Ahad, 9 September 2012

JANGAN BUAT HINGGA RAKYAT JADI MELUAT...WALAUPUN TUJUAN UNTUK MENAKUT2 SAJA...NI KERJA2 ORANG TAK BERPENDIDIKAN...ADA SIKAP JAHAT DAN SAMSENG ITU BACAAN RAKYAT....KATA2 TU MACAM CUAK@BIMBANG AJE

Kit Siang: Najib perlu maafkan Ammar, Sing Yee
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
SHAH ALAM - Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar memaafkan Muhammad Ammar A Rahman dan model sambilan Ong Sing Yee, yang menjadi fokus kontroversi insiden 30 Ogos lalu, serta kedua-dua ibu bapa mereka dengan semangat berhemah.

Selain itu, beliau juga mahu Peguam Negara menerima permohonan maaf mereka dan tidak mengambil tindakan undang-undang.

"Dari awal lagi, saya telah menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak memihak atau menyokong tindakan Muhammad Ammar dan Ong Sing Yee.

"Apa yang telah mereka lakukan adalah satu tindakan yang dikesali dan merupakan satu kesalahan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua remaja itu, yang dikaitkan dengan tuduhan menunjuk punggung dan memijak gambar pemimpin negara, dan keluarga mereka telah memohon maaf kepada Najib dan seluruh rakyat Malaysia.

Mereka menyerah kepada polis dan telah dilepaskan selepas diambil keterangan.

Permohonan maaf turut diulangi oleh Muhammad Ammar dan ibu bapanya pada satu sidang media di Batu Pahat semalam.

Sambil menegaskan, rakyat Malaysia berhak untuk menikmati kelakuan sivil dan tertib di khalayak ramai, Penasihat DAP ini menambah, "rakyat Malaysia kini rimas dengan tindakan kuku besi Barisan Nasional ‘double-standard’ dalam pengendalian isu ini."

Sebagai contoh, katanya, "Perlukah Ong digari seakan seorang yang merbahaya apabila dia telah menyerah diri kepada pihak polis."

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan pengakuannya bahawa apa yang telah dia  lakukan adalah salah dan bersedia menghadapi akibat tindakannya.

"Akan tetapi, adakah wajar tindakan pihak polis untuk menganggap dia sebagai penjenayah yang perlu digari dan pada masa yang sama VIP BN termasuklah menteri dan bekas menteri diberi layanan ‘istimewa’ walaupun dituduh dengan dakwaan jenayah terhadap rakyat dan negera?" kata beliau lagi.

Kit Siang juga berkata, tindakan membuang Muhammad Ammar dari kolej merupakan satu tindakan yang amat keras.

"Dan, dia mesti dibenarkan menyambung semula pengajiannya," katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau terperanjat membaca laporan bahawa pihak polis telah menahan dua pemuda yang telah membentangkan bendera Sang Saka Malaya pada hari yang sama insiden walaupun telah menafikan apa-apa tuduhan untuk menggantikan Jalur Gemilang tetapi sedang turut serta dalam satu memori sejarah.

Kit Siang menambah, Barisan Nasional kian bertindak dengan tidak bertanggungjawab dalam mengeksploitasikan kedua-dua insiden ini dan melemparkan tuduhan palsu terhadap Pakatan Rakyat bahawa ia berhasrat untuk menukar bendera kebangsaan dan untuk meminda Perlembagaan untuk memansuhkan sistem raja berperlembagaan dan menubuhkan satu negara republik.

"Fitnah, tohmahan dan pembohongan seperti ini kian merebak dan menjadi penyumbang utama kepada ‘usaha’ untuk memecahbelahkan perpaduan serta pembangunan negara," katanya lagi.
Bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat lagi
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Bas PKR
Keadaan bas PKR yang disimbah cat. - Foto ihsan dari Facebook Anwar Ibrahim
Bas PKR
Bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah kali kedua. -Keadaan bas PKR yang disimbah cat. - Foto ihsan dari Facebook Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah kali kedua dalam seminggu ini, kata Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini insiden itu terjadi di Melaka.

"Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadab!" kata mesej Twitter Anwar hari ini.

Kata beliau, gerombolan dipercayai anggota Pemuda sebuah parti melempar cat merah di bahagian cermin hadapan bas Jelajah Merdeka Rakyat sebaik menghampiri Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Melaka di Kampong Kelubi, Jasin.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dihubungi Sinar Harian Online turut mengesahkan kejadian tersebut.
Bas terbabit diserang di Kota Bharu, Kelantan awal pagi 1 September di hadapan Pasar Siti Khadijah.
Ia dilancarkan oleh PKR pada 31 Ogos sebagai kemudahan untuk menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat.
Dalam kejadian di Kota Bharu, cermin bas tersebut telah dipecahkan dan cat merah disimbah pada bas tersebut.
Bas itu mempunyai 19 tempat duduk, kemudahan wifi, tempat mesyuarat, tandas dan dilengkapi sistem bunyi dan pentas segera.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi berkata, beliau dan Anwar berada dalam bas ketika kejadian.
"Bas disimbah cat dan dibaling dengan botol dan batu ketika bas tiba di kawasan kejadian," kata beliau.
Kata beliau, bas diserang apabila skuad AMK yang berada di kawasan kejadian cuba menghalang beberapa pemuda, dipercayai ahli Umno, cuba menyekat bas daripada meneruskan perjalanan ke tempat majlis.
"Apabila bas mula bergerak selepas kumpulan itu dileraikan ke tepi jalan, kumpulan pemuda itu membuang cat ke arah bas dan baling, dipercayai botol dan batu," kata beliau.
Ketika kejadian ada 10 penumpang termasuk beliau, Anwar dan seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Shamsul Iskandar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis esok.
"Saya kenal salah seorang yang berada dalam kumpulan pemuda adalah seorang penghulu. Saya akan dapatkan butiran dan akan dedahkan selepas membuat laporan polis esok," kata beliau lagi.
Hisham: Komponen BN juga boleh singkir anggota sabotaj parti

8 September 2012
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
SEPANG - Parti komponen Barisan Nasional (BN) juga boleh mencontohi Umno dalam mengambil tindakan tegas menyingkirkan mana-mana anggota atau pemimpin yang mensabotaj parti dalam pilihan raya umum.
 
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendirian tegas itu penting bagi memastikan setiap anggota dalam BN jujur dan ikhlas serta membolehkan BN terus memerintah negara ini.
 
"Kalau Umno boleh buat pendirian sebegitu rupa tidak ada sebab parti-parti komponen lain tidak berpegang kepada prinsip yang sama.
 
"Tapi itu semua bergantung kepada mereka untuk memutuskannya kerana kami tidak boleh membuat keputusan untuk parti lain...tapi saya percaya prinsip dan nilai yang sama diamal parti komponen lain kerana kita tidak mahu ada anggota yang tidak setia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sepang, di sini hari ini.
 
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh, hari ini berkata mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon pada pilihan raya umum akan disingkir daripada parti. 

Hishammuddin yang menyokong penuh saranan itu, berkata langkah itu amat penting dalam situasi negara akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 bagi memastikan tidak ada anggota dalam parti yang bertalam dua muka dan berkompromi dengan parti pembangkang.
 
"Kita kena tahu siapa mereka yang sebenarnya betul-betul ikhlas dengan kita. Percayalah kita perhatikan semua. Jadi mereka yang kata bersama-sama kita, pastikan bukan sahaja di luar menunjukkan sokongan tetapi betul-betul ikhlas.
 
"Ia bukan berkisar pada ahli-ahli Umno sahaja, kita nak tahu siapa kawan dan lawan dalam BN, kita nak tengok siapa yang ikhlas dan jujur dalam usaha kita menerokai ekonomi negara, dalam agenda yang lebih besar," katanya.
 
Menyentuh tindakan sekumpulan individu yang menghina pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka 30 Ogos lepas, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun individu itu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, tindakan undang-undang tetap dikenakan.
 
"Mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Bermakna minta maaf pun mereka tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang yang ada.
 
"Ini hasil kebangkitan kesedaran rakyat itu sendiri di mana kepentingan awam telah menentukan budaya sebegini mesti ditolak dan tindakan mesti diambil," katanya. - Bernama
Gara-gara tegur jangan terlibat dadah, lelaki mati ditikam

8 September 2012
KOTA BHARU - Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.
 
"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.
 
Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.
 
Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.
 
Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu  keluarga sendiri.
 
"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.
 
Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama
Adun Kuala Perlis ditumbuk lelaki kerana isu pasar
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Adun Kuala Perlis ditumbuk lelaki kerana isu pasar
Adun Kuala Perlis - Mat Hassan
KANGAR - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu bersama isterinya ketika kejadian berada di Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya bahawa mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu dengannya.

Walaupun Adun itu meminta lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

“Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya," kata beliau.
Abdul Rahman memberitahu, semakan mendapati suspek, yang juga seorang nelayan, pernah lima kali ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya di Perlis, lima kali ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas di Batu Gajah serta tangkapan di bawah Seksyen 411 dan 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek  yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Wanita maut terjatuh bangunan di George Town

8 September 2012
GEORGE TOWN - Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, Greenlane, di sini hari ini.
 
Sumber polis berkata wanita berusia 40 tahun itu tinggal bersendirian di sebuah unit pangsapuri berkenaan dan belum berkahwin.
 
"Pada kejadian pukul 4.30 petang itu bebeberapa orang saksi melihatnya mundar-mandir di balkoni kediamannya," katanya kepada pemberita.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi, berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kejadian terbabit.
 
Beliau berkata mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut. - Bernama
Nenek 108 tahun minta PM bubar Parlimen segera
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Nenek minta PM bubar Parlimen
Halimah memperkatakan sesuatu kepada Pengarah Strategik Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan di rumahnya di Kampung Paya Balai Besar, Dungun.
DUNGUN – Seorang wanita berusia 108 tahun meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan dia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Halimah Muda, penduduk Rantau Abang di sini berkata, dia bimbang jika Perdana Menteri lewat mengadakan pilihan raya, dia mungkin terlepas peluang untuk mengundi.

"Nenek sudah tua. Sudah 108 tahun. Bila ALLAH nak ambil umur pun kita tak tahu. Tapi apabila dalam umur macam ini, biasanya sudah tak lama. Kerana tu, nenek harap sangat dapat mengundi, mungkin untuk kali penghabisan," katanya.

Halimah, yang dilahirkan pada 1904 mempunyai 12 anak, berpuluh-puluh cucu dan cicit itu berkata, dia tidak ingat bila dia mula mengundi.

"Yang nenek ingat, sudah lebih daripada 10 kali (undi). Pendek kata, setiap kali ada pilihan raya sejak muda dulu, nenek tak pernah ketinggalan," katanya.

Meskipun matanya kabur dan sering sakit, Halimah masih tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Sejak dulu lagi, kalau tak dapat berjalan ke tempat mengundi, ada kereta datang ambil di rumah. Yang penting, nenek tahu di mana tempat nak pangkah. Kertas undi masih boleh nampak," katanya.

Halimah dikesan Umno Bahagian Dungun melalui semakan daftar pemilih dengan kerjasama Sekretariat Teknologi Maklumat Daftar Pemilih Umno Negeri.

Dia menarik perhatian kerana bakal menjadi pengundi tertua di kawasan Parlimen Dungun dan besar mungkin, yang tertua di Malaysia.
Guru jumpa tiga muka surat al-Quran terbakar

8 September 2012
BALIK PULAU - Seorang guru agama di sebuah sekolah menengah di sini hari ini menjumpai tiga helaian muka surat daripada senaskhah al-Quran terbakar di dalam sebuah kelas di sekolah itu.
 
Sumber polis berkata pada kejadian pukul 9.50 pagi, guru berkenaan masuk ke dalam kelas itu untuk membuat persediaan mengajar bagi sesi persekolahan gantian.
 
"Al-Quran itu berada di lantai kelas dan guru berkenaan turut menemui tiga batang anak mancis berdekatan al-Quran tersebut," katanya kepada pemberita.
 
Difahamkan pelajar tingkatan lima menggunakan kelas itu sebagai dewan untuk peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 3 Sept lepas.
 
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang ditemui pada satu majlis di Butterworth berkata beliau belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian berkenaan.
 
"Kita akan tunggu laporan lengkap daripada pihak sekolah dan hasil siasatan polis sebelum mengambil sebarang tindakan susulan," katanya.
 
Beliau berkata al-Quran itu berada di dalam kelas berkenaan kerana beberapa hari lepas pihak sekolah ada mengadakan satu majlis keagamaan di situ.
 
"Saya ada tanya pihak sekolah mengapa al-Quran itu berada di kelas berkenaan dan mereka maklumkan terlupa untuk simpan semula di perpustakaan selepas digunakan untuk satu majlis pada minggu lepas," katanya yang enggan mengulas lanjut. - Bernama
Anggota Umno diingat terus bersatu untuk tawan semula Selangor

8 September 2012
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
KUALA KUBU BAHARU - Anggota Umno perlu terus mengukuhkan perpaduan dalam parti untuk membantu Barisan Nasional (BN) memenangi semula negeri Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
 
Beliau berkata anggota Umno perlu mengambil contoh kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 2010 sebagai bukti Selangor boleh ditawan semula atas semangat perpaduan dan kerajinan anggota parti.
 
"Kalau dalam pilihan raya kecil di negeri yang pembangkang sedang memerintah dan menggunakan jentera sekuat-kuatnya pun kita mampu tawan, apatah lagi pada pilihan raya umum.
 
"Selain kesatuan dan kesaksamaan, pengorbanan juga harus ditahap yang tinggi. Jangan korbankan parti kerana kepentingan peribadi. Kita harus berjuang tingkatkan gerak kerja kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Umno bahagian Hulu Selangor di sini, hari ini.
 
Turut hadir Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan dan Ketua Umno Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.

Mohd Shafie turut mengingatkan perwakilan Umno agar terus memberi sokongan kepada mana-mana anggota parti dalam BN yang menjadi calon pilihan raya walaupun dari parti yang berbeza.
 
Yakin bahawa Umno sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU-13, beliau berulang kali mengingatkan perwakilan bahawa persekitaran politik pada masa ini jauh berbeza daripada tahun 2004 dan 2008.
 
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan perwakilan agar terus meningkatkan jumlah daftar pemilih di kalangan anggota Umno untuk menjamin kemenangan pada PRU-13.
 
Mengulas mengenai insiden pada perhimpunan Janji Demokrasi pada 30 Ogos lepas, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata budaya itu tidak selari dengan ajaran Islam mahupun agama-agama lain.
 
"Hari kemerdekaan patutnya dirai bersama sebab itu waktu kegemilangan negara dilepas dari penjajahan. Bukannya landasan untuk terap kebencian. Ini perbuatan tak beradab. (Pembangkang) tak patut terap (perbuatan seperti itu) di kalangan penyokong terutama generasi muda," katanya.
 
Tegasnya, ketaksuban yang tidak mengenal peri kemanusiaan dan peradaban seperti itu tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Malaysia. - Bernama
Muhyiddin: Umno akan singkir ahli sabotaj calon PRU
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
MUAR - Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.
 
Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.
 
"Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."
 
"Presiden pun telah bersetuju, kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan dan ketaatan anggotanya kepada parti.
 
"Dalam sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan, jadi... jangan sabotaj.
 
"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.
 
Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas siasatan dilakukan.
 
"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada pilihan dia kena terima hukuman," katanya.

Katanya terbukti berdasarkan pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN) di sesetengah negeri bukan kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.
 
"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.
 
Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.
 
Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.
 
Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon.

Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah calon terbaik.
 
"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara yang amat penting sekali," katanya.
 
Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.
 
Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.
 
Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan kemenangan parti. - Bernama

Tiada ulasan: