Isnin, 13 Jun 2011

JANGAN BUAT PERKARA SALAH UNDANG2 NEGARA...KHIANAT....DILARANG DALAM ISLAM...JIKA MENANG PUN HASIL KERJA MENIPU...AGAK2 ELAUNNYA HALALKE...

Umno arah guru Kafa tukar alamat IC?
M Faqih

KOTA BHARU, 13 Jun: Impian Umno mahu merampas Kelantan rupa-rupanya berselindung di sebalik agenda sulit dengan memperalat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Difahamkan PPD diminta menyenaraikan nama-nama guru Kelas al Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang mengajar di sekitar Kota Bharu untuk ditukar alamat kad pengenalan (IC) ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payong.

Modus operandi sulit tersebut berjaya dikesan pada 28 Mei lalu apabila ramai guru Kafa dilihat berada di perkarangan Wisma Persekutuan bagi menukar alamat kad pengenalan.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, seramai hampir 50 guru Kafa dilihat berada di sebuah wakaf dalam kawasan Wisma Persekutuan antara jam 9 hingga 11 pagi 28 Mei lalu.

Katanya, seorang lelaki mengaku bertanggungjawab membekalkan borang pertukaran alamat kepada setiap guru Kafa yang datang.

“Kemudian seorang demi seorang guru Kafa diminta lelaki terbabit naik ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyerahkan borang yang telah diisi di wakaf.

“Lelaki itu memberitahu alamat-alamat baru yang diisi guru Kafa terbabit menggunakan alamat milik anggota jawatankuasa Umno Kota Bharu yang tinggal di Dun Bunut Payong,” katanya di sini.

Shaari berkata, beliau bersama empat lagi jawatankuasa MTD Bunut Payong dan penghulu melihat sendiri tindak tanduk agen yang mungkin dilantik Umno bagi membekalkan borang pertukaran alamat kad pengenalan kepada guru Kafa.

Menurutnya guru Kafa yang selesai urusan di pejabat JPN kemudian dilihat turun semula ke wakaf menemui lelaki terbabit.

Difahamkan juga guru Kafa yang sedia menukar alamat diberi sedikit habuan.

Sementara itu tinjauan Harakahdaily di perkarangan Wisma Persekutuan dan pejabat JPN pagi tadi tidak lagi kelihatan kelibat agen berkenaan.

Difahamkan juga Umno cuba mempengaruhi pegawai di JPN bagi membolehkan pertukaran alamat dilakukan secara berkumpulan bagi mempercepatkan urusan pertukaran alamat kad pengenalan pemohon.

Satu sumber memberitahu pemimpin Umno terbabit datang merayu kepada pegawai kanan di JPN bagi membolehkan proses pertukaran alamat dipercepatkan.

Bagaimanapun rancangan itu gagal memandangkan JPN Kelantan tidak melayan kerana menyalahi peraturan.

Difahamkan pertukaran alamat kad pengenalan pemohon hanya boleh dibuat di pejabat JPN bukan melalui agen tertentu.

(ikuti pembongkaran sendikit tersebut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)


Undi Pakatan jika mahu nikmati negara berkebajikan
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Rakyat digesa memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 jika mahu merasai nikmat negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat bakal menikmati kehidupan lebih baik dibawah konsep negara berkebajikan Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sekarang ini.

Tambahnya, ianya boleh dilihat di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dan juga sebahagiannya telah ditawarkan dalam Buku Jingga.

"Kalau nak tahu apa itu negara kebajikan, rakyat pilih kita pada pilihan raya akan datang.

"Beri kita lima tahun, kita akan tunjuk apa kita akan lakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama untuk sesi 2011-2013 di Pejabat Agung PAS hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasrat PAS mahu melaksanakan negara berkebajikan itu 'meniru' apa yang telah dibuat BN sejak lama.

Terbaru, seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan PAS menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan, sekadar umpan untuk meraih undi bukan Islam.

Menjawab tomahan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, "itu kenyataan orang yang tidak membaca apa dia politik Islam".

Katanya, negara berkebajikan PAS jauh berbeza dengan Umno di mana PAS meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan yang tidak dibuat oleh Umno BN.

"Sebahagiannya kita berjaya buat di negeri yang kita perintah di Kelantan, Kedah, pernah di Perak dan Terengganu termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

"Konsep berkebajikan bukan sahaja kebajikan kepada rakyat, tetapi juga tidak mengerjakan perkara yang haram antaranya meninggalkan rasuah bukan sahaja kerana SPRM tetapi kerana perintah Allah," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemimpin Umno BN itu sedang 'kepanasan' dengan apa yang mahu diperkenal PAS itu.

Apatah lagi, katanya ekonomi negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS akan menambah pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang dan menaikkan cukai kepada rakyat kebanyakan seperti dibuat BN.

"Terengganu kita (PAS) pernah hapuskan tol (jambatan). Jelas itu satu kebajikan yang kita buat kerana melihat yang lalu itu peniaga-peniaga kecil, orang kampung.

"Walaupun kita rugi berjuta, namun kita tampung dengan menaikkan cukai kepada mereka yang kaya seperti industri dan pembalakan," ujarnya.


Pemuda PAS Shah Alam bantah blog hina Islam
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam hari ini membuat bantahan rasmi terhadap wujudnya sebuah blog yang disifatkan sebagai menghina Agama Islam, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul Akhir Zaman.

Ketua Pemudanya, Mohd Hilmi Radzuan berkata, mereka sangat memandang berat sikap tidak bertanggungjawab menghina Islam bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi Agama daripada Allah, Pencipta dan Pentadbir Alam ini.

Pemuda Shah Alam telah membuat tiga bantahan hari ini bermula di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Hilmi berkata, pihaknya telah terbaca satu blog yang mengandungi unsur-unsur penghinaan terhadap Allah SWT yang dipanggil sebagai babi dan juga menggelar Nabi Muhammad SAW sebagai babi.

Menurutnya, blog http://makcikhajjahsittalwuza2u.wordpress.com itu juga turut memaparkan imej-imej penghinaan seperti babi membaca al-Quran, wanita berbgel di atas Kaabah dan banyak lagi imej yang mencemarkan kesucian agama Islam.

"Saya juga mendapati penulis blog ini secara sengaja ingin menimbulkan kemarahan umat Islam melalui artikel-artikel provokatif yang ditulis dan dipaparkan di blog berkenaan.

"Kami berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap penulis blog ini," tegas Hilmi dalam sidang akhbar selepas membuat laporan berkaitan.

Dalam isu sama, Hilmi berkata, SKMM sewajarnya mengambil tindakan paling segera memandangkan perkara ini sangat besar kesannya kepada keharmonian dan kerukunan kehidupan dalam negara ini.

Katanya, pihak akan menimbulkan perkara ini dalam masa dua minggu selepas ini jika tiada sebarang tindakan positif diambil terhadap penulis dan blog berkenaan oleh pihak berkuasa.

Berikut adalah memo penuh yang dihantar oleh Pemuda PAS Shah Alam kepada tiga pihak berwajib hari ini.

Malaysia adalah sebuah negara aman dan makmur dihuni oleh masyarakat majmuk berbilang agama dan bangsa. Sesungguhnya kita semua maklum bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia. Kami selaku Pemuda PAS Shah Alam berasa duka cita dan amat kecewa dengan tindakan pemilik website http://makcikhajjahsittalwuzara2u.wordpress.com yang terus terang menghina Allah swt, RasulNya dan agama Islam.

Sebagai umat Islam yang taat dan mengamalkan setiap ajaranNya, kami Pemuda PAS Shah Alam bersatu hati untuk membantah atas tindakan website ini. Kami bertegas mahu pihak polis, Jakim dan SKMM agar menyekat dan mengambil tindakan dengan segera serta mengingatkan masyarakat supaya tidak bertindak keterlaluan yang boleh merosakkan akidah ummah dan menggugat perasaan ummat Islam khususnya.

Kami berharap pihak berkuasa jangan merasa mudah dan senang terhadap apa yang kami utarakan kerana ini melibatkan penghinaan kepada Yang Esa dan Rasulullah.

Mereka yang mengambil mudah di dalam hatinya terhadap perkara ini nescaya Allah Taala akan mengambil mudah buat dirinya di akhirat kelak.

Kami Pemuda PAS Shah Alam mengingatkan pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan segera terhadap pemilik website ini agar ia menjadi pengajaran bagi sesiapa sahaja yang cuba menghina mana-mana agama yang terdapat di Malaysia.

Tiada ulasan: