Khamis, 27 September 2012

BILA DUNIA ISLAM LEBIH KENAL PAS...DAN LEBIH YAKIN PAS YANG BOLEH MENGEMBALIKAN ISLAM DIRANTAU INI

Sikap mahasiswa dalam isu pilihan raya kampus UIA

Harakahdaily, 26 Sep 2012
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam proses pengurusan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM oleh pihak berwajib.
Proses pembuangan undi bagi PRK UIAM telah berlangsung pada 25 September 2012 (Selasa) bermula jam 9.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10 petang. Proses pembuangan undi dijalankan oleh jawatankuasa pilihanraya kampus yang diketuai oleh Datuk Dr. Mizan Bin Hitam yang juga merupakan Timbalan Rektor UIAM dengan kekuatan jawatankuasa seramai lebih kurang 300 orang staf.

Pengumuman keputusan PRK yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6.00 petang ditangguhkan ke pukul 8.00 malam. Kira-kira jam 8.20 malam, Datuk Dr. Mizan tiba ke tempat pengumuman keputusan iaitu di Dewan Eksperimental (Experimental Hall) untuk mengumumkan keputusan.

Malangnya, Datuk Dr. Mizan sekali lagi bertindak melambat-lambatkan pengumuman keputusan PRK dengan menganjurkan para mahasiswa untuk berselawat. Beliau kemudiaannya membacakan kenyataan media yang telah pihak beliau keluarkan kepada media yang dilakukan sebelum pengumuman keputusan  dibuat di hadapan para calon yang bertanding dan pelajar yang mengundi.

Dalam kenyatan media yang beliau bacakan, beliau menyatakan masalah ‘failure data encryption’ berlaku dalam sistem e-voting. Beliau memberikan beberapa contoh ketidak-selarian yang berlaku antara peratusan pengundi dengan jumlah undian.

Justeru, beliau mengumumkan, pihak jawatankuasa pilihanraya kampus mencadangkan untuk menangguhkan keputusan PRK dengan mengadakan pilihanraya semula secara manual disebabkan masalah teknikal seperti yang disebutkan tadi.

Sesi dialog diadakan selepas selesai pembacaan kenyataan media oleh Datuk Dr Mizan. Polemik berterusan dan pelbagai persoalan dan cadangan dikemukan oleh para mahasiswa UIAM dari kampus Gombak dan Kuantan atas kemusykilan dan rasa tidak senang dengan pengumuman yang dilakukan.

Berhubung kejadiaan ini, mewakili kelompok mahasiswa yang sedar dan prihatin, kami mengenalpasti empat permasalahan dan kemusykilan utama yang perlu dijawab oleh pihak yang berwajib:

1. Pihak jawatankuasa PRK di bawah kepimpinan Datuk Mizan telah secara pasti mengetahui masalah teknikal yang berlaku berkaitan polling system sejak jam 6.00 petang iaitu pada waktu yang sepatutnya pemngumuman keputusan PRK dibuat. Justeru, mengapa pihak berwajib bertindak menzalimi para mahasiswa yang terpaksa menunggu lama menanti pengumuman keputusan PRK tanpa sebarang notis segera penangguhan masa pengumuman? Hanya setelah kira-kira jam 7.05 malam, barulah dimaklumkan tentang sesi pengumuman ditangguh ke pukul 8.00 malam.

2. Mengapa pengumuman penangguhan keputusan PRK dimaklumkan kepada pihak media terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada para calon dan pengundi? Tindakan seperti ini menggambarkan sikap tidak profesional oleh pihak berwajib kerana tidak mampu membuat pertimbangan awlawiyat (keutamaan) kepada pihak mana harus dimaklumkan terlebih dahulu. Kami berpandangan calon dan pengundi harus diutamakan kerana mereka terlibat sebagai pemegang-taruh (stake holders) dalam PRK.Tindakan ini menggambarkan seolah-olah pihak pengurusan PRK atau pihak pentadbir tidak menghormati calon dan para pengundi.

3. Kami juga berasa hairan bagaimana media seperti NTV7 dan TV9 boleh mengumumkan keputusan palsu di stesen masing-masing dalam slot berita sedangkan menurut pihak pentadbir UIAM, kenyataan media yang dikeluarkan secara rasmi oleh UIAM adalah sepertimana yang dibacakan. Menurut staf UIAM yang menjaga jaringan media, wartawan NTV7 yang menerbitkan berita palsu berkenaan PRK di UIAM diambil dari internet. Lihat, bagaimana pihak media mencemar etika kewartawanan dan integriti dalam menyiarkan informasi kepada rakyat.

4. Kami juga ingin menyatakan keraguan kami terhadap ketelusan proses pilihanraya dijalankan. Penangguhan  pengumuman keputusan dan sikap melewat-lewatkan pengumuman yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa PRK membangkitkan kemusykilan apakah pihak yang terbabit mampu mengurus-tadbir perjalanan PRK. Beberapa aduan diterima tentang kekeliruan dan kesamaran yang berlaku dalam proses pembuangan undi. Malah, terdapat beberapa informasi yang salah daripada staf yang terbabit dengan proses pilihanraya yang menunujukkan ketidak-sediaan pihak jawatankuasa PRK dalam menguruskan PRK di UIAM.

Oleh yang demikian, kami menyatakan beberapa tuntutan:

1. PRK yang bakal dijalankan semula mestilah telus dan profesional.
  • Kami menuntut supaya mahasiswa juga menganggotai jawatankuasa PRK.
  • PRK punya aturan yang jelas, telus dan tidak terdedah kepada sebarang kemungkinan manipulasi.
  • Melibatkan wakil calon sebagai pemerhati sepanjang proses pembuangan undi dijalankan sehinggalah kepada proses pengiraan undi.
  • Menukar pengerusi jawatankuasa PRK kampus UIAM, Datuk Dr. Mizan Bin Hitam
2. Memohon maaf secara terbuka dan bertulis kepada para calon dan mahasiswa yang mengundi kerana layanan buruk dan sikap tidak hormat kepada para mahasiswa UIAM kerana melewatkan pengumuman tanpa notis dan mengumumkan keputusan PRK kepada media sebelum para mahasiswa.

3. Atas nama pilihanraya yang telus dan adil, kami mendesak pihak jawatankuasa PRK UIAM untuk mengeluarkan data-data pengundian yang dikatakan bermasalah dengan secepat mungkin. Ini mampu membangkitakan semula rasa yakin kami terhadap keboleh-upayaan pihak jawatankuasa PRK.

4. Menafikan berita palsu berhubung keputusan yang disebarkan melalui media massa seperti NTV7 dan TV9 dan UIAM perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak media yang terbabit untuk membersihkan nama universiti yang dicemar dengan berita-berita palsu.

5. Kami menuntut agar hari pembuangan undi diisytiharkan sebagai hari cuti bagi memudahkan semua mahasiswa dapat menjalankan tanggungjawab mengundi dengan lancar.

Sekian, terima kasih.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Kelab Maaruf UIAM (MC)

Hina Nabi: PAS serah memo bantah majalah Perancis

Nazri Abdullah, 26 Sep 2012

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyerahkan satu memorandum kepada kedutaan Perancis membantah tindakan sebuah majalah negara itu yang menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

Karikatur biadap itu disiarkan majalah mingguan tempatan, Charlie Hebdo, beberapa hari selepas bantahan umat Islam di seluruh negara kerana memprotes filem Innocence of Muslims.

Penyerahan memorandum itu diketuai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bersama Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, setiausaha lajnah itu Mohamad Faiz Mat Nawi dan pembantu kepada Mohamad, Tajuddin Osman.

Mereka dilihat masuk ke bangunan kedutaan kira-kira jam 11.45 pagi ini.

Bercakap kepada media selepas pertemuan kira-kira 20 minit itu, Mohamad berkata PAS mengecam kebiadaban majalah itu yang tidak menghormati kesucian agama lain yang bertindak atas dasar kebebebasan bersuara tanpa mempedulikan sensitiviti aga lain.

"Kita melihat mereka seperti tidak mahu berhenti menghina Nabi dan agama Islam. Islam mengajar kami untuk tidak menghina agama orang lain.

"Kebebsan bersuara jangan sampai hina agama lain. Jika Jesus dihina, kami juga akan bantah," katanya.

Penerbitan karikatur terbaru ini juga katanya terus menyemarakkan kemarahan umat Islam yang belum reda dengan isu filem Innocence of Muslims.

Jika tidak dihentikan, ianya bakal mengulangi insiden yang berlaku di Libya yang menyebabkan duta Amerika meninggal dunia akibat bantahan rakyat.

"Eropah menggambarkan Islam sebagai pelampau, penghinaan ini memberi lesen kepada pelampau untuk bertindak," katanya.

Sehubungan itu PAS menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap perbuatan seumpama ini agar rasa tidak puas hati umat Islam reda dan tidak mahu sebarang tindakan yang lebih radikal diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Syed Azman pula mendesak Duta Perancis untuk menyampaikan pendirian PAS ini kepada presiden negara itu.

Beliau juga turut menyatakan kemarahan umat Islam di negara ini di atas tindakan majalah Perancis itu yang cuba mempermainkan dan menghina Nabi Muhammad SAW.

"Kita mengingatkan, jangan sesekali menyentuh sensitiviti umat Islam dengan penghinaan sebegini.

"Umat Islam seluruh dunia akan mempertahankan kesucian agama ini dengan apa jua sekalipun," katanya.

Beliau turut mengingatkan tindakan itu juga bakal mengundang kekeruhan hubungan antara umat Islam dengan bangsa lain.

Umno tidak boleh lagi manipulasi hukum hudud

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Hukum hudud bukan lagi menjadi suatu momokan dan modal politik murahan yang boleh dimanipulasi oleh Umno BN untuk menjauhkan kaum bukan Islam daripada PAS.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya baru-baru ini membuktikan bahawa Umno BN semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya  Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan bahawa terdapat peningkatan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan merosotnya sokongan terhadap Umno BN,” kata setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa rakyat kian hari kian hilang keyakinan terhadap kebolehan Umno BN memerintah negara.

Tambahnya, dengan pelbagai isu yang terpalit kepada pemimpin BN, rakyat semakin tidak sabar untuk melihat kejatuhan mereka.


“Kajian ini juga menunjukkan bahawa segala sogokan yang diberi oleh Umno BN seperti BR1M, TR1M dan sebagainya tidak memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.

“Semakin banyak yang dilakukan, semakin meluat rakyat kepada Umno BN. Rakyat semakin teruja melihat kejatuhan Umno BN,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setelah 56 tahun memerintah dan menjerut leher rakyat, kini masanya untuk rakyat Malaysia membuat pembaharuan dengan memilih Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, manifesto-manifesto Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga mampu menawan hati rakyat Malaysia sehinggakan Umno BN terpaksa mencedok idea daripada buku tersebut untuk disajikan kepada rakyat.


DPPWP juga, ujarnya tertarik dengan kajian UM yang menyatakan bahawa kaum Cina semakin yakin dengan undang-undang hudud.

Ini, tambah beliau sekaligus menafikan bahawa kaum Cina di Malaysia amat fobia dengan undang-undang hudud.

Katanya, undang-undang hudud untuk umat Islam ini sememangnya diketahui umum amat adil, apatah lagi ianya amat berkesan dilaksanakan di saat negara kini mengalami kadar jenayah yang tinggi.

“Kajian ini merupakan tamparan yang hebat kepada Umno BN khususnya MCA yang dilihat cuba untuk menakut-nakutkan kaum Cina dengan isu hudud.

“Inilah hasil perjuangan PAS dari dulu hingga kini. Rakyat kini sudah mula dapat menerima hukum hudud. Penerangan demi penerangan diberikan tanpa jemu walaupun diugut dan ditolak oleh orang yang mengaku Islam sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Umno BN walaupun memerintah namun tidak pernah ada usaha untuk memberikan kefahaman hudud kepada rakyat yang berbeza dengan PAS yang tidak memerintah namun masih mampu memberikan kefahaman tersebut.

Mahkamah tolak tuntutan Umno Pahang

Harakahdaily, 26 Sep 2012


(Pengarah Seruan Gemilang dalam sidang media bersama peguamnya)

KUANTAN: Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan, Puan Sazlina Binti Shafie pada 24 September, 2012 telah menolak tuntutan balas Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang ke atas syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn  Bhd (509106-D) untuk taksiran gantirugi dan manfaat.

Tuntutan balas itu difailkan melalui Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Ahmad Tajudin Sulaiman.

Dalam tuntutannya, Umno selaku pemilik tanah seluas 10,000 ekar di Nenasi, Mukim Bebar, Pekan mendakwa mereka kerugian hampir RM1.5 juta disebabkan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd kononnya telah memperolehi lesen mengeluarkan balak seluas 1000 ekar dari tanah itu tanpa kebenaran yang sah.

Selain itu, Umno juga mendakwa mereka kerugian nilai manfaat hampir RM70 juta atas kausa tindakan hasil pengkayaan tak wajar (unjust enrichment) yang kononnya diperolehi Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Untuk rekod Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd sebelum ini telah memenangi saman ke atas Kerajaan Negeri Pahang dan Pejabat Hutan Negeri melalui Guaman Sibil No. 21-9-2002 dan nilai terkini yang sepatutnya dibayar kepada syarikat hasil penghakiman ini adalah RM70 juta. Jumlah RM70 juta ini masih lagi belum dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada syarikat.

Dalam kes ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang telah memanggil dua orang saksi iaitu Datuk Abdul Rahim Bin Abas iaitu Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Pahang dan Encik Quek Jern Leng.

Syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah memanggil tiga saksi iaitu Datuk Mohd Paiz Bin Kamarusaman (Pengarah Perhutanan Negeri Pahang), Encik Azmer Bin Mohamed (Penolong Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan), Perhutanan Negeri Pahang dan Encik Lee Sin (bekas Pengurus Palintif dan Pemegang Saham Syarikat Seruan Gemilang Sdn Bhd).

Natijah langsung dari keputusan ini menunjukkan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd tidak perlu membayar sesen pun kepada Umno samada gantirugi atau manfaat.

Syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd diwakili oleh Encik Dzulkarnain Mohamad dan Encik Muhammad Aznel Bin Azaharudin manakala Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang diwakili oleh Encik Toh Seng Soon, Encik Ong Siew Wan dan Encik Wong Fook Yong.

Khalid ajak Muhyiddin bincang Langat 2

Harakahdaily, 26 Sep 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk bersama-sama membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, jemputan tersebut akan dimaklumkan dalam surat balasan beliau kepada Muhyiddin dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri percaya perbincangan ini akan membawa keputusan positif kepada industri air, negeri serta kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk bersama-sama membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Jemputan tersebut akan dinyatakan dalam surat balasan saya kepada YAB Tan Sri Muhyiddin yang akan dihantar kepada beliau dalam masa terdekat ini.  Kerajaan Negeri percaya perbincangan ini akan membawa keputusan positif kepada industri air, negeri serta kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Saya kira Timbalan Perdana Menteri perlu tahu terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan negeri boleh membuat tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi yang sekarang ini diberi tempoh lanjutan untuk beroperasi dari bulan ke bulan oleh  Suruhanjaya Perkhidmatan air Negara (SPAN).

Saya juga akan memberitahu YAB Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor  masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat-syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta Perkhidmatan Industri air atau Akta 655.

Saya juga akan menyatakan pandangan bahawa Timbalan Perdana Menteri tidak diberikan penjelasan yang sebenarnya mengenai kuasa dan peranan Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan di bawah Akta 655 di mana akta ini menyatakan kuasa eksekutif mengenai segala perkara yang berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

Manakala Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta 655 pula memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik atau penyatuan atau percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen melainkan dengan kelulusan Menteri, di dalam hal ini, Menteri yang berkenaan adalah Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air.

Saya akan menjelaskan bahawa keengganan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  untuk menerajui perundingan jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan dengan sengaja mahu mengingkari tanggung jawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah seksyen 191 (4) Akta 655.

Saya juga akan menyatakan  SPAN menyalahguna kuasa budi bicara apabila  memberi kuasa kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan yang bererti memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

Oleh kerana kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri.

Sekiranya syarikat konsesi tidak setuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan kerajaan negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri kecewa dengan tindakan  pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan persepsi tidak benar seolah-olah berlaku krisis bekalan air dan mahu rakyat menyalahkan kerajaan negeri.

Dari awal lagi, media arus perdana telah dipergunakan untuk mengelirukan rakyat berhubung isu air sedangkan kerajaan negeri konsisten dengan pendirian untuk melaksanakan penyusunan semula  mengikut semangat WSIA yang menawarkan  penyelesaian secara holistik kepada industri perkhidmatan air.


TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Mahkamah batal keputusan Unimap gantung pelajar

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa tindakan Jawatankuasa Tatatertib Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang menjatuhkan hukuman gantung pengajian 66 hari, denda RM100 dan amaran keras terhadap seorang mahasiswanya, Mohd Izuwan Zaini adalah tidak sah dan terbatal.

Selain itu, mahkamah juga memutuskan bahawa Kaedah-kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar-pelajar) Unimap 2009 adalah ultra vires Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Hakim Tuan Abang Iskandar Abang Hashim di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) juga memutuskan kos diberikan kepada pelajar itu sebanyak RM5,000.00

Pemohon iaitu Mohd Izuwan Zaini telah menamakan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar Unimap sebagai responden pertama dan Unimap sebagai responden kedua.

Pemohon telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mei 2012 di mana pemohon telah diwakili oleh peguam  Mohd Fikah dan  Nasar Khan dari Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners manakala responden-responden diwakili oleh Peguam Khairul Azam Aziz.

Ketika mengulas lanjut perkara ini, Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi menegaskan bahawa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melalui Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham) menyambut baik keputusan mahkamah ini dan berikrar akan terus komited untuk memperjuangkan nasib mahasiswa yang ditindas di kampus-kampus di seluruh negara.

Menurutnya lagi, keputusan ini juga memberikan impak yang sangat besar kepada seluruh mahasiswa oleh kerana mereka seringkali menjadi mangsa Jawatankuasa Tatatertib Universiti dalam banyak perkara terutama yang melibatkan politik.

Justeru beliau menyeru agar mahasiswa tidak bimbang untuk berpartisipasi selagi mana mematuhi batas-batas tertentu.

Terdahulu, pemohon telah dituduh dan disabitkan atas kesalahan menganjurkan satu perhimpunan melibatkan pelajar-pelajar dari pelbagai institusi awam dan swasta atas nama Gabungan Mahasiswa ”Watch 13” pada 13 Februari 2012.

Ia bertujuan memberikan kesedaran kepada umum tentang kepentingan pilihanraya selain menyeru masyarakat untuk turun mengundi dalam pilihanraya umum ke 13.

Tindakan pemohon tersebut telah dianggap sebagai mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada universiti atau yang memudaratkan kepentingan universiti oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti berkenaan.

Dengan keputusan ini bermakna tindakan Unimap tersebut adalah tidak sah, terbatal dan bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti itu sendiri.

Keputusan ini juga memberikan mesej yang jelas bahawa mahasiswa tidak patut dikongkong kebebasan mereka untuk menyuarakan pendapat dan untuk berpersatuan kerana hak-hak tersebut adalah dijamin sepenuhnya di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Israel serah sebahagian besar Tebing Barat?

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 26 Sep 2012


JERUSALEM: Menteri Pertahanan Israel mengemukakan idea untuk meninggalkan  sebahagian besar Tebing Barat jika usaha perdamaian dengan Palestin masih tidak menunjukkan progres.

Ehud Barak berkata Israel akan menumbangkan berpuluh-puluh penempatan tetapi akan menyimpan blok penempatan utama, yang kebanyakannya berhampiran sempadan Israel, dan mengekalkan kehadiran tentera di kawasan sepanjang sempadan dengan Jordan.

Komen beliau datang dalam satu temu bual yang disiarkan Isnin lalu dalam akhbar Israel, Hayom.

Beliau berkata adalah lebih baik untuk mencapai perjanjian damai dengan Palestin selepas empat tahun menemui jalan buntu, beliau berkata Israel mesti mengambil "langkah-langkah yang praktikal."

Palestin menolak cadangan Israel tersebut. Mereka menyatakan dalam rundingan berikutnya bahawa mereka mahukan kesemua Tebing Barat.

Cadangan Barak berkemungkinan besar menghadapi tentangan hebat dari pihak konservatif Israel.

Masalah Dong Zong masih belum selesai

Anis Nazri, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun pelbagai usaha dilakukan, lapan masalah Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) masih belum diselesaikan.

Pengerusinya, Dr. Yap Sin Tian, berkata sebelum ini pihak Dong Zong telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama Kementerian Pelajaran.
Malah, kata beliau Dong Zong juga pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
"Namun, masalah yang dibangkitkan kami masih belum diselesaikan.  Justeru, hari ini kami ke sini bagi menyerahkan surat, suara hati rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli parlimen," tegas beliau pada sidang media di parlimen, hari ini, selepas bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi menyerahkan surat tersebut.
Antara masalah yang dihadapi Dong Zong ialah kekurangan guru yang serius di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, penempatan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa Cina ke sekolah itu di samping masalah peruntukan pembangunan yang terlalu sedikit dan pelaksanaan mekanisme normal penubuhan sekolah berkenaan.
Sebelum itu beliau turut menyerahkan surat tersebut kepada wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat.
PAS diwakili Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena, manakala DAP diwakili Penasihat parti yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, dan Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Fuziah Salleh

Sempadan p'raya: Mahkamah Kuwait tolak rayuan kerajaan

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 26 Sep 2012

KUWAIT: Mahkamah tertinggi Kuwait Selasa lalu menolak rayuan kerajaan untuk mengubah sempadan pilihan raya selepas protes oleh tokoh pembangkang.

Keputusan tersebut mungkin meredakan ketegangan dengan kumpulan pembangkang, yang berjanji akan mengadakan demonstrasi jalanan jika keputusan mahkamah berpiihak kepada kerajaan.

Kerajaan mahu mengubah kawasan pilihan raya tetapi kumpulan pembangkang bimbang tindakan tersebut akan dilakukan dengan cara yang akan memihak kepada calon pilihanraya dari kerajaan.

Walaupun Kuwait tidak mengalami kebangkitan sepertimana di tempat lain di dunia Arab, keadaan menjadi semakin tegang antara pihak kerajaan, yang dikuasai oleh keluarga pemerintah dan parlimen yang dipilih.

"Keputusan perlembagaan hari ini bermakna bahawa kerajaan perlu meletakkan jawatan serta-merta," ahli Parlimen Faisal al-Muslem menulis di Twitter, memanggil pilihan raya Parlimen yang baru.

Kerajaan berkata ia memerlukan mahkamah perlembagaan untuk mengesahkan rayuan tersebut untuk melindungi keputusan pilihan raya akan datang dari sebarang kemungkinan cabaran undang-undang.

Walaupun Kuwait mempunyai salah satu sistem politik yang paling terbuka di Teluk, ketua keluarga pemerintah, Emir Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, mempunyai kata putus dalam hal-hal politik.

Berlatarbelakangkan suasana perubahan di rantau itu, tokoh pembangkang Kuwait memanggil supaya kerajaan adalah pihak yang dilantik dan juga peluang untuk menubuhkan parti-parti politik, yang kini diharamkan di Kuwait.

Bagi Bob, hanya PAS harapan rakyat

Rizal Tahir, 26 Sep 2012


(Bob Lokman bercakap dengan penduduk Jelawat baru-baru ini)

KOTA BHARU: Rakyat di negara ini memilih perjuangan PAS memandangkan hanya parti itu harapan untuk rakyat di negara ini berlindung.

Artis terkenal, Bob Lokman berkata sama ada golongan artis, para cendikiawan termasuk dirinya memilih parti itu kerana hanya PAS sebuah parti yang berlandaskan Islam.

“Malah ianya (PAS) kemuncak pada perjuangan Islam di negara kita. Hanya parti ini yang boleh diharapkan untuk kita berlindung serta membawa kita ke jalan yang benar,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, di Dataran Ilmu, Cabang Empat Gunong, di sini, baru-baru ini.

Turut berucap pada majlis itu, Adun Jelawat Abdul Aziz Kader.

Bob Lokman adalah antara artis yang awal menyertai PAS. Ketika itu, para artis menganggap PAS akan menyekat segala kegiatan artis.

Namun Bob Lokman buktikan, terdapat tempat yang baik di dalam PAS iaitu melalui pendekatan yang dibenarkan Islam.

Selepas itu, berbondong-bondong golongan itu menyertai PAS.

Menurut Bob lagi, setiap hari ada bisikan menyusuk ke telinganya supaya kembali pada zaman kegemilangannya sebagai seorang artis sama ada sebagai penulis lirik atau seumpamanya.

Menurutnya, namun seboleh mungkin beliau menolak kerana tidak mahu lagi terpalit dengan dunia berkenaan.

“Siapa tidak mahu sebuah lirik lagu sampai berbelas ribu, ada peminat, tetapi demi Islam saya akan tetap bersama PAS," tegas beliau di majlis itu.

Dasar percukaian negara perlu penambahbaikan

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pemerintahan dalam Islam menekankan konsep keadilan dan kebajikan, kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin A. Razali (gambar).


Jelasnya, Allah menegaskan di dalam Surah al-Nisa' ayat 58 bermaksud: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia (Allah memerintahkan) kamu memerintah dengan adil.


“Atas prinsip ini, PAS menggagaskan Negara Berkebajikan yang meletakkan antaranya asas utamanya prinsip adil dan ihsan (al-`adl wa al-ihsan),” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, antara keadilan dan kebajikan yang mesti dipraktikkan ialah dalam persoalan percukaian.

Beliau menjelaskan, ia berkait rapat dengan persoalan pendapatan rakyat dan mempengaruhi tahap keadilan dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat.


Secara asasnya, kata beliau Islam tidak meletakkan percukaian sebagai sumber utama negara.

“Sumber utama negara boleh diperolehi daripada hasil mahsul bumi dan khazanah negara seperti galian dan lain-lainnya,” ujarnya lagi.

Justeru, ujar beliau kerajaan dalam Islam tidak mengenakan cukai daripada individu melainkan dengan beberapa syarat.

Kata beliau, antaranya cukai yang diambil sebagai imbalan kepada khidmat yang disediakan oleh kerajaan seperti menyediakan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital dan sekolah.

Di samping, jelasnya hasil pendapatan negara dari sumber selain daripada percukaian tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara.

Selain itu, tambah beliau tidak berlaku sebarang ketirisan perbelanjaan atau salahguna harta negara.

Mohd Khairuddin berkata, umum mengetahui bagaimana kerajaan Malaysia di bawah Barisan Nasional antara negara yang mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyatnya, sedangkan dalam masa yang sama kerajaan mempunyai sumber pendapatan besar daripada pelbagai sumber hasil bumi negara.

Apatah lagi,  ujarnya apabila persoalan ketirisan, salah urus dan salah guna harta negara berlaku sebagaimana diketahui umum dan ditegaskan pula oleh laporan-laporan rasmi.

Untuk itu, tambah beliau undang-undang percukaian negara perlu dibuat penambahbaikan untuk diselaraskan dengan Islam yang boleh menjamin keadilan kepada rakyat  dan juga kebajikan dan ihsan untuk mereka.

“PAS bersama Pakatan Rakyat menawarkan kerajaan baru sebagai alternatif kepada rakyat bagi memberikan keadilan dan kebajikan yang sebenarnya berprinsipkan Islam dan urus tadbir terbaik berlandaskan wahyu,” katanya lagi.

Presiden PAS terima kunjungan wakil pusat kajian Turki

Muhammad Faizal, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan Setiausaha Agung Pusat Kajian Sosial dan Ekonomi (ESAM), Prof Dr Arif Ersoy dari Turki.

Pertemuan singkat itu berlangsung di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Tuan Guru Abdul Hadi berkongsi perkembangan politik semasa di negara ini.

Ianya termasuk kejayaan PAS selaku parti Islam memerintah di tiga negeri selepas Pilihan Raya Umum 2008 iaitu Kelantan, Kedah dan sementara di Perak sebelum dirampas semula oleh BN pada 2009.

Selain itu, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang juga dimenangi rakan PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP.

Sementara itu, Dr Arif Ersoy yang dalam lawatan singkat beliau ke Malaysia melahirkan rasa bangga dengan pencapaian PAS sebagai sebuah parti Islam serta melahirkan keyakinan PAS dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pilihanraya yang akan datang.

Dr Arif Ersoy juga melahirkan kegembiraan beliau apabila berpeluang bertemu dengan Abdul Hadi walaupun dalam pertemuan singkat.

Dr Arif Ersoy juga turut menyatakan minat untuk mengunjungi negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat terutamanya PAS pada kunjungan beliau akan datang.

Wakil Aceh harap PAS jadi parti disegani serantau

Rizal Tahir, 26 Sep 2012

KOTA BHARU: PAS diharap menjadi sebuah parti Islam yang disegani di rantau ini kerana parti itu yang memperjuangkan Islam sebagai sumber kekuatan umat Islam di negara lain.

Ahli Dewan Perwakilan Aceh, Ramli Sulaiman berkata semoga PAS yang telah lama mentadbir Kelantan terus maju kerana parti itu menjadi contoh umat Islam di negara lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili anggota rombongan Dewan Perwakilan Aceh, di Bilik Gerakan, di Kota Darulnaim, di sini semalam.

Seramai 14 orang anggota rombongan tersebut melakukan lawatan muhibah ke Kelantan selama empat hari.

Dalam tempoh itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah yang mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Amar ketika berucap pada majlis itu memberitahu Aceh dan Kelantan merupakan dua buah negeri yang mendapat jolokan Serambi Makkah di Malaysia dan Indonesia.

“Kita ni serumpun walaupun di negara lain, mempunyai persamaan dalam banyak perkara, budaya, makanan, percakapan,” ujarnya.

Rapid: Melayu jadi hamba atas tanah sendiri

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sudah terlalu banyak tanah orang Melayu menjadi mangsa atas nama pembangunan yang akhirnya mengakibatkan orang Melayu  terpinggir dan menjadi hamba kepada orang lain di atas tanah asalnya sendiri.


Sehubungan itu, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menolak projek Rapid Petrokimia Petronas yang diumumkan akan dilaksana di Pengerang Johor sebagai projek mengutamakan rakyat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata dengan pemindahan penduduk dari 10 kampung tardisional, tidak mungkin boleh diterima sebagai mengutamakan rakyat.


Menurutnya, jika benar projek yang hendak diperkenalkan adalah untuk kepentingan rakyat sepatutnya pandangan rakyat diperolehi terlebih dahulu.


“Kami berpendapat pengumuman PM bahawa projek itu akan dilaksanakan tanpa terlebih dahulu melalui proses perundingan awam adalah tindakan yang mengenepikan hak rakyat untuk memberi maklum balas,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Baginya, pendekatan kerajaan memaksa rakyat menerima projek pembangunan yang bersifat pengambilan kampung halaman dan memaksa penduduk dipindah adalah pendekatan diktator yang sering dihadapi oleh rakyat di negara membangun.


Rakyat, ujarnya sering dijadi mangsa dengan alasan bahawa pembangunan diperlukan dan rakyat perlu berkorban.

Katanya lagi, pihak pemaju projek selalunya mendapat perlindungan kerajaan dan kerajaan pula sering mengiakan kehendak pemaju.


“Teras tidak menerima pendekatan yang sudah lama ditolak oleh rakyat di kebanyakan negara membangun sekarang kerana pendekatan seperti ini akan selalu mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan alam sekitar, peminggiran penduduk, kesan sosio-budaya yang negatif dan kepentingan penduduk tempatan diketepikan untuk diambil alih oleh orang luar.


“Ini bukan kali pertama rakyat diketepikan. Janji awal bahawa puluhan ribu peluang pekerjaan akan disediakan, biasanya tidak berlaku bila projek berskala besar ini dilaksanakan,” ujarnya.

Azmi berkata, rubahan iklim ekonomi semasa sentiasa menjadi helah kenapa syarikat tidak dapat memberi peluang pekerjaan seperti yang diramalkan dan adakala terpaksa membuang pekerja.


“Projek mega seperti ini akan selalunya mengutamakan kepentingan ekonomi dari yang lain,” katanya.

Tambahnya, dalam pengalaman pelbagai projek yang telah dilaksanakan akhirnya pekerja asing diambil dengan alasan kos upah lebih murah dan penduduk tempatan akhirnya terpinggir.


“Pengalaman seperti ini bukan baru. Projek Perwaja di Kedah yang akhirnya rugi kini dipenuhi oleh pekerja luar dan tidak berlaku sebarang keuntungan dan limpahan ekonomi seperti dijanjikan berlaku,” katanya lagi.


Beliau menambah, Teras berpendapat bahawa kerajaan tidak seharusnya meneruskan pendekatan "dari atas ke bawah" (top down) seolah-olah kerajaan lebih tahu semua  dari rakyat.

Sebaliknya, kata beliau pendekatan yang lebih mesra rakyat iaitu "dari bawah ke atas" ( bottom up ) sepatutnya digunakan jika kerajaan benar-benar jujur mengguna prinsip rakyat diutamakan.


“Teras membantah keras pengambilan tanah rakyat oleh projek Rapid Petronas di Pengerang apatah lagi tanah yang melibatkan perkampungan tradisional Melayu,” katanya lagi.

P'raya Kampus: Pro-M kekal kuasai UKM

Harakahdaily, 26 Sep 2012
KAJANG: Keputusan pilihan raya kampus bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan kumpulan pro-M yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa UKM (GMUKM) kekal menguasai kampus itu.

GMUKM menang di 19 kerusi berbanding kumpulan pro-Aspirasi yang hanya menang lapan kerusi.

Calon bebas turut memenangi satu kerusi pada pilihan raya kampus itu kali ini.

GMUKM meletakkan calon mereka di 28 kerusi iaitu sembilan kerusi umum manakala 19 lagi di fakulti.

Kemenangan majoriti itu sekaligus mengekalkan penguasaan Pro-M di kampus itu.

Pada pilihan raya kampus tahun lalu, GMUKM menang 23 kerusi.

Tiada ulasan: