Jumaat, 21 September 2012

MACAM BETUL AJE... APA YANG DIKATAKAN OLEH DATUK MAHFUZ OMAR

Pelajar dan Ulama Iran bantah kartun hina Nabi

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 21 Sep 2012

TEHRAN: Ratusan pelajar dan ulama Iran telah berkumpul di luar kedutaan Perancis di Tehran untuk memprotes penyiaran karikatur Nabi Muhammad oleh akhbar mingguan Perancis yang berbentuk satira.

Penunjuk perasaan melaungkan "Matilah Perancis" dan "Jatuh bersama Amerika Syarikat" serta membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel Khamis lalu, dalam demonstrasi yang berlangsung selama dua jam.

Di Paris, sebuah organisasi yang kurang dikenali, Syrian Freedom Association (Persatuan Kebebasan Syria) telah memfailkan tuntutan mahkamah mengatakan penerbitan kartun tersebut menyindir secara terbuka dan menimbulkan diskriminasi, kebencian atau keganasan etnik, kaum atau agama.

Kes itu sedang dipertimbangkan oleh mahkamah di ibu kota Perancis.

Wartawan Al Jazeera, Jacky Rowland yang melaporkan dari Paris berkata, "Pihak berkuasa meminta kepada sesiapa yang merasakan hak mereka telah dicabuli, maka mahkamah adalah tempat yang sesuai" untuk meluahkan kebimbangan mereka.

Kerajaan telah mengharamkan demonstrasi yang dirancang untuk diadakan Sabtu ini di Paris.

Perancis mengumumkan akan menutup buat sementara waktu kedutaan dan sekolah-sekolah di 20 buah negara Jumaat ini selepas Charlie Hebdo menerbitkan kartun yang menghina Nabi.

Pada Rabu lalu, Perancis meningkatkan tahap keselamatan dan merayu untuk bertenang selepas Charlie Hendo menerbitkan kartun tersebut.

Penduduk Green Cow mohon AG gugur pertuduhan

Salmiyah Harun, 21 Sep 2012

PUTRAJAYA: Gabungan Penduduk Green Cow Cameron Highlands memohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail mengugurkan rayuan dan tuduhan ke atas mereka dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dilihat berunsur 'mala fide'.

Menurut penduduk berkenaan, pihak peguam negara harus berpihak kepada kehendak rakyat tetapi setelah melihat pendakwaan oleh pihak timbalan pendakwaraya seolah memberikan laluan kepada pemaju untuk terus menjalankan aktiviti tanpa menghindar keselamatan penduduk.

Tuduhan pertama melibatkan dua orang penduduk Green Cow yang didakwa di bawah seksyen 341KK kerana menghalang lori pemaju.

Manakala tuduhan kedua melibatkan seorang aktivis PSM dan dua penduduk Green Cow sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Cameron kerana tiada kes bagaimanapun pendakwaraya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh. Kes ini akan disebut semula pada 2 Oktober ini.

Mewakili rombongan menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara di sini Suresh Kumar berkata, mereka bertindak menghalang pemaju kerana nyawa penduduk Green Cow terancam dengan kerja-kerja pemaju.

Malah beliau percaya, polis Cameron Highland dari awal lagi berpihak kepada pemaju dan ingin membalas dendam kerana kalah dalam kes pertama.

Buktinya, kata beliau, polis menahan penduduk dan aktivis PSM di atas tanah milik persendirian tanpa perintah mahkamah pada 13 Oktober 2011.

Malah tambahnya, polis tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas pemaju walaupun penduduk ada membuat banyak laporan polis, selain tidak mengambil sebarang tindakan ke atas pemaju yang menggunakan gangster dan pistol untuk pecah kandang kambing penduduk.

Beliau menyifatkan dakwaan ini 'mala fide' apabila pihak berkuasa menggunakan seksyen 341KK yang mana ia digunakan untuk salahlaku mengurung atau menghalang seseorang, malangnya dalam kes ini polis Cameron Highlands mentafsirkan seksyen ke atas mereka yang cuma menghalang pemaju bekerja.

Suresh turut mempersoalkan, mengapa pihak polis hendak mengklasifikasikan kes ini sebagai jenayah walhal pihak pemaju sudah pun mengambil kes sivil di mahkamah?

"Apakah niat untuk mendakwa mereka dalam tuduhan jenayah apabila isu-isu cukup jelas ia adalah isu kes sivil?" katanya yang turut ditemani Setiausaha Agung PSM S.Arutchelavan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Peguam Negara, iaitu Pegawai Perhubungan Awam Nasrudin Mahmud.

Sebelum ini, Majistret Cameron Highlands Nik Habri Muhamad telah membebaskan kesemua tiga orang pada 30 Julai 2012 kerana ada isu keselamatan rumah penduduk Green Cow, pemandu jentolak tiada lesen memandu jentolak dan permit menolak tanah pemaju meragukan.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Shaani Abdullah dalam lawatannya ke kawasan berkenaan pada 16 September 2012 mendapati isu keselamatan penduduk adalah sahih.

Green Cow adalah kawasan berbukit yang terletak di persimpangan jalan Sungai Palas, ia termasuk di dalam kawasan Kea Farm, Cameron Highlands.

Majlis Daerah Cameron Highlands telah meluluskan projek membina enam blok kedai pejabat empat tingkat berjumlah 65 unit dan 256 unit tempat letak kereta dengan nilai projek RM20 juta.

Dengan pembinaan struktur besar ini, rumah penduduk Green Cow yang terletak di bawah kaki bukit terdedah kepada batu dan tanah runtuh, ianya mengancam nyawa penduduk dan pengguna jalan raya.

Umno yang ajar bukan Islam hina Islam

Abdul Aziz Mustafa, 21 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Kalau pemimpin Umno tidak ajar orang lain menghina Islam, bangsa lain tidak berani melakukannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Utusan Malaysia dan RTM tanya saya mengenai kenyataan (Pengerusi DAP Perak, Datuk) Ngeh (Koo Ham) yang saya akui langsung tidak peka kepada sensitiviti umat Islam.

"Saya beritahu mereka, tindakan Ngeh yang lansung tidak peka kepada sensitiviti umat Islam itu sama dengan pemimpin Umno yang menghina Islam. Antaranya, (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dahulu. Beliau juga pernah hina orang Islam dan Islam. Koo Ham pun sama dengan pemimpin Umno.

"Dr Mahathir berjaya didik Koo Ham," beliau memberitahu kenyataannya kepada Utusan.

Ngeh Koo Ham baru-baru ini menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada umat Islam atas kenyataan silapnya itu.

Menurut Mahfuz, media-media pro-Umno Barisan Nasional (BN) itu tidak memberikan sebarang contoh penghinaan para pemimpin Umno terhadap Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengecam orang-orang Umno yang hanya pandai memarahi satu pihak sahaja.

"Pemimpin-pemimpin Umno dan MCA hina Islam mengapa tidak marah?

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sangat terkenal dengan kenyataannya yang mendakwa negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan, mengapa Umno tidak bantah?" Mahfuz mempersoalkan.

Malah, katanya, Najib disiarkan oleh media sebagai mendakwa "Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu".

Mahfuz juga bertanya, adakah orang-orang Umno lupa ucapan Dr Mahathir yang disepakati majoriti rakyat sebagai penghinaan kepada Nabi Muhammad?

Dalam ucapannya yang masyhur dan atas sifat sebagai Presiden Umno itu, Dr Mahathir berkata: Dalam ucapannya pada Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan 1997, Dr Mahathir berkata: "Sapa tau janggut Nabi macam mana? Sapa biasa tengok janggut nabi, ada gambar? Kita tak tau. Ada pulak yang kata janggut mesti sampai ke pusat. Ada yang special sikit macam tu! (ketawa). Apakah kita nak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut maka kita Islam. Kononnya Sunnah Nabi. Kita tak tau. Kita tak tau sebenarnya macam mana janggut dia (Nabi) (menahan ketawa).

"Di zaman itu nak cukur pun mudah ke? Dia bukan ada Gillette. Zaman nabi ada Gillette ke, tak dak. Pisau cukur pun tak dak masa tu. Jadi masalah macam mana nak cukur masa tu".

Mahfuz juga mempersoalkan mengapa orang-orang Umno diam membisu terhadap pelbagai ucapan lain para pemimpin yang menghina Islam seperti dakwaan kononnya Saidina Hamzah tidak dimandikan semasa terbunuh di dalam peperangan Uhud kerana di padang pasir tidak ada air, orang perempuan Arab memakai tudung kerana di zaman Nabi orang Arab kuat nafsunya dan berbagai lagi ucapan yang mempersenda Islam yang diucapkan oleh mereka.

"Kita tidak larang mereka nak bantah ucapan Ngeh. Tetapi kenapa diam membisu terhadap ucapan para pemimpin Umno dan MCA yang lebih teruk dari ucapan Ngeh?" beliau mempertikaikan.

Beliau mengulangi penegasan bahawa ucapan-ucapan para pemimpin Umno yang menghina Islam itu serta sikap membisu orang-orang Umno terhadap penghinaan-penghinaan itu hakikatnya adalah galakan kepada penganut agama lain di negara ini untuk menghina Islam.

Umat Islam Kota Bharu mulakan bantahan

Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir, 21 Sep 2012


(Tuan Guru Nik Aziz membakar replika CD filem pendek yang menghina Nabi Muhamad saw)

KOTA BHARU: Beribu-ribu Umat Islam di Kota Bharu Kelantan memulakan demo menyatakan bantahan terhadap filem menghina Nabi Muhamad saw dengan membakar replika CD filem jahat itu.

Upacara pembakaran tanda bantahan itu disempurnakan sendiri oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka menyatakan bantahan terhadap pihak yang menerbitkan filem pendek "Innocent of Muslim' itu yang menghina pemimpin umat Islam, Nabi Muhamad saw.

Hampir kesemua yang hadir memakai 'headband' khas berwarna pink yang bertulis 'We Love Muhamad' dalam tulisan jawi dan rumi serta simbul cinta.

Bantahan ini dikira sebagai permulaan sebelum demo yang akan diadakan di perkarangan kedutaan Amerika di Jalan Ampang selepas solat Jumaat nanti.

Bantahan  yang sama juga diadakan di seluruh negara dan di beberapa masjid di Kelantan, Perak dan Johor.

Minggu lalu, Presiden PAS memimpin himpunan di Masjid Rusila, Marang.

Berikut adalah gambar-gambar di Kota Bharu pagi ini.



(Orang ramai melihat replika CD filem pendek hina Nabi dibakar)


(Ketua Muslimat, Siti Zailah berucap membantah filem itu)


(Antara Muslimat yang hadir dengan memakai 'headband' 'Kami sayang Muhamad')

BERITA BERKAITAN


Bantah saja tidak cukup, boikot produk Yahudi

Bantah saja tidak cukup, boikot produk Yahudi

Harakahdaily, 21 Sep 2012

(Tuan Guru Nik Aziz antara peserta demo)

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa umat Islam memboikot produk Yahudi sebagai tindak balas terhadap penghinaan mereka kepada Rasulullah SAW.

Katanya, mengadakan demonstrasi bantahan terhadap perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW adalah tidak cukup sebaliknya barang-barang keluaran Yahudi seperti makanan, pakaian dan kenderaan perlu diboikot.

Justeru, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan meminta pihak berkenaan supaya menyenaraikan barang-barang yang perlu diboikot itu.

(Gambar: TG Nik Aziz membakar replika cakera padat flilem yang menghina Nabi)

“Ini puak-puak duit, kalau stop duit, menengung (termenung) mereka,” ujarnya ketika berucap pada demonstrasi aman membantah filem “Innocence of Muslims“ yang diadakan di Medan Ilmu di sini selepas menyampaikan kuliah sebentar tadi.

Beliau berkata, mengadakan demonstrasi aman sebagai membantah penghinaan kepada Rasulullah SAW itu adalah kerja Islam.

Ini, jelasnya kerana Islam menyuruh kepada perkara yang makruf dan menentang kemungkaran.

Kemuncak kepada demonstrasi itu ialah membakar replika cakera padat filem itu pada jam 10.45 pagi yang diiringi dengan laungan ‘Hidup Islam, Sayang Rasul, Hancur Yahudi, Laknat Musuh, Laknat Amerika’.

Turut berucap ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zalilah Mohd Yusoff, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Hassan Mahmod dan Ketua AMK Kelantan, Azehan.

Filem “Innocence of Muslims“ yang diarahkan oleh Sam Becile, seorang pengarah filem keturunan Yahudi Israel Amerika telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Rasulullah SAW.

Tiada ulasan: