Isnin, 27 Jun 2011

SAPE2 BERUSAHA APA CARA PUN...SAMA CARA BENAR ATAU SALAH...TAPI ALLAH PENENTU...SEGALA CARA SALAH AKAN DIHUKUM DIAKHIRAT SAPE YANG TERLIBAT..

Usul tergempar bincang MP Sg Siput direman
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, Khamis ini bagi membincangkan mengenai tindakan polis menahan ahli Parlimen Sungai Siput, aDr. Jeyakumar Devaraj dan 30 ahli PSM yang lain.

Mereka yang ditahan di Tol Sungai Dua, Pulau Pinang ditahan reman selama seminggu untuk disoal siasat kerana didakwa mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Kesemua mereka menaiki bas dari Selatan menuju ke Utara bagi meneruskan kempen Udahlah...Bersaralah, satu kempen nasional PSM.

Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) akan mengemukakan usul tersebut bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan perkara 18(1).

"Kita ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdiri di belakang rakan kita ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Dr Jeyakumar bukan calang-calang, beliau mengalahkan Samy Vellu dan beliau memperjuangkan hak rakyat bukan sahaja di Sungai Siput tapi si seluruh negara.

"Kita tidak mahu ahli Parlimen kita ditahan hanya kerana memperjuangkan hak rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berharap usul itu akan diterima untuk dibahaskan kerana ia melibatkan hak seorang ahli Parlimen dan kepentingan rakyat.

"Kita bawa usul ini untuk menuntut Dr. Jeyakumar dan anggota PSM yang lain dibebaskan segera kerana ini membabitkan kepentingan rakyat terbanyak," katanya yang juga Naib Presiden PAS.


Potong bayaran kapasiti IPP atau tamatkan PPA
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kerajaan BN dicadang melaksanakan pemotongan bayaran kapasiti untuk penjana kuasa bebas (IPP) mulai tahun 2012, dengan memperkenalkan bayaran kapasiti baru yang merangkumi kos operasi diaudit, laporan kejuruteraan dan keuntungan yang dikawalselia sahaja.

Proses tersebut perlu dilaksanakan dengan telus dan jika Penjana Bebas bersetuju dengan cadangan itu, pelanjutan operasi boleh diberikan secara rejim pelesenan sahaja iaitu tiada lagi PPA.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) yang membuat cadangan itu menegaskan, jika Penjana Bebas enggan bersetuju dengan model itu, kerajaan patut menamatkan PPA apabila tiba masanya.

Presidennya, S Piarapakaran berkata, tetapi untuk menamatkan PPA, Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan tiga tindakan terlebih dahulu.

Menurut beliau, tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan dengan membuka bidaan kompetitif (competitive bidding) mulai sekarang, memandangkan kita masih mempunyai masa yang mencukupi untuk membina loji penjanaan tenaga yang baru.

Katanya, langkah kedua, Penjana Bebas yang menolak cadangan potongan bayaran kapasiti tidak boleh dibenarkan, sebaliknya mesti disenarai hitamkan, untuk membuat bidaan untuk mana-mana projek penjanaan yang baru selepas ini.

"Langkah ketiga, senarai hitam itu juga patut dipanjangkan kepada pemegang-pemegang saham dan ahli-ahli lembaga pengarah daripada Penjana Bebas, anak syarikat serta syarikat induk Penjana Bebas tersebut.

"Tiada pemegang saham dan ahli lembaga pengarah ini dibenarkan untuk terlibat dalam bidaan projek penjanaan baru melalui sebarang syarikat baru atau entiti tertentu," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Langkah tersebut, menurut beliau, perlu dilakukan oleh kerajaan kerana industri elektrik tidak sesuai diuruskan oleh syarikat-syarikat yang hanya mementingkan keuntungan sahaja dan sanggup menggadai kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang kita cintai ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan mesti berkeras untuk melindungi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) telah melaksanakan konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan dan penyelidikan mengenai industri elektrik negara dalam masa 6 bulan yang lepas.

Awer telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk ‘Survival: The Future of Our National Electricity Industry’ dan memuatkan hasil kajian, cadangan dan jalan penyelesaiannya mengenai industri itu.

Laporan tersebut akan dihantar oleh Awer kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan semua ahli-ahli Parlimen.

Salinan laporan (dalam Bahasa Inggeris) itu juga boleh dimuat turun daripada laman web Awer, www.awer.org.my. untuk rujukan semua pihak.

"Mengikut kajian kami, kami dapati bahawa Kadar Pulangan Pelaburan (Return of Investment - ROI) untuk Penjana Bebas (IPP) kebanyakannya adalah kurang daripada 10 tahun dan bagi TNB adalah melebihi 10 tahun," katanya.

Sebenarnya, tegasnya, disebabkan perjanjian konsesi seperti PPA dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan, Penjana Bebas mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek penjanaan tanpa risiko.

"Semua kos-kos ini akan disalurkan semula kepada rakyat melalui tarif. Operasi sebegini tidak melindungi kepentingan negara," ujar beliau.


RM49 juta biaya rumah PM, TPM
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kerajaan membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Lebih tepat, sejumlah RM48,789,115.03 dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan Siti Zailah Mohamad Yusof (PAS-Rantau Panjang).

Zailah dalam soalannya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan jumlah kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi membiayai kedua-dua rumah pemimpin negara itu bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Mengulas jawapan kerajaan itu, Zailah ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, rakyat perlu menilai bagaimana kehidupan pemimpin mereka dalam keadaan rakyat disuruh berjimat.

"Kita boleh tengok, rakyat disuruh berjimat, tapi pemimpin negara belanja kos rumah sahaja hampir RM50 juta setahun," katanya.


Kenapa takut sangat kepada Bersih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: "Kalau pilihan raya bersih, tidak perlu cabar untuk kami menyertai pilihan raya tetapi soalannya sekarang adalah pilihan raya tidak bersih," kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Aruchelvan.

Dua hari lepas beliau bersama Presiden PSM, Dr Jeyakumar Devaraj serta 30 lagi penyokong mereka ditahan polis atas tuduhan cuba menghidupkan perjuangan parti komunis yang diharamkan.

(Aru [berbaju merah] melihat surat yang dikeluarkan oleh polis kepada beliau)

"Ini taktik lama, carilah taktik baru," kata Aru mengulas alasan polis yang cuba menghidupkan sostalgia kebencian terhadap komunis.

Aru mengulas tindakan polis serta cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencabar penganjur Bersih 2.0 agar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya bukannya berhimpun di Kuala Lumpur 9 Julai ini.

Bagi Aru, tindakan BN yang mengerah segala NGO dan alatnya bagi menakutkan orang ramai dari menyertai perhimpunan 9 Julai ini melambangkan satu ketakutan yang amat sangat.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan provokasi Mahaguru Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omar Din Mauju yang berkata, beliau sendiri akan mengetuai pasukan silat lincah walaupun berkerusi roda bagi menentang apa yang Utusan sifatkan sebagai perhimpunan haram Bersih.

"Semua ini hanya lambang ketakutan kerana Najib tau semua kenyataannya sebelum ini bahawa pembangkang sudah hilang sokongan dan sebagainya akan terbukti salah apabila ramai orang berhimpun 9 Julai ini," kata Aruchelvan yang sentiasa menjadi penggerak utama mana-mana perhimpunan aman menuntut kebaikan untuk negara.

Menurut beliau, ekoran dari itulah bergeraknya segala kempen untuk memburuk-burukkan Bersih sekarang ini termasuklah usaha mengaitkan beliau dan PSM dengan komunis.

Sebelum beliau dan rakan-rakannya, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Srevanesen juga mendapat serangan yang sama.

Akhbar Umno, Utusan menjadikan Ambiga sebagai sasaran pembunuhan karektor apabila akhbar itu melebelkan Ambiga dengan pelbagai imej buruk.

Selain memburukkan peneraju Bersih, amaran tindakan undang-undang dan ISA juga dikenakan ke atas semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan kali ini.

Sabtu lepas, KDN telah memanggil 100 NGO yang antara lain membincangkan tentang perhimpunan Bersih.


Istikharah: Kejahilan Zahid terserlah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gesaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya pemimpin PAS solat istikharah berhubung video seks menyerlahkan lagi kejahilannya terhadap hukum feqah di dalam Islam.

Demikian Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk “Nik Aziz digesa solat istikharah”.

Kenyataan itu memetik kata-kata Zahid selaku Naib Presiden Umno yang berkata: Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak.

Khairuddin berkata, kenyataan itu menunjukkan Umno semakin tersepit pada hari ini.

“Tidak cukup dengan kebiadapan Utusan yang menyiarkan karikatur yang menggambarkan persepsi yang negatif terhadap Islam, pada hari ini kita membaca pula kenyataan Naib Presiden Umno yang menggesa supaya pemimpin PAS melakukan solat istikharah dalam menangani isu seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang,” katanya.

Jelasnya, solat istikharah tidak dilaksanakan untuk bertujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam isu ini, katanya seseorang itu tidak dianggap bersalah melakukan kesalahan zina selagimana tidak didatangkan dengan empat orang saksi.

Ini, ujarnya adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT secara jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Ianya merupakan kaedah keterangan yang dipegang di dalam Islam.

Katanya, selagi mana tidak di datangkan 4 orang saksi maka sesorang itu adalah tidak bersalah dan tidak melakukan zina.

“Tiada seorang Islam pun yang berhak untuk keluar daripada ketetapan Allah SWT ini,” tegasnya.

Justeru, beliau meminta para alim ulama di dalam Umno seharusnya menasihatkan pemimpin mereka supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan urusan agama sebelum masyarakat turut menjadi haru biru dek kerana kenyataan tersebut.


Pemuda PAS dibebas awal pagi tadi
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Tujuh pemuda PAS yang ditahan jam 11 tengahari semalam kerana memakai baju Bersih 2.0 di Taman Kosas, Ampang dibebaskan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Mereka, Fadzlulrahimi Maarof, Shahril Suhaimi, Engku Faizan Engku Husien, Adha Isa, Fathullah Azam, Rozaimi dan Shafiee Yunos dibebaskan dengan jaminan polis selepas 15 jam ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Kesemua mereka semalam ditahan kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi.

Terdahulu lebih 100 penyokong berkumpul di perkarangan pintu masuk IPD Ampang Jaya bagi mendesak kesemua yang ditahan dibebaskan.

Mereka berhimpun sejak jam 11 malam tadi dan turut disertai Adun Lembah Jaya, Kasim Abdul Aziz dan Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin semalam mendakwa mereka memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.

Beliau juga mendakwa mereka mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit.

Sambil menyelar penahanan itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan polis itu telah memberi imej buruk terhadap penguatkuasaan undang-undang negara kepada dunia luar.

"Mereka hanya memakai baju dan menjual baju Bersih, apa salahnya?

"Ini hanya akan memburukkan imej perlaksanaan demokrasi dan penguatkuasaan undang-undang negara kita," katanya.

Dalam satu lagi tangkapan, seorang pemuda, Mohamad Amin ditahan malam tadi di balai polis Gombak kerana memakai lencana kuning bertulis Bersih 2.0.

Beliau bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan direkodkan pihak polis.

Sementara itu, di padang Gombak Ria pula, majlis penerangan dan pelancaran Bersih 2.0 terpaksa ditukar kepada ceramah Israk Mikraj ekoran dihalang lebih 50 anggota polis.

Kereta penceramah, Riduan Mohamad Nor yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS turut digeledah.

Pintu pagar masuk ke Pusat Khidmat Dun Gombak juga dikepong dan orang ramai dihalang masuk.

Majlis ceramah itu bagaimanapun diteruskan selepas polis mengenakan syarat tidak menyentuh isu himpunan Bersih pada 9 Julai ini.


Tak masuk akal pakai baju Bersih nak guling Agong
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Pemuda PAS Pusat menyifatkan dakwaan yang mengatakan bahawa aktivis PSM mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong adalah sangat melucukan.

“Bagaimana mereka boleh memerangi Yang di-Pertuan Agong hanya dengan menaiki bas tanpa senjata dan bergerak secara terbuka di tempat awam.

“Sangat tidak masuk akal dengan persiapan membawa baju, risalah, bendera dan pembesar suara sahaja boleh menggulingkan Yang di-Pertuan Agong,” kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika usaha seumpama itu boleh menggulingkan Yang di-Pertuan Agong maka tahap keselamatan negara kita adalah sangat lemah.

Mdenurutnya, jika benar mereka berniat sedemikian tentulah mereka telah mempersiapkan diri dengan senjata, alat komunikasi yang canggih, kenderaan kalis peluru dan lain-lain lagi.

Beliau menyuatakan demikian sebagai mengulas pihak polis telah menahan 30 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang, kelmarin mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Mereka ditangkap ketika menaiki bas bagi kempen menyokong Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Antara yg ditangkap adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj.

Dalam tangkapan itu polis telah menjumpai 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya(PKM) iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah.

Turut ditemui 7,000 risalah PSM, 600 risalah Himpunan Bersih 2, 25 naskah sosialis, satu set pembesar suara, 15 bendera PSM dan bebarapa helai baju T.

Mereka dituduh membawa faham komunis ke negara ini dan mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Suhaizan, fahaman dan gerakan komunis bukan lagi menjadi ancaman kepada negara.

Katanya, mereka telah meletakkan senjata dan sudah menjadi masyarakat sivil sekarang.

“Perjuangan komunis sudah menjadi bahan sejarah dalam negara kita,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Katanya lagi, PSM mengiktiraf sumbangan parti-parti berhaluan kiri yang secara tidak langsung menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Pengiktirafan PSM itu, ujarnya adalah hak mereka yang perlu kita hormati.

“Soalnya adakah pengiktirafan kepada perjuangan parti-parti berhaluan kiri sebelum merdeka boleh dianggap mengembalikan fahaman komunis yang sudah menjadi bahan sejarah?

“Apakah pengiktirafan seumpama ini boleh dianggap memerangi Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.

Katanya, jika mereka mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong apa perlunya mereka menghantar memorandum pada Himpunan Bersih 2.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS sangat yakin bahawa tuduhan yang dikenakan kepada aktivis PSM adalah tuduhan yang direka semata-mata untuk menyekat kemaraan rakyat yang akan turun dalam Himpunan Bersih 2.

“Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak semua aktivis PSM tersebut dibebaskan dengan segera.

“Berikan mereka hak untuk bersuara dan berhimpun tanpa senjata seperti yang telah dijamin oleh perkara 10 Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.


Undian tajuk Sejuta Sokong Bersih meningkat 98%
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Keputusan undian “SEJUTA SOKONG BERSIH 2.0" meningkat secara mendadak 300 peratus kepada 1,644 undian berbanding dengan tajuk sebelum ini "UTUSAN HINA ISLAM" yang mendapat 515 undian sahaja.

Keputusannya undian tajuk ini adalah 98.24 peratus atau 1,615 daripada 1,644 bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama Harakah.

Walaubagaimana pun terdapat 25 undian (1.52%) yang tidak bersetuju dan 4 undian (0.24%) yang berkecuali.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Sebelum ini tajuk-tajuk yang mendapat undian yang tinggi adalah PUTAR BELIT NAJIB dengan 1091 undian dan BUBAR UMNO MASUK PAS dengan 942 undian. Lain-lain tajuk biasanya mendapat antara 300 hingga 600 undian sahaja.

Mulai hari ini, undian dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah Wajarkah perkataan" BERSIH & BERKEBAJIKAN " digunakan sebagai tajuk berita utama. Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari, yakni hari ini dan esok.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.


Botak: Muslimat PAS ucap syabas pada Hizyati
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengucapkan syabas di atas keberanian Hizyati Othman dan keluarganya mendedahkan insiden membotakkan kepala pelatih Bomba wanita.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah al-Jundi berkata, jika tidak tindakan membotakkan para pelatih Bomba wanita mungkin akan berterusan dan akan menjadi budaya yang dipandang biasa oleh Umno BN.

Justeru, katanya DMPP memandang serius kejadian yang telah menimpa Hizyati itu.

Hizyati mendakwa dirinya dan 18 lagi pelatih Bomba wanita telah diarah untuk membotakkan kepala pada 2 Mei lalu ketika mendaftar diri bagi mengikuti latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

Aiman berkata, DMPP percaya bahawa insiden tersebut adalah suatu yang amat malang setelah 54 tahun usia kemerdekaan negara.

Katanya, insiden memalukan itu adalah manifestasi kegagalan Umno BN untuk memastikan maruah umat Melayu dan Islam khasnya dijamin dan akan terus terjamin secara kolektif serta efektif.

Sehubungan itu, katanya DMPP mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri khususnya yang bertugas untuk menjaga kepentingan ummat Islam agar bertindak lebih pro aktif bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak terus menjadi budaya di dalam pentadbiran kerajaan Umno BN.

Tambahnya, tindakan membotakkan kepala wanita adalah jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Bahkan, katanya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 juga telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh dan jelas memutuskan bahawa membotakkan kepala wanita serta berhias secara aneh itu adalah haram.

“Persoalannya, mengapa dasar dan prinsip ini tidak dijadikan teras yang merentasi tindakan, prosedur dan budaya kerja Kerajaan Umno BN?” soalnya.

DMPP juga, katanya percaya bahawa kes seperti itu bukanlah terpencil meskipun menteri berusaha mengatakan bahawa kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku.

Katanya lagi, sikap dan jawapan menteri yang mengatakan bahawa ”insiden membotakkan kepala wanita” itu adalah suatu yang tidak disengajakan juga dilihat sebagai satu jawapan yang cukup dangkal, bersifat memperbodoh-bodohkan rakyat hatta berbaur denial syndrome.

Jawapan yang diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung itu sangat menyinggung.

Beliaun berkata, DMPP menggesa menteri dan pihak terbabit agar segera membuat permohonan maaf kepada mangsa, keluarga mangsa dan umat Islam seluruhnya.

“Adalah tidak beradab bila mana permohonan maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa khususnya hanya dibuat melalui sidang media, sedangkan pihak yang menjadi mangsa tidak langsung disantuni dan ditemui,” katanya.


RM7.7 juta skim baik pulih Negeri Berkebajikan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kerajaan Selangor telah meluluskan RM7.7 juta untuk Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar).

Jumlah itu, katanya adalah tambahan kepada RM2 juta yang telah diperuntukkan dalam Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor dan ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan sebanyak RM9.7 juta.

Menurut beliau, skim itu adalah bagi membantu pemilik-pemilik pangsapuri kos rendah membaikpulih kediaman mereka.

Katanya, pemilik-pemilik pangsapuri telah ditawarkan untuk menyertai skim itu dengan Kerajaan Negeri akan membaikpulih pangsapuri mereka melalui kaedah perkongsian 80:20.

"Menerusi skim itu, Kerajaan Negeri akan membiayai 80 peratus dari kos membaikpulih dan penduduk hanya 20 peratus," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, tawaran telah diberikan kepada pemilik-pemilik melalui Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB), dan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC).

Sebanyak 62 kawasan pemajuan, jelasnya, telah ditawarkan untuk menyertai skim itu dan setakat ini 19 pemajuan telah dipilih berdasarkan peruntukan asal sebanyak RM2 juta.

"Dengan tambahan sebanyak RM7.7 juta lebih banyak pemajuan akan dapat dibaikpulih. Dianggarkan dengan peruntukan tambahan ini, sekurang-kurangnya 70 pemajuan akan dibaikpulih," ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Walau bagaimanapun, katanya, JMB dan MC mestilah bersetuju dengan syarat syarat untuk menyertai skim itu.

Syarat-syaratnya,hanya satu pembaikan bagi satu pemajuan, JMB/MC/ Persatuan Penduduk telah berdaftar, rekod kewangan yang memuaskan selama 6 bulan terdahulu, membayar 10 peratus pendahuluan terlebih dahulu, pemajuan yang terpilih perlu menandatangani akujanji bagi membayar baki 10 peratus.

Selain dari itu, jelasnya, hanya kerja-kerja baik pulih yang kritikal akan diutamakan seperti lif, bumbung, tangki air dan sistem pembentungan.


Kelantan terima cadangan PAAB
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Jun: Kerajaan negeri bersetuju menerima cadangan migrasi ditetapkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menstruktur semula pengurusan air di Kelantan bagi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, migrasi itu akan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya untuk meningkatkan lagi pengurusan bekalan air.

“Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju. Dan segala perkara membabitkan migrasi akan diteliti terlebih dahulu agar ia tidak merugikan pengurusan air di bawah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” katanya ketika ditemui di Rumah Sri Kelantan, baru-baru ini.

PAAB dimiliki kerajaan pusat akan membantu membangunkan infrastruktur air di Semenanjung Malaysia dan Labuan.


PRU 13: Tenaga muda IT tulang belakang PAS Sarawak
Rusli Yasmin

BINTULU, 27 Jun: Perhubungan PAS Sarawak dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) berjaya menganjurkan Konvensyen IT & Pengurusan selama dua hari berakhir semalam.

Program itu diadakan di sebuah hotel di sini yang dirasmikan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin.

Program ini juga disertai oleh 50 orang petugas IT dari kawasan Miri, Bintulu, Sibu, Petrajaya, Batang Lupar dan Batang Sadong di Sarawak.

Abdul Ghani dalam ucapannya berkata petugas-petugas ICT perlu menyedari tanggungjawab dan amanah Allah dengan berusaha mengadakan kursus, seminar dan latihan IT yang berkala di semua peringkat PAS Sarawak serta mempertingkatkan koordinasi antara ICT PAS Sarawak dengan ICT PAS Pusat.

Beliau turut menyarankan diadakan “engagement” dan kolaborasi yang berkesan diantara ICT dan penerangan untuk pemberitaan elekronik dan media baru, selain dengan jabatan pilihanraya seperti yang dilakukan dalam pilihan raya negeri Sarawak pada bulan April yang lepas.

Beliau berharap tenaga pakar IT yang datang dari Jabatan IT PAS Pusat (JITP) dapat memperturunkan ilmu dan pengalaman mereka melalui aplikasi-aplikasi pengurusan dan pilihanraya serta e-media kepada tenaga-tenaga muda IT di Sarawak agar mereka dapat menjadi tulang belakang kepada PAS Sarawak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Turut hadir adalah Fidzuan Zaidi, Setiausaha Perhubungan PAS Sarawak, Suhaimi Embong, Pengarah Jabatan IT PAS Pusat dan Ali Murad, Pengarah Jabatan IT PAS Sarawak.


Bukti PAS Perak sedia ganti Umno

Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 23 Jun: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim menyifatkan senarai jawatankuasa PAS negeri sesi 2011-2013 yang dibentuk minggu lalu membuktikan PAS bersedia menggantikan Umno di negeri ini.

“Saya mengucapkan tahniah di atas perlantikan ‘kabinet’ baru PAS Perak yang telah berlangsung baru-baru ini yang ini merupakan persiapan untuk mengambil semula Perak dari genggaman Umno BN yang telah hilang daya kepimpinan,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya, PAS komited mahu merakyatkan lagi parti kepada semua kaum dan agama, usaha tersebut telah direalisasikan pada peringkat awal dengan tertubuhnya Dewan Himpunan PAS.

Beliau berkata, pemilihan kepimpinan PAS negeri yang baru itu telah mengambil kira pelbagai aspek keperluan semasa bagi menjadikan PAS Perak sebuah parti yang bersedia menggantikan Umno yang kian hancur dan tiada moral kerana amalan salah laku kuasa, politik lucah dan rasuah yang makin menjadi-jadi.

Tambahan pula, ujarnya situasi di negeri ini dilihat sudah hilang daya saing sejak BN merampas kuasa dan kesannya akibat rampasan kuasa pada 6 Februari 2009 yang telah meletakkan Perak sebagai satu-satu negeri yang dikuasai oleh BN secara tidah sah.

Katanya, dengan perlantikan kabinet baru PAS Perak itu, maka pemimpin BN negeri diingatkan supaya bersedia mental dan fizikal untuk kembali menjadi pembangkang selepas PRU 13 nanti.

Kepimpinan PAS negeri sesi 2011-2013 terdiri daripada Mohammad Nizar yang kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, bekas Setiausaha Perhubungan, Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2 dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) yang juga Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 3.

Dr. Muhaimin Sulam pula dilantik sebagai setiausaha yang baru menggantikan Misbahul.

Perlantikan Muhaimin yang juga Yang Dipertua PAS Pasir Salak dibaratkan sebagai 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah menyandang jawatan berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak , Nuri Amin Endut dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS negeri sementara Osman Maseri sebagai bendahari.

Dua penolong setiausaha telah dilantik iaitu Ismad Sahril dan Puan Mazidah.

Haji Asmuni Awi kekal sebagai Pengarah Pilihanraya PAS negeri.

Beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan yang dipilih ialah Adun Lubuk Merbau, Zainuddin Yusuf, Ustaz Sidik Noor, Azhar Rafie, Muhammad K Y Tiang, Mohd Zamri Ibrahim, Khairul Anuar Ismail dan Puan Rosaini Ali.

PAS Perak mampu rampas kembali negeri
Harakahdaily

IPOH, 22 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh barisan kepimpinan PAS negeri yang telah dilantik di dalam mesyuarat pertama baru-baru ini bagi memberikan tumpuan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Timbalan ketuanya, Raja Ahmad al-Hiss yakin ‘kabinet’ kali ini yang diterajui Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussien (gambar) adalah pasukan pilihan raya yang mantap bagi memimpin rakyat bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk terus memastikan cita-cita Negara Berkebajikan akan menjadi teras dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak kembali.

Ini, katanya sepertimana yang telah dipertegaskan oleh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa akan terus memastikan kebajikan rakyat diberikan keutamaan.

“Malah kami amat yakin Kabinet Pilihanraya PAS Perak ini yang membariskan gabungan muka baru dan lama, serta anak muda profesional dan ulama akan cemerlang dan berjaya untuk misi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri nanti.

Pemuda PAS juga, katanya yakin pasukan itu akan berganding bahu dengan pimpinan DAP dan PKR negeri untuk mencapai kemenangan yang sama sepertimana PRU 12 lalu.

Tambah beliau, pihaknya juga yakin kekuatan Ustaz Abu Bakar dan Datuk Seri Nizar akan menghasilkan satu pasukan yang terbaik bagi berdepan dengan PRU 13 nanti.

"Pemuda PAS negeri komited akan bersama-sama dengan PAS Perak dalam menuju sasaran kita untuk merampas kembali negeri Perak seterusnya mendokong cita-cita untuk mewujudkan negara berkebajikan," katanya.

Kepimpinan PAS negeri sesi 2011-2013 terdiri daripada Mohammad Nizar yang kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, bekas Setiausaha Perhubungan, Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2 dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) yang juga Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 3.

Dr. Muhaimin Sulam pula dilantik sebagai setiausaha yang baru menggantikan Misbahul.

Perlantikan Muhaimin yang juga Yang Dipertua PAS Pasir Salak dibaratkan sebagai 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah menyandang jawatan berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak , Nuri Amin Endut dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS negeri sementara Osman Maseri sebagai bendahari.

Dua penolong setiausaha telah dilantik iaitu Ismad Sahril dan Puan Mazidah.

Haji Asmuni Awi kekal sebagai Pengarah Pilihanraya PAS negeri.

Beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan yang dipilih ialah Adun Lubuk Merbau, Zainuddin Yusuf, Ustaz Sidik Noor, Azhar Rafie, Muhammad K Y Tiang, Mohd Zamri Ibrahim, Khairul Anuar Ismail dan Puan Rosaini Ali.

Tiada ulasan: