalahkan parti Berjaya dan kerajaan yang dipimpin oleh Harris Salleh di Sabah. Dr Mahathir mempunyai keyakinan seratus peratus yang Berjaya akan dapat mengekalkan mandat dalam pilihanraya negeri pada tahun itu kerana PBS adalah parti baru dan tidak mungkin berjaya.

Dr Mahathir begitu berkeyakinan yang Berjaya akan berjaya dan beliau terus memberikan sokongan terbuka kepada Berjaya untuk mengekalkan kuasa di Sabah. Dr Mahathir dalam ucapan beliau di Sabah dalam kempen pilihanraya itu telah berucap dengan penuh keyakinan dan beliau berjanji yang beliau akan berenang atau tenggelam bersama Berjaya.

Akhirnya Berjaya telah tumpas dengan teruknya sehinggakan Harris Salleh sendiri telah kalah di kawasannya sendiri, di Tenom. Tetapi Dr Mahathir berubah pendirian dan tidak mahu tenggelam bersama Berjaya seperti yang beliau janjikan semasa kempen pilihanraya itu. Dr Mahathir sedar yang beliau telah tersalah membuat ramalan terhadap keputusan pilihanraya negeri itu. Dr Mahathir terus berenang dan membiarkan sahaja Harris Salleh tenggelam sendirian.

Sesungguhnya tidak mustahil jika UMNO mengalami keadaan seperti yang di alami oleh Berjaya. Apabila rakyat mahukan perubahan, keadaan itu akan wujud dengan sekelip mata sahaja.

Rakyat akan menolak dan meruntuhkan parti yang telah terlalu lama menjadi ‘sanctuary’ kepada semua pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni yang rakus selama ini.

Rasanya Dr Mahathir akan tersalah ramal lagi kali ini... - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Air S'gor: Pusat diberi masa 7 hari kemuka bantahan

Selangorku, 20 Sep 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan akan memulakan proses penstrukturan semula industri air Selangor dan mengambilalih operasi air terawat di negeri itu dalam masa tujuh hari lagi.

Proses ini termasuk memulakan rundingan dengan syarikat konsensi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membeli balik saham di dalam syarikat tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Pusat diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukan bantahan terhadap proses itu.

Sekiranya Kerajaan Pusat tidak membuat apa-apa bantahan, Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat menerusi surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Sept.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi

Walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

“Saya juga menyatakan keengganan Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini semalam.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasab

Fitnah: Presiden PAS saman Mashitah

Hazayani Zakaria, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menyaman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berhubung tulisannya yang mengandungi unsur fitnah.

Fail tersebut difailkan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Mazwan dan Nasar.

(Gambar: Ahmad Samsuri bersama peguam bercakap kepada media.)

Tuan Guru Abdul Hadi menamakan Mashitah sebagai defendan pertama dan akhbar Sinar Harian sebagai defendan kedua.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Samsuri menyifatkan tulisan berbentuk fitnah tersebut keterlaluan dan memalukan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
"Sebelum ini kita sudah minta Mashitah dan Sinar Harian buat permohonan maaf terbuka tapi mereka tidak berbuat demikian maka kita ambil tindakan samanlah," katanya yang ditemani peguam Mazwan Johar dan Nasar Khan.

Sebelum ini, Shamsuri berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan tersebut.

Pada 2 Mac lalu, Mashitah dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian mengaitkan penahanan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon dengan beberapa skandal seks kononnya membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam tulisannya, Mashitah menyebut Abdul Hadi pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu dan mengambilnya sebagai isteri ketiga, bagaimanapun ia dinafikan Abdul Hadi.

Di sebalik filem ‘Innocence of Muslim’

Hamizul Abdul Hamid, 20 Sep 2012
Saya marah, dan marah itu wajar. Hal ini kerana, sebagai umat Muhammad SAW, saya mesti mencintai Nabi Muhammad SAW sepenuh hati. Orang yang mencintai nabi, mereka tidak rela Muhammad SAW dihina. Saya mesti mempertahankan maruah nabi, kerana menghina nabi saya samalah seperti menghina Allah SWT, Tuhan saya. Saya sanggup mati demi Allah dan Rasul-Nya.

Anas bin Malik pernah mengungkapkan daripada Nabi SAW iaitu: “Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna Imannya) sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang selain kedua-dua itu (Allah dan Rasul-Nya).” (Hadis riwayat Ahmad)

Lalu, saya kagum dengan kebangkitan umat Islam serluruh dunia mempertahankan Nabi Muhammad SAW. Dunia seluruhnya menjadi saksi, inilah saki-baki kecintaan umat Islam kepada nabi, walaupun realitinya sunnah nabi semakin dipinggirkan kini. Dunia sedar, mempermainkan Muhammad samalah seperti menendang kepala setiap umat Islam. Ia membawa padah!

Ironisnya, kenapakah kejadian penghinaan ini terus berulang-ulang. Tidak sekadar sekali, bahkan berkali-kali. Nabi Muhammad SAW pernah digambarkan dalam pelbawai watak karikatur yang amat bercanggah dengan sifat mulia baginda yang sebenar.

Elemen keganasan yang ditempel pada wajah baginda, amat tidak tepat. Realitinya Muhammad adalah manusia paling santun dan penyabar. Buktinya dalam sejarah, Muhammad tidak sewenang-wenang menyakiti apatah lagi memerangi manusia lain.

Cuba lihat, ketika masih di Kota Mekah dan kala itu Mekah dikuasai oleh kaum jahiliyah Quraisy, Muhammad pernah dihina dan diaibkan dengan dilempari kata-kata kesat, dianggap gila, pernah dicekik ketika sedang solat di hadapan Ka’abah bahkan tubuhnya pernah dilambakkan najis perut unta ketika sedang sujud menyembah Allah SWT.

Apakah Muhammad bingkas bangkit melawan para pendengki? Tidak, Muhammad bersabar dan darjah kesabaran itu saya yakin, tidak mampu dimiliki oleh manusia lain selainnya. Walhal, sebelum Muhammad menyeru seluruh manusia agar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, baginda digelar al-Amin (paling terpercaya) oleh seluruh manusia Mekah. Mereka mempercayai Muhammad melebihi mereka meyakini anak isteri mereka sendiri!

Apa yang berlaku, penindasan itu turut melanda umat Islam yang bersifat minoriti dan lemah di Mekah. Ammar bin Yasser, Sumaiyah, Bilal bin Rabah, Khabbab dan ramai lagi menderita siang dan malam dibelasah kaum jahiliyah Mekah.

Akhirnya, golongan tertindas ini tidak mampu menahan diri lantas menemui Muhammad dan meminta agar baginda berdoa memohon pertolongan Allah. Muhammad merasa terganggu dengan sikap ‘tidak sabar’ sahabat-sahabatnya, sehingga nabi menyatakan, umat terdahulu lebih teruk diuji dan disiksa, maka kenapakah mereka tidak bisa bersabar?

Ada dua kepelikan di sini. Pertama, pelik betapa penghormatan golongan Quraisy boleh lenyap hanya kerana seruan Muhammad. Kenapakah seruan tidak dibalas dengan seruan. Jika mereka merasa benar, berhujahlah dengan Muhammad secara bijaksana dan bukannya menggunakan kekerasan dan najis unta. Kepelikan kedua, kenapa Nabi Muhammad SAW enggan melawan. Sebaliknya mengambil pendekatan bersabar dan mencari jalan mengelakkan pertempuran.

Masa berlalu. Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW pasca kewafatannya terus berkembang. Islam pernah mendominasi dunia, dari Jazirah Arab sehinggalah ke Benua Afrika. Islam berkembang ke Asia juga Benua Eropah. Kepulauan yang terpencil seperti di nusantara ini pun, turut menerima kehadiran Islam dengan senang hati. Tidak tercatat dalam sejarah Melaka atau di Jawa, berlakunya peperangan menerima kedatangan Islam oleh sultan dan rajanya.

Jika kita terus membaca sejarah, ramai tokoh pemimpin Islam yang mewarnai peperangan dan siasah dengan pertunjuk Rasulullah SAW. Ambil sahaja Umar al-Khattab yang ditangannya Kerajaan Farsi menyerahkan mahkota kaisarnya, bukankah Farsi tunduk kepada Islam lantaran akhlak pemimpin dan tentera Islam. Begitulah juga, saat Umar al-Khattab dikhabarkan datang membuka pintu kota Baitul Maqdis di Jerusalem, beliau hanya mengenakan jubah yang bertampal sahaja!

Begitu juga, sewaktu Sultan Muhammad al-Fateh mahu membuka pintu Kota Konstantinopel, siapakah yang membantu baginda jika bukan bekas musuh-musuh Islam yang akhirnya memeluk Islam dan membantu semahunya. Kenapakah mereka berpaling tadah menyebelahi Islam? Tidak lain, kerana pemimpin dan tenteranya berakhlak mulia seperti mana Rasulullah SAW.

Terlalu banyak teladan mulia pemimpin Islam dan juga tokoh-tokoh rakyat biasa yang boleh dijadikan pedoman. Namun, tidak perlu rasanya kita mengulang baca sejarah itu di sini. Yang lebih utama, hari ini kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW tidak lagi menjadi realiti. Ia hanya menjadi bahan kajian, dibukukan dan disyarahkan, sama ada di dalam dewan kuliah universiti ataupun di masjid dan surau. Seerah nabi memang dibaca, tetapi kosong, kurang penghayatan apatah lagi pengamalan. Lalu, di manakah buktinya cinta?

Allah SWT menyatakan: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada seluruh manusia): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).” (Surah Ali Imran: 31)

Ingatlah, cinta kepada Muhammad, mestilah mengikut neraca Allah iaitu wajiblah mengikuti akhlaknya Muhammad. Itulah sunnah yang dititipkan buat seluruh umat. Sunnah ini, bila diamalkan secara leluasa, ambil sahaja sunnah memberi dan menjawab salam, maka akan menzahirkan kemuliaan Islam. Ia menjadi tunjang kepada akhlak bermuamalah dan bermua’syarah (berhubungan) sesama manusia. Inilah intipati Islam, iaitu akhlaknya.

Lalu, apabila mutakhir ini musuh-musuh Islam cuba mencari titik-titik kelemahan umat Islam, ternyata pekerjaan mereka menjadi mudah. Ia mudah, lantaran umat Islam sendiri memang sudah menjauh daripada al-Quran dan as-sunnah. Maka, dengan hanya melontarkan sebiji bola, umat Islam pun tenggelam dalam kesibukan mengejar bola tersebut. Pada masa yang sama, musuh-musuh Islam pun memulas leher, kaki, tangan dan kepala umat Islam lain di luar padang bola berkenaan.

Inilah realiti umat Islam dalam menangani pelbagai isu hari ini. Isu penghinaan nabi memang serius, ia amat tragis dan tidak patut dibiarkan tanpa pembelaan. Yakinlah, andai Nabi Muhammad SAW ada hari ini, pasti baginda menitiskan air mata melihat betapa tabahnya umat baginda bermandi peluh dan menyedut asap pemedih mata kerana mempertahankan dirinya.

Namun, persoalan saya, apakah nabi juga tidak menitiskan air matanya melihat betapa ramai umat Islam di dunia hari ini, dibunuh dan dinafikan hak kehidupan mereka, rumah dibakar, anak dan isteri diperkosa, anak kehilangan bapa dan dihalau dari kampung halaman tanpa salah dan dosa. Inilah situasi di luar padang bola yang sedang berlangsung di Myanmar, di Syiria, di Palestina bahkan di mana-mana saat ini di dunia.

Nah! Berjayalah musuh-musuh Islam melarikan perhatian kita. Mereka berpesta pora meneruskan penindasan di atas helah dan penipuan yang mereka sendiri reka dan cipta. Itulah sebiji ‘bola’ yang mereka lemparkan. Sayangnya, umat Islam terus bersorak-sorai mengejar dan menendang ‘bola’ itu dengan perasaan marah yang membara, walhal pada masa yang sama, mungkin mereka tidak sedar dan terus lalai untuk bingkas membela maruah umat Islam lain yang masih bernyawa.

Bagi saya, sebagai muslim, bukan sekadar perlu bagi saya untuk membela maruah umat yang telah tercalar di dada media; bahkan menjadi lebih utama dan wajib bagi saya mempertahankan maruah Islam seluruhnya yang terus diinjak di depan mata di mana-mana. Soalannya, mahukah kita kembali berpaksakan kepada pertunjuk dan cinta Rasulullah SAW ‘sebenar’ dalam membela agama? Wallahua’lam.

www.hamizul.com

Pemberian tunai Najib ‘hampiri’ beli undi - Dr M

Harakahdaily, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mengakui bahawa tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membuat pemberian tunai kepada rakyat Malaysia melalui beberapa polisi pro-rakyat menghampiri kepada pembelian undi.

Akan tetapi, bekas perdana menteri (PM) mengatakan bahawa kerajaan sudah tidak mempunyai cukup masa oleh sebab pilihan raya semakin hampir dan Barisan Nasional (BN) perlu menang dengan mandat besar untuk mengukuhkan kuasa terhadap Putrajaya.

“Saya tidak percaya dengan memberi wang kepada rakyat. Saya percaya dengan memberikan kemudahan.

“Tetapi saya rasa apabila kerajaan sudah tidak mempunyai masa dan pilihan raya semakin hampir, mereka akan menggunakan cara ini,” kata Dr Mahathir dalam ucapan pembukaan dalam Forum CEO anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider hari ini.

“Jika anda memberi orang sedikit wang dan mereka harus menyokong (anda). Mungkin ia bukanlah membeli undi ... tetapi ia adalah sangat dekat degan itu,” katanya, disambut ketawa daripada penonton.

Kerajaan dijangka mengumumkan pusingan kedua pemberian wang tunai RM500 kepada isi rumah berpendapatan rendah semasa Bajet 2013 dibentangkan minggu depan, satu langkah yang dipercayai bertujuan meningkatkan Najib dan penilaian terhadap pakatan BN menjelang pemilihan dijangka tidak lama lagi.

Pusingan pertama pemberian tunai di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang melibatkan kira-kira lima juta keluarga dan wang pembayar cukai berkos RM2.6 bilion telah dilihat penilaian kelulusan Najib meningkat sehingga 69 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh lonjakan sokongan dari miskinisi rumah.

Sepanjang ucapannya, Dr Mahathir berulang kali menyebut pemberian wang tunai pentadbiran Najib, pada satu titik walaupun mengatakan bahawa “beliau (Najib) mempunyai wang yang banyak”.

“Sekarang kita mempunyai seorang lelaki baru sebagai ketua (kerajaan),” katanya apabila mengingatkan penggantian perdana menteri selepas dia meletak jawatan pada tahun 2003.

“Saya tidak akan mengatakan apa-apa yang buruk mengenai beliau kerana saya menyokong BN.

“Satu-satunya perkara yang saya akan katakan adalah bahawa dia mempunyai banyak wang dan dia menghadiahkan wang kepada semua orang.

“Pada masa saya, saya tidak memberikan wang saya dapat telah pun diberikan wang untuk diri sendiri tetapi saya tidak. Saya rasa saya membuat kesilapan di sana,” katanya secara berseloroh.

Najib akan membentangkan Bajet pada 28 September dan selain pemberian BR1M kedua, beliau dijangka mengumumkan langkah-langkah lain untuk meningkatkan perbelanjaan domestik dan ekonomi dalam usaha untuk menuju prospek ekonomi semakin teruk kerana dia bersedia untuk memanggil pilihan raya pertama beliau.

Ekonomi berkembang pada kadar yang mengejutkan sebanyak 5.4 peratus pada suku kedua, bertiup dari jangkaan ekonomi ‘dan berpotensi menimbulkan faktor rasa-baik menjelang pilihan raya umum.

Tetapi berita baik dijangka adalah tidak untuk bertahan sebagai prospek global berkemungkinan akan menjejaskan eksport Malaysia.

Menghairankan pertumbuhan pada suku kedua ekonomi walaupun eksport lemah adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh penampan projek pembinaan yang berterusan dan peningkatan perbelanjaan disebabkan oleh kenaikan gaji penjawat awam dan pemberian tunai kerajaan, berkata ekonomi, yang boleh menunjukkan kepada pertumbuhan tidak sekata pada bulan-bulan akan datang.
Soi Lek: Politik wang bukan rasuah
12:57PM Sep 20 2012  
Politik wang bukan rasuah, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau memberikan reaksi itu sebagai respons terhadap cadangan PKR supaya dakwaan politik wang terhadap seorang timbalan menteri wanita daripada MCA dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NONEAntara contoh politik wang, kata Chua, membelikan barangan kepada orang ramai menjelang tahun baru, yang tidak boleh disamakan dengan rasuah.

Chua memberikan jawapan mengejutkan itu ketika ditanya pemberita dalam majlis makan malam di Ipoh pada Selasa, lapor Oriental Daily News hari ini.

Chua, memetik aduan yang diterima, pada mulanya mendakwa terdapat "timbalan menteri wanita" terlibat dengan politik wang, tetapi kemudian menjelaskan kenyataan dibuat secara umum dan tidak merujuk kepada individu tertentu.

Heng Seai Kie (atas) yang berkhidmat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat satu-satunya timbalan menteri wanita daripada MCA. Beliau menafikan dakwaan itu.

Batal kilang simen kemenangan rakyat

Khairil Abdul Rahim, 20 Sep 2012


Gambar: Tuan Ibrahim (tengah) pada satu ketika bersama penduduk menunjukkan tanda bantahan di pintu masuk kawasan rekreasi Gunung Senyum.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang menganggap pembatalan projek pembinaan kilang simen di Gunung Jebak Puyuh yang terletak satu kilometer dari Hutan Lipur Gunung Senyum, sebagai kemenangan rakyat.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim (kiri) berkata, PAS sejak tahun 2009 konsisten menyertai penduduk perkampungan yang terlibat membantah projek bernilai RM2 bilion usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Syarikat Yeoh Teong Lay (YTL) itu.

Tambahnya, ini disebabkan PAS menyedari projek tersebut tidak membawa apa-apa manfaat atau keuntungan kepada penduduk tiada manfaat bahkan hanya akan menyebabkan mereka yang terlibat akan menanggung penderitaan dan ekonomi merosot ekoran pencemaran teruk alam sekitar.

“Jadi keputusan membatalkan projek tersebut kami anggap tepat dan itulah buktinya pembangkang yang kuat akan menyebabkan suara rakyat didengari pemerintah apabila bangun membantah sesuatu yang tidak menguntungkan,” katanya.

Akhbar baru-baru ini menyiarkan berita projek yang telah dirancang di gua batu kapur dan kuari itu dibatalkan apabila wakil kerajaan negeri datang menemui penduduk.

Ura-ura kerajaan negeri yang mahu membina kilang simen di kawasan tersebut telah digazetkan pada 2009 iaitu yang kedua kepada syarikat yang sama selepas kilang simen Bukit Sagu, Kuantan.

Rata-rata berpendapat, jika kilang tersebut beroperasi, akan memusnahkan industri pelancongan di Gunung Senyum sekarang dan tanah tersebut akhirnya bakal terlepas kepada syarikat perniagaan bukan Melayu sebagaimana berlaku sebelumnya di Bukit Sagu.

Gunung Jebak Puyuh merupakan gunung tercantik antara lima gunung yang terdapat di Hutan Lipur Gunung Senyum. Selain Jebak Puyuh ialah Gunung Senyum, Gunung Terus, Gunung Balik Oi dan Gunung Che Ngah yang dikatakan memiliki khazanah alam yang telah terbina sejak jutaan tahun lalu termasuk nilai gua batu kapur yang dikatakan paling mahal di dunia.

Di situ juga merupakan kawasan tadahan air dan kawasan berpayanya pula pernah menjadi pusat tanaman padi dan kawasan pengeluaran ikan darat tersohor pada satu ketika dahulu.

Setiap tahun, dianggarkan 50,000 pelancong mengunjungi kawasan rekreasi Hutan Lipur Gunung Senyum. Dengan pembinaan kilang simen tersebut sudah tentu akan merosakkan kawasan itu termasuk melenyapkan flora dan fauna yang banyak di situ.

Sekali gus merugikan wang rakyat kerana kerajaan telah mengeluarkan jutaan ringgit untuk membangunkan kawasan rekreasi di situ.

Kilang tersebut jika beroperasi, ia terlalu hampir dengan kediaman penduduk menyebabkan debu daripada projek berkenaan sudah pasti akan berterbangan mengganggu kesihatan mereka. Bala itu akan menjejaskan hasil tanaman penduduk sekali gus mencemarkan Sungai Senyum dan Sungai Pahang.

Kesan awal pencemaran akan diterima ialah penduduk yang berdekatan dengan tapak projek iaitu sekitar Kampung Gunung Senyum, Batu Sawar, Pulau Pasir Mandi Jengka 21, 22, 23 dan 24. Tetapi akhirnya seluruh perkampungan di sepanjang 50 kilometer Sungai Pahang dari Kuala Krau ke Temerloh dan Felda Gugusan Jengka yang melibatkan 300,000 penduduk akan terlibat.

Bencana tersebut akan berlaku apabila loji air berdekatan iaitu Loji Air Lubuk Kawah akan terdedah kepada kesan pencemaran. Hasil pertanian dan perusahaan ikan air tawar iaitu sumber utama pendapatan penduduk juga akan terjejas.

Kawasan tersebut termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau dan Parlimen Kuala Krau.

Shahril yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Krau berkata, sebab itulah PAS bersama penduduk membantah keras pembinaan kilang simen di Gua Jebak Puyuh.

“Projek seperti ini pernah dibina di kilang simen Bukit Sagu. Walaupun pada mulanya dirancang untuk menjana ekonomi negeri tetapi akhirnya dijual kepada syarikat besar kita rasa masalah ini akan berlaku perkara yang sama

“Mungkin kerajaan negeri mahu menambah pendapatan, tetapi tidak seharusnya terpaksa mengorbankan manusia, haiwan dan alam. Saya difahamkan kerajaan negeri tidak merujuk kepada pakar-pakar sejarah tempatan, Jabatan Pelancungan, Perhilitan, Felda, Felcra, JBA dan persatuan penduduk tidak pula ditemui. Sebenarnya merekalah yang akan menerima kesannya nanti”.

“Carilah sumber pendapatan lain sebab Pahang banyak sumber semula jadi seperti perusahaan balak, pasir, pelancongan selain berusaha membangunkan industri hiliran daripada projek-projek besar,” tegasnya.

Umat Islam mesti bangkit kecam hina Rasulullah

Dr. Mohd Khairuddin A. Razali, 20 Sep 2012
Kami dari Majlis Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat, sesungguhnya merasa amat kesal dengan tragedi penghinaan kepada Rasulullah SAW melalui filem yang mengaibkan baginda dan menyeru seluruh umat Islam bangkit mengecam dan menentang sebarang bentuk penghinaan sebegini.
Sudah sekian kalinya, penghinaan terbuka secara sengaja oleh musuh-musuh Islam berlaku. Inilah malang dan mala petaka apabila umat Islam tidak cakna dan prihatin terhadap agama dan Nabi-Nya, lompang yang kosong dan ruang yang ada digunakan oleh musuh Islam dengan sewenang-wenangnya terhadap kekasih umat yakni Rasulullah SAW.

Sesungguhnya umat Islam mampu bersabar dalam menghadapi mehnah, tribulasi dan liku-liku perjuangan hidup tetapi kesabaran ada had dan batasnya. Ini kerana mempertahankan Rasulullah SAW lebih aula dan sewajibnya melebihi ibu bapa hatta diri sendiri. Inilah yang kami imani dan yakin seperti yang diarifkan oleh sejarah para sahabat, tabiin dan salaf al-soleh.

Justeru, kami cadangkan semua umat Islam bertindak seperti berikut:

- Menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika dan PBB. Ini kerana dalam Konvensyen Antarabangsa dan Mesyuarat Tahunan PBB yang sememangnya mengutuk apa jua jenis pencabulan terhadap mana-mana kepercayaan agama suci, perutusan berkaitan agama dan kitab suci masing-masing.

- Menjelaskan kebobrokan dan penipuan filem tersebut. Penghinaan terhadap agama Islam dan pelan Islamofobia barat mula menular sejak penulis dari British yang menghina Islam iaitu Salman Rushdi dalam bukunya yang berjudul ‘Kesucian Nabi’ dalam Islam pada tahun 1988.

- Mengajak Perdana Menteri dan barisan kabinetnya sebagai kerajaan yang sah dengan menghantar Surat Bantahan kepada Kerajaan Amerika.

- Mengesyorkan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Komunikasi supaya bertindak pantas terhadap sebarang media yang menyiarkan dengan sewenang-wenangnya filem tersebut.

- Mengajak umat Islam bersatu mempertahankan Rasulullah SAW dengan menekuni sirah, sunnah dan hadisnya.

- Mengutuk sebarang penyiaran filem anti Islam dan tindakan mencabul kehormatan Islam sama ada filem luar negeri mahupun dalam negeri.

- Sudah sampai masanya kerajaan, sebagai contoh melalui JAKIM menubuhkan unit khas menjawab segala syubhah dan keraguan serta penghinaan seringkali dilemparkan kepada Islam. Ini supaya kenyataan dan tindakan perlu diselarikan yang menunjukkan kesepakatan dan muafakatnya umat Islam.

JAKIM serta badan agama negeri hendaklah menulis khutbah khas dan juga buku yang khas dalam menjawab sebarang fitnah dan tuduhan liar lagi jahat terhadap Baginda SAW dan Islam.

Begitu juga kajian mendalam berkenaan dengan jawapan yang terbaik melalui media massa serta artikel dan juga syarahan perlu menjadi agenda dalam mempertahankan baginda SAW.

Termasuk dalam penghinaan kepada Rasulullah SAW ialah tidak mengikut sunnahnya bahkan menentang segala syariatnya seperti tidak melaksanakan hudud dan memperlekehkan hukum Islam.

Ingatlah jika sekiranya kita berpaling, nescaya Allah akan menggantikan kaum yang lain bukan seperti kita bahkan jauh lebih baik untuk memperjuangkan agama-Nya.

Sesungguhnya, mulianya kita selama mana mempunyai izzah dengan Islam dan rasulnya sebaliknya hinanya kita apabila luntur keyakinan dan pegangan kepada agama Islam.

Ya Allah, kami menadah tangan munajat kepada-Mu supaya menetapkan hati-hati kami dan pendirian kami dalam mentaati-Mu dan memelihara agama-Mu dan nabi-Mu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami atas kelemahan kami dalam mempertahankan nabi-Mu. Amin.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat & Majlis Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat

Kafir harbi: Apa tindakan terhadap media

Salmiyah Harun, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai kafir harbi.

Demikian antara soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kedua Belas (2012) yang akan bermula 24 September hingga 27 November 2012.


Berikut adalah soalan-soalan yang dikemukakan beliau sepanjang persidangan Dewan Rakyat nanti.
1. Minta Perdana Menteri menyatakan apakah kesan positif yang diperolehi oleh Negara dengan menggunakan perkhidmatan syarikat perundingan FBC Media yang turut membabitkan perundingan dengan seorang pelobi pro Zionisme, Joshua Trevino?


2.  Minta Perdana Menteri menyatakan apakah hasil daripada Sidang Kemuncak Luarbiasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diadakan di Kota Suci Mekah pada 14 hingga 15 Ogos 2012 yang lalu?


3.  Minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia khususnya melalui pertubuhan serantau ASEAN dalam menangani pembunuhan eramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar?


4. Minta Perdana Menteri menyatakan mengapa beliau tidak menghadiri Sidang Kemuncak Bumi (Rio + 20) yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil, pada 20 hingga 22 Jun 2012 yang lalu, sedangkan sepatutnya Malaysia diwakili oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sebagaimana dua siding Kemuncak Bumi padatahun 1992 dan tahun 2002 sebelum ini?


5. Minta Perdana Menteri menyatakan sehingga bila jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus di sandang oleh beliau, sedangkan kementerian berkenaan memikul peranan yang sangat besar dalam menerajui pencapaian NKRA sektor “Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah (LIH)”?

6.  Minta Menteri Pelajaran menyatakan berapakah bilangan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang telah mendaftar dengan kementerian sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), dan bagaimana pula bentuk bantuan kepada SAR dan SAN yang tidak berdaftar sebagai SABK?


7. Minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah status Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari segi kelayakan memasuki Universiti al-Azhar, Mesir, setelah university tersebut memperkenalkan Ujian Kemasukannya (Imtihan Qabul) sendiri?


8. Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di Negara ini sebagai kafir harbi,kerana hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia?


9. Minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, berikutan banyaknya desakan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan individu-individu perseorangan yang menuntut akta tersebut dikaji semula?


10. Minta Perdana Menteri menyatakan berapa kouta jamaah haji Malaysia pada tahun 2012, dan berdasarkan pada jumlah itu benarkah kouta tersebut terjejas disebabkan tuntutan BERSIH 3.0 baru-baru ini?

Wacana Krisis Berdarah Syria 22 Sept

Harakahdaily, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Nadwah Ilmuan Muslim (Naim) menjemput asatizah menyertai Wacana Hibrul Ummah bersama tokoh muamalah semasa dari Syria, Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah pada 22 September ini.

Presiden Naim, Dr Mohd Khairuddin Aman berkata, wacana yang bertajuk Perkembangan Semasa Kewangan Islam dan Krisis Berdarah Syria itu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di Dewan Zaaba Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Justeru, katanya asatizah dijemput hadir ke wacana yang diadakan secara percuma itu dengan sasaran sumbangan kepada syeikh USD1,000.

Beliau berkata, pengesahan kehadiran bolehlah sms kepadanya di talian 0133621236, Ustaz Zamiri (0122942574) atau Ustaz Zul (0137722267).

Pakatan anjur Makan Malam Perdana 28 Sept

Muhammad Faizal, 20 Sep 2012
PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyerahkan barangan milik peribadinya pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat dan memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk membelinya.

Selain beliau, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan turut menyerahkan barang peribadi milik mereka pada malam tersebut.

Majlis makan malam Perdana Pakatan Rakyat 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 28 September bermula jam 8.30 malam hingga 12 malam.

Berkata pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa majlis tersebut memberitahu program ini merupakan pertama kali diadakan melalui gabungan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, pada petang 28 September itu, Bajet 2013 telah dibentangkan di Parlimen dan susulan dari pembentangan tersebut ulasan-ulasan berkenaan bajet 2013 itu akan dijelaskan oleh pemimpin Pakatan pada majlis jamuan itu.

"Pada malam tersebut pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga parti akan memberi ulasan terhadap bajet tersebut.

"Ini merupakan ruang dan medan untuk kita memberi pandangan awal berhubung apa yang dibentangkan oleh kerajaan untuk kita mendapat maklumat awal serta persiapan bagi perbahasan nanti," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Dalam pada itu, beliau memberitahu jamuan yang diadakan ini adalah ingin mengumpul dana bagi menghadapi pilihanraya nanti.

"Kita akan menghadapi pilihanraya dan kita mempunyai perkara-perkara yang mesti dilaksanakan dengan segera bagi membantu perjalanan pilihanraya," sambung beliau.

Dr Mohd Hatta memberitahu Pakatan Rakyat telah melaksanakan beberapa program besar seperti sambutan Hari Malaysia pada 15 dan 16 September di Sabah dan Sarawak.

Malah, Pakatan juga akan menganjurkan satu konvesyen mega di Stadium Bukit Jalil pada 3 November nanti yang akan melibatkan 150 ribu penyokong Pakatan Rakyat.

"Program yang besar ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan kita berharap kutipan dari majlis makan malam ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan program yang akan dilaksanakan nanti.

"Kita juga menyediakan beberapa prasarana pilihanraya walaupun parti masing-masing bertanggungjawab bagi menyediakan jentera dan sumber tetapi Pakatan Rakyat secara berpusat akan membantu dalam semua perkara khusu untuk hadapi pilihanraya dan ia merupakan tugas yang besar serta perbelanjaan yang amat tinggi," katanya.

Atas dasar tersebut, beliau berharap ada pihak akan turut membantu memberi sumbangan bagi mengumpulkan dana tersebut.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang mewakili DAP dan juga Bendahari PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Majlis makan malam perdana itu menyediakan 255 buah meja dan sehingga hari ini hanya tingga 30 buah meja yang belum ditempah.

Majlis tersebut akan dihadiri oleh barisan pemimpin Pakatan Rakyat dan juga pemimpin-peminpin yang  jemputan termasuk juga dari badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu juga beberapa program telah diaturkan bagi memeriahkan majlis tersebut.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Amani 0192660423, Nurul 0192660605 dan Azmer 0192660634 bagi urusan tempahan.

Segala bentuk bayaran atau sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank 5621 0623 5616 - Tabung Impian Rakyat.

Deklarasi Kuching: Rakyat Sabah, Sarawak pilih PR

Anis Nazri, 20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah dan Sarawak wajar menyambut tawaran yang digariskan dalam Deklarasi Kuching dengan memilih calon Pakatan Rakyat pada plihan raya umum ke-13 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling (kanan) berkata tawaran yang diberikan kepada rakyat Sabah yang terkandung dalam deklarasi tersebut membawa seribu kebaikan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum.

"Sudah sampai masanya, rakyat Sabah membuat perubahan dengan memilih calon Pakatan Rakyat bagi membolehkan kita menikmati tawaran yang dijanjikan Pakatan Rakyat," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang mengalu-alukan deklarasi tersebut, berkata selama ini rakyat Sabah terpinggir dari kekayaan, biarpun Sabah mempunyai hasil bumi yang begitu kaya untuk dinikmati bersama.

Dalam pada itu, Aminudin juga berkata momentum di Sabah juga semakin menarik berikutan beberapa pemimpin Barisan Nasional bertindak meninggalkan parti tersebut dan menyokong Pakatan Rakyat.

Katanya, dengan pembabitan tokoh-tokoh tersebut dilihat dapat membantu menggerakkan kempen Pakatan Rakyat di negeri bawah bayu tersebut.

"Mereka tidak putus-putus meminta rakyat memilih calon daripada PAS, DAP dan PKR bagi memastikan BN tidak boleh kekal lama di Sabah," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, dalam siri jelajah Pakatan Rakyat, deklarasi tersebut akan terus diterangkan ke akar umbi bagi memastikan penduduk di Sabah dapat membuat perubahan.

Harapan tersebut turut dikongsi bersama Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid (kiri) yang meminta pengundi di Sarawak mengambil pengajaran daripada Sabah.

"Sabah sudah beberapa kali menukar kerajaan, namun tidak Sarawak.  Bagaimanapun, kita mengharapkan rakyat Sarawak akan membuat perubahan dengan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat menerajui Sarawak," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Sarawak sentiasa melihat perkembangan di Semenanjung dalam usaha membuat perubahan pada tampuk kepimpinan.

Katanya, mereka lebih suka melihat Semenanjung membuat perubahan terlebih dahulu sebelum mereka bertindak serupa.

Deklarasi yang dinamakan Deklarasi Kuching ditandatangani pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat semalam mengariskan tujuh perkara pokok bagi membela rakyat Sabah dan Sarawak.

Antara lain ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri.

Malah ianya juga sebagai komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Deklarasi tersebut telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching, petang 16 Sept lalu.

Deklarasi tersebut diumumkan pada Sambutan Hari Malaysia peringkat Pakatan Rakyat yang diadakan di Sarawak.

Tiada ulasan: