Memimpin Kebangkitan Anak Muda
Nasrudin Hassan at Tantawi |
Dan Kami mahu mengurniakan pertolongan keatas golongan yang tertindas di atas muka bumi ini, lantas kami menjadikan mereka pemimpin-pemimpin serta kami menjadikan mereka orang-orang yang berhak mewarisi Surah al Qasas : Ayat 5
1. Menjunjung kasih dan syukur setinggi – tingginya kehadhrat Rabbul Izzati justeru rahmat agongNya meliputi sekelian makhluk tanpa sempadan, lantas memilih manusia sebagai duta untuk mengimarah bumi ini dan terlebih istimewa apabila kita adalah pemuda terpilih sebagai pejuang untuk memimpin ummah melandasi syariatNya.
2. Selawat dan salam ke atas Rasulul Ummah al Musthafa saw. Pemimpin yang telah mengemudi kebangkitan ke arah membebaskan ummah dari kebejatan sistem politik dan sosial yang berteraskan syahwat dan bisikan syaithan.
3. Sejambak penghargaan buat kegigihan yang telah dipamerkan oleh as saabiquunal awwalun [generasi terdahulu] yang menjadi mata rantai perjuangan Islam demi mendaulatkannya di atas muka bumi ini.
Yang berbahagia Saudara Pengerusi Majlis Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani Timbalan Ketua DPPM Al Fadhil al Akh Sabky bin Yusuf Naib Ketua DPPM Al Fadhil Al Akh Khairul Faizi bin Ahmad Kamil Setiausaha DPPM [merangkap Pengarah Panitia Muktamar DPPM kali ke 52] Yang dikasihi anggota Jawatan Kuasa Harian DPPM Yang dihormati sahabat – sahabat EXCO DPPM, Yang berbahagia Pengarah Jabatan dan Ketua DPP negeri. Yang Berbahagia Pengerusi & Timb. Pengerusi Tetap DPPM Yang dimuliakan dhif kehormat yang terdiri daripada rakan – rakan pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat [AMK dan DAPsy] serta NGO jua tokoh akademik dan masyarakat.
Akhirnya, tidak saya lupakan ialah para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah swt sekelian. Teristemewa pula penghargaan muktamar DPPM kali ke 52 yang berlangsung hari ini buat pemerhati rasmi dari Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Muqaddimah.
Sidang muktamirin yang dirahmati Allah sekelian, 4. Alhamdulillah sejarah dicipta lagi, apabila DPP Malaysia hari ini melangsungkan muktamarnya bagi kali ke 52. Seusia itu, DPP telah berperanan untuk mendukung dasar perjuangan PAS di samping melakukan tajdid [pembaharuan] dalam gerakkerja siasah dan dakwah.
5. Sementara, dalam konteks kebangkitan Islam di Malaysia, DPP bergerak selangkah kaki dan sehayun tangan bersama golongan muda dengan membangkitkan rasa kebertanggungjawaban mereka terhadap Islam dan masyarakat.
6. Kita optimis bahawa generasi anak muda akan terus menjadi tunjang peradaban Malaysia, apabila mereka tetap berpegang kepada prinsip Islam dan menjunjung nilai kemanusiaan sejagat. Sebagaimana ungkapan sebuah syair Arab: انَّ فى يدى الشُبّان امرَ الامة وفى اقدامها حياتَها Sesungguhnya ditangan (kekuasaan) pemudalah urusan ummah, dan pada langkah (jatidiri) pemudalah kelangsungan hidup ummah tersebut.
7. Muktamar kita yang lalu, saya telah menggariskan gagasan perjuangan DPP dalam menempuh separuh abad yang mendatang, iaitu melakar wajah Malaysia baru yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keampunan dari Allah swt.
8. Saya juga telah menokhtahkan peraturan dan arahan yang menuntut kita mempersiapkan diri dengan memurnikan perjuangan supaya selari dengan tuntutan al-Qur`an dan al-Sunnah, jua sebagai persediaan untuk memaknakan kemenangan yang sedang dan bakal kita terajui bersama insyaallah.
9. Justeru itu, muktamar DPP Malaysia kali ke 52 ini pula, menjadi medan untuk saya mengajak para pemuda sekelian agar kita memulakan langkah melaksana gagasan perjuangan tersebut dengan memimpin anak muda melakukan kebangkitan ke arah wajah baru Malaysia. 10. Frasa “Memimpin Kebangkitan Anak Muda” bermaksud, DPP akan berganding bahu dengan seluruh anak muda Malaysia, menggerakkan perubahan ke arah wajah Malaysia baru dengan berkongsi gagasan dan pengalaman perjuangan kami sebagai pedoman dalam melakukan kebangkitan.
11. Pemuda yang saya kasihi sekelian, Insyaallah kita akan bergerak di atas semangat petunjuk Allah swt : dan Kami telah taut kukuhkan hati - hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), tatkala mereka bangkit lantas berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." Surah Al Kahfi : 14
12. Saya yakin dan percaya bahawa anak muda Malaysia hari ini, jua dikenali sebagai generasi millennium [Generasi Y] bukanlah golongan yang buta maklumat, naïf kesedaran dan daif dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.
13. Namun, sebagai rakan dalam perjuangan dan gandingan dalam kebangkitan, DPP terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab membina generasi muda agar mempunyai kekuatan dan mampu berperanan demi agama, negara dan bangsa.
14. Generasi Y lazimnya merujuk kepada anak muda yang lahir antara tahun 1978 hingga 2000. Generasi ini disifatkan sebagai golongan yang tidak terikat dengan sesuatu pegangan politik, sosial dan falsafah tetapi sedia bangkit melakukan perubahan.
15. Generasi ini merupakan generasi digital yang bukan sekadar celik maklumat tetapi senantiasa peka dengan perkembangan semasa. Karakter yang dimiliki oleh anak muda seperti ini sebenarnya berupaya menjadi pemangkin kepada perubahan dalam sesebuah masyarakat dan negara.
16. Seluruh anggota DPP sayugianya menyedari kehadhiran anak muda yang sedang berada dalam iklim sosial dan politik negara hari ini. Mereka menepati ciri-ciri yang ada pada Generasi Y. Ia turut membawa pengertian bahawa peluang dan ruang untuk DPP bergandingan dengan mereka ke arah melakukan perubahan sosial, ekonomi dan politik di negara ini adalah lebih terbuka.
17. Kita perlu mendekati anak muda ini secara bersemuka termasuklah di gentian maya melalui media baru. Mereka perlu dibekalkan ilmu, maklumat tepat mengenai realiti sosial, ekonomi dan politik semasa untuk menggambarkan betapa perlunya mereka bangkit membuat perubahan. Telah berkata Saidina Ali Karramallahuwajhah. مَن أرادَ الدنيا فعليه بالعلم و مَن اراد الآخرة فعليه بالعلم و مَن ارادَ هما فعليه بالعلم . Maksudnya : barangsiapa yang mahu menguasai dunia maka mestilah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang mahu menguasai akhirat maka mestilah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang mahu menguasai kedua – duanya maka mestilah ia memiliki ilmu.
18. Kemunculan generasi ini menandakan zaman masyarakat berfikir dan bertindak secara dogmatik semakin berlalu. Generasi muda hari ini adalah generasi yang sentiasa bersedia melakukan perubahan terutama apabila mereka menyaksikan wujudnya elemen yang mendorong, seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penindasan, ketidakadilan dan perlecehan syariat.
19. Mereka adalah generasi celik maklumat yang berpendirian dan bertindak berdasarkan argumen, lantaran tiada tempat lagi di hati dan minda mereka, berita bertaraf jalanan seperti yang sering terpampang di akhbar aliran perdana.
20. Justeru itu, peranan yang wajib dilaksanakan oleh DPP ialah terus berdamping dengan anak muda dan membekalkan mereka dengan ilmu yang benar dan maklumat yang tepat, kelak kita akan menyaksikan kebangkitan mereka mengorak perubahan yang tidak dijangka.
Kebangkitan Generasi Muda Masa Kini
21. Naluri anak muda yang berdaya juang dan berdaya tahan telah meletakkan mereka sebagai unsur utama mencetus gelombang kebangkitan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Malah anak muda jualah menunjangi gerakkerja dakwah para Rasul as. menggalas misi pengislahan ummah.
Senario Politik Timur Tengah
22. Kelansungan faktor inilah, anak muda sekali lagi menggegarkan dunia apabila mencetus gelombang besar, bangkit menuntut perubahan politik dan ekonomi di dunia Arab. Gelombang yang digelar para wartawan sebagai “Tunisami” itu bermula dari Tunisia kemudiannya merebak ke negara Arab yang lain termasuk Mesir.
23. Kebangkitan ini mempunyai nilai harga yang sangat tinggi justeru ia terlebih dahulu dibayar dengan pengorbanan darah dan nyawa anak muda disepanjang zaman, menentang penguasaan regim diktator.
24. Kebangkitan anak muda menumbangkan kuasa angkuh regim diktator dunia hari ini, mengesahkan ketetapan Tuhan Maalikul Mulk . Firman Allah swt ; Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Surah Ali Imran : 26 Politik Anak Muda di Singapura.
25. Contoh terbaru ‘kuasa anak muda’ dapat dilihat dalam pilihanraya umum Singapura baru-baru ini apabila parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengalami penyusutan undi popular yang ketara (iaitu sebanyak 60.14% daripada 66.6% pada 2006) kesan daripada protes dan aktiviti kepembangkangan secara berkesan di kalangan anak muda Singapura terutamanya melalui medan maya selepas media perdana dilihat hanya melaporkan yang ‘molek-molek sahaja’ tentang PAP.
26. Bekas Menteri Luar Singapura, George Yeo yang dianggap calon ‘heavyweight’ PAP turut tersungkur dek kebangkitan baru anak muda Singapura. Seperkara lagi yang menarik perhatian adalah jumlah calon-calon pilihanraya di kalangan anak muda sama ada yang ditampilkan oleh parti pemerintah mahupun pihak oposisi, termasuk calon yang paling muda yang berusia 24 tahun yang telah menyuntik elemen ‘wow’ dalam kempen politik semasa pilihanraya umum baru-baru ini selain memperlihatkan kematangan dan keupayaan generasi muda republik tersebut.
Kebangkitan Anak Muda di Malaysia. 27. Justeru itu, saya mewakili Dewan Pemuda PAS memberi peringatan kepada kerajaan yang memerintah, samaada kerajaan BN diperingkat persekutuan mahupun kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri termasuk Kelantan yang telah sekian lama ditadbir oleh PAS, supaya tidak memandang rendah kehadhiran generasi Milenium ini.
28. DPP memberi amaran kepada BN supaya membuka selebarnya pintu demokrasi, juga sekali – kali jangan menipu dan menyeleweng serta menyalahguna kuasa semata – mata untuk meraih kemenangan di dalam pilihanraya. Kedegilan, keangkuhan dan sikap keras kepala BN, membawa mereka sekali lagi berdepan dengan kebangkitan anak muda yang sukar dibendung, bersama operasi BERSIH 2 pada 9 Julai 2011 akan datang insyaallah.
29. Sementara buat kerajaan Pakatan Rakyat pula, DPP menegaskan supaya mereka menunaikan manifesto Pilihanraya Umum 2008 yang lalu, dengan penuh tanggungjawab dan amanah khususnya berkait dengan Negara Berkebajikan.
30. Lebih khusus, DPP dengan penuh insaf dan prihatin merujuk kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan dan Kedah sedang PAS dominan di situ, supaya mereka segera mengatasi kelemahan yang ada, senantiasa peka terhadap tuntutan rakyat, memperkukuh saff kepimpinan dan memperkasa jentera pentadbiran kerajaan.
31. Semoga peristiwa kalah teruk pada tahun 2004 tidak berulang lagi dan suka saya peringatkan kita semua bahawa Pilihanraya Umum ke 13 kelak, jumlah pengundi dari kalangan Generasi Y akan mencapai lebih 7 juta orang, iaitu menepati 50% dari keseluruhan pengundi berdaftar.
Saudara sidang muktamirin sekelian. 32. Komposisi pengundi muda seperti ini menjadi isyarat awal bahawa kebangkitan anak muda untuk melakukan perubahan sosial, ekonomi dan politik bukan satu perkiraan yang kosong, sebaliknya ia benar – benar berpotensi untuk meletus.
33. Sejarah negara menjadi saksi dan bukti berfakta, bahawa anak muda sebelum generasi Milenium telah pun menjana beberapa kebangkitan sepertimana kebangkitan Mahasiswa di era 70an, ledakan kesedaran Islam dari kalangan anak muda di era 80an dan gelombang reformasi diakhir dekad 90an.
34. Kebangkitan anak muda pada babak – babak ini telah memberi dampak besar kepada perubahan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Saya yakin dan percaya, tsunami politik tahun 2008, merupakan episod kebangkitan baru anak muda yang mula disertai oleh Generasi Milenium.
Mahasiswa Kuasa Ketiga Penjana Perubahan. 35. Kalangan anak muda di Malaysia, sekelompok daripada mereka ialah Mahasiswa yang sedang berada di kemuncak pendidikan formal negara.
36. Pada kesempatan ini, DPP terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada mahasiswa di beberapa buah university tempatan, kerana berani membuat perubahan dan mencetus kebangkitan semula sehingga membawa kemenangan kepada pro mahasiswa.
37. “Students power” dan peranan strategik mahasiswa selaku ‘the third force’ dalam mengembeleng perubahan sosial, ekonomi dan politik di negara ini, sememangnya telah dikesan sejak sekian lama. Lantaran itu, potensi yang ada pada gerakan mahasiswa telah dikekang dan dipasung melalui Akta Universiti dan Kolej university [AUKU] 1971.
38. Mahasiswa dilayan seumpama ‘rakyat kelas kedua’ apabila aktivisme mereka ditentang dan mereka dihalang dari menyuarakan pandangan, khususnya perkara yang melibatkan soal politik dan masa depan negara. Hanya aktiviti membodek dan mengampu pemerintah sahaja yang dibenarkan oleh segelintir “Napoleon Kecil” yang berada di kerusi Hal Ehwal Pelajar [HEP] setiap universiti.
39. Natijah dari undang - undang dan peraturan yang membelenggu mahasiswa dan ahli akademik di kampus, jelas tidak langsung membantu dalam mempertingkatkan kualiti sistem pendidikan tinggi di negara ini, bahkan ianya menjelaskan kenapa reputasi universiti kita selalu merudum dalam pelbagai ranking universiti dunia.
40. DPP selamanya bertegas, bahawa soal pendirian politik para mahasiswa hendaklah diberikan kebebasan kepada mereka untuk menentukannya tanpa paksaan dan ugutan.
41. Kami komited membuat tuntutan supaya diberikan ruang kebebasan yang lebih luas kepada para mahasiswa untuk menyatakan suara dan pandangan mereka terhadap apa jua perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
42. Meskipun beberapa pindaan telah dilaksanakan ke atas AUKU dengan sedikit sebanyak penambahbaikan telah dilakukan, namun kami berpendirian bahawa pindaan tersebut masih belum mencukupi kerana para mahasiswa masih tidak dibenarkan untuk terlibat dengan parti politik.
43. Kelonggaran untuk mahasiswa terlibat dengan persatuan atau NGO di luar kampus juga hanya sekadar kosmetik semata-mata, kerana Menteri Pengajian Tinggi masih berkuasa mutlak untuk melarang mahasiswa dari terlibat dengan persatuan atau NGO jika menurut pandangan Menteri sebagai “tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti” sebagaimna yang disebut pada Seksyen 15 (1)(c) AUKU (pindaan 2009).
44. Pindaan kononnya untuk memberi ruang yang lebih luas kepada mahasiswa bersuara dan menyatakan pandangan secara terbuka, nampaknya tidak lebih dari sekadar perlecehan terhadap daya intelektual mahasiswa semata-mata. Mahasiswa diizin untuk menyatakan pandangan secara terbuka, namun pandangan tersebut dihadkan hanya kepada topik yang berkaitan dengan bidang pengajian mahasiswa terbabit seperti yang termaktub dalam Seksyen 15(6)(a) AUKU (pindaan 2009).
45. Bukankah ini bermakna, mahasiswa yang mengambil bidang matematik hanya boleh bercakap hal ehwal yang berkaitan dengan matematik semata-mata?
46. DPP mengulangi komitmen memperjuangkan agar universiti dilepaskan dari cengkaman politik sempit lalu memberikan autonomi yang lebih besar kepada pihak pengurusan universiti, di samping memberikan ruang kebebasan yang lebih lebar kepada mahasiswa selaku pewaris kepimpinan negara.
47. Saya mengajak seluruh mahasiswa di negara ini turut berganding bahu supaya gelaran “pewaris kepimpinan negara” yang sering diungkap, benar-benar menjelma dan menjadi kenyataan dengan kebangkitan memartabat gerakan mahasiswa sebagai kuasa ketiga penjana perubahan.
Kenapa Anak Muda Perlu Bangkit ?
Saudara Perwakilan dan pemerhati yang dihormati sekelian.
48. DPP ingin menarik perhatian Generasi Milenium hari ini, bahawa kerajaan yang diterajui oleh BN sekarang begitu lemah sehingga tidak berkeupayaan lagi menguruskan kebajikan rakyat dan pembangunan negara. 49. Slogan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” hanyalah merupakan frasa indah untuk menutup kegagalan mereka. Pencapaian yang disasarkan melalui pelbagai program seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara [NKRA], Program Transformasi Ekonomi [ETP] dan lainnya, secara realiti tidak dirasai oleh rakyat terbanyak.
50. Hakikatnya kualiti hidup rakyat Malaysia semakin merosot dan lebih menyedihkan lagi Generasi Milenium ini terus dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. Sekiranya semua situasi ini boleh saya simpulkan kepada satu ayat ringkas, maka saya menegaskan “SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN”.
Kebejatan Sosial
51. Sebagai renungan kepada para pendukung DPP, yang merupakan ‘duta penyelamat dan kasih sayang’, saya kemukakan beberapa data yang dikemukakan secara rasmi dalam media massa di negara kita.
Bunuh diri
52. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia atau National Suicide Registry Malaysia (NSRM), daripada bulan Januari hingga Ogos tahun lepas (2010), jumlah kes bunuh diri melibatkan 425 orang dengan purata 60 orang sebulan. Ertinya, setiap hari dua orang rakyat Malaysia mencabut nyawa sendiri. Petunjuk ini begitu mengejutkan kerana jumlah ini hampir menyamai kadar bunuh diri yang berlaku di Amerika Syarikat. DPP mempersoalkan di mana kesungguhan kerajaan untuk menangani kebejatan ini?
Buang Bayi
53. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, kelahiran anak luar nikah dan tidak sah taraf mencatatkan peningkatan ketara iaitu 16,100 orang pada 2007, 16,541 orang pada 2008 dan 17,303 orang pada 2009.
54. Tahun 2011, keadaan dilihat semakin parah apabila dalam bulan Januari sahaja sebanyak 34 kes pembuangan bayi berlaku.
Jenayah Juvana
55. Sekiranya kita merujuk kepada kes jenayah juvana pula, ianya semakin membimbangkan. Jenayah ini meliputi kes penyalahgunaan najis dadah, ponteng sekolah, gejala buli, pengambilan pil khayal, peras ugut, terlibat dengan kumpulan haram, menonton video lucah dan pelbagai kegiatan lain yang berhubung kait dengan jenayah.
56. Menurut statistik 2010, 1.43 peratus kes-kes disiplin direkodkan di sekolah di seluruh negara, termasuk 0.32 peratus kes jenayah seperti pergaduhan dan kes kecurian. Perangkaan ini sebenarnya belum termasuk kes jenayah juvana yang tidak dilaporkan kepada pihak berwajib.
Kemalangan Jalanraya
57. Antara statistik yang membimbangkan adalah statistik kemalangan jalan raya di Malaysia. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri dipetik berkata, kira-kira 6,800 nyawa melayang di jalan raya setiap tahun, dengan 65 peratus kemalangan jalan raya berpunca akibat memandu melebihi had kelajuan ditetapkan. Golongan yang paling ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah dalam lingkungan 25-30 tahun iaitu sebanyak 50%. 58. Lingkungan umur ini adalah merangkumi usia pimpinan dan ahli Pemuda! Bayangkan berapa ramai bakal doktor, jurutera, guru, peguam, usahawan tani, hatta ulama terbilang maut di jalan raya!
59. Menyorot dari sudut ekonomi, kemalangan jalan raya di seluruh negara setiap tahun mengakibatkan kerugian RM9 bilion, yang meliputi kos perubatan, bayaran insurans, baik pulih kenderaan dan kerugian pengeluaran. Jumlah kerugian ini hampir menyamai jumlah perbelanjaan beberapa kerajaan negeri dalam tempoh setahun!
60. Kegagalan menangani permasalahan yang meruncing ini akan melumpuhkan upaya dan bakat yang dimiliki oleh generasi muda negara sekaligus memperjudikan masa depan negara dan ummah. Sedang para hukamak telah mengungkapkan .
انْ أردْتَ أنْ تسْتشرفَ مستقبل الأمة فترقب حركة شبابها Maksudnya: Jika engkau mahu menuntut kemuliaan pada masa depan ummah, maka hendaklah engkau awasi pergerakan generasi mudanya.
61. Saya ingin bertanya para pendukung DPP dan seluruh Generasi Milenium di Malaysia, apakah beberapa kes kebejatan sosial seperti yang didedahkan ini tidak membimbangkan? Andai kebimbangan mula dirasai, maka “SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN”.
Ekonomi Harimau Kertas
62. Selama lebih 50 tahun yang lalu, rakyat telah didendangkan dengan keajaiban kerajaan BN mengurus ekonomi negara. Pada tahun 1990, rakyat didodoikan pula dengan lagu “Wawasan 2020” menjanjikan sebuah negara maju menjelang tahun 2020. 63. Kerajaan negeri yang diterajui oleh BN pula menjanjikan pencapaian sebagai negeri maju lebih awal seperti Melaka pada tahun 2010 dan Perak pada tahun 2015. Hari ini semakin tersingkap bahawa semua slogan itu sekadar dendangan yang membuaikan rakyat Malaysia dengan impian yang tidak kesampaian.
64. Sekiranya pencapaian ekonomi negara dipertimbang berasaskan kepada pertimbangan model ekonomi semasa, Malaysia adalah tergolong dalam kategori negara yang sedang membangun dan berpendapatan sederhana.
65. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, Malaysia berada di kedudukan 37 dengan KDNK berjumlah USD 237 bilion dan pendapatan perkapita berjumlah USD 7775.00, iaitu pada kedudukan ke 65. Kedudukan Malaysia dari segi KDNK (nominal) perkapita ini berada empat anak tangga di bawah purata pendapatan perkapita dunia. Jauh untuk menyaingi negara industri baru seperti Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
66. Berasaskan kepada pencapaian tersebut di samping melihat pacuan dan hambatan ekonomi semasa, adalah sukar dalam tempoh kurang daripada sembilan tahun akan datang Malaysia boleh mencapai status negara maju pada tahun 2020.
67. Usaha kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara menemui jalan buntu, sehingga kerajaan terpaksa “memecah tabung rakyat” bagi menampung perbelanjaan defisit yang terus berlanjutan. Sebaliknya apa yang jelas, usaha kerajaan mempelbagaikan sumber pendapatan negara ialah dengan memotong subsidi, mengenakan cukai baru dan memburu pesalah trafik. 68. Bila tiada lagi tabung rakyat yang boleh dipecahkan, usaha mempelbagaikan sumber itu tertumpu pula kepada membuat hutang baru atas nama terbitan bon dan sebagainya. Dalam laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, hutang negara berbanding KDNK berada pada paras 53.7 %, iaitu satu kedudukan yang cemas bagi sebuah negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia.
69. Kesemua situasi seperti ini dapat disimpulkan dengan pandangan Idris Jala, bahawa hutang negara boleh mencapai RM 1 trilion menjelang 2019 dan boleh membawa kepada status muflis. Saya ingin bertanya kepada para pendukung DPP dan Generasi Milenium, melihat kepada situasi gawat ini, di mana hebatnya BN menguruskan ekonomi negara?
Saudara Sidang Muktamirin yang dihormati sekelian. 70. Konvensyen Profesional Muda 2011 anjuran DPP baru-baru ini telah dibentang beberapa gejala sosial berkaitan ekonomi, iaitu seperti berikut:
Pertama : Jurang antara Kaya dan Miskin yang Semakin Melebar
71. Menurut Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Pembangunan Manusia (UNHDP) pada tahun 2004, jurang pendapatan antara golongan kaya dan golongan miskin adalah yang terburuk di Asia Tenggara dan antara yang terburuk di Asia.
Kedua: Jurang Pembangunan antara Wilayah yang Tidak Seimbang
72. Semasa era pemerintahan Perdana Menteri kedua, usaha telah diambil untuk mengurangkan jurang perbezaan ini dengan program Pembangunan Wilayah, Perbandaran Luar Bandar dan lain-lain. Bagaimanapun, selepas era itu tidak kelihatan usaha yang jelas untuk mengurangkan jurang ini. Bandar utama seperti di Lembah Kelang, Johor Bahru dan Georgetown terus mengalami proses urbanisasi yang begitu pesat sedangkan kawasan luar Bandar terus tertinggal.
Ketiga: Daya Ketahanan Ekonomi yang Rapuh
73. Masyarakat Malaysia sentiasa terdedah dengan turun naik harga barangan makanan dunia disebabkan kebergantungan kepada negara lain. Dari segi pengeluaran beras, sehingga hari ini Malaysia belum pun mencapai sasaran 70% pengeluaran beras tempatan, manakala komoditi makanan yang lain seperti perikanan dan penternakan peratus kebergantungan kepada import masih begitu tinggi.
Keempat: Ketirisan Perbelanjaan Awam
74. Gejala penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan antara penyakit ekonomi yang begitu parah di negara ini. Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM 28 bilion telah tiris dalam perbelanjaan dana awam, manakala menurut Brain Wain pula sebanyak RM 340 bilion ketirisan berlaku sepanjang pemerintahan Dr Mahathir Mohammad.
75. Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan laporan Global Financial Integrity (GFI) yang mendakwa sebanyak RM 889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 hingga 2008. Ketirisan seperti ini bukan sahaja merugikan negara dan rakyat, tetapi juga mengurangkan daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan.
Kelima: Peningkatan Berterusan Kos Hidup
76. Menurut laporan majalah International Living tahun 2010 kos hidup[1] di Malaysia berada pada kedudukan ke 21 paling tinggi di dunia, lebih baik daripada kedudukan pada tahun 2009 di kedudukan ke 13. Kenaikan mendadak barang keperluan termasuk harga rumah, akan menjadikan kos hidup rakyat semakin tinggi sedang pertambahan pendapatan agak perlahan. Dilaporkan, buat masa ini 50% hingga 60% pendapatan rakyat Malaysia digunakan untuk membeli makanan dan peratusan ini boleh mencapai 80% dengan kenaikan barangan yang berterusan.
77. Situasi ini menyebabkan sebahagian besar pendapatan bulanan dihabiskan untuk menampung kehidupan dan simpanan isi rumah di Malaysia sangat terbatas.
Sidang Muktamirin yang dirahmati Allah,
78. Saya ingin membawa perhatian para muktamirin semua untuk melihat hasil kajian yang dilakukan oleh Pemuda BN sendiri yang boleh menggambarkan betapa kerapuhan ekonomi negara menjanjikan mimpi ngeri kepada anak-anak muda di Malaysia.
79. Menurut kajian yang mereka lakukan, hampir 40% anak muda bimbang terhadap masa depan negara. 48% anak muda berpendirian, kualiti hidup mereka di Malaysia tidak terjamin, iaitu 39% berpendapat kehidupan di Malaysia adalah sukar dan hanya cukup untuk keperluan sahaja, manakala 9% yang lain berpendapat sangat sukar dan tidak cukup untuk keperluan. 80. Dilaporkan juga, 81% anak muda di Malaysia pernah kehabisan wang sebelum mendapat gaji bulan berikutnya, dengan 10% dari anak muda kerap menghadapi situasi tersebut. Apalagi yang dapat saya simpulkan daripada petunjuk-petunjuk di atas, melainkan “SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN”.
PTPTN Melahirkan Anak Muda Berjiwa Hamba
Saudara Perwakilan dan Pemerhati yang dihormati sekelian.
81. DPP amat empati dan simpati dengan nasib yang menimpa para peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terbeban apabila terpaksa membayar balik pinjaman mereka pada kadar yang lebih tinggi dari jumlah yang dipinjam. Beban hutang PTPTN ini laksana satu perangkap yang telah menjerut leher anak muda yang bukan sahaja memberikan kesan terhadap ekonomi, bahkan juga dari segi psikologi, sosial dan politik.
82. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jerat PTPTN ini pada jangka masa panjang akan melahirkan anak muda yang rendah diri, tidak mampu berdikari dan tidak berani untuk mengungkapkan kebenaran apalagi menjadi agen perubah dalam menentang segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan. Zahir daripada mereka hanyalah jiwa hamba yang takut untuk bersuara dan sentiasa mengiyakan kefasadan yang berlaku.
83. Sebenarnya kegagalan majoriti dari para peminjam menjelaskan hutang mereka kepada PTPTN mempunyai kaitan langsung dengan iklim dan suasana ekonomi negara di bawah teraju BN yang gagal melonjakkan ekonomi negara hingga pendapatan rakyat tidak meningkat, meskipun mereka ini adalah para graduan universiti. 84. Kerajaan juga gagal dalam mengawal harga barangan keperluan sehingga kos sara hidup di Malaysia semakin mencanak naik. Seseorang graduan akan terus memikul hutang apabila mereka terpaksa meminjam untuk memulakan kehidupan yang baru, ditambah lagi dengan hutang PTPTN yang sedia ada.
85. Para graduan di Malaysia juga turut berdepan dengan masalah kurangnya peluang pekerjaan dan persaingan mendapatkan pekerjaan yang sengit, bahkan jika mereka mendapat pekerjaan sekalipun, gaji permulaan yang ditawarkan adalah begitu rendah jika dibandingkan dengan negara lain.
86. Lebih malang lagi, purata kenaikan gaji dan pendapatan yang dinikmati di Malaysia juga adalah rendah. Berdasarkan statistik terkini, purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000-2010, adalah hanya di sekitar 2.6%, dan ini adalah jelas lebih rendah berbanding dengan 3.2% purata kenaikan gaji dunia, termasuklah di negara dunia ketiga.
87. Terkepung dalam kesempitan inilah, para graduan terpaksa berhempas pulas untuk menjelaskan hutang PTPTN mereka. Para peminjam PTPTN bukan sahaja berhadapan dengan tindakan mahkamah, bahkan sebelum ini juga mereka turut berdepan dengan tindakan disenarai hitamkan termasuklah dilarang untuk keluar negara.
88. Lihatlah wahai anak muda, kerajaan BN terbukti gagal memperbaiki taraf ekonomi negara yang boleh menjamin generasi muda berpendidikan tinggi mendapat taraf hidup yang sewajarnya. Kalaulah graduan pun turut terhimpit dengan kegawatan ekonomi ini, diyakini 80% lagi anak muda yang berpendidikan SPM ke bawah turut sesak terhimpit dengan nasib yang sama.
89. Justeru, atas dasar kepedulian terhadap para graduan dari kalangan para peminjam PTPTN, DPP menuntut agar perkara-perkara berikut dilaksanakan:
90. Pertama: Kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN hendaklah dikuatkuasakan HANYA selepas enam bulan dari tarikh peminjam mendapat pekerjaan tetap yang setaraf dengan kelulusan mereka, dan bukannya enam bulan selepas dari menamatkan pengajian sebagaimana yang diamalkan sekarang
91. Kedua: Seksyen 22A Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan juga Pekeliling PTPTN Bilangan Satu Tahun 2009 yang membolehkan pihak PTPTN menghantar nama peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman kepada Jabatan Imigresen untuk disenarai hitamkan bagi maksud menghalang peminjam ini dari keluar negara meskipun atas tugasan rasmi, hendaklah dipinda atau dimansuhkan sama sekali.
92. Ketiga: Bentuk pinjaman baru yang tidak mengenakan langsung sebarang faedah atau kos perkhidmatan hendaklah diperkenalkan bagi menggantikan sistem pinjaman yang sedia ada.
93. Keempat: Memberikan hak biasiswa kepada kaum Melayu dan bumiputera sebagaimana yang dijamin di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Kebobrokan Politik
94. Hari ini, politik Malaysia semakin mundur ke belakang dengan elemen perkauman yang semakin menebal, pengamalan budaya politik jijik, maki hamun dan lucah serta penutupan ruang demokrasi kian berleluasa.
Politik Perkauman Semakin Menebal
95. Pasca tsunami politik 2008, UMNO dan BN begitu terdesak mempertahankan survival kuasa politik mereka. Melalui agenda politik yang terancang, episod politik perkauman terus disuburkan melalui kenyataan politik pimpinan UMNO, laporan provokatif media perdana dan tuduhan melulu para cybertroopers upahan mereka.
96. Umno juga mempertahankan kandungan kursus Biro Tata Negara (BTN) yang sememangnya kuat berbau perkauman, juga menghasut para peserta supaya memandang serong terhadap kaum bukan Melayu. BTN yang telah diberi peruntukan besar, sebagai contoh pada tahun 2009 sebanyak RM 72 juta, seringkali digunakan bukan sahaja untuk menghasut supaya membenci kaum bukan Melayu, tetapi juga menabur fitnah terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
97. Kesan dari propaganda tersebut, rata-rata pimpinan UMNO dari peringkat nasional sehingga ke peringkat cawangan masih beranggapan bahawa kaum Cina dan India sebagai pendatang asing atau warganegara kelas kedua.
98. UMNO juga dilihat merestui tindakan media seperti Utusan Malaysia yang sering menyalakan api perkauman. Hasutan perkauman oleh Utusan Malaysia dan pemimpin UMNO ini dilihat telah mempengaruhi segelintir masyarakat kita hari ini.
99. Tidak cukup dengan menyalakan api perkauman, proksi UMNO itu juga menyemarakkan sentimen keagamaan yang jelas bertentangan dengan pendirian Islam yang sebenar. Sebagai contoh, pada awal bulan Januari 2010 beberapa gereja telah dibakar ekoran dari kenyataan organisasi ini yang bersifat hasutan berkait isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. 100. Kejadian ini merupakan satu sejarah hitam kepada negara Malaysia sekaligus membuktikan kerajaan BN gagal untuk membawa Malaysia ke arah perpaduan nasional. Oleh sebab itu, saya ingin bertanya anak muda sekelian, adakah wajar kita menyokong BN ? jika jawapannya tidak , maka “SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN”
Pengamalan Budaya Politik Jijik
Sidang Muktamirin Sekelian.
101. Belum puas dengan politik perkauman dan politik persengketaan agama yang semakin menebal, BN menaja pula budaya politik jijik lagi lucah dalam negara ini. Sedang menurut Islam, berpolitik adalah tanggungjawab dan kegiatan yang murni, untuk memikul amanah Allah swt. menguruskan bumi dan menegakkan keadilan kepada para penghuninya. Firman Allah s.w.t.: Maksudnya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Surah an-Nuur: 55
102. Justeru tanggungjawab politik itu merupakan suatu yang murni, Rasulullah saw. sendiri bertindak menjadi pemimpin politik sebagaimana juga Rasul terdahulu. Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah rhu. :
إنّ بني إسرائيل كانتْ تسُوْسُهُم الأنبياء
Maksudnya: Sesungguhnya adalah Bani Israil itu, pemimpin-pemimpin politik mereka ialah para nabi.
Riwayat Ahmad
103. Kali ini budaya politik lucah bukan hanya melibatkan surat layang, buku picisan dan media massa arus perdana, tetapi turut melibatkan institusi agama Islam dan masjid. Sehingga kini pihak berwajib agama Islam tidak bertindak di bawah peruntukan yang sedia ada untuk menyekat budaya politik jijik ini daripada menular.
104. DPP mempersoalkan, ke mana perginya semua organ kerajaan yang sering didakwa sebagai agensi terbaik di dunia untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat dengan budaya politik seumpama ini. Mengapa sehingga hari ini tiada tindakan terhadap blogger dan penulis upahan yang terlibat secara langsung dalam penyebaran video perlakuan seks tersebut?
105. Mengapa tiada sekatan dikuatkuasakan terhadap media massa yang menyebarkan fitnah dan hasutan seperti ini? Lebih malang lagi, mengapa tiada pendakwaan Qazaf terhadap mereka yang membuat tuduhan zina atau liwat terhadap individu tertentu seperti yang terpampang di dada akhbar, laman sesawang dan pentas ceramah. Kenapa mereka diam membisu sejuta bahasa ? Lupakah peringatan Nabi saw.
السَّاكتُ عن الحق ّ الشيطانُ أخرس Diam dari menyatakan kebenaran adalah syaithan bisu.
106. DPP menyeru kepada semua pencinta Islam khususnya ahli-ahli PAS dan seluruh generasi muda supaya tidak terlibat dengan budaya politik jijik ini. Jauhkan daripada melakukan pembunuhan karakter termasuklah terhadap lawan politik di luar PAS seperti UMNO dan BN. Kita menentang UMNO bukan kerana kelemahan peribadi yang ada dalam UMNO, tetapi kerana keengganan UMNO untuk menyempurnakan amanah Allah swt dan kegagalan mereka memerintah dengan adil dan saksama. Jadilah anak muda yang tinggi akhlak dan mooralnya. Sabda Rasulullah saw :
ان ّ اللّه لَيُعْجَبُ مِن الشَّبابِ الَّذِي لَيْسَتْ له صَبْوَة Sesungguhnya Allah mengkagumi anak muda yang tiada kerosakan akhlak pada dirinya. Riwayat Imam Ahmad
107. Sudah sampai masanya anak muda menganjak budaya berpolitik kita kepada budaya politik bermoral dan berteraskan ilmu. Kita mahu politik yang jujur dan telus. Politik fakta dan hujjah. Politik yang bersulamkan akhlak. Hasrat kita ini hanya dapat diterjemah dengan menumbangkan BN dalam PRU akan datang. Saya ingin bertanya sekali lagi kepada Generasi Milenium sekelian, Apakah masih ada sokongan saudara buat UMNO dan BN ? jika tiada, maka “SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN”
Penutupan Ruang-ruang Demokrasi.
108. DPP berpandangan seluruh kebejatan dan kebobrokan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia termasuklah dalam aspek sosial dan ekonomi seperti yang dinyatakan sebelum ini, antara punca utama ialah pupusnya sistem semak dan imbang dalam system politik negara.
109. Sebagai sebuah negara demokrasi, salah satu kuasa semak dan imbang yang terpenting ialah ketelusan perjalanan pilihanraya. Malangnya sejak akhir - akhir ini ketelusan perjalanan pilihanraya di Malaysia sama ada yang melibatkan Pilihanraya Kecil (PRK) atau PRU semakin merosot. Kini telah timbul tuduhan di luar sana bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah ditunggangi oleh BN sehingga mereka dituduh bersekongkol untuk memenangkan parti tersebut pada PRU akan datang.
110. Saya ingin memperingatkan SPR supaya mereka bukan sahaja bersih, tetapi juga mesti dilihat bersih dari ditunggangi oleh BN. Jika tidak, anak muda akan bangkit memBERSIHkan mereka buat kedua kalinya kelak.
111. DPP mengingatkan bahawa tindakan menghumban pemimpin negara seperti yang berlaku kepada Hosni Mubarak dan Zine Abidine Ben Ali tidak mustahil boleh berlaku kepada pemimpin negara ini jika ruang demokrasi terus disempitkan dan mereka pula terus angkuh di persada kuasa.
112. Demikian juga dengan satu lagi kuasa semak dan imbang yang penting iaitu media massa. Berdasarkan Laporan Kajian Kebebasan Media 2011 oleh Freedom House, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 143 daripada 196 negara. 113. Hampir keseluruhan media perdana sama ada Utusan Malaysia, The Star, TV3 dan lain-lain dimiliki oleh BN atau proksinya. Saya yakin PR ataupun proksinya juga mempunyai kemampuan untuk mewujudkan media seumpama media yang di miliki oleh BN sama ada media cetak atau media elektronik.
114. Justeru itu, demi kepentingan mewujudkan kuasa semak dan imbang dalam negara, saya mendesak kerajaan yang diterajui oleh BN khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meluluskan permohonan permit Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Hata Wahari, menerbitkan akhbar harian “Utusan Rakyat” dan juga permohonan permit akhbar harian “Purnama’ yang telah dimohon sejak sedekad yang lalu.
115. Sekali lagi DPP memperingatkan, jangan sangka Generasi Milenium ini buta dengan perkara tersebut, sebaliknya mereka begitu peka dan sedang menunggu apakah tindakan selanjutnya kerajaan yang diterajui oleh BN untuk mengembalikan semula sistem semak dan imbang itu.
116. Maka, sebelum terlambat, saya menyeru kepada seluruh anak-anak muda supaya bangkit untuk menyelamatkan negara ini. Sedarlah bahawa NEGARA KITA ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA.
117. Perubahan untuk masa depan negara bukan lagi satu pilihan sebaliknya ia sudah menjadi kewajipan yang mesti diperjuangkan oleh semua anak muda negara. Pemuda PAS di setiap peringkat mesti memacu perubahan ini dan memimpinnya sehingga berjaya merubah kuasa pentadbiran yang telah gagal, kepada satu harapan baru untuk masa depan negara yang lebih baik.
Konsep Kebangkitan Baru
118. Sebagai teras kepada kebangkitan baru ini, keperibadian anak muda seharusnya cemerlang dengan pengertian mereka adalah golongan yang beriman dan beramal. Keperibadian yang kukuh, akan melonjakkan diri anak muda menjadi seorang warganegara yang bertanggungjawab dan mempunyai ketahanan untuk menjulang obor kebangkitan baru di Malaysia.
119. Dengan wujudnya peribadi yang cemerlang, generasi muda pasti bersedia pada bila-bila masa untuk terlibat dalam hal ehwal pentadbiran negara dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan.
120. Malangnya, hari ini peranan anak muda hanyalah sebagai penonton kepada pembangunan negara dan kadang-kadang menjadi ‘bidak catur’ kepada keputusan pra-matang para pemimpin. Lihat sahaja dalam MEB, peranan anak muda yang sepatutnya dimartabatkan sebagai “penggerak utama ekonomi negara” langsung tidak diberi perhatian secara serius, sebaliknya kepercayaan mutlak diberikan kepada pemodal atau golongan koperat.
121. Generasi muda juga terus menjadi bahan eksperimen keputusan pra-matang kerajaan yang diterajui BN atas nama Program Rakan Muda dan yang terkini Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program-program yang sepatutnya menatijahkan peribadi anak muda yang hebat, sehingga hari ini kurang dilihat keberhasilannya. Oleh sebab itu, kebangkitan generasi muda kali ini adalah untuk menuntut peranan kita dalam menentukan halatuju pembangunan negara yang telah sekian lama dipinggirkan.
122. Demi mencapai hasrat tersebut, anak muda perlu berani untuk menterjemahkan hak sivil mereka untuk tidak menjadi ‘tukang angguk’ atau ‘yes man’ kepada segala apa yang dipercaturkan oleh pemerintah.
123. Di dalam sistem politik Islam, hak seperti ini telah sedia diamalkan sebagaimana yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakar as Siddiq:
أيُّها الناسُ فإني قدْ ولِّيْتُ عليكم ولَسْتُ بخيرِكُم، فإنْ أحْسَنْتُ فأعِيْنوني، وإنْ أَسَأْتُ فقَوِّمُوني، الصِدْقُ أمانةٌ، والكَذِبُ خيانةٌ، والضَعيفُ فيكُم قَوِيٌ عندي حتّى أَرِيْحَ عليه حَقَّهُ إنْ شاءَ اللّه، والقَوِىُّ فيكُمْ ضَعِيْفٌ حتَّى آخُذَ اْلحَقَّ مِنْهُ إن شاءَ اللّه، لَا يَدْعُ قومٌ اْلجهادَ في سبيلِ اللّهِ إلّا ضَرَبَهُمُ اللّهُ بالذُّلِّ، ولاَ تَشِيْعُ الْفاحِشَةُ في قَوْمٍ قَطْ إلّا عَمَّهُم اللّه بالبلاء، أطيعوني ما أطعْتُ اللّه ورسولَه، فإذا عَصَيْتُ اللّه ورسولَه فلا طاعةَ لي عليك
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.
124. Namun sebagai matlamat yang terhampir, kami ingin mengemukakan beberapa tugasan segera yang perlu dimainkan oleh anak muda:
125. Pertama: Anak muda mestilah menjadi agen penyebar maklumat yang aktif khususnya melalui media baru untuk menyedarkan rakyat seluruhnya tentang hakikat sebenar masa depan negara.
126. Kedua: Anak muda mestilah menzahirkan penentangan mereka terhadap segala agenda yang boleh merosakkan negara secara kreatif seperti melalui facebook, blog, twitter dan lain-lain. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak muda yang telah membangkitkan penentangan terhadap pembinaan “Menara Warisan” 100 tingkat dalam Facebook yang telah mendapat sokongan yang begitu menggalakkan.
127. Ketiga: Anak muda mestilah menyuarakan inspirasi mereka secara kolektif bagi menentukan halatuju negara di masa akan datang melalui wacana dan forum yang menghasilkan manifesto atau agenda mereka untuk kesejahteraan negara.
128. Keempat: Anak muda mestilah membentuk ikatan (coalition) dan jaringan yang interaktif (network) supaya suara mereka akan didengari dan pendirian mereka akan dihormati.
129. Kelima: Anak muda mestilah menterjemahkan kehendak mereka secara assertif melalui peti undi di bawah slogan bersama “undi untuk perubahan ke arah kesejahteraan”.
130. Demi menjayakan tugasan tersebut, DPP sekali lagi memberikan komitmen untuk menjadi rakan gandingan Generasi Milenium, iaitu sebagai :
Gagasan DPP Memimpin Kebangkitan
131. DPP sendiri mestilah mempersiapkan prasarana untuk berganding dengan anak muda hari ini ke arah menggagaskan kebangkitan baru demi menyelamatkan negara. Bergandingan dengan anak muda ini, para pendukung DPP perlu terlibat bersama program anjuran NGO yang didominasikan oleh anak muda.
132. Meskipun kemungkinan program itu menjuruskan kepada aktiviti kesukanan, seni, aktiviti santai dan lain-lain aktiviti kebeliaan, kita tidak boleh mengabaikannya dengan menganggap aktiviti tersebut tidak mempunyai kepentingan dakwah dan siasah. Lebih daripada itu, sudah sampai masanya DPP di peringkat cawangan dan kawasan menubuhkan proksi baru berkait bidang kebeliaan sebagai prasarana penghubung dengan generasi anak muda.
133. Sementara itu, sudah menjadi keperluan kepada para pendukung DPP untuk menguasai media baru bermula daripada yang paling mudah seperti jaringan SMS sehinggalah kepada penggunaan twitter, blog, facebook, youtube dan lain-lain.
134. Kewujudan media baru ini telah membuka ruang yang besar kepada kita semua untuk berinteraksi dengan anak muda, sekaligus memungkinkan wujudnya satu gandingan ke arah merealisasikan kebangkitan anak muda.
135. Tanpa menafikan kepentingan media baru, interaksi secara bersemuka seperti yang telah dilakukan sebelum ini bukan hanya harus diteruskan, malah perlu digandakan. DPP perlu turun ke lapangan anak muda bertemu dan bersemuka dengan mereka,
136. Kita perlu mengenalpasti tempat tumpuan anak-anak muda yang lazimnya di luar rumah, lalu turun sebagai agen perubah masyarakat. Saya optimis dengan interaksi bersemuka ini akan menjadikan anak muda lebih rapat dan mengenali hasrat murni kita.
Persiapan DPP Memimpin Kebangkitan
137. Dewan Pemuda PAS di semua peringkat perlu memposisi diri di khalayak anak muda dan perlu tampil dilihat mewakili generasi muda negara. Pemimpin dan anggota DPP tidak boleh ekslusif beraksi dalam gelanggang organisasi parti semata-mata.
138. Dewan Pemuda PAS perlu memahami suara hati anak muda dan mampu turut bersama mendokong aspirasi dan memperjuang idealism mereka.
139. Dewan Pemuda PAS perlu menyediakan banyak ruang untuk anak muda berasimilisasi dengan DPP samada dalam struktur formal DPP atau penglibatan dengan proksi organisasi DPP seperti MyPro, DACS dan sebagainya. 140. Dewan Pemuda PAS perlu bercakap dengan bahasa anak muda yang ada rasa tanggungjawab tentang masa depan masyarakat dan negara, mampu membentang penyelesaian dan wawasan untuk masa depan negara.
141. Dewan Pemuda PAS mesti focus pemikirannya kepada kebajikan masyarakat dan rancangan pembangunan negara. Kuasai ilmu untuk keupayaan merancang pembangunan negara terutamanya persoalan ekonomi, kajian sosial dan pembangunan manusia.
142. Dewan Pemuda PAS perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran kepimpinan yang tinggi dan daya pemikiran kreatif untuk mampu tampil di tengah-tengah kumpulan anak muda dan memimpin mereka menuntut perubahan.
Pemuda Ansoorullah yang dikasihi sekelian.
143. Antara persiapan asas yang mesti dimiliki oleh anggota DPP disemua peringkat sebagai sentuhan berkesan untuk memimpin kebangkitan ialah pemuda mesti bergerak seiring dengan 6 elemen kebangkitan.
Pertama: Kebangkitan ilmu dan pemikiran صحوة العلم و الفكرة
144. Kebangkitan tidak boleh digerakkan dengan sentimen dan kejahilan. Sebaliknya ia mesti dibina di atas kemantapan ilmu dan pemikiran yang jelas untuk membaca road map sesebuah kebangkita. Kata Saidina Umar al Khattab:
تفقهوا قبل أن تسودوا Kuasai ilmu terlebih dahulu sebelum kamu memimpin.
Kedua: Kebangkitan hati, jiwa dan perasaan صحوة القلب و المشاعر
145. Kebangkitan juga tidak boleh bertolak dari hati dan jiwa yang kosong, lebih – lebih lagi hati dan jiwa yang kotor. Jiwa pejuang kebangkitan mesti kental berdiri di atas keikhlasan dan keyakinan yang tinggi terhadap cita – cita perjuangan disamping memiliki hati yang benci terhadap kezaliman dan penyelewengan.
Ketiga: Kebangkitan sifat kesungguhan dan berdisiplin صحوة الجدية و الانضباط
146. Mengurus kebangkitan dan memimpinnya memerlukan satu tahap kegigihan yang maksima. Sikap sambil lewa dan acuh tidak acuh akan mencacatkan gelombang sebuah kebangkitan.
Keempat: Kebangkitan rasa tanggungjawab dan ringankan bebanan صحوة المسؤولية و تخفيف الضرار
147. Sebuah kebangkitan pastinya akan berdepan dengan risiko. Bermula dari kelemahan sendiri dan ianya bertali dengan tekanan dari pihak musuh. Setiap keadaan mesti dihadapi dan didepani dengan penuh tanggungjawab tanpa membuka ruang kepada sikap lepas tangan apatah lagi pengkhianatan.
Kelima: Kebangkitan persaudaraan dan kesatuan teguh صحوة الأخوة و الإثار
148. Kebangkitan adalah sebahagian dari episod perjuangan dan ia tidak boleh diurus secara “one man show”. Sementara organisasi juga rapuh andai tidak diikat kukuh dengan ukhuwwah fillah dari kalangan pencetus dan pengeraknya.
Keenam: Kebangkitan Islam dan pemerintahan sejagat صحوة الإسلامية و الخلافة الراشدة
149. Kebangkitan akan sempurna apabila ia dipasak di atas tapak yang kukuh dan starategik. Tentunya tapak itu ialah wahyu Allah, Tuhan yang telah mencipta langit, bumi dan seluruh ummat manusia.
Penutup
Pemuda yang dirahmati Allah sekelian.
150. Kita akan berhadapan dengan PRU ke 13 tidak lama lagi dengan jangkaan hampir 40% dari 11,811,452 orang pengundi berdaftar adalah dari kalangan generasi muda yang berumur 40 tahun kebawah. Dari jumlah keseluruhan pengundi berdaftar tersebut, lebih kurang dua juta pengundi ialah mereka yang kali pertama akan mengundi di dalam pilihanraya kali ini.
151. Jumlah itu belum lagi dicampur dengan hampir 3.9 juta warganegara Malaysia yang telahpun mencapai umur 21 tahun, tapi masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi. Para pengundi muda yang akan mengundi dalam PRU ke 13, seperti yang telah disebutkan sebelum ini terdiri daripada Generasi Milenium yang memperlihatkan kecenderungan berpolitik secara non-partisan.
152. Senario politik sedemikian menggambarkan betapa pentingnya kepada PAS untuk tampil sebagai sebuah parti politik yang memahami kehendak generasi muda dan sentiasa mesra mendekati mereka. Harus juga diperingatkan bahawa kegagalan memenangi hati anak-muda akan memberi kesan buruk terhadap pencapaian PAS di dalam Pilihanraya akan datang. 153. DPP berpandangan PAS perlu lebih serius untuk memupuk dan menerima penglibatan lebih ramai golongan muda di dalam hirarki kepimpinan PAS di semua peringkat dalam usaha memperbaharui kesegaran dan dinamisme PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang unggul di rantau ini.
154. Penonjolan pimpinan muda ini amatlah perlu bagi mengambarkan kita tidak ketandusan pelapis kepimpinan bukan sahaja untuk memimpin parti, tetapi pada masa yang sama untuk diketengahkan sebagai calon di dalam pilihanraya akan datang.
155. Kami sama sekali tidak bertujuan untuk menidakkan kemampuan kepimpinan yang sedia ada, tapi apa yang kami maksudkan ialah sudah sampai masanya PAS menyediakan lebih banyak ruang untuk mengenengahkan pimpinan muda yang berkaliber dan berkebolehan dengan mengurangkan pertindihan bebanan tanggungjawab pemimpin yang sedia ada.
156. Sama ada disedari atau tidak, pertindihan beban tanggungjawab di kalangan pimpinan PAS merupakan satu isu yang besar dalam parti. Oleh sebab itu, adalah menjadi hasrat DPP menawarkan pemimpin muda kepada parti untuk diberikan peranan yang lebih besar bermula di peringkat kawasan, negeri sehinggalah di peringkat pusat.
157. Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada beberapa kawasan yang telah memberi kepercayaan kepada pimpinan dan bekas pimpinan DPP untuk memimpin PAS kawasan.
158. Dalam masa yang sama PAS juga mesti berani meletakkan calon – calon baru dan muda di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS menuntut supaya PAS membariskan 40 % daripada calon pilihanraya adalah dari kalangan calon – calon muda terutama yang berusia 45 tahun ke bawah. 159. Tahniah saya ucapkan kepada pimpinan PAS yang diterajui oleh Alim Rabbani Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti kerana memberi kepercayaan kepada tokoh – tokoh muda menggalas amanah mewakili parti dalam siri Pilihanraya Kecil baru – baru ini seperti DUN Tenang di Johor, Kerdau di Pahang, Merlimau di Melaka dan terkini pilihanraya umum edisi Sarawak di Sadong Jaya dan Beting Maro.
Pemuda Ansoorullah yang dikasihi sekelian.
160. Saya akhiri dengan 5 Nota Pemuda PAS, penting untuk perhatian dan renungan setiap anggota Dewan Pemuda PAS.
Nota Pertama :
161. Biar apa pun zaman dan di mana jua berada , Pemuda tetap menjadi skuad kebanggaan Nabi saw. dan sandaran Baginda untuk menyambung risalah perjuangannya ke arah mendaulatkan syariat Allah swt. di atas muka bumi ini . Justeru itu, janganlah kalian semua menghampakan harapan Baginda Rasul saw. dan lebih malang menjatuhkan "air muka" Baginda saw. dengan kegagalan pemuda beraksi selayaknya mendokong dan memacu perjuangan ini. Nota Kedua:
162. Pemuda PAS mestilah mempersiapkan diri dari segenap aspek bermula dari 10 noktah :
Nota Ketiga :
163. Aktif menggerakkan jentera perjuangan tanpa siapa dikalangan pemuda berpeluk tubuh. Lebih mengaibkan jika ada yang berat papan punggungnya untuk bangun melaksanakan amanah yang terpikul di atas pundaknya sebagai pimpinan di manapun peringkat ia terpilih dan terlantik.
164. Pemuda PAS bukan pondan yang sering lemah dilanda fitnah, resah dihempap musibah dan longlai dipukul badai sebaliknya hebat di medan debat, perkasa menabur jasa dan gagah menentang musuh bedebah.
165. Pemuda PAS mestilah menjuarai isu dan senantiasa dekat di mata dan hati rakyat sebagai madu'u [pengundi dalam bahasa pilihanrayanya]. Senantiasa ada bila rakyat berduka dan senantiasa muncul bila rakyat sugul.
166. Pemuda PAS tidak boleh diperalat oleh siapa jua untuk mencapai tujuan politik individu apalagi untuk menjual agama dan menolak perjuangan suci ini. Bahkan pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berkata : Ya ! Kami Ansorullah [pejuang agama Allah]. Berfungsi di sayap utama mengembeling kekuatan dalaman dan mobilisasi kesedaran rakyat bagi menjana kemenangan dan mempertingkatkan prestasi juang serta mempertahankan kemenangan yang telah sedia tercapai.
167. Pemuda PAS bukan peluru sesat atau pedang karat yang boleh dimanafaat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melepas amarah sesama sendiri dengan menabur peluru fitnah secara membuta tuli [boleh dibaca - membabi buta] dan menebas leher mencantas betis sesama anggota hanya kerana tidak bersefahaman.
168. Pemuda PAS adalah senjata “hard target” yang siap dan sedia menembusi kepala dan jantung musuh Allah swt. Tanpa gentar dan gerun melepasi benteng musuh yang penuh jerangkap berbekal strategi licik dan kemahiran yang tinggi dikalangan anggota pemuda.
169. Pemuda PAS adalah supporter group untuk sedia dan siap melaksanakan arahan jamaah dan pimpinannya dengan teliti dan jaya tanpa mendatangkan masaalah kepada jamaah dan pimpinan sebaliknya melancarkan gerakkerja, melicinkan misi dan menjayakan visi perjuangan suci ini.
Nota Keempat :
170. Muktamar kali ini adalah pusingan anggota memilih saf kepimpinan jamaah di pelbagai peringkat dan tidak ketinggalan kita para pemuda. Terlebih dahulu kita telah diajar oleh agama agar memilih dan menyerah tugas kepimpinan kepada mereka yang layak, mampu dan beramanah.
171. Bukan populariti , bukan juga title yang ada pada nama dan tidak hanya dinilai pada kepetahan berpidato semata - mata, sebaliknya memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang ikhlas, benar, berilmu, mampu melaksanakan tugas dengan baik, berakhlak dan bertaqwa.
172. Usah jadikan ini kesempatan untuk bersengketa tetapi jadikan ia sebagai peluang untuk merapat jurang, mengimpal retak, menjalin ukhuwwah, membina persefahaman dan menyatu fikrah. Kita bentuk saf perjuangan yang satu dan padu laksana ikatan batu bata, membangun menara kukuh gah dipersada juang.
Nota Kelima:
173. Rakyat melihat kita adalah bahtera penyelamat yang memegang teraju gelombang perubahan ke arah membina Malaysia yang ditadbir oleh pemimpin yang soleh dan undang - undang yang adil. Mengislahkan politik dan menjana ekonomi melalui plan syariah yang terbukti benar dan berkesan.
174. Tinggal lagi keyakinan rakyat kepada plan ini masih belum dapat diraih sepenuhnya setelah mereka mengalami krisis keyakinan teruk terhadap undang - undang dan peraturan syariah akibat fitnah dan momokan jahat UMNO dan BN sejak mereka memerintah negara lebih 50 tahun yang lalu.
175. Justeru itu, pemuda tidak harus rasa selesa walau berada di negeri yang kita menang seperti Kelantan , Kedah, Penang dan Selangor. Sebaliknya pemuda mesti memikir beberapa pendekatan baru dengan kepelbagaian aktiviti untuk terus segar dan mekar bersama masyarakat remaja dan anak muda. Apatah lagi pemuda di negeri yang belum menang seperti negeri2 yg lainnya,
176. Malah pemuda mesti terus enggage dengan semua golongan dan lapisan masyarakat, turun dan mara sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Menyantuni dan menyertai kehidupan harian mereka dengan membawa semangat Orang Muda Geng Kita. Terutama hubungan kita dengan rakan tahaaluf iaitu Angkatan Muda Keadilan dan DAPsy. Pastikan hubungan ini terus erat dan bersama menjana kemenangan demi kepentingan negara dan rakyat.
177. Ada pihak mempertikai hubungan kita dengan AMK dan DAPsy sebagai tidak islamik dan kononnya menggadai prinsip perjuangan asal kita. Suka saya tegaskan disini , bahawa kita tidak pernah merubah dasar dan prinsip perjuangan dan hubungan kita dengan AMK dan DAPsy adalah hubungan tahaaluf yang diluluskan oleh syara' maka tidak timbul soal tidak syari'e atau tidak islamik.
178. Bukankah Islam mengajar kita menentang kezaliman seperti ISA. Bukankah Islam mengajar kita menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan seperti apa yang berlaku kepada SPR, Badan kehakiman, polis dan FRU ?
179. Bukankah Islam mengajar kita menentang segala pembaziran seperti projek mega yang tidak menguntungkan rakyat, agihan saham hanya berlegar dikalangan kroni dan sebagainya ?
180. Maka kita sepakat dalam perkara ini dengan AMK dan DAPsy lalu kita bertahaaluf [kerjasama], maka dimanakah yang tidak Islamik dalam perkara ini ? Saya harap kita tidak keliru lagi dan saya juga sebagai anggota Majlis Syura Ulama’ turut terlibat dalam perbahasan dan penelitian panjang mengenai perkara ini dan Majlis Syura Ulama’ PAS telah memutus dan meluluskan perkara ini. 181. Justeru itu, kita pertahankan tahaaluf ini dengan konsep dan prinsip serta akhlak dalam bertahaaluf siasi dengan mana - mana jua pihak yang bukan dari jamaah atau parti kita. Dalam erti kata yang lain, marilah kita perkukuhkan PAKATAN RAKYAT tanpa melupakan pemerkasaan parti kita sendiri.
182. Saya mewakili seluruh saff kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh pelusuk tanahair, kerana memberikan intima’ yang jitu demi melunaskan tanggungjawab berjamaah sekaligus menjayakan sidang muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi kali ke 52 ini.
183. Terima kasih tidak terhingga kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor yang diterajui oleh Al Fadhil Ustaz Hasbullah Ridzwan dan seluruh exconya jua Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam selaku tuan rumah muktamar kita kali ini.
184. Terima kasih jua kepada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang diterajui oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di atas keselesaan dan kemudahan yang diberikan bagi menjayakan muktamar ini. Terima kasih, kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung hari ini bagi kali ke 52.
185. Akhirnya selamat berjuang, selamat bermuktamar dan pastikan ucaptama “Memimpin Kebangkitan Anak Muda” ini dibaca bersama dengan ucaptama saya pada tahun lalu iaitu “Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan” bagi mewujudkan keseimbangan dan kesepaduan menggerakkan perjuangan suci ini.
السلام عليكم و رحمة اللّه و بركاته اللّه أكبر اللّه أكبر اللّه أكبر
[1] Kos hidup ini diukur berdasarkan berapakah jumlah kos yang diperlukan untuk mencapai gaya hidup piawai (atau lebih baik) seperti yang dinikmati di Amerika Syarikat. Sumber data ini diperolehi daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat berkaitan Indeks Kos Hidup Luar Legara yang menentukan berapakan jumlah elaun kos hidup yang diperuntukan untuk menampung gaya hidup barat di beberapa negara. UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI H.R. MUSLIM Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka". Umat Islam yang mengikut jejak langkah apapun "cara hidup" orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan orang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka. Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mere hanya meniru "cara hidup" Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali barut mereka. Ya Allah ! Selamatkan lah kami daripada mereka. PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU H.R.HAKIM Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim". Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin di hari ini. Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyak nya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya. Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!!!!! BAHAYA KEMEWAHAN H.R. TIRMIZI Daripada Ali Bin Abi Thalib ra ;"Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab Bin Umair ra dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi SAW bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian bersilih ganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Dimana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad SAW mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat. Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang itu dari berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari membuat ibadat. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak harta lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)". Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan